Ahad, September 13, 2009

NEGARA SIAPA SEBENARNYA MALING?



WALAU beberapa rumah jiran saya dimasuki perompak dan kesemua perompak itu bercakap dengan loghat bahasa Indonesia dan diyakini mereka adalah memang orang dari Indonesia, namun saya tidaklah sampai tergamak hendak memukulrata dengan mengatakan bahawa Indonesia adalah sebuah negara perompak dan banyak melahirkan para perompak.

Tetapi di kota Jakarta 1 September 2009 lalu sejumlah orang berdemo dan antara lain menayangkan sepanduk yang membawa maksud Malaysia adalah sebuah negara maling, negara pencuri.

Cikal bikalnya pastilah kerana tarian pendet dari Bali yang entah bagaimana dimasukkan ke dalam sebuah iklan pelancongan Malaysia, yang di dalamnya sama sekali tidak melibatkan urusan sebuah kerajaan atau didokong oleh sekalian jelata di Malaysia.

Malaysia lantas dituduh mencuri sesuatu yang milik orang dan kerana itu tergamak dituduh dengan segera sebagai sebuah negeri maling.

Saya tidak peduli siapa yang menjadi biang, yang mengapi-apikan perkara sehingga sejumlah orang di Indonesia, yang mungkin tidak sempat untuk menimbang secara lebih saksama, tergiur untuk menjadi pahlawan.

Urusan saya hanyalah dengan negara saya sendiri dan ini juga bererti saya amat menyintai, walau kadang-kadang berasa agak gemas dan resah berada di negerinya sendiri, sebuah negara saya yang namanya Malaysia.

Untuk dan kerana itu jugalah saya tidak sama sekali dapat menerima bila sejumlah orang yang berasa dirinya sudah menjadi pahlawan di Indonesia sanggup mengacungkan sepanduk atau poster yang menghina negara saya sebagai pencuri. Bagi saya ucapan yang mengatakan Malaysia sebagai “Malingsia” itu sangat kurang ajar, menghina dan mencabar.

Perbuatan mempermainkan nama negara, lagu kebangsaan, bangsa-bangsa oleh siapa pun memang tidak dapat diterima. Saya kira terbesar jelata di Indonesia juga akan tidak senang hatinya bila nama negara Indonesia dipermainkan orang lain.

Tetapi saya tidak menyalahkan semua jelata di Indonesia. Saya juga tahu tidak semua orang di Indonesia tergiur untuk berlagak sebagai pahlawan dan sanggup menuduh negeri saya sebagai sebuah negeri pencuri, semata-mata kerana sebuah kesilapan yang sifatnya lebih beraroma kapitalis.

Bagi saya setiap orang berhak untuk berasa diri dan negaranya lebih baik dan super selagi tidak sampai menghina dan meremehkan negara orang lain.

Hanya, saya mahu diketahui betapa kesewenangan apa pun, baik dari pemerintah mahupun kapitalis, terhadap Indonesia dan warganya tidak pernah dipersetujui atau didokong dengan seluruh rasa tega oleh kami sebagai jelata di negara bernama Malaysia, yang dikatakan sebagai negeri maling ini.

Untuk itulah, saya berharap dihentikan segera segala tuduh dan tohmah terhadap rakyat dan negera saya ini. Siapa pun mereka di Indonesia, yang berasa terpanggil untuk menjadi pahlawan, tidak perlulah menjadikan negara saya dan rakyatnya sebagai biang.

Kami, maksud saya sebagai jelata disebuah negara yang merdeka, tidak minta terlalu dihormati tetapi cukuplah sekadar benar-benar difahami akan duduknya sesuatu isu. Sebagai jelata, kami sudah mulai diamuk mual dan bosan bila saban kali dijadikan bulanan.

Untuk itu jugalah, saya fikir, teman-teman sasterawan atau penyair saya, yang Indonesia, patut juga berdiri dan tolong memperjelaskan.

Kalau tidak, apalah ertinya kita mengaku serumpun. Atau berpelokan mesra tatkala sekali bertemu di acara sastera yang mengundang teman-teman Indonesia ini menjadi tamu atau peserta.

September 1, 2009

Khamis, September 10, 2009

SAYA MEMANG ORANG MALAYSIA, JADI KENAPA?


BETAPA pun saya kadang-kadang berasa gemas dan gelisah berada di negara saya sendiri, tetapi kalau berada di luar negara, saya tanpa sedikit pun berasa malu atau segan, kalau ditanya, akan segera mengatakannya dengan bangga bahawa saya adalah ORANG MALAYSIA. Ya, saya adalah orang dari sebuah negara bernama Malaysia.

