Khamis, April 30, 2026

50 TAHUN

DENGAN sombong dan lagaknya, pegawai itu berkata, "Kita perlukan surat kebenaran menerbitkan semula. Undang-undang hakcipta mewajibkan tempoh 50 tahun."

Malas bertekak dan melayan kesombongan orang. Aku memilih untuk pergi dan meninggalkan. Tidak mengapalah jika tidak mereka terbitkan. Aku tidak ingin mengemis dan jika mereka berkata itu adalah peraturan yang telah ditetapkan, tidak mengapa. Aku akan ikhtiarkan dengan cara yang lain.

Akhirnya, kerana Allah SWT sentiasa memurahkan rezeki untuk diriku, aku akhirnya menerbitkannya dengan modalku sendiri. 

Sungguh. Sejak awal remaja usiaku, aku berasa mual amat berdepan dengan sikap sombong dan berlagak manusia yang berasakan hanya dirinya sahaja yang tahu dan pandai. Lebih-lebih lagi, kerana dia seorang pegawai maka dia merasakan semua kata dan arahan dia mesti dipatuhi.

Langsung tiada rasa ingin berbudi bicara atau mengusahakan sesuatu yang memenangkan kedua belah pihak. Setidak-tidaknya.

Yang dia tahu hanya: "Saya pegawai. Semua kena ikut!"

Sedangkan undang-undang hakcipta ciptaan manusia. Bukan kitab suci. Boleh dirundingkan dan diselesaikan secara elok sebagai sifatnya sesama manusia yang bertamadun.

Kerana itulah aku amat menghormati jika ada seseorang manusia yang sanggup mendengar rintihan penulis marhaen dan menetapkan tempoh hak di dalam perjanjian hakcipta dengan institusi atau badan penerbitan seliaan beliau kepada 2, 3 atau 5 tahun sahaja.

Itulah antara tanda-tandanya seorang yang berakal bijaksana dan tidak menyombongkan dirinya.

Selasa, 27.1.2026
 

Tiada ulasan: