Isnin, Ogos 31, 2009

MERDEKA DI DALAM BOTOL

YOKYAN dan Nikyet bertemu ketika malam itu hingar bingar suara tempikan manusia menyebut kata merdeka di sebuah padang di tengah kota raya semakin mereda. Ketika itu juga hujan yang pada mulanya hanya perlahan merintik tetapi tiba-tiba kian merancakkan rintiknya mendorong Yokyan yang kebetulan memakai jaket labuh mengajak Nikyet berteduh di bawah litupan jaketnya. Yokyan tidak sama sekali menyangka Nikyet sudi menerima ajakannya dan mereka berdakapan di bawah litupan jaket itu. Ketika kemudiannya rintik hujan bertukar menjadi deras dan lebat, Yokyan dan Nikyet semakin kemas berdakapan di bawah litupan jaket.

Entah kenapa malam itu semangat merdeka yang baru sebentar tadi ditempikkan dengan gamatnya oleh ribuan manusia di padang itu benar-benar telah merasuk jasad dan jiwa mereka. Yokyan dan Nikyet yang semakin kejap berpelokan kini mulai saling memperlagakan lidah.

Berasa lengoh berpelokan dalam keadaan berdiri, Yokyan dan Nikyet memilih berguling pula di rumput yang basah dan mereka semakin kesurupan memperlagakan lidah.

Ketika semangat dan nafsu cumbuan mereka semakin terasa membara Yokyan mengajak Nikyet mengecilkan tubuh dan masuk ke dalam botol air mineral 1500ml. Nikyet setuju. Dan di dalam botol air mineral 1500 ml yang jelas terpampang kata M-E-R-D-E-K-A di label pembalutnya, Yokyan dan Nikyet bersanggama sampai puas.

Yokyan dan Nikyet benar-benar menikmati erti merdeka di dalam botol air mineral 1500 ml itu.

Ogos 31, 2009

Ahad, Ogos 30, 2009

KALDAI MEMBACA SAJAK

SAYEMBARA membaca sajak anjuran negara sempena ulang tahun merdekanya yang entah ke berapa malam itu menjadi kecoh. Puncanya kerana seekor kaldai yang tiba-tiba muncul dan bertempik-tempik mengacukan tanya kepada menteri penganjur kenapa dia tidak sama diundang membacakan sajak.

Tanpa berselindung menteri penganjur menjawab betapa kerana kaldailah maka sang kaldai yang baru selesai bertempik-tempik itu tidak dundang membaca sajak.

Apa lagi marah dan bertambahlah lantangnya tempikan sang kaldai tatkala usai mendengar jawapan yang demikian bunyinya itu dari mulut menteri penganjur. Lalu dari beg sandang kulit yang tersandang di bahunya sang kaldai mengeluarkan segulungan kertas. Gulungan kertas itu di hempaskannyanya di atas meja di hadapan menteri penganjur.

Melihat dan membaca apa yang tertulis di gulungan kertas di atas meja di hadapannya, menteri penganjur menggeletar sehingga berlaga gigi atas dan gigi bawahnya.

Huruf yang jelas tertera di bahagian tengah gulungan kertas itu: p-h-d, benar-benar mengecutkan perut menteri penganjur. Dan kerana itu menteri penganjur memerintahkan agar dua pembaca sajak yang memang sahih adalah memang pembaca sajak dan bukan kaldai disingkirkan dari acara dan tempat mereka digantikan oleh si kaldai yang baru sebentar menghempaskan gulungan kertas di atas meja di hadapan menteri penganjur.

Dengan izin menteri penganjur dan memangsakan dua pembaca sajak yang memang asli malam itu, maka membaca sajaklah sang kaldai itu.

Pada waktu sama, menteri penganjur yang kini sedang melopong mulutnya kerana terlalu asyik mendengar bacaan sajak sang kaldai itu, wajahnya juga perlahan-lahan telah berubah menjadi wajah kaldai.

Ogos 29, 2009

Sabtu, Ogos 29, 2009

KETURUNAN

SILASILAH dan alur keturunannya memang diketahui umum dari kalangan manusia baik, terhormat dan tersohor kerana kata-kata dan perbuatannya yang amat terpuji. Kehebatan, keterpujian dan ketersohoran itu jugalah yang selalu disebut dan didengungkan ke sana dan ke mari oleh mereka yang diketahui umum sebagai waris dan dari jalur keturunannya.