Tetapi kelmarin, begitu dilaporkan lewat foto oleh agensi berita AFP, sejumlah manusia di kota Jakarta di dalam sebuah negara bernama Indonesia, yang saya kenal dan tahu sama sebangsa, serumpun dengan darah keturunan saya, telah mencegat di jalan dan memaparkan sepanduk yang antara lain menyebut: "SWEEPING ORG MALAYSIA" .

Kepada siapa yang membikin ulah ini, saya secara peribadi menyatakan rasa sangat tersinggung saya sebagai orang Malaysia. Apa pun alas dan dalih bagi menghalalkan tindakan mereka, bagi saya itu satu tindak yang sangat melampau batas. Walau siapa pun mereka, saya tuntut mereka secara terbuka memohon maaf kepada kami yang apa mereka gelarkan sebagai: ORANG MALAYSIA!

Kerana, bagi saya, kalau benar andainya mereka berasa tersinggung konon ada pihak yang mencuri sebuah tarian untuk barang sekejap dijadikan iklan, itu bukanlah alasan yang wajar untuk mengajak berperang dan mahu "SWEEPING ORANG MALAYSIA".

Kerana, mereka sepatutnya dan perlu tahu, bahawa sebagai rakyat sebuah negara bernama Malaysia, saya sesungguhnya tidak pernah menyokong dan memberi restu terhadap apa sahaja kesewenangan terhadap sesama manusia atau mendokong segala sikap bajakan, apalagi kalau itu datangnya dari pihak bernama kapitalis.

MARSLI N.O
September 9, 2009

Rabu, September 09, 2009

CALON PEMBANTU

SEKIAN lama bergentayangan di langit dan kemudian berumah pula di sana, semakin Santongo berasakan kesebokan merongrong hidup sehari-harinya. Kerana itu Santongo berasa dia perlukan tambahan beberapa pembantu.

Untuk itu, bersama pembantu peribadinya yang setia dan patuhnya tidak sedikit pun dia pertikaikan lagi, pada suatu pagi Santongo ke pasar manusia.

Bantu aku memilih calon yang sesuai. Begitu perintah Santongo kepada pembantu peribadinya sebaik tiba di pasar manusia. Sambil bercekak pinggang, kedua bola mata Santongo liar memperhatikan sosok demi sosok manusia yang terpampang di depan matanya.

Segera pembantunya memilih lima calon bertubuh sasa dan tegap. Tetapi begitu dibawa menghadap di hadapannya, Santongo segera menolak.

Pembantu peribadinya berasa hairan.

Carikan aku calon yang telinganya tuli dan mulutnya bisu. Begitu seterusnya perintah Santongo kepada pembantu peribadinya.

Dan pembantunya semakin berasa hairan.

Apalah yang bodoh dan bebal sangat engkau ini. Kalau kuambil mereka yang cerdik, tidak tuli dan terlalu bijak berkata-kata, pastilah mereka nanti akan mudah berbalik menjadi lawan dan menderhaka kepada aku pula.

Mendengar yang demikian, segeralah faham dan mengerti pembantu peribadi akan maksud kata sang tuannya, Santongo yang dulunya bergentayangan ke mana-mana di negeri langit dan kini telah berumah agam nun tinggi di angkasa itu.

September 3, 2009

Sabtu, September 05, 2009

APA PERLUNYA SEBUAH SAJAK?

(Cuplikan dari pengantar untuk kumpulan sajak Sinaganaga dan kawan-kawannya dengan beberapa tambahan dan pembetulan)

Oleh MARSLI N.O

UNTUK dan perlu apakah sebuah sajak ditulis, diterbitkan dan dibaca orang?

Memang jelas dan pasti. Tanpa menulis, menerbit dan membaca sajak, seorang anak manusia masih tetap tidak kebulur, pun tidak tiba-tiba menjadi papa atau semakin menjadi bodoh dan tolol melebihi lembu di kandang.

Tanpa sebuah sajak, seorang anak manusia masih tetap boleh hidup sebagaimana layaknya seorang yang bergelar manusia. Masih tetap boleh dan berhak untuk bersantai bersama keluarga, mengencani kekasih, melepaskan syahwatnya sendiri, menjadi politikus paling licik, menjadi ahli perniagaan paling lihai atau apa sahaja yang dingini serta untuk dan atas segala apa yang diniat dan kehendaknya sendiri.

