MEMANGLAH seronok ketika mula membaca kandungan khidmat pesanan ringkas itu.
Apa tidaknya, diminta bantuan oleh seorang besar di sebuah institusi untuk menuliskan sebuah sajak yang konon-konon ditulis oleh seorang yang bakal bergelar pemimpin besar mengenai diri bapanya sendiri. Maksudnya, walau saya yang menulis sajak itu, tetapi nama yang dikedepankan adalah nama siapa yang bakal bergelar pemimpin besar itu.
Wow, hebat itu. Dapat menulis konon-kononnya atas nama atau bagi pihak seorang yang bergelar dan tersohor. Bukan semua penyair boleh dapat peluang sebegini.
Namun rasa seronok dalam hati saya itu hanya seketika sahaja. Akal waras dan rasa malu di dalam diri saya masih kuat dan inilah yang menghalang saya segera menghentikan rasa seronok tersebut.
Malu yang saya maksudkan di sini ialah malu untuk berpura-pura seolah-olah saya yang menuliskan sajak itu konon-konon adalah seseorang yang dimaksudkan itu, walhal secara jujurnya apalah sangat yang saya tahu segala apa yang ada di dalam hati dan fikiran seseorang yang demikian?
Memanglah saya pun memiliki rasa bahagia, bangga dan seronok yang sendiri jika berbapakan seorang yang begitu hebat dan terkenang di dalam sejarah. Tetapi saya tidak memiliki itu. Saya berasa seronok, bangga dan bahagia memilik bapa dan bapa saya adalah seorang manusia yang biasa-biasa sahaja. Jadi mana mungkin untuk saya dapat mengkonon-konon begitu sahaja ketika menulis sajak yang dimaksudkan itu nanti.
Tidakkah menolak tawaran itu bererti saya menolak peluang untuk mendapatkan bayaran yang agak lumayan dari institusi berkenaan dan juga sekaligus peluang untuk saya dapat berbaik-baik dengan seorang yang bakal bergelar pemimpin besar? Begitu terjengah tanya itu di benak.
Namun diam-diam di dalam hati saya memujuk dan belajar mewaraskan diri sendiri. Apalah sangat erti dan makna sejumlah bayaran jika untuk mendapatkannya saya mesti berbohong dengan menuliskan sesuatu yang memang pun tidak sepenuhnya saya alami sendiri dan ketahui.
Apa lagi sebuah kesempatan untuk berbaik-baik dengan seseorang yang bakal menjadi tokoh besar. Bagi saya biarlah saya yang pipit ini tetap berbaik dan berkawan dengan sesama pipit sahaja. Walau pun pipit saya ini belumlah tentu memang seorang pipit, namun tidak mengapa tidak dapat berbaik dan mendekat-dekatkan diri dengan mana-mana tokoh tersohor. Cukup dan lebih bahagia rasanya jika lingkungan saya dalah sesama pipit dan tidak enggang.
Memang pun sebagai seorang penyair saya memang boleh mempergunakan daya imaginasi saya untuk membayang-bayang, mereka-reka, atau mengandai-andaikan, namun kalau benar sekali pun, saya lebih rela membayangkan sesuatu yang lain dari itu, sesuatu yang tiada kena mengena dengan mana-mana tokoh atau orang tersohor.
Saya lebih rela menulis sebuah karya yang mungkin bagi banyak orang hanyalah sebuah karya yang biasa-biasa atau sekadar apa adanya sahaja. Asalkan sesuatu yang saya tulis itu memang sesuatu yang datang dari kesedaran hati nurani saya sendiri untuk menuliskannya.
Kerana itulah, kepada pihak yang mengirimkan khidmat pesanan ringkas itu, saya beritahu berterus-terang saya menolak tawaran istimewa itu dan meminta maaf kerana saya tidak pandai berbohong.
Saya harap apa yang saya beritahu itu dapat diterima baik dan dengan hati terbuka oleh pihak yang berkenaan. Saya harap sangat, apa yang saya nyatakan itu tidak akan sampai boleh membuat sesiapa tersinggung.
Tetapi, kalau andaikan terjadi juga kerana penolakan saya itu, saya misalnya akan dianggap sombong atau tidak sedarkan diri, tidak kuasalah saya hendak berkata apa-apa.
Bagi pihak diri saya, saya sudah menyatakannya. Apa yang selebihnya itu saya rasa sudah bukan urusan saya lagi.
Walau pun sekali waktu terbetik juga di dalam fikir betapa sedikit dan sebanyak, cara ajakan dan tawaran itu sebenarnya dapat juga dijadikan petunjuk bagaimana sebahagian pihak menilai dan menanggapi kedirian seorang penyair.
Tetapi oleh kerana saya sudah menetapkan bahawa urusan saya selesai sudah begitu saya menyatakan betapa saya tidak pandai berbohong kepada yang berkenaan, maka apa yang terbetik di dalam fikir itu tidaklah ingin berlamaan saya kenangkan.
April 29, 2009