Tetapi hari ini ternyata silasilah belum pasti menjanjikan cicit atau cucu berikutnya mewarisi sepenuhnya segala kebaikan, kehormatan dan perilaku terpuji tersebut. Itulah yang terbukti sudah. Ketika salah seorang daripada mereka memilih menjadi manusia palsu yang tega menyunglapkan dirinya menjadi apa dan siapa sahaja, asalkan itu memberi untung sendiri dan mampu menipu sekian ramai orang, dan yang seorang lagi telah bertukar wataknya menjadi si ular yang cabang lidahnya melebihi dua.

Ogos 28, 2009

Jumaat, Ogos 28, 2009

MINTA CIUM

SUDAH sejak remaja dia meminati pengarang wanita tersohor yang dikenali cantik dan romantis kata-katanya itu. Namun kerana rasa malu dan rendah diri, minat itu tidak pernah diberitahu kepada tuan yang empunya diri. Tetapi waktu semakin lama semakin mendekatkan mereka kerana pelbagai sebab dan alasan. Suatu saat, dia teringat bagaimana pernah berduaan menyusur pantai yang airnya semakin pasang dan ditemani debur ombak, sambil bercerita mengenai warna dan erti mesra. Dan waktu semakin lama semakin meangkrabkan mereka menjadi dua manusia yang saling bertukar khabar dan cerita sunyi. Suatu malam, dia menjemput pengarang wanita yang sangat dia minati itu di lapangan terbang dan menghantarnya ke hotel penginapan. Tiba di lobi hotel dan selesai urusan pendaftaran, dia lihat pengarang wanita yang sangat dia minati itu menulis sesuatu di sebuah buku yang baru terbit dan menghulur buku itu kepada dia. Dia tahu itu adalah isyarat menghalau dia pergi secara hormat. Tetapi dia pura tidak mengerti dan nekad menemani pengarang wanita yang sangat dia minati itu menaiki lift dan kemudian ke kamar. Di dalam kamar, di depan pintu yang lebar ternganga dia berkata: “Kak, minta cium di pipi sedikit.” Pengarang wanita yang sangat dia minati itu melenting marah. “Pergi basuh mulutmu. Jangan ulangi kata cabul itu lagi,” kata pengarang wanita yang sangat dia minati itu. Dia terperanggah dan baru mengerti betapa meminta cium secara berterus terang itu merupakan perbuatan cabul. Dan hasrat dia untuk memberitahu pengarang wanita yang sangat dia minati itu betapa dia meminatinya sejak dari usia remaja lagi menjadi kendur dan lebur. Dileburkan oleh rasa malu dan takut kalau nanti disangkakan hendak mencabul seseorang.

Ogos 28, 2009

Rabu, Ogos 26, 2009

RAMADHAN TAHUN INI TELAH MEMBUKA TOPENGNYA



BEBERAPA orang yang kurang bersetuju dengan perilaku dan tabiat dia yang gemar merubah wajah dan tutur, semata-mata untuk sesuatu kepentingan dirinya sendiri, mengata di belakang betapa dia sebenarnya sudah semakin menjadi haiwan berbahaya yang bertopengkan manusia.

Namun di mana-mana dia tetap juga diletakkan di hadapan oleh orang-orang yang menyangkakan betapa dia adalah tokoh terbaru yang layak dikedepankan kerana fikiran dan kata-kata cemerlangnya. Malah dalam banyak keadaan dan peristiwa, pendapat dan kata-kata hikmah dari mulut dia selalu ditanya dan dipinta dan apa sahaja yang terzahir dari bibir dia, diterima dan dipatuhi sentiasa.

Tetapi Ramadhan tahun ini telah membukakan juga topeng sebenar diri dia. Topeng yang dia pakai terlorot sendiri dan wajah haiwan dia semakin menyerlah. Walau di mana-mana dia berfatwa dan berlagak wali, namun taring haiwan milik dia jelas terpamer tatkala setiap kali mulut milik dia dinganga luas.

Kerana itu juga tiada siapa yang berani menegor dan menasihati dia.