Tanpa menulis, menerbit dan membaca sajak seorang anak manusia masih tetap bergelar seorang manusia dan kerana ini juga dirinya bukanlah seekor lembu, pedati atau kereta kebal.

Sebuah sajak tidak mengabsahkan apa-apa sebagai seorang manusia dan berpuluh atau malah ratus sengketa dan pembantaian yang berlangsung di segenap antero dan pelosok dunia menjadi bukti sahih lagi nyata, betapa sebuah sajak tidak menjanjikan apa-apa.

Apa lagi untuk sebuah dakyah sombong bahawa dengan sebuah atau seratus sajak yang diterbitkan dan kemudian dibaca oleh anak-anak manusia, akan membuat manusia yang membacanya menjadi lebih manusiawi, berhati kasihan dan bijaksana. Kerana sifat itulah konon didakyah maka perang dan sengketa tidak lagi akan berlanjut lama.

Semua itu hanyalah dalih dan dakyah keparat yang dengan sengaja dilaung ke sana dan ke mari oleh mereka yang berasa dirinya lebih mulia dan kadang-kadang berlagak seperti wali dan nabi, yang berasa dirinya telah mencapai maratabat demikian, hanya dan semata dengan menulis dan menerbitkan sejumlah sajak.

Zaman untuk semua keplasuan, hipokrasi seharusnya sudah lama berhenti. Tetapi itulah haram jadahnya menjadi dan hidup sebagai manusia kadang-kala. Segala kepahitan terpaksa ditelan dan kalau diludah ke langit, ludah itu akan kembali mengotorkan muka sendiri.

Jadi segala kepalsuan, hipokrasi dan ketidakadilan terpaksa ditelan dengan hati mengkal, sebal dan bertahan dengan sabar untuk meredamkan rasa marah yang menggelegak di dalam diri.

Untuk membujuk lara di hati dan mencari ikhtiar agar marah tidak bertukar dan menular menjadi barah yang mewabah yang akan perlahan dan berdikit memakan diri sendiri, kita mencarikan alternatif-alternatif untuk membujuk segala duka lara di hati sendiri.

Selain agama sebagai tuntutan dan kepercayaan kepada Yang Esa sebagai tunjang keimanan, manusia juga memerlukan alternatif lain bernama seni. Betapa pun seni bukanlah komoditi mengembongkan kantong khazanah negara atau menyendatkan perut yang dikosongkan oleh angin, namun senilah sebanyak dan sedikit yang menjadi pengubat duka dan lara jiwa manusia yang bernama jelata. Dengan senilah, agar sedikit dan seketika diringankan dari beban sengsara menanggung segala yang bergulat dan menggalaui perasaan dan jiwa dimanifestasikan dengan pelbagai bentuk serta genre.

Agar setidaknya, diri seketika terasa melayang terbang nun jauh ke alam firdausi, melupakan segala lara dan duka jiwa. Atau, jika tidak pun, terasa menyelam nun jauh ke dasar kenikmatan, menjadi fana di dalam asyik dan terpuas ghairahnya bagai baru lepas segala beban.

Bagi yang tidak mampu memanifestasikannya sendiri, keperluan terhadap seni sebagai suatu alternatif dikongsikan keharuan dan kehendaknya dengan orang lain yang telah dan mampu menghasilkan karya.

Ketika dan saat inilah sebuah sajak sebagai sebuah atau sebahagian dari cabang seni sastera berasa diperlukan. Dengan sajak, sebagai salah satu seni yang menjadi alternatif, seorang anak manusia menzahirkan segala yang bergolak di dalam perasaan dan segala yang sedang sangat menggalaui jiwa raganya.

Di sinilah sebuah sajak hadir menyatakan kedirian serta kewujudannya. Sajak telah menjadi ajang atau wadah. Dengan sajak, segala yang terkandung di dalam perasaan, hasrat, kehendak, niat dan keinginan dinyatakan secara terbuka.

Inilah waktunya sajak ditulis dan sekaligus diperalatkan menjadi kenderaan, menjadi abdi dan kadang-kala menjadi alat bantu untuk beronani memuaskan diri dan perasaan sendiri.

Sebagai kenderaan, sebuah sajak dinaiki penulis sajak untuk menghantar penyajaknya ke suatu destinasi. Sebagai abdi, sebuah sajak diperas dan dikerah memberikan seluruh yang boleh segala daya tenaganya untuk menzahirkan sebuah sajak. Sebagai alat bantu, sajak kadang menjadi kemaluan, menjadi jeli pelumas, dan kadang hanya menjadi bulu dan air mani yang berdikit meleleh selepas orgasme.

