Isnin, April 26, 2010

SAYA SUDAH TIDAK PEDULI


SAYA hanya tersenyum dan itu pun tidak lama dan panjang.

Kalau tidak silap ingatan, ini bukanlah kali pertama atau kedua seseorang memberitahu hal yang sama kepada saya.

Walau tidak saya percaya dan terima sepenuhnya apa yang diberitahu atau dikhabarkan itu, namun saya fikir setidaknya saya perlu juga mengambil sikap  sadar diri dan hati-hati.  Dengan begitu, saya harap saya akan menjadi manusia yang selalu tahu bila waktunya hendak datang dan bila pula waktu sepatutnya  pergi.

Mungkin apa yang sebenarnya tidaklah sedemikian dimaksudkan.  Apa yang sebenarnya mungkin hanyalah seinci tetapi telah dipanjang-panjangkan menjadi sedepa.

Tetapi kalau pun benar apa yang dikhabarkan seseorang itu kepada saya  sekalipun,  saya sebenarnya sudah tidak ingin lagi mengambil peduli. 

Namanya sudah mulut manusia. Kalau tempayan sekalipun tidak dapat hendak sentiasa ditutup mulutnya, inikan pula mulut  milik manusia yang lain.


KEPARAT

Jadi, sesiapa sahaja yang berasa dirinya sudah tidak ada kerja lain selain kerjanya hendak menyusah dan mengkhianati orang lain, teruskanlah kerja-kerja "kebaikan" anda itu.

Mungkin dia fikir kuasa yang dia pegang itu hak milik yang sejak azali diturunkan kepada dirinya, sebab itulah agaknya lagak dan lakunya mengalahkan maharaja: kalau tidak mahu menjilat dan mengangguk maka nahaslah akibatnya diri kau.

Tetapi siapa peduli? Kalau saya macam papa pun tidak mengapa.  Yang penting, saya tidak menjual  jiwa saya kepada sesiapa. Apa lagi untuk mengaku tunduk kerana secuil habuan kepada manusia keparat seperti dia.

Saya hendak bahagiakah atau tidak apa kisahnya.  Saya bodohkah atau tolol pun apa hendak dikisahkan.  Pokoknya saya tidak sudi bersekongkol dengan dia.


Segala perbuatan anda tidak pernah  menjadikan sebab untuk saya bersedih dan berduka lara.

Dan kalau niat anda sebenarnya memang hendak menimbunkan laba, tidak perlulah bercakap dan berkoar atas nama Pejuang.


April 26, 2010

Tiada ulasan: