Memaparkan catatan dengan label 2017: Autobiografi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2017: Autobiografi. Papar semua catatan
Sabtu, Februari 03, 2018
CUPLIKAN DARI MASA SUDAH: SAYA HANYA INGIN TERUS MENULIS
Coretan Oleh MARSLI N.O
SEINGAT saya, sudah terlalu lama rasanya saya tidak berfikir atau terfikir mengenai perbuatan tidak adil terhadap mana-mana individu sasterawan yang kerananya telah menyebabkan dirinya tidak mendapat sesuatu yang sepatutnya dia dapat: pengakuan, peluang dan ruang. Yang kerananya juga, dia seperti dilupakan dan tidak dipedulikan. Khususnya oleh pihak pusat atau sesuatu institusi yang sepatutnya memperhatikan kehadiran dirinya sebagai seorang sasterawan.
Soalnya bukan kerana saya berasa keadilan itu tidak perlu dalam dunia sastera. Malah bagi saya sebagai individu, keadilan itu bagi saya sangat perlu. Tetapi kerana saya memasuki dunia ini dengan sikap untuk lebih mempercayai diri sendiri dan tidak ingin terlalu bergantung kepada orang lain, maka saya sejak mula memasuki dunia ini telah menanamkan tekad untuk tidak terlalu berharap dan kerana itu juga, andai diri saya memang telah diperlakukan tidak adil oleh mana-mana pihak, saya tidak akan atau ingin bersedih kerananya.
Demikian jugalah hari ini ketika saya membaca perbincangan beberapa orang kawan yang turut terpapar di tembok muka buku saya. Saya tahu dan malah dapat merasakan kegelisahan mereka ketika bercerita mengenai ketidakadilan itu, yang menurut mereka betapa sasterawan di luar lingkungan Kuala Lumpur sering tidak diperaku serta seperti tidak dipedulikan kehadirannya: karya mereka tidak dibicarakan dan penganugerahan selalu menyisih daripada mereka.
Saya sedar dan tahu kebenaran dakwaan mereka itu mungkin ada dan berlaku. Namun saya tidak ingin lebih lanjut berfikir mengenainya. Apa yang mereka rungutkan itu adalah hak mereka dan saya tidak ingin sama terlibat.
Buat saya, kerana sudah sejak mula memilih untuk bersendiri dan mempertahankan semangat untuk sentiasa mandiri, saya tidak mahu memberatkan kepala dan mengusutkan jiwa berfikir mengenainya.
Andai pun benar ada dan berlaku, saya akan tetap begini juga. Menulis dan terus menulis. Diperlakukan adil atau tidak, saya juga sudah sejak mula bersedia untuk datang dan pergi sendirian, tanpa mengharapkan apa-apa pujian atau pengakuan daripada sesiapa pun.
Buat saya, tenaga dan ilham yang diberikan Allah SWT kepada saya, agar dapat terus menerus menulis itu sudah lebih memadai daripada segala pengakuan, penobatan atau pujian apa pun.
Dan andai kerana pilihan ini saya dianggap sombong dan berlagak, tidak mengapalah.
Andai pun benar, saya memang ditolak dari lingkungan mereka di pusat itu, itu pun saya tidak berasa hairan atau perlu bersedih hati dan diri. Kerana, di negeri dan daerah saya sendiri pun, kalau pun tidak ditolak dan disisihkan, saya pun memang memilih untuk terus bersendiri dan menyendiri.
Jadi saya memang tidak pernah berasa terkilan, sedih dan terkejut, andai benar saya memang mereka tolak dan sisihkan!
Januari 17, 2015
Ahad, Disember 24, 2017
KERANA EJEKMU, AKU TEKADKAN CITA MENJADI PENULIS
Sebuah Nostalgia MARSLI N.O
SEBAGAI anak yang sudah kematian bapa, apa lagi kerana keturunannya Jawa dan
bukan Melayu Terengganu, serta menumpang kasih seorang nenek yang sudah tua dan
ibu pula tidak punya sumber pendapatan yang tetap, hidup masa kecil saya sangat
sulit.
Kerana kesulitan hidup itu saya ke sekolah dengan baju dan seluar lusuh
tidak berganti serta mengalaskan kaki dengan kasut sekolah yang sudah separuh haus
tapaknya.
Untuk menjimatkan belanja membeli buku tulis pula, saya mengoyak baki
halaman buku tulis lama yang masih belum digunakan dan ditampal ke dalam buku
tulis sedia ada. Kerananya, suatu pagi, bila guru besar sekolah saya yang
bijaksana masuk ke dalam kelas saya memeriksa buku tulis murid, saya telah
diherdik dan ditampar di pipi kiri kerana "kesalahan" itu. Sehingga
hari ini, saya masih terasa bagaikan kelmaren sakit tamparan di pipi ini!