Namun seorang pengendara kenderaan perlu tahu setidaknya asas mengendarakan kenderaannya. Jika tidak, hasrat ke destinasi tidak tercapai dan kemalangan bisa terjadi.

Sebagai seorang tuan yang memiliki abdi, tuannya mestilah tahu bagaimana memacu semangat dan segala kekuatan yang ada di dalam diri sang abdi. Tanpa kepandaian ini, apa yang didapatkan dari seorang abdinya hanyalah sesuatu yang terlalu biasa, iseng dan tidak bererti.

Apa lagi demi untuk sebuah orgasme. Seorang pemacu nafsu yang tidak bijak mengendalikan ghairah nafsunya bisa tumpas sebelum tiba pada saat dan waktunya. Malah akan terasa lebih aib, kalau orgasme hanyalah suatu yang bersifat paramature – sesuatu yang dini.

Di lingkaran inilah seorang penulis sajak menjadi teruji. Keberhasilannya tidak semata-mata kerana panjang atau pendek sebuah sajak yang dituliskannya.

Malah tidak juga hanya kerana kata-kata besar, latar yang dengan sengaja dicatatkan dengan rasa sombong yang sedar, jargon-jargon, kata asing yang salah penempatan, atau keberaniannya untuk bervulgar atau tanpa silu dan secara terang-terangan menunjukkan bulu kemaluan, mempamerkan buah dadanya yang masih mengkal, atau merenjiskan kesan air mani selepas onaninya di kertas sebuah sajak.

Sebuah sajak tidak menjadi bererti hanya atau semata kerana itu. Sebuah sajak, apa pun bentuk dan pendekatannya tetaplah memiliki sifat fizikal dan wujudiahnya yang melayakkannya bergelar sajak. Jiwa, pergolakan, lukisan, gambaran yang dizahirkan melalui kata-kata menjadi bukti dan penentu hak hidupnya sebagai sebuah sajak.

Dengan katalah segala yang dizahirkan sebagai sajak menjadi medan uji. Segala kehebatan dan kelemahannya berdiri dan berlindung tidak lain hanyalah lewat kata demi kata yang diakui penulisnya sebagai sajak.

Kekuatannya memilih kata yang tepat, yang dapat menghantar makna dan perasaannya di dalam sajak, menjadi pengukur.

Kerana itulah, kita tidak demikian bergiming tatkala seseorang menyebutkan: “Anu, aku ingin kencing/ Dan jangan kaukaget/ Kalau aku meneteskan mani”. Yang bersalah adalah siapa yang menuliskan sajak dan bukan siapa yang memiliki anu, kerana kata yang dituliskannya sedikit pun tidak mampu menggugah dan mengajak kita pembacanya sejenak merenung. Kesalahan siapa yang menuliskannya tidak lain lantaran klise dan kebodohan penulis sajaknya untuk memilih dan menempatkan kata yang benar-benar memukau dan berjiwa.

Tetapi akan sedikit menjadi lain, walau tidak sampai terketar-ketar lantaran terlalu asyik dan ghairah, atau sehingga terpancut air seni ghairahnya jika yang dinyatakan adalah ini: “Anu, aku ingin kencing/ tetapi tolong/ Kalau di luar anumu/ Kutemui ular, kala dan biawak/ Tolongi kaubantah/ agar anuku tidak dipinta dan dipaksa menjadi saksi.”

Betapa pun berlugu, berkias, bersantai atau sekadar sekejap datang dan kemudian pergi, kata yang dipilih dan kemudiannya dibangunkan menjadi sebuah sajak mengundang kepelbagaian maksud dari keharfiahannya. Bererti sekaligus juga mampu menggugah rasa bebal di dalam batin sang penyajaknya sendiri agar berani menyatakan sikap dan pendiriannya mengenai persekitaran hidupnya yang semakin menjadi bobrok dan dimaharajai oleh kemunafikan. Jadi menulis sebuah sajak adalah suatu proses menyatakan sikap berani dan pendirian yang tidak mudah digoyahkan oleh sebarang bujukan dan kepalusan.

