Memaparkan catatan dengan label Reaksi 2012. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Reaksi 2012. Papar semua catatan
Sabtu, Disember 22, 2012
PUISI, TOLONGLAH
SIAPA sahaja berhak tulis puisi, baca puisi dan isytihar diri dia secara langsung atau tidak langsung sebagai penyair atau pembaca puisi.
Tetapi, tolonglah. Janganlah peralatkan puisi dan jadikan dia seperti pelacur haram jadah yang boleh kau setubuhi sesuka hati demi untuk memuaskan nafsu menghina dan mengeji orang lain. Atau untuk kau bermegah-megah konon dirimu sudah jadi penyair dengan hanya menulis sebuah atau beberapa buah puisi dan membaca puisi yang macam haram jadah juga.
Aku kena cakap ini juga kerana aku sudah terlalu berasa mual, jemu, letih dan bosan melihat orang terus-terusan memperalat dan menjadikan puisi tidak ubah macam pelacur haram jadah yang boleh sesuka hati dirogol dan dikencani demi memuaskan nafsunya konon ingin sama bergelar penyair.
Tolonglah. Tidak salah kalau kau hendak tampil ke pentas membaca puisi. Tidak semestinya untuk tampil kau pun kena mesti menulis puisi juga kalau kau memang tidak boleh menulis puisi yang baik. Tetapi pinjam dan bacalah mana-mana puisi yang sudah sedia ada dan yang sudah menjadi yang ditulis oleh mereka yang memang benar-benar hidup dan matinya menulis puisi.
Sekali lagi kataku, tolonglah dan janganlah bodohkan dirimu dengan hanya percaya dengan cakap dan segala pujian para pengampumu yang selalu memuji dan mengiyakan apa sahaja yang kautulis dan cakapkan, konon itulah puisi yang benar-benar puisi.
Tolonglah. Aku berasa kasihan juga melihat kau memperbodohkan dirimu sendiri dengan menulis dan membaca sesuatu yang kau katakan sebagai puisi tetapi hakikatnya hanyalah tahi.
Tolonglah. Tolonglah.
Disember 21, 2012
Rabu, Disember 19, 2012
GENG
KETIKA zaman muda-muda dahulu saya pernah bergeng. Bila bersama bukan main rasa megah dan gagah.
Seolah kalau di depan ada gajah seekor pun sanggup di rempuh begitu sahaja.
Itu bila bersama geng. Kalau sendirian lain pula perasaan.
Rasanya menikus lebih daripada seekor tikus. Takut, gelisah, malu, segan dan tidak tentu arah berasa.
Kerana itu akhirnya saya mengajar diri untuk tidak berharap
dan bergantung dengan geng. Hidup mati biar sendiri. Dan kalau ada yang bergeng
menunjuk lagak hendak bergaduh ketika itu, saya
selalu mencabar mereka dengan berkata kalau benar dia anak jantan dan punya
batu pelir marilah bergaduh satu lawan satu sampai salah seorang membaham
tanah.
Memang pun tidak pernah terjadi pergaduhan sampai ke tahap
itu. Kerana kebiasaannya, mereka yang bergeng ini pengecutnya mengalahkan
beruang yang tidak punya alat kemaluan.
Ketika saya semakin menjadi tua, saya melihat di dalam
sastera dan seni pun perangai dan budaya bergeng ini wujud juga.
Ke mana-mana mesti dengan geng, bercakap hanya sesama geng,
makan dan minum hanya sesama geng, bergelak
ketawa bersama geng dan berjalan pun hanya dalam kelompok sesame geng.
Itu mereka punya sukalah. Hendak bergeng atau tidak siapa patut larang.
Yang menentukan sebuah karya sastera atau hasil seni yang
dihasilkan seseorang itu bagus atau tidak, bukanlah kerana dia bergeng atau
tidak. Atau kerana dia tampil ke pentas dengan geng-gengnya. Itu langsung tiada
kena mengena.
Malah kalau hendak tengok dan tahu sejauh mana hebat dia
sebagai seorang individu seniman, letaklah dia sendirian, tengok apa hasilnya.
Kalau setakat berasa hebat hanya semata-mata kerana datang atau
tampil secara bergeng, buat apa.
Apa lagi kalau berseorang tanpa geng dia berubah
menjadi seekor tikus mondok yang hanya
duduk diam di sudut-sudut dan tidak berani atau mahu bertegor sapa dengan orang
lain yang bukan gengnya.
Memang hampaslah jawabnya.