Ogos 26, 2009

Jumaat, Ogos 21, 2009

MENULIS ADALAH MENYATAKAN KEBERADAAN DAN PERLAWANAN DIRI

MENULIS bukan lagi persoalan apa dan bagaimana hendak menuliskannya, tidak juga persoalan bentuk dan genre, tetapi adalah persoalan menyatakan keberadaan sendiri di tengah dunia yang semakin galau dengan bising propaganda dan pelbagai sulapan serta orasi kata.

Menulis di zaman yang semakin diserabuti kecelakaan ini adalah menyatakan keberadaan itu secara utuh dan mengalir secara alamiah segala semangat, kekuatan dan keberanian jiwa di dalam karya.

Menulis di zaman ini sudah menjadi suatu bentuk perlawanan secara peribadi untuk menyatakan kebencian, rasa bosan dan mual terhadap segala upaya untuk mengkebirikan akal sihat manusia yang mahu mendesak mereka agar menjadi kambing, kerbau atau lembu yang boleh dicucuk hidung dan telinganya, yang sekaligus juga digula-gulakan dengan bujuk, janji-janji palsu kebahagian.

Kerana sifatnya sebagai sebuah perlawanan itu jugalah maka sebuah karya bukan lagi sekadar sebuah objek pemuas nafsu diri untuk berseronok-seronok dengan kisah dan cerita yang indah-indah belaka, yang dipalsukan dengan kata-kata indah, bersopan santun tetapi yang sangat munafik sifat dan keperibadiannya.

Menulis adalah urusan keperibadian untuk kembali mencemoh, mencaci dan kalau perlu, memaki-maki segala tabiat dan tindak-tanduk kurang ajar serta kebinatangan yang hadir dan muncul di depan mata, mengganggu rasa tenteram dan bahagia dengan pelbagai bentuk, rupa dan cara.

Menulis bukan lagi permainan keseronokan, bukan tempat bersantai dan menjual tampang. Menulis adalah perlawanan dan kalau perlu, melontar kembali segala rasa mual dan benci yang bersarang di dalam diri, agar tidak memakan dan memusnahkan diri akibat terlalu diredam dengan dalih kesopanan dan kesusilaan.

Kesopanan dan kesusilaan apa tatkala bahasa milikmu dikencing dan dinajisi? Dan babi-babi pun semakin berani berjoget di laman rumahmu tatkala malam hari atau ketika kau sedang bersunyi-sunyi sendiri. Kesopanan apa? Kesusilaan apa?

Pergi jahanam dengan segala si keparat yang berlagak dan berlakon dengan songkok dan kain sampin.

Aku menulis untuk menyatakan perlawanan dengan cara aku sendiri. Dan kerana itu aku tidak minta apa-apa puji dari makhluk segolongan babi dan anjing. Walau berderet di hujung namamu gelar dan label. Aku tidak punya urusan apa-apa dengan makhluk segolongan kalian.

Menulis bagiku adalah menyatakan keberadaan seorang manusia bernama Melayu yang sudah terlalu muak, mual dan benci melihat segala sulapan dan orasi kata yang tidak berguna dan sudah terlalu lama menahan sabar tatkala sebongkah maruah bernama bangsanya dikencingi babi dan anjing.

Ogos 20, 2009

Khamis, Ogos 20, 2009

MENULIS ADALAH MENUANGKAN PERIBADI SENDIRI

PERSOALAN orang lain di dalam sebuah karya pada akhirnya sudah tidak menjadi penting lagi setelah pengarangnya memiliki rasa percaya diri dan menemukan suaranya sendiri.

Saat ini karyanya bukan lagi pengulangan dan peniruan gaya yang dengan sengaja dilakukan seperti mana layaknya seorang pengarang yang tidak mempunyai pendirian.

Sebuah karya dari seorang pengarang yang sudah memilik rasa percaya diri dan menemukan suaranya sendiri adalah karya yang sepenuhnya mengungkapkan sebuah pendirian, emosi, gelodak jiwa dan suara yang tampil dengan yakin diri yang tidak mampu digubris oleh apa pun.

Pengarang bukan lagi seorang pembawa slogan dan pengusung kisah serta cerita yang semata-mata demi untuk memuaskan kehendak khalayak, penilai atau pengkritik yang tidak berakal sihat.