Atau dalam posisi dan waktu yang lain, menulis sajak adalah suatu upaya mempamerkan diri sendiri. Tiap kata yang dipilih dan ditera ke dalam diri sebuah sajak, adalah pantauan jiwa di dalam dan di luar diri. Jiwa yang bobrok, jiwa yang resah, jiwa yang masih mencari-cari arah dan tuju sajak dan dirinya sendiri. Tatkala inilah, ketika kata tidak dikendalikan dengan bijak, secara berhemah dan bijaksana, jelas terpamer jiawa dan peribadi sang penyair yang sama kehilangan arah dan tuju.

Kerana itulah tidak mustahil banyak sajak yang begitu dibaca dan cuba lebih dihayati, seperti menyesatkan kita selaku pembaca. Sebahagiannya terkesan ingin melagak-lagakkan sesuatu, namun apa yang ingin dan cuba dilagakkannya itu tidak jelas dan tidak fokus.

Di bawah suatu judul bernama sajak, imej demi imej bermunculan, tetapi berbaur dan menjadi tidak jelas imej apa yang sebenarnya ingin ditonjolkan. Di depan sebuah kolaj mengenai genital wanita, tiba-tiba dikacaukan oleh imej kucing dan kertas tisu, sehingga dengan begitu, hasrat menikmati kerahsian genital menjadi lebor dan hancur.

Atau dalam perspekif yang lain, terkesan ada pengakuan rasa kurang percaya diri tatkala diakui sendiri penulis sajaknya betapa puisinya asal jadi itu mungkin basa-basi sekadar coretan luahan isi hati. Lalu jika demikian, kenapa mesti dan perlu untuk mempamerkan diri yang cela sedangkan tujuan bersajak adalah untuk setidaknya antara lain memperoleh kembali kekuatan dan harga diri?

Selain dengan realis dan konvensi, sebuah sajak boleh juga dihantar dengan mimpi, igau dan dunia bawah sedar yang diungkapkan dengan medium surealisme. Namun, memediumkan sajak lewat dunia bawah sedar dan surealisme mempunyai duganya sendiri yang perlu ditangani dengan lihai. Dari lapis demi lapis realis yang disusur, lapis intinya itulah yang mampu memberikan cabaran dan tarikan.

Mengorangkan bulan yang meminta haknya lewat telefon memang boleh menjadi permulaan sajak yang agak menarik, begitu juga mendobrak konvensi judul yang lebih panjang dari isi. Tetapi jangan terleka dengan permainan kata sehingga logik puitisnya dimingirkan tatkala dikatakan betapa seorang yang ingin berlari memulainya dengan merangkak, sehingga akhirnya penyair menjadi sesat di dalam kata sajaknya sendiri, atau terasa betapa tidak sepadan isi yang mahu dinyatakan kerana hanyalah seputar soal geli dan hantu.

Tetapi inilah dunia orang muda di zaman baru yang semakin menggoda manusia untuk mengenepikan segala basa-basi, klise, buih dan renda. Dan memang tanpa sebarang metafora sebuah sajak tetap akan menjadi dan boleh bererti.

Memang pun sebuah sajak boleh menjadi dan berupa apa sahaja: tukul, pisau, seruling, sudu, garpu, atau pun sebuah kenderaan yang akan menghantar penyajaknya ke suatu destinasi kehendak serta hasratnya.

Tetapi jangan dilupa betapa ketika berbicara untuk diri sendiri dan orang lain, dalam kasus ini adalah lewat sebuah sajak, kejujuran dan ketulusan pengucapan itulah yang selalu dihargai. Dengan kejujuran dan ketulusan itulah, meski ada yang terasa agak pahit untuk ditelan dan diterima, namun setidaknya kita wajar sekejap bercermin darinya.

Sebagai penulis sajak, juga pembaca sajak, kita memang tidak selalu sempurna dan akan terus belajar berbenah diri.


Kamar Kreatif
21 Jun, 2009 (Ahad) - 18 Julai, 2009 (Sabtu)

Jumaat, September 04, 2009

BERHALA YANG RUNTUH

DIA yang sejak sekian tahun diberhalakan, tanpa dapat dihadang oleh dan dengan kuasa apa pun, menemui penentuannya juga. Tamatlah sudah riwayat sebuah berhala yang sejak sekian lama diberhalakan dengan segala sanjung, puji dan puja.

Puing dan debu yang bersisa kini sudah usai dibersihkan dan ruang itu kembali menjadi sunyi. Tiada apa yang bersisa dan meninggalkan bekas.

Berhala itu kini lenyap sudah bersama hari penentuannya. Walau dahulu segala sanjung, puji dan puja sentiasa berkumandang. Tetapi segalanya hanyalah sanjung, puji dan puja yang palsu.