Disember 19, 2012
Sabtu, November 17, 2012
SYOK
TIADA apa yang perlu digaduh dan memberatkan fikiran. Kesombongan-kesombongan yang dipamerkan orang dengan pongahnya atau cara lain yang lebih lembut dan tersembunyi, tidak memberi kesan dan makna apa-apa. Selagi diri masih diberikan kudrat dan tenaga oleh Allah Subhanahuwataalla, berusahalah untuk menghidupkan diri sendiri dan usahakan juga jangan sampai menjadi pengemis serta penjual maruah dan harga diri.
Maruah dan harga diri? Terserah melihatnya dari sudut mana. Yang penting tidak menyusah dan mengganggu orang lain. Tunggang atau terbalik sendiri.
Itu semua syok-syok sahaja. Yang lain-lain, pergi mampus sahajalah.
Cakap berdegar-degar, atau berkhutbah menunjukkan betapa baik dan berhemah diri sendiri. Tetapi di belakang, sembunyi-sembunyi baling batu dan tahi. Mengumpat mengata pun serupa juga. Atau siap beri amaran konon jangan sebut dan cerita apa-apa pasal dia.
Hah. Suka hatilah aku hendak tulis apa pun. Yang kau tiba-tiba terasa dan terkena, apa hal pula?
Itu semu syok-syok sahaja. Yang lain-lain, mampuslah.
November 16, 2012
Isnin, November 12, 2012
TEMPAT
SERING juga sesuatu yang dikunjungi dan dihadiri, ingatan terhadapnya tidak ingin disimpan lama di dalam ingatan. Terutamanya kerana mual dan sebal mengenangkan. Kerana itu tidak dirasa perlu disimpan menjadi kenangan.
Misalkan, pengerusi acara yang ghairah berulasan dan ingin juga menyampaikan ceramahnya hampir menyamai panjang ceramah beberapa tokoh sebelumnya. Atau pembentang mengulang lagi berkali-kali apa yang sudah jelas tertera di kertas yang sudah sedia di tangan pendengar.
Memang manusia suka bercakap untuk menunjukkan betapa bijaknya dia dan memperagakan.
Memang sialan dan rasa sia-sia juga datang ratusan kilometer hanya untuk mendengar leteran orang yang berasa dirinya terlalu bijak dan terlalu banyak tahu.
Sekali lagi: sialan!
November 12, 2012
Rabu, November 07, 2012
KESOMBONGAN
KESOMBONGAN itu datang dan hadir dalam pelbagai bentuk. Diperagakan oleh mereka yang berasa dirinya terlalu layak dan hebat untuk menyombong-nyombongkan diri atau segala sesuatu yang berkaitan dengan dirinya.
Kini saya juga ingin menunjukkan kesombongan saya sendiri dan dengan cara saya sendiri. Di hadapan mereka yang terlalu banyak tahu atau berlagak terlalu tahu, atau mereka yang berasa dirinya hebat dan terlalu hebat, lalu menunjuk-nunjukkan kehebatannya yang tidak seberapa itu, saya akan menunjukkan kesombongan saya dengan cara berlagak bodoh dan tidak melihat apa-apa.
Itulah kesombongan terbaru saya yang akan saya tunjukkan kepada para penyombong itu. Berbahagialah kalian dengan segala kesombongan kalian.
November 7, 2012
TERBUKA
BOHONGLAH kalau tidak tersentuh dan terasa bila mendengar khabar itu. Tetapi sudah lama saya mengajar diri untuk tidak terlalu lama mengenang dan mengingatinya. Soal apa yang disebut orang mengenai diri saya bukan baru kali ini saya dengar disampaikan oleh mereka yang akhirnya bertemu dan melihat langsung bagaimana saya bercakap dan menyatakan fikiran secara terbuka.
Tentu bila diberitahu akan tetap terasa. Namun hanya sekadar itu. Mengangguk dan menyatakan bahawa saya memang tahu dan dapat mengagak. Tetapi tidak ingin melanjutkan lebih lama. Cukuplah sekdar di situ.
Kerana saya tahu dan sedar, untuk apa memberikan kebahagian kepada orang lain yang tanpa rasa belas sanggup memijak hati dan perasaan lain semata-mata untuk mendapatkan sesuatu buat dirinya? Untuk apa memusnahkan diri sendiri semata-mata tidak sudah memikirkan segala hasad dan perbuatan orang lain terhadap diri?
Saya tahu, andai saya dimasukkan ke pusat rawatan pesakit jiwa, misalnya, kerana tiada sanggup lagi menahan goncangan kejiwaan kerana memikirkan segala kata hina dan kejian orang terhadap diri saya, tiada siapa pun yang akan meratap atau menaruhkan simpatinya terhadap diri saya. Malah yang akan bertepok ria dan suka tentulah ada.
