SAYA tidak mahu katakan itu salah sesiapa. Malah ada waktunya saya fikir dan rasa, yang salah sebenarnya adalah saya kerana begitu mudah tergiur dan cepat menerima. Kalau saya tidak begitu, tentu tidak terjadi dan saya pun tidaklah sampai begitu sekali berasa malu dan terhina.
Kerana memilih untuk meletakkan salah itu kepada diri sendiri jugalah maka saya mendiamkan diri agak terlalu lama. Walau di dalam hati terasa membengkak dan seringkali melara, namun semua itu cuba saya minggirkan jauh-jauh dari fikiran, seolah semua itu tidak terjadi. Dengan harapan agar ianya tidak sampai ke tahap menjadi gangguan yang berterusan.
Tetapi kawan-kawan yang tahu penglibatan saya sering bertanya akan kesudahannya bila setiap kali berjumpa. Demi untuk tidak sampai ke tahap menghina sesiapa, walau pun sebelum ini hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya, saya hanya senyum dan memilih untuk tidak berkata apa-apa sebagai jawapannya.
Walau beberapa kawan ini cuba mengorek-ngorek dan memancing-mancing agar saya bercerita apa yang sebenarnya berlaku berhubung penglibatan saya itu, namun saya masih bertegas untuk tidak bercerita apa pun mengenainya.
Kata saya kepada diri biarlah segalanya saya tahu dan simpan sendiri di dalam hati. Walau ketika mula-mula menjauhkan diri dahulu saya pernah diberitahu oleh seseorang agar jangan bercerita apa-apa mengenainya, namun pilihan saya untuk mendiamkan diri itu bukanlah kerana suruhan sesiapa.
Kata orang tua-tua, asal kapas menjadi benang, dari benang menjadi kain. Untuk apa perkara yang lepas di kenang-kenang, biarlah menjadi silam yang lain. Rasa malu dan terhina itu biarlah saya seorang yang menanggungnya. Kerana memang mungkin juga kebodohan saya yang terlalu mudah percaya itu maka menyebabkan saya terkena. Biarlah ini menjadi pengajaran.
Begitulah adanya. Selama beberapa tahun saya memilih diam dan menyimpan sendiri segala kisah dan apa yang dirasa di dalam hati.
Tetapi sebagai manusia yang dianugerahi Tuhan rasa dan fikir untuk menilai serta menimbang segala sesuatu, pastilah juga saya dapat merasakan bila tibanya suatu saat yang saya rasakan lain dan berbeza.
Begitulah. Selepas beberapa tahun memilih sikap diam dan tidak mahu bercerita apa-apa, beberapa teman yang tahu mengenai penglibatan saya akhir-akhir ini bila setiap kali bertemu, saya kesani cara dan gaya bertanya mereka mengisyaratkan seolah-olah yang menjadi punca adalah saya. Malah seorang yang lain pula, nada bertanyanya seolah-olah mendesak saya bahawa kerana sikap saya yang agak menipu itulah sebenarnya yang menjadi punca keretakan.
Mujurlah usia yang semakin menua menjadikan saya semakin dapat menahan sabar dan tidak mudah lagi untuk memberikan kembali sebarang reaksi yang sampai boleh saya dilabelkan sebagai pongah dan kurang beradab.
Kepada diri saya membujuk sendiri. Apa yang terjadi hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Biarlah apa pun fitnah dan umpat di belakang, saya pasrah dan tahu kepada Dia hanya tempat saya berserah.
Sebagai manusia biasa, saya sedar dan insaf. Dibandingkan dengan mereka yang lebih berduit, nilai wang sebanyak beberapa ratus itu tidaklah memberi erti apa-apa kepada mereka. Apalah sangat erti dan nilainya.
Tetapi bagi saya, walau seratus, dua ratus atau empat ratus, nilai itu adalah besar bagi saya. Dengan wang sebanyak itu, saya boleh gunakan untuk melunaskan sebahagian bayaran ansuran kereta atau membeli buku atau membayar yuran sekolah anak-anak.
Tetapi saya tidak mengemis dan meminta-minta. Setelah selesai suatu acara yang saya kendalikan dari pagi hingga agak petang dan saya diminta nombor akaun bank, saya faham bahawa selalunya upah untuk kerja saya akan dimasukkan ke dalam akaun bank saya.
Itulah yang selalunya. Kalau tidak membayar upah secara tunai atau dengan cek, bayaran upah untuk saya dimasukkan ke dalam akaun bank yang saya berikan. Dan saya berikan itu pun kerana diminta.
Maka saya pun menerimalah upah yang dimasukkan ke dalam akaun bank yang sudah saya berikan. Dan memang saya mengharapkan bayaran upah itu kerana saya tidak pun diberitahu bahawa kerja yang saya sudah laksanakan itu tiada apa-apa upah atau hanyalah "amal jariah".
Kerana itu jugalah saya berasa sungguh terkejut, malu dan terhina pada waktu itu, ketika hanya saya dan seorang itu bersemuka dan saya diberitahu bahawa upah yang saya terima itu bukan dari duit syarikat tetapi wang dari kantong peribadi seseorang.
Tidak cukup dengan itu. Saya ditempelak pula betapa baru bercakap sedikit sudah meminta upah.
Ya, Allah. Terhenyak dan terkedu saya. Kalaulah waktu itu saya punya wang sebanyak yang telah saya terima tempoh hari, ketika itu juga saya membayar ganti wang upah yang telah saya terima itu.
Tetapi sebagai manusia yang selalu berjalan ke mana-mana hanya dengan ongkos secukup pergi dan balik serta sedikit minum dan makan, mustahil saya dapat membayar ganti ketika itu.
Hanya, diam-diam dan di dalam hati sendiri, saya memendam rasa malu serta terhina.
Tanpa kata, saya bisikkan kepada diri sendiri: alangkah hinanya aku di mata orang lain yang berasakan dirinya lebih berduit.
Biarlah. Saya serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Mengetahui.
Biarlah apa tanggapan orang, namun yang menanggung rasa malu dan terhina adalah saya.
Saya bukannya hendak berkira dan berlagak sangat. Kalau benar hendak menyuruh saya beramal jariah katakanlah berterus terang dari awal. Ataua kalau mahu saya kembalikan apa yang telah saya terima kerana memang tiada peruntukan untuk itu, andai disebutkan secara berterus terang dan tidak sampai ke tahap menghina, saya akan usahakan untuk membayarnya kembali walau hanya mampu secara beransur-ansur.
Tetapi, kalau dengan kata-kata yang sebegitu rupa, saya tidak ingin menghakimi apa-apa.
Hanya, ketika mendengar ungkapan itu, Tuhan sahaja yang tahu betapa rasa malu dan terhinanya saya.
Tidak tahulah kalau bagi orang lain kata-kata sebegitu tidak membawa maksud apa-apa.
April 27, 2010