Pengarang dan karya adalah dirinya sendiri yang menyatu secara utuh di dalam kualitas yang ditetapkannya sendiri.

Kini karya adalah dunia peribadi sang pengarangnya sendiri dan pendustaan atas nama tema dan jargon kemanusiaan sudah waktunya dismpan di dalam peti.

Walau untuk menjadi seorang pengarang yang berkata secara jujur selalu mengundang duga, bahaya dan ancaman dari pihak yang berasa establishmennya kian tercabar oleh pemikiran yang lebih bebas, berani dan semangat untuk mandiri.

Tetapi tatkala fikiran bebas dan sikap mandiri cuba diredam dengan pelbagai bujuk dan rasuah, ketika itu jugalah bala musibah menimpa pemikiran suatu bangsa.

Bermaharajalah bangsa yang kian bangkrut pemikiran dan akal sehatnya.

Ogos 19, 2009

Isnin, Ogos 17, 2009

TERIMA KASIH, TUHAN

KETIKA satu demi satu rakan, teman dan sahabat, sama ada yang lebih berusia, hampir sebaya, atau lebih muda usianya dari saya dijemput menghadap Ilahi Pencipta, saya bersendiri di kamar tulis selepas Maghrib ini, merenung diri sendiri, segala pencapaian, kebaikan dan segala dosa yang telah dan pernah saya lakukan sendiri.

Saya tahu dan sedar betapa di depan Tuhan saya bukanlah manusia yang terlalu suci dan bersih atau begitu mematuhi segala suruhan dan larangannya. Saya tahu dan sedar itu. Dan di dalam hati selalu saya menangis sendiri serta bertekad untuk lebih patuh dan menjadi manusia muslim yang lebih baik dan sempurna.

Di saat begini juga saya melihat dan merenung diri sendiri sebagai seorang sasterawan kecil dari sebuah daerah yang agak jauh di luar ibu kota. Tetapi saya tahu jarak dan lokasi tidak mungkin memberikan kesan apa pun terhadap diri saya. Saya tahu kedirian dan kehadiran seorang sasterawan tidak lain hanyalah lewat atau karyanya sebagai bukti.

Namun penting dari segala itu, saya berasa sangat beruntung kerana diizinkan Tuhan masih bernafas dan diberikan peluang melihat, merenung dan mencatat banyak perkara dan peristiwa.

Ya, kerana kesempatan inilah saya melihat dengan mata sendiri betapa pihak yang satu saat dahulu begitu mempergunjingkan soal kroni dan kelompok, hari ini berubah peran dan peranan menjadi pelaku utama memarakkan kelompok dan kroni baru.

Malah paling memualkan, atas nama akademik dan fakta, kononnya, penipuan dilanjutkan dengan menafikan banyak perkara yang diandaikan mungkin tiada yang tahu dan menyimpan datanya secara terperinci.

Tentu sahaja secara peribadi saya melihat segalanya dari jauh dan mencatat. Dan tentu sahaja juga saya tidak peduli apa pun segala gunjing, penafian atau henyakan terhadap diri saya sendiri kerena sudah sejak dahulu saya tahu di mana saya berdiri dan berada serta posisi apa yang sudah saya pilih.

Sedikit tidak saya berasa pelik atau hairan bila dalam banyak kejadian melihat betapa pandainya manusia yang berdiri atas nama akademik dan bertopengkan sastera meneruskan sandiwara dan hipokrasinya sendiri.

Saya tidak sebahagian mereka dan tidak ingin bersekongkol juga. Walau kerana itu saya tahu apa dan bagaimana. Tetapi setidaknya setiap malam saya dapat lena tidor tanpa perlu untuk menyembunyikan kemunafikan-kemunafikan saya. Atau berlagak seolah-olah saya orang yang sangat berbahagia hidupnya.

Lagi pula memang pun sejak awal dan dahulu saya memang datang dan akan pergi sendiri. Dan saya tidak ingin hidup hanya dengan kenangan-kenangan atau segala harapan dan igauan. Kerana itulah saya terus menulis dan berkata-kata dengan banyak cara. Tanpa peduli apakah segala yang ditulis menjadi karya besar atau tidak, disukai orang atau tidak, yang penting saya senang dan sudah berusaha untuk berkata sejujur saya.