Kerana itulah saya memilih untuk melawan dengan cara saya sendiri dan mencari pencerahan ke tempat yang lebih azali.
Kenyataannya, manusia adalah makhluk yang sulit untuk sepenuhnya diberikan percaya. Kerana itu saya kembali kepada Sang Pencipta, mengadu dan meminta pertolongannya.
Dan hari ini, saya sepenuhnya yakin dan sedar, andai dahulu saya memilih hanya meratap dan menangis di depan pintu-pintu yang selalunya bisa saya masuki tetapi tiba-tiba telah ditutup oleh beberapa oknum yang berasa dirinya punya kuasa dan hak untuk berbuat sewenangnya terhadap orang lain, pastilah saya sudah tidak lagi berada di sini.
Dan saya malah semakin tidak peduli dengan segala kata hina serta keji itu.
Kerana saya tahu, bukan mereka yang menghidup atau mematikan saya. Begitu juga dengan rezeki. Juga bukan mereka yang menjadi penentu.
Mereka tentu sahaja tetap boleh mendabikkan dada ke mana-mana dan memperagakan segala kelebihan yang kononnya mereka miliki. Biarkanlah. Kerana manusia, bila sudah hilang rasa malu dan maruah diri, sanggup mengaku tahu buat segala perkara yang sebenarnya mereka tidak tahu di depan orang atau khalayak yang juga memang tidak tahu.
Saya tidak mahu ambil peduli kalau memang itu pilihan mereka.
Terus-terang, saya kini terlalu sebok dan hanya ingin mengurus soal diri saya sendiri.
November 7, 2012
Rabu, Oktober 31, 2012
KEBONGKAKAN
MEMANG pun ketika menulis yang difikirkan adalah diriku sendiri. Jadi kerana itu saya tidak berasa sangat terkejut kalau ada orang lain yang mungkin berasa dirinya maksum, betul semua, tahu semua, menghenyak dan mengkritik karya atau pendapat orang lain.
Manusia yang tidak sadar diri memang selalu berasa dirinya baik, hebat dan betul. Berselindung atas nama gelar dan topeng akademik.
Peduli apa itu semua. Asalkan mendatangkan untung kepada diri, tidak mengapa bersahabat dan berbaik-baik dengan monyet yang datangnya bukan hendak menambah baikkan tetapi hendak menambahkan rosak serta binasa seni dan sasteranya.
Memang pun perlukan pendokong dan penampung. Menulis berbagai rupa karya kalau tiada yang membaca, mendokong, memuji dan mementaskannya menjadi lakon, apalah maknanya.
Kerana itu diperlukan penyokong dan pendokong, yang perlu dipelihara serta sentiasa dibuat baik. Walau yang mendokong itu, buku sebiji jarang dibaca dalam setahun, atau karyanya entah di mana dan bagaimana.
Kecuali hanyalah kelebihan dia menjilat-jilat serta membodek-bodek siapa dan pihak mana yang dirasakan boleh kembali memberikan dia untung dan laba.
Dan manusia beginilah yang sangat disukai dan digemari bagi sesiapa yang memerlukan penyokong serta pendokong.
Oktober 31, 2012
Selasa, Oktober 30, 2012
SADAR
KERANA datang dari keluarga merempat dan berbapakan orang Jawa yang keturunannya dianggap keturunan bangsat, semasa kecil saya selalu mawas diri dan belajar untuk tidak terlalu mudah terasa kalau menyedari diri saya sedang tidak disenangi ketika berziarah ke rumah jiran-jiran sekampung, mahupun ke rumah saudara mara.
Sehinggalah semakin mendewasa dan kian menjadi tua, kerana sudah sejak kecil mengasuh diri agar sentiasa peka dan cepat mengesani, saya memang cepat dapat merasakan bagaimana dan di manakah kedudukan saya di mata mereka pada sesuatu ketika: kawan-kawan mahupun kenalan.
Bohonglah kalau berkata sedikit pun tidak tersentuh atau terasa. Tetapi perasaan itu biasanya tidak saya biarkan terlalu lama merongrong perasaan sendiri. Saya selalunya akan memujuk diri, berkata atau berbisik sendiri di dalam hati: aku tidak hidup atau mati kerana sesama manusia.
Kerana punya rasa sadar itulah saya lebih senang menyendiri dan bersunyi. Biarlah sensitiviti itu saya salurkan melalui karya. Walau betapa pun tidak begitu baik dan hebat di mata penilaian orang lain, tidak mengapa.
Yang penting, saya tetap ingin terus menulis secara diam-diam dan tidak ingin menyimpan perasaan bahawa saya lebih hebat ketimbang orang lain.