Dan dia yang memilih dengan rela hatinya menjadi berhala serta diberhalakan itu sendiri terlalu asyik dan seronok dengan segala kepalsuan di sekeliling hidup dan dirinya. Segala kepalsuan yang tidak lain hanyalah debu, hanyalah angin.

Dan kini, setelah hari penentuan itu, sedikit pun tiada lagi meninggalkan kesan dan bekas.

Segalanya telah sirna.

September 2, 200

Khamis, September 03, 2009

OBAMA DI DALAM CERMIN


SETELAH memenangi pemilu dan sepakat dilantik oleh para anggota di dalam dewan permesyuaratan negara menjadi Presiden, Obama berfikir dia perlu berbuat sesuatu yang lain. Dengan cara begitu Obama berasa dia nantinya akan selalu terpandang dan dikenang sebagai seorang Presiden yang paling berkarismatik dan berwawasan paling jauh menjelang tahun 3020 nanti.

Mulai hari ini aku akan ke mana-mana bertemu jelata hanya dari dalam kotak yang sepenuhnya diperbuat dari kaca dan kaca itu mestilah yang kalis peluru. Begitu Obama yang Presiden menuturkan perintah kepada pembantu peribadinya.

Hanya dari dalam kotak kaca itulah aku akan berhubung dengan sekalian jelata dan perhubungan itu akan dibantu dengan peralatan bernama internet. Jadi dengan begitu, bererti hubungan aku dengan jelata sebagai seorang Presiden tidak perlu lagi hubungan secara langsung kerana saban waktu dan ketika mereka boleh menghubungi aku lewat peralatan bernama internet itu.

Begitu Obama melanjutkan kata tatkala melihat mulut pembantu peribadinya luas ternganga dan kedua bola matanya lama tidak berkedip.

Ogos 28, 2009

Rabu, September 02, 2009

MENJADI TULI

SUDAH sejak beberapa bulan Santongo berasa ada yang tidak kena dengan pendengarannya. Dan sekarang gangguan itu kian dia rasakan. Sudah beberapa kali dia bertamu dan mendapatkan rawatan di klinik pakar mengenai pendengaran, namun gangguan itu tidak juga sirna.

Aku khuatir kalau nanti menjadi tuli. Begitu bisik Santongo di telinga isterinya pada suatu pagi yang dingin.

Tetapi aku fikir lebih baik begitu demi untuk masa depan kariermu sendiri. Jawab isteri tanpa berselindung.

Santongo terperanggah dan berasa terhina. Wajah isteri ditatap beberapa detik lamanya.

Bukankah kau seorang politikus? Kembali isteri mengajukan tanya.

Mendengar tanya itu, marah yang mula berdebur di dada kembali mereda dan sebuah senyum beribu erti tersungging di bibir Santongo.

September 1, 2009.

Selasa, September 01, 2009

BERCINTA DI DALAM KOTAK

MARILAH kita bercinta malam ini. Begitu Yokyan mengajak kekasih yang sudah sebulan tidak digerandunginya. Kekasihnya mengangguk tetapi wajahnya menunjukkan riak khuatir dan ragu.

Kautakut kita nanti tertangkap basah? Yokyan yang memang dapat menduga khuatir yang merongrong perasaan kekasihnya mengajukan tanya. Kekasihnya menjawab dengan anggukan.

Dari beg sandangnya Yokyan mengeluarkan sebuah kotak berukuran 52 kali 52 mm.

Jom kita masuk dan bercinta di dalam kotak ini. Di dalamnya selamat. Tiada siapa yang akan tahu dan kita tidak akan tertangkap basah. Kata Yokyan sambil merapikan letak kotak itu di atas bangku batu di pinggir dataran itu.

Yakin dan percaya dengan kata bujukan Yokyan, kekasihnya segera mengecilkan diri dan masuk ke dalam kotak berukuran 52 kali 52 mm itu. Yokyan pun turut sama mengecilkan dirinya dan masuk ke dalam kotak itu.

Di dalam kotak kecil itu, Yokyan dan kekasihnya yang sudah mengecilkan diri masing-masing bercinta sepuas hati mereka.

Bukankah kita bebas dan merdeka di dalam kotak kecil ini? Tanya Yokyan ketika nafasnya kian termengah-mengah.

Dan kekasihnya menjawab hanya dengan erangan: m-e-r-d-e-k-a.

Ogos 30, 2009