Dan kerana itulah, saya selalu berterima kasih kepada Tuhan.


Ogos 17, 2009

Sabtu, Ogos 15, 2009

036/30: A. SAMAD SAID





BERMULA sekitar tahun 1979, saya berasa saya mengenal A. Samad Said secara agak mendalam lewat novelnya Salina. Sekitar tahun itulah, tahun di mana saya mula membebaskan diri dari sebuah daerah ladang di pedalaman di sebuah negeri dan mula mengenal angin bandar, mengisi waktu senggang selepas jam kerja di sebuah kilang, melahap novel Salina secara sungguh-sungguh.

Saya tidak tahu pasti kenapa saya begitu tertarik dengan novel ini. Yang pasti ketika itu, novel Salina di tangan saya terasa begitu tebal dan besar ukurannya di mata saya, berbanding dengan novel-novel yang sedia ada di pasaran ketika iu, apa lagi jika dibandingkan dengan novel seperti “Mona Gersang”.

Novel Salina menjadi teman sebelum tidur saya selepas rehat bekerja syift malam di kilang. Novel Salina entah kenapa menggoda saya untuk mengulang bacanya berkali-kali. Sehingga saya berasa saya dapat membyanagkan dengan jelas bagaimana sebuah lori terhinggut masuk ke Kampung kambing dan di belakangnya beberapa kanak-kanak bogel mengekori sambil bersorak-sorak.

Tetapi bila saya kenang-kenangkan lagi, ketika di darjah enam sekolah rendah, saya sebenarnya sudah pun membaca cerpen A. Samad Said berjudul “Longkang” yang dimuatkan dalam antologi “Pertentangan” yang diselenggarakan oleh Omar Mohd Hashim, terbiatan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1968.

Jika saat membaca dan menghayati cerpen “Longkang” ini dijadikan titik tolak, saya kira saya sudah mengenal A. Samad Said lewat karyanya sudah sejak tahun 1969 lagi dan 10 tahun selepas itu, tahun 1979, saya menghayati karya A. Samad Said lebih bersungguh-sungguh lewat Salina..

Betapa pun begitu, walau pun kegemaran mengumpul bahan dan segala sesuatu dari majalah dan akhbar mengenai apa yang saya minat dan suka sudah bermula berdikit-dikit waktu itu, namun kerana hidup berpindah randah dari satu daerah ke daerah yang lain, dari satu kamar ke kamar yang lain, dari satu kongsi ke kongsi yang lain, sebahagian dokumentasi itu hilang.

Kerana itu juga, saya agak kecewa dan sekaligus juga belum begitu tergerak untuk membuat apa-apa dokumentasi mengenai A. Samad Said secara bersungguh-sungguh. Malah boleh saya katakan, kekaguman saya terhadap A. Samad Said dan karyanya, lebih kerana niat dan minat saya yang semakin kuat terhadap sastera dan sekaligus menyimpan cita-cita untuk juga menulis novel.

Baru tahun 1980, ketika saya mula beroleh pekerjaan yang memungkin saya berasa lebih stabil di segi pendapatan, lokasi dan memungkin saya menyewa sebuah rumah yang agak sederhana dan memadai dan sekaligus juga boleh membeli bahan bacaan secara lebih tetap dan teratur, minat mengumpul bahan dan segala sesuatu dari majalah dan akhbar mengenai apa yang saya minat dan suka kembali saya hidupkan secara lebih bersungguh dan teratur.

Sekitar tahun 1980 jugalah saya mula mengumpul tulisan dan keratan akhbar atau majalah mengenai A. Samad Said secara teratur dan bersungguh. Kemudiannya, setelah berkahwin dan bertukar kerja yang ada hubungkaitnya dengan rekod dan fail, fail mengenai A Samad Said di tangan saya dan juga fail-fail dokumentasi lain dalam dokumentasi saya, saya berikan judul.

Ketika hidup dianugerahi Allah semakin makmur dan bertambah-tambah kebahagiannya di akhir tahun 1980-an, saya membeli sebuah rumah yang sederhana tetapi sangat memadai dan memanfaat, saya khaskan sebuah kamar kecil untuk mengisi seluruh bahan dokumentasi saya ini di dalam kamar tersebut, yang sekaligus juga menjadi ruang saya berkreatif.