Akhirnya, lahir atau tidak karya saya, bukan kerana sindir perli, umpat fitnah yang dilontar orang lain kepada diri saya.
Yang menentukan apakah saya akan menulis terus atau tidak adalah diri sendiri. Saya tidak akan benarkan sesiapa mengambil atau merampasnya daripada saya.
Betapapun saya hanyalah seorang penulis yang hanya apa adanya. Tanpa gelar sarjana mahupun Dr.
Oktober 30, 2012
Selasa, Oktober 16, 2012
MENYAMPAH
LAGI banyak benda dan perkara dalam dunia ini yang boleh membuatkan awak rasa mual, menyampah dan hendak muntah bila membaca apa yang mereka tulis.
Contohnya membaca tulisan tuan empunya sebuah blog yang bercerita buku dia terbit lagi tahun ini walau isinya entah apa-apa dan mungkin tiada siapa sudi hendak baca dan beli.
Atau membaca kisah pemilik blog yang dengan nada sombongnya bercerita bagaimana tahun ini dia boleh menang lagi hadiah.
Atau kalau tidak pun, kisah dia melancong dan menghadiri seminar ini itu di luar negara.
Atau mungkin yang paling memualkan dan menyampah sekali, bila membaca kisah bagaimana tahun ini dia tidak dapat naik pentas mengambil hadiah kerana hendak beranak lagi.
Ah, itu semua cerita dalam kain yang tidak perlu pun diceritakan berlebih-lebihan di dalam blog milik sendiri.
Sebab itulah awak kena berhati-hati dan tidak perlu terlalu banyak merayau dan mencari dan akhirnya terbaca juga benda-benda yang boleh membuatkan awak datang rasa mual, menyampah dan hendak muntah begitu.
Bukankah lebih baik masa berharga milik awak itu awak gunakan untuk membaca buku-buku yang penulisnya tidak menulis dengan gaya dan nada bahawa hanya dia sahaja yang tahu dan orang lain semuanya bodoh.
Atau lebih baik awak diam-diam di dalam kamar menulis dan menulis apa sahaja benda dan perkara yang awak rasa hendak tulis, asalkan jangan sampai menimbulkan kesan serta nada bahawa awak seratus peratus pun sama seperti orang lain yang awak tidak suka kerana perbuatan angkuh mereka itu juga.
Menyampah.
Oktober 15, 2012
Isnin, Oktober 15, 2012
KEJAYAAN
SEKALI lagi. Kita hanya mendapat setelah apa yang kita usahakan dengan tekun dan ikhlas. Kerana, seniman sewajarnya lebih banyak memberi daripada terlalu banyak meminta.
Oktober 14, 2012
Rabu, September 19, 2012
DAPAT
APA yang awak telah usaha dan berikan dengan jujur serta ikhlas sebelumnya, itulah yang akhirnya yang awak akan kembali dapat.
Tidak pedulilah apa yang orang lain buat dan telah lakukan dengan pelbagai cara terhadap diri anda. Bertahan dan percayalah. Bahawa yang memberikan awak rezeki atau sesuatu, bukan siapa mereka yang berlagak seolah dialah yang maha berkuasa. Bukan mereka atau sesiapa yang bernama sesama manusia seperti diri awak. Bukan.
Jadi, teruslah berjalan, teruslah berusaha, teruslah berkarya dan kalau perlu berlari, berlarilah sekuat hatimu dengan seni dan sasteramu.
Tanpa perlu terlalu ambil peduli segala apa yang selain itu, yang dengan sengaja didatang serta diperlakukan oleh orang lain yang hendak memayahkan perjalananmu.
Selagi awak tetap tabah dan tidak patah semangat sehingga memilih mundur, percayalah, awak akhirnya pasti akan berjaya.
Tetapi kalau awak sendiri memilih untuk tidak mahu percaya dan berasa dengan memilih tunduk serta mundur itu lebih membahagiakan awak, itu bukan masalah saya. Pilihlah. Itu hidup awak, bukan hidup saya. Pilihlah apa yang awak suka dan inginkan. Pilihlah. Suka hati awaklah.
September 19, 2012
Khamis, September 06, 2012
TIADA
TIADA apa lagi yang ditakuti setelah percaya dan meyakini betapa hidup dan matimu hanya ditentukan Allah. Demikian juga segala kritik dan puji tidak akan mudah melemah dan mencairkan segala yakinmu.
Biarkan mereka atau sesiapa galak memuji sesamanya. Kerana, pastilah baghal lebih suka berkawan sesama baghalnya agar tidak dilihat betapa baghal dirinya oleh kelompok lain.
Dan aku?
Memilih untuk terus begini dengan yakin dan jalan pilihku sendiri. Dengan sedar mengakui sendiri segala kebodohan dan kekurangan dirinya.
Aku memilih diam dan sendiri bukan untuk dipijak atau kepala maruahku dikencing serta dinajisi.
Biarkanlah mereka terus bersandiwara dengan kopiah, songkok dan pelbagai gelar.
Kerana akhirnya nanti akan ketahuan juga betapa hina dan palsu segalanya itu.
September 6, 2012
Jumaat, Julai 27, 2012
BIARLAH
BIAR apa pun saya hanya ingin tetap menjadi diri saya begini. Hidup, berfikir dan menulis, seadanya. Saya tidak peduli kalau tidak dianggap yang hebat-hebat atau dianggap tidak mampu melahirkan sesuatu yang sampai mampu mendorong para pemuji dan pemuja mengacungkan tinggi jempolnya.
Anda boleh sahaja menjatuhkan apa sahaja hukum dan penilaian anda sendiri terhadap saya. Itu tidak apa-apa dan tidak sangat mengganggu hidup saya. Sebabnya? Saya yakin dan percaya, segala rezeki, apa lagi hidup dan mati saya, bukan ditentukan oleh anda atau siapa sahaja yang bernama manusia. Hukumlah, nilailah. Hidup saya akan tetap begini-begini juga. Saya tidak takutkan sesama manusia, tetapi Dia, yang maha menentukan segala soal hidup mati serta rezeki saya.
Katakan apa sahaja. Itu hak anda. Saya tidak akan berlamaan memikirkannya. Apa lagi untuk terlalu bersedih hati sehinggakan menjadikan diri saya senewen sendiri.
Biarlah. Gunakanlah segala kuasa yang anda ada itu: menilai, menentu, mengesah atau meluluskan. Itu hak anda. Gunakanlah semahu dan sekehendak anda.
Tetapi ingat ini.
Kalau saya meminta, bukan bermakna saya mengemis. Saya meminta hanya sesuatu yang memang hak saya sama ada atas nama sebagai rakyat, warga atau seniman.
Terserah anda. Anda punya segala kuasa. Gunakanlah sekehendak mahu dan hati anda.
Jangan lupa.
Keangkuhan anda itu, akhirnya, walau dilindungkan dengan pelbagai nama dan gelar yang muluk dan indah, pasti nanti akhirnya, akan memakan diri anda sendiri kembali.
Dan saya memang tidak meminta anda percaya.
Sebabnya? Saya sudah terlalu lama benci melihat segala lakon dan sandiwara kewalian anda. Berlakonlah, bersandiwaralah terus. Teruskanlah.
Julai 27, 2012
Rabu, Julai 25, 2012
MAMPUSLAH
SAYA sudah lama menolak dengan tegas. Tidak berasa rugi dan tidak berasa perlu membuang waktu kerananya. Mampuslah dengan segala lakon serta sandiwara kewalianmu. Mampuslah.
Julai 25, 2012
Khamis, Julai 19, 2012
ANDA PEMBACA, ANDA MENENTUKAN
ADAKAH sesiapa yang memaksa anda untuk membaca dan memilih bahan bacaan? Tentu tidak, bukan? Jadi kenapa berasa rusuh dan gelisah bila disentuh soal membaca.
Saya tidak fikir anda terlalu bodoh dan ingn digurui-gurui apa yang patut dan perlu anda baca. Saya tidak fikir begitu, dan andai saya dipinta berbuat begitu terhadap anda, menggurui anda mengenai apa yang patut dan perlu anda baca, maaf, saya tidak akan berbuat demikian.
Pendirian saya jelas. Tugas penulis adalah menulis dan tugas pembaca adalah membaca. Tiada paksaan. Jadi, pilihlah apa yang dirasakan sesuai dengan selera serta keinginan sendiri. Tanpa perlu mencekcokkan apa yang anda akan faham atau apa yang tidak. Itu urusan anda selaku pembaca secara peribadi.
Jadilah manusia yang tahu menghormati dirinya sendiri. Tetapi kalau anda memang memilih untuk menjadi pembaca yang bodoh, jangan salahkan saya.
Apa lagi meminta saya menggururi.
Julai 19, 2012
Jumaat, Jun 08, 2012
APA MASALAH SEBENARNYA?
