Khamis, April 30, 2026

50 TAHUN

DENGAN sombong dan lagaknya, pegawai itu berkata, "Kita perlukan surat kebenaran menerbitkan semula. Undang-undang hakcipta mewajibkan tempoh 50 tahun."

Malas bertekak dan melayan kesombongan orang. Aku memilih untuk pergi dan meninggalkan. Tidak mengapalah jika tidak mereka terbitkan. Aku tidak ingin mengemis dan jika mereka berkata itu adalah peraturan yang telah ditetapkan, tidak mengapa. Aku akan ikhtiarkan dengan cara yang lain.

Akhirnya, kerana Allah SWT sentiasa memurahkan rezeki untuk diriku, aku akhirnya menerbitkannya dengan modalku sendiri. 

Sungguh. Sejak awal remaja usiaku, aku berasa mual amat berdepan dengan sikap sombong dan berlagak manusia yang berasakan hanya dirinya sahaja yang tahu dan pandai. Lebih-lebih lagi, kerana dia seorang pegawai maka dia merasakan semua kata dan arahan dia mesti dipatuhi.

Langsung tiada rasa ingin berbudi bicara atau mengusahakan sesuatu yang memenangkan kedua belah pihak. Setidak-tidaknya.

Yang dia tahu hanya: "Saya pegawai. Semua kena ikut!"

Sedangkan undang-undang hakcipta ciptaan manusia. Bukan kitab suci. Boleh dirundingkan dan diselesaikan secara elok sebagai sifatnya sesama manusia yang bertamadun.

Kerana itulah aku amat menghormati jika ada seseorang manusia yang sanggup mendengar rintihan penulis marhaen dan menetapkan tempoh hak di dalam perjanjian hakcipta dengan institusi atau badan penerbitan seliaan beliau kepada 2, 3 atau 5 tahun sahaja.

Itulah antara tanda-tandanya seorang yang berakal bijaksana dan tidak menyombongkan dirinya.

Selasa, 27.1.2026
 

Ahad, April 05, 2026

2 - 7 DISEMBER 2010: KE KOREA SELATAN


MENGENANGKAN sebagai kawan, tengahari itu, kerana sudah lama tidak singgah dan berbual dengannya, saya menjengah kawan pegawai ini di pejabatnya.
 
Saya memaklumkan malam ini penerbangan kami ke satu acara sastera di Korea Selatan.
 
"Eh, mereka tak maklum pun ke kita," kata kawan pegawai ini. Menyatakan terkilan kerana  pemergian kami ke sana itu di luar pengetahuan dia dan tidak melalui jabatan beliau.
 
"Tentu sahaja kalau melalui sini bukan saya yang akan ke sana," spontan saya menjawab dan berterus-terang. Tanpa niat hendak menyindir atau menunjuk sombong.
 
Ya. Saya memang tahu dan sudah diberitahu. Yang mencalonkan saya ke sana adalah Pak Maman S.Mahayana, seorang tokoh akademik dan peneliti sastera terkenal Indonesia. Beliau ketika itu seorang tenaga pengajar di sebuah universiti di sana.
 
Jika bukan kerana jasa dan kebaikan tokoh akademik sastera kawakan Indonesia ini, saya tidak akan ke Korea Selatan.
 
Lalu seperti biasa. Saya pergi diam-diam dan pulang pun diam-diam.
 
Kembali ke rumah dan ke dalam diri selepas acara selama seminggu itu, saya hanya menulis dan terus berkarya; juga diam-diam.
 
Kerana saya sedar dan tahu siapa diri saya. Hanya seorang penulis yang seadanya sahaja dan hanya ingin menjadi dirinya sendiri.
 
- BUKU Marsli N.O 
Ahad, 18.1.2026