Di dalam kamar inilah tersimpan segala khazanah dokumentasi sastera dan peribadi milik saya dan termasuk juga sejumlah buku yang memang dengan sengaja tidak ingin saya dedahkan kepada orang lain. Di dalam kamar inilah saya memasukkan data-data rujukan nombor dan judul bagi setiap fail dokumentasi milik saya ke dalam komputer.

Hari ini, ketika saya semak kembali fail bernombor 036/30 dengan judul A. SAMAD SAID (dulunya nombor 057) saya hitung jumlah halaman di dalamnya. Jumlahnya adalah 237 (dua ratus tiga puluh tujuh) halaman dan keratan akhbar pertama di dalam fail bernombor 036/30 ini adalah keratan dari akhbar Mingguan Malaysia , 21 Disember, 1980. Keratan akhbar itu memuatkan tulisan Rosnah Abd Majid berjudul “Apakah A. Samad Said Sudah Berubah?”

Di dalam tulisan ini, terpapar lima keping foto terbaru A. Samad Said dengan rambut, janggut dan misai sudah mulai memanjang dan sekeping foto lamanya sebelum berambut panjang. Turut terhias sebagai perbandingan sebuah ilustarasi foto Ho Chi Minh tokoh pejuang kebangsaan Vietnam.

Di segi usia, saya mengaku betapa saya lebih menghayati kisah mengenai A. Samad Said selepas eranya berambut, berjanggut dan bermisai panjang.

Dan saya yakin fail bernombor 036/30 dengan judul A. SAMAD SAID di tangan saya pasti akan ada jilidnya yang kedua.

Kepada Pak A. Samad Said: selamat ulang tahun ke 75. Salinan dokumentasi saya itu sudah saya poskan ke alamat Helmy tadi pagi. Harap saya selamat sampai ke alamat.

Ogos 1-14, 2009

Khamis, Ogos 13, 2009

BEBERAPA PENGUMUMAN DAN MAKLUMAN (1)

BOS DI PEJABAT
Duit tuntutan elaun perjalanan kerana menghadiri taklimat di KL tempoh hari telah saya terima. Terima kasih atas sikap prihatin boss mempercepatkan proses bayaran. Bab ini saya memang puji bos memang seorang bos yang baik.

SAHABAT DAN KAWAN-KAWAN
Dari 10 hingga 13 Ogos saya ke hospital bukannya kerana sakit. Tetapi saya sedang diperingatkan Allah agar tidak terlalu suka berlengah-lengah mengingati dan seolah-olah terlalu bersuka dengan dosa.

SINAGANAGA
Duit saguhati menulis ulasan itu aku sudah terima. Terima kasih untuk kau dan kawan-kawan. Walau hanya seratus tetapi bagi aku nilai dan rasanya seperti seribu. Ada bahagian-bahagian yang aku memaki-maki itu memang aku khaskan untuk kau dan kawan-kawan kau sahaja. Untuk orang yang aku tidak suka aku jarang berikan benda yang begitu.

ABDULLAHJONES
Kau memang melampaulah. Ada pulak politikus kau bagi gambar pak badut. Politikus mana pula jadi pak badut. Lagi-lagi kalau politikus Malaysia. Lagilah pula tidak. Jadi aku minta kau tolonglah tukar gambar kulit buku itu. Gambar yang muka badut itu, nampak sangat macam kau kena paksa buat.

KEPADA BUKU
Duduklah diam-diam di rak itu. Aku hendak bersenggama dengan sunyi dan memuntahkan nyanyi. La-la-la aku sendiri. La-La-la aku sendiri. Siapa peduli.

Ogos 13, 2009

PERTAMANYA TUHAN

TERIMA kasih saya pertamanya adalah Tuhan dan selebihnya tentulah kawan-kawan. Beberapa hari saya diberinya uji dengan sedikit kurang sihat. Suhu badan mendadak naik melebih paras normal dan dalam situasi sekarang mudah disyaki dengan apa yang sedang mewabah. Kerananya saya dimasukkan ke wad.