SAYA penyair dan penulis. Begitu
saya perkenalkan diri kepada kawan-kawan yang saya temui ketika menghadiri
beberapa kali pertemuan sastera di luar negara. Malah dengan perasaan yang “bangga”,
penyair dan penulis itu jugalah yang
saya catatkan sebagai pengenalan diri di
dalam kad nama saya, yang saya berikan kepada mereka dan sejumlah teman rapat
serta mereka yang lain yang berkepentingan serta berurusan di dunia ini, sama ada di luar negara atau di negara
sendiri.
Saya tidak terfikir atau berasa dengan mengaku dan memperkenalkan
diri saya sebagai penyair dan penulis sekaligus, maka itu akan menyusahkan mereka, pakar-pakar
sastera, sarjana atau pengkaji sastera tertentu untuk melabelkan saya dengan label apa:
Apakah novelis, penyair atau cerpenis.
Saya sedar saya menulis hampir di
semua genre sastera dan yang sudah disiarkan atau diterbitkan: Puisi, cerpen, novel, rencana, naskhah teater,
naskhah sitcom. Kecuali setakat ini yang belum lagi tersiar adalah naskhah
untuk filem dan drama radio.
Saya tidak ingin terlalu ambil peduli dengan label itu dan malah tidak pernah
berasa betapa tanpa label apa pun secara jelas maka itu akan menghalang
semangat saya untuk terus menulis.
Prinsip saya mudah sahaja. Tidak
perlu labelkan seseorang sebagai apa. Yang penting nilai dan bicarakanlah
karyanya. Jadi tidak perlulah misalnya mengatakan betapa kerana menulis dalam
banyak genre maka seseorang itu berhadapan dengan masalah untuk diletakkan dirinya
di kategori mana dan apa. Apa lagi untuk mengatakan betapa kerana itu karyanya
tidak berbobot dan kurang nilai seninya. Apa masalah sebenarnya?
Tetapi itulah yang saya pernah
baca apa yang ditulis sebahagiannya
mengenai diri saya. Kerana menulis dalam
banyak genre itulah maka saya kononnya menghadapi sesuatu masalah sebagai
penyair atau cerpenis.
Tentu sahajalah tatkala membaca
dan kemudiannya merenung kembali tulisan kajian itu saya berasa dan beranggapan betapakah bodohnya tanggapan yang sedemikian oleh seorang yang tentunya pastilah lebih bijak dan cerdik berbanding
manusia biasa yang tidak bersekolah tinggi seperti saya ini.
Kenapa mesti dipermasalahkan soal label. Sekali lagi. Apa masalah sebenarnya?
Pokok pangkalnya adalah apa yang sudah saya tulis itu. Bicarakanlah itu kalau mahu. Kalau misalnya ada waktunya karya tertentu dari genre tertentu yang saya tulis itu dikesani lemah dan kurang bermutu, kelemahan itu adalah berpunca dari sikap kurang teliti dan kurangnya kontemplasi saya sebelum menulis sesuatu karya pada suatu waktu yang tertentu dan bukannya kerana saya tidak pasti mahu dilabelkan sebagai apa.
Pokok pangkalnya adalah apa yang sudah saya tulis itu. Bicarakanlah itu kalau mahu. Kalau misalnya ada waktunya karya tertentu dari genre tertentu yang saya tulis itu dikesani lemah dan kurang bermutu, kelemahan itu adalah berpunca dari sikap kurang teliti dan kurangnya kontemplasi saya sebelum menulis sesuatu karya pada suatu waktu yang tertentu dan bukannya kerana saya tidak pasti mahu dilabelkan sebagai apa.
Secara peribadi pun saya tidak
minta dan mengharapkan pujian terhadap kehadiran diri dan karya saya. Apa yang
sangat saya harapkan hanyalah semoga apa yang saya tulis dibaca, dihayati dan
dirasai khalayak pembaca, sama ada pembaca yang biasa mahupun pengkaji dan
penilai.
Akhirnya, saya akan tetap menulis
juga apa yang saya berasa hendak dan suka. Apa yang hendak dicakap serta
dilabelkan kepada diri saya, walau pun sedikit dan sekejap akan membuat saya
luka, tetapi itu tidak pernah mematikan semangat saya yang sentiasa membara
untuk bangkit dan melawan dengan cara saya sendiri.
Saya tidak fikir buat diri saya,
gelaran itu sangat penting. Tidak. Saya hanya ingin menjadi seadanya sahaja dan
segala pujian yang melangit itu berikanlah kepada sesiapa sahaja yang lain yang
terlalu mengidamkannya.
Berikanlah itu kepada mereka.
Berikanlah itu kepada mereka.