Hobi menampal dan mengkitar guna semula baki halaman buku tulis yang masih
belum digunakan juga telah mendorong saya menuliskan apa yang saya terfikir dan
rahsiakan di dalam perasaan ke kertas.
Saya tidak tahu dan tidak pasti apa yang saya tulis ketika itu apakah
cerpen, sajak atau novel. Yang penting saya berasa ingin menulis meluahkan
sesuatu ke kertas. Saya menulis dan menulis. Setelah selesai, saya
menuliskannya, saya berasa satu perasaan puas dan senang di dalam hati. Kerana
itu jugalah saya terus menulis dan jika tidak selesai, saya sambung
menuliskannya ketika menunggu guru datang mengajar dan cepat-cepat menyimpannya
bila melihat cikgu muncul. Kadang-kala saya melihat cikgu, terutama seorang
cikgu bernama Mat Zain, menjeling tajam ke arah buku tulis lama di tangan saya
yang berisikan novel, sajak atau cerpen saya.
Sehinggalah pada suatu hari ketika subjek Bahasa Melayu dan karangan
diajarkan. Saya terkejut dan sungguh tidak menyangka bila cikgu Mat Zain dengan
gaya sambil menenyehkan telunjuk kanannya ke hidung dan menjeling ke arah saya
yang duduk di bangku paling depan, antara lain berkata, "Bukan macam budak
zaman sekarang, mengeja pun tidak berapa betul, tetapi ada cita-cita nak jadi
penulis!"
Tetapi mungkin kerana waktu itu saya hanya seorang murid di darjah 5 dan
berusia sekitar 11 tahun, kerana itu saya tidak berasa ingin marah dan mengamuk
atau kembali menghamun cikgu Mat Zain kerana kata sindirannya itu.
Tetapi yang jelas, kerana sindirannya itu, saya semakin tidak ambil peduli
dengan jelingannya bila setiap kali dia melihat saya khusyuk menulis cerpen,
sajak atau novel saya di buku tulis lama yang saya gabungkan baki halaman
kosongnya yang belum digunakan.
Malah kerana perangai degil dan sombong, saya semakin menunjuk-nunjukkan
hobi menulis saya itu di depan cikgu Mat Zain!
Hinggalah saya meninggalkan bangku sekolah rendah dan berpindah belajar di
sekolah menengah, saya sudah membuang cikgu Mat Zain dari ingatan saya, namun
kata sindirannya tetap tidak saya lupakan.
Tetapi suatu hari, ketika pulang berbasikal dari bandar Kuala Terengganu,
saya berehat berteduh di bawah pokok di tepi jalan, saya melihat cikgu Mat Zain
mengayuh basikal sport Ralieghnya. Saya tidak menegurnya tetapi di dalam hati
saya berasa kasihan bila melihat dia seorang cikgu sekolah rendah hanya
menunggang basikal dan tidak menunggang sebuah Vespa atau memandu kereta Moris
Minor.
Kerana miskin, saya tidak mampu meneruskan pelajaran menengah saya ke
tingkatan dua dan seterusnya. Saya memilih meninggalkan kampung halaman untuk
mencari nafkah hidup ke negeri Pahang. Semakin saya meningkat usia remaja dan
semakin dihimpit kesibukan mencari nafkah, nama cikgu Mat Zain semakin saya
lupakan.
Kini, sesudah berjarak 49 tahun dengan saat saya mendengar kata sindiran cikgu Mat Zain itu, saya masih tetap dan terus menulis. Bukan hanya itu, saya juga sudah menerbitkan belasan buku yang diterbitkan oleh beberapa penerbit bermaruah seperti DBP, Utusan dan ITBM.
Saya akui saya memang berasa marah dan diperlekeh oleh cikgu Mat Zain kerana
kata sindirannya itu. Tetapi kerana kata sindirannya itulah secara diam-diam
saya bertekad untuk membuktikan kepada cikgu Mat Zain betapa saya sebenarnya
bukan budak berhingus yang berlagak hendak jadi penulis tetapi saya sebenarnya
benar-benar memang seorang penulis!
Hari ini, ketika sedang menulis catatan ini dan selesai membaca kisah
seorang guru disiplin di Nilai yang diseret ke mahkamah kerana dedikasi
tugasnya sebagai seorang guru dan kemudian mahkamah telah membebaskannya, saya
kembali terkenangkan cikgu Mat Zain dan kata sindirannya.
Saya fikir, sebanyak sedikit, sindiran atau ejekan cikgu Mat Zain itu turut
telah membakar semangat dan sekaligus mencabar saya untuk tidak bermain-main
dengan hasrat dan cita-cita saya untuk berjaya sebagai penulis.
Malah tidak berlebihan rasanya kalau saya ucapkan: " Cikgu Mat Zain,
terima kasih kerana ejekkanmu. Hari ini aku memang seorang penulis!"
Disember 21, 2017
Langgan:
Catatan (Atom)