Di sebelah saya seorang pemuda yang disahkan sudah dan mendapat rawatan lanjut dan selama beberapa hari saya bersama dia dan keesokan bertambah satu demi satu sehingga masuk ke hari kedua wad lelaki berganjak menjadi dua dan wad untuk pesakit perempuan segera wujud di sebelah.

Saya yang sakit sudah pun memang demikian takdirnya dan perlu pasrah dan memikir tamsil darinya. Tetapi melihat hanya tiga perawat yang terkejar dan tercungap untuk melayani ruang agak luas yang menempati 18 katil rawatan dan pesakit, namun masih tetap mampu tersenyum, membuat saya berkata sendiri betapa mulianya menjadi perawat atau jururawat.

Ketika sakit juga saya semakin mengetahui makna persahabatan dan penting sekali makna bertugas di sebuah jabatan yang ada kaitnya dengan kesihatan.

Walau perawatnya bertugas dengan sangat dedikasi, tetapi kerana sistem dan prosedur tertentu, yang dengan sengaja dijadikan dalih untuk tidak berbuat, saya keluar wad tanpa ujian untuk penyakit yang sedang mewabah.

Walau hati gusar memikir beberapa hari bersama sebahagian pesakit yang memang positif, saya pasrah dan rela dengan segala ketentuan. Kalau ditakdirkan mati, di mana-mana pun bisa.

Dan untuk mati, saya tidak perlukan layanan kelas pertama seperti tan sri-tan sri, datuk-datuk atau datin-datin. Begitu juga untuk rawatan dan sebuah ujian kesihatan.

Apa lagi untuk mati sebagai manusia yang hanya memiliki dirinya sendiri dan hanya bertuhankan Satu.

Tiada apa yang hendak saya gusarkan dengan segala system, prosedur atau tatacara. Malah itulah yang akan dengan sengaja saya dabrak kalau saya terasa dengan sengaja dijadikan alat untuk menyusahkan diri saya dan orang lain.

Dan saya berfikir. Kalau saya yang sendiri bertugas di bawah payungnya terasa dipayahkan, tidak mustahil orang yang langsung tidak berpayung lebihlah lagi berasa dipayah-payahkan.

Ingat. Saya atau mereka itu tidak pun minta layanan kelas pertama.

Dilayan sebagai layaknya manusia itu sudah memadai.

Itupun susah sangat hendak diberi?

Kerana itulah saya selalu berkata pertamanya adalah Tuhan.

Ogos 13, 2009

Khamis, Ogos 06, 2009

MENJADI HARIMAU

MANA? Tunjukkan di mana harimau itu? Tanya ibu mendesak-desak. Anak berusia sekitar lima tahun itu menonong menuju ke suatu sudut. Di sinilah saya lihat ayah mengambilnya. Jawab si anak sambil menudingkan telunjuk ke arah yang dimaksudkan. Ibu mengeluh dan menggeleng. Jangan beli, nanti kau pun jadi harimau. Bantah ibu dan mengheret tangan anak menjauhi rak yang menempatkan pelbagai jenis kek berjenama harimau.

Aku yang dari jauh memerhati ketawa berdekah di dalam hati. Ah, anak sekecil itu sudah didustai. Siapa yang sebenarnya menjadi harimau. Ibu atau anaknya. Ha. Ha. Ha.

Ogos 5, 2009

Sabtu, Ogos 01, 2009

DI DEPAN BAHASA

DI DEPAN sebongkah maruah benama bahasa, yang bentuk dan rupanya semakin herot dan peot, sepuluh ekor babi dan anjing bersetuju menjadi sahabat. Dahulu-dahulu memang kita tidak boleh dan pantang bertemu, tetapi mulai hari ini kita mengaku menjadi sahabat. Begitulah lebih kurang bunyinya kata persetiaan yang disepakati di antara mereka si anjing dan babi itu. Demi mencapai matlamat dan tujuan, mulai sekarang kita mestilah berada di mana sahaja tempat dan ruang, dan paling penting kita sorokkan tampang anjing dan babi kita dengan pelbagai topeng, tujuannya agar mereka menyangka betapa kita ini sebenarnya adalah para wali dan nabi dan dengan begitu mudahlah kita untuk terus memperbodoh akan mereka itu. Begitu kata salah satu dari si babi dan disambut dengan angguk oleh babi-babi dan si anjing yang lain pula.

Julai 13, 2009