Jun 8, 2012
Rabu, Mei 02, 2012
PILIHAN
SASTERA semakin diperalat menjadi alat untuk menghalalkan kebejatan dan kebodohan demi kebodohan. Berlindunglah atas nama puisi, jadikanlah ia topeng untuk si munafik yang meludahi sasteranya sendiri. Atas nama sastera sajak demi sajak ditulis untuk memuji dan memuja para berhala. Ruang majalah dan akhbar menjadi medan pameran. Atas nama khlayak dan popular sastera dipaksa menjadi kambing, lembu, badak sumbu atau kerbau. Sasterawan dan seniman sejati dicaci cerca dengan dalih hanya bersyok di dunianya sendiri. Atau si gila yang tidak pernah puas dengan onani kata dan bahasa. Anjing yang menyalak atau pengampu yang menjilat dihormat dengan nobat.
April 2, 2012
Khamis, April 19, 2012
PENILAI MANUSKRIP
SAYA tidak punya kebolehan
membaca dan menduga dengan tepat apa yang ada di dalam otak dan perasaan orang
lain. Apa lagi untuk membaca dan menduga apa yang ada di dalam otak dan
perasaan seorang yang menjadi penilai ketika menilai sebuah manuskrip.
Tetapi, berdasarkan
beberapa peristiwa benar yang mengena dan saya alami sendiri, saya rasa
saya dapat memberikan sedikit gambaran mengenai mereka secara sepihak. Walau
pun saya tidak ingin lekas memberikan label dan hukuman, tetapi apa yang sudah
dan pernah saya alami, memberikan saya suatu gambaran mengenai mereka.
Tetapi, sekali lagi tetapi,
kerana saya sudah sejak dahulu tahu dan sedar bahawa jalan yang saya pilih ini
adalah jalan yang sulit mendapat restu, saya tidak berasa terlalu kecewa andai
karya saya ditolak, tidak mahu diterima dan sebaginya lagi.
Sebabnya mudah sahaja. Memilih untuk menjadi pelawan yang selalu
ingin melawan pada setiap ketika di dunia sastera dan seni tanah air yang
semakin hari semakin diramai manusia yang tanpa segan dan silu mengaku dirinya
sasterawan atau seniman segala tahu, yang sanggup menjadi penjilat para
aparat dan birokrat di menara kantor
pengurusan sastera, seni dan budaya, demi peluang serta projek, memanglah
pilihan yang jelas tidak mendapat restu serta penuh dengan risiko.
Apa lagi tatkala di menara kantor
sedemikian para aparat dan birokratnya adalah manusia yang berasa dirinya lebih
muda, lebih terpelajar dan terlalu banyak tahu, walaupun tidak pernah membaca
sejarah, merupakan sejenis makhluk bernama manusia yang tidak boleh menerima
pendapat orang lain, apa lagi tegoran, pastilah yang mahu dikawani mereka hanya
para penjilat dan pengampunya yang sedemikian sahaja.
Kerana menyedari hakikat dan
pilihan seni yang sebeginilah maka saya tidak sangat berasa kecewa bila
diberikan keputusan: karya anda ditolak dengan sebab dan alasan yang begini dan
begini.
Malah bertambah saya tidak begitu
berasa sedih dan kecewa bila apa yang dikatakan sebagai laporan penilai yang
menjadi sebab dan alasan penolakan sebuah manuskrip saya itu saya baca dan
renungkan lama-lama.
Sebagai orang yang menulis dan
mengirimkan sebuah manuskrip, saya tidak fikir jika tidak diminta secara jelas,
adalah menjadi suatu tanggungjawab saya
pula untuk memperjelaskan serta menyatakan kenapa dan mengapa saya menulis dan menyatakan sesuatu secara
demikian, supaya siapa yang menilai manuskrip saya itu tahu dan faham.
Hujah saya mudah sahaja. Bukankah
sesiapa yang mahu menjadi penilai dia perlu cukup punya persiapan untuk tahu
mengenai sesuatu yang ingin dinilainya? Andai yang mahu dia nilai adalah sebuah
manuskrip cerpen, sebagai contohnya, tentulah tidak memadai dia hanya tahu dan
pernah membaca hanya cerpen-cerpen yang pernah terbit di sini tetapi juga
bersedia untuk mengetahui bahawa selain apa yang sedia diketahuinya, masih ada
yang perlu dia tahu dan ambil tahu.
Atau kalau tidak pun, ketika
membuat penilaian, penilaiannya tidak semata berdasarkan apa yang dia suka dan
minat sahaja, tetapi membukakan juga dirinya untuk bentul, gaya, aliran yang
lain, yang memang pun tidak dia minati.
Soalnya, adakah kita punya
seorang penilai yang mahu berbuat demikian, bertanya dan berbincang dengan
penulis, membaca karya-karya lain di luar lingkup kesukaannya dan bersedia
menerima apa sahaja yang selain daripada kegemaran serta kesukaannya itu?
Saya mungkin bias ketika
membicarakan isu ini. Tetapi betapa pun demikian, saya tetap meyakini adalah
mustahil bagi seorang yang sudah bertahunan menulis serta berkarya masih tidak
punya sikap dan pegangannya sendiri dalam berkarya.
Yang menjadi soal di sini adalah
sikap tertutup penilai yang membuat penilaian hanya berdasarkan apa yang
disukai dan bukan apa yang patut digalak serta dikembangkan. Misalnya, tidak semestinya semua pengarang, jika mahu
membuat pembaharuan di dalam karya mesti meniru gaya Marquez, Haruki Murukami,
atau kalau puisinya pula dengan gaya T.Seliot, Neruda, Sutardji.
Hakikatnya, di samping sejumlah
nama yang telah disebut sekilas, sebagai contoh di atas, ruang untuk melakukan
penerokaan dan inovasi terbuka dengan pelbagai kemungkinan.
Saya tetap percaya dan yakin
sebuah karya yang pernah ditolak sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka jika
kembali dinilai oleh seorang penilai yang lebih bersikap terbuka dan lebih tahu
mengenai bidangnya.
Pengalaman yang pernah saya alami
sendiri membuktikan ini. Hanya kerana kononnya meninggalkan sebaris ayat,
sebuah manuskrip karya kanak-kanak saya ditolak. Tetapi bila jatuh ke tangan
penilai yang lain, hanya kata “tidak sesuai diterbitkan” sahaja yang ditukar
kepada “sesuai untuk diterbitkan”, maka terbitlah kemudian karya tersebut.
Malah untuk beberapa manuskrip
yang lain, peristiwa dan kejadiannya hampir sedemikian juga. Bila manuskrip
jatuh ke tangan penilai yang lain, yang lebih terbuka dan bersedia, ianya
diterbitkan tanpa menimbulkan sebarang wabah dan malapetaka kepada sesiapa pun
di kemudian hari.
Menjadi penilai bukan semudah
menuliskan abjad dan huruf. Saya fikir, seorang penilai harus tahu diri dan
punya rasa malu yang tebal. Misalnya, apakah layak seorang yang bergelar
penilai andai sebuah manuskrip koleksi surat-surat yang ditujukan kepada
kawan-kawan secara imaginer dikatakannya sebuah novel?
Atau, layakkah anda bergelar
penilai jka hanya tahu membebel mengenai kesalahan ejaan yang tidak pun sampai
10 % di dalam manuskrip dan menghukumnya sebagai sebuah karya yang bahasanya
meleret-leret?
Eloklah anda pergi sekolah
semula.
April 19, 2012
Isnin, April 09, 2012
TAHU
TATKALA semakin kita memaklumi di mana tahu dan bodohnya diri sendiri, kita tidak akan menjadi terlalu peduli dan takutkan segala henyak serta kritik lagi.
Pada akhirnya, kepercayaan dan keyakinan diri sendiri adalah sumber tempat berpijak sebuah diri sebagai peribadi yang utuh.
Keberanian untuk mengakui kebodohan dan kelemahan diri sendiri akan menjauhkan segala sikap sombong dan leka untuk terus belajar di dalam diri.
Kebodohan adalah cermin untuk terus belajar membaiki diri. Tetapi keberanian untuk mengakuinya secara berterus-terang mengatasi segala keberanian yang ada.
April 9, 2012
Jumaat, April 06, 2012
PENGHORMATAN
SETIAP kita yang pernah berasa dirinya termakan budi pastilah ingin kembali membalas hutang budinya itu dengan cara yang sewajarnya. Atau kalau tidak pun, dengan cara memberikan perhormatan yang dikira-kira wajar terhadap siapa yang pernah memberikan budinya itu. Ketika demikianlah kita kadang terlupa segala lakon dan laku perbuatannya yang licik dan jijik sebelum ini.
Memang budi boleh selalu membuatkan mata kita menjadi buta untuk melihat dan mengakui segala kenyataan yang sebenar. Dosa dan lakonnya seolah membius kita agar menjadi lupa dengan sengaja. Ketika bahasa kita dipesenda-senda. Atau lagaknya yang tiba-tiba sepertikan wira pembela siapa yang tertindas serta teraniaya.
Rasa berhutang memang selalu membuat diri berasa serba salah dan diasak dilema . Sehingga memberikan penghormatan terhadap siapa yang tidak sepatutnya diberikan.
April 6, 2012
Langgan:
Catatan (Atom)
