Memaparkan catatan dengan label Sajak 2011. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sajak 2011. Papar semua catatan

Khamis, Disember 01, 2011

MAHARAJA LAWAK (4)


Di sinilah pentas dan ruang “si palsu mencari makan” (1). Mengendarai akal muslihatnya dengan raga hanuman. Meratah atau meredah segala yang menghadang. Tanpa malu dan silu mengangakan mulutnya yang berbau di depan mikrofon. Berkoar demi meraih sokongan atas nama mempertahankan segala pertuanan.  Ketika lidahnya yang berkarat dan terbelah menyokong hujahnya yang bejat untuk setiap kata yang sudah dipintal dan maknanya dipusing terbalikkan.

Dan penonton diajak melambung sebiji bola kristal yang dipenuhi mimpi dan angan.  Di pentas dan ruang yang menyaksikan kejadian, dengan rasa mual yang tidak terucapkan

Disember 1, 2011

Nota kaki:
(1)  Ucapan Ridzuan Harun di status Fbnya bertarikh  1 Disember 2011.

Rabu, November 30, 2011

MAHARAJA LAWAK (3)


Inilah pentas baru dan lain kau buyarkan segala kantongan dari ususmu yang serakah dan akalmu yang terbelah. Dengan kata penuh lihai dan makna yang disunglap agar menjadi simsalabim, berkoar kau atas nama maruah dan bangsa. Benarkah kau mendahulukan mereka dan bukan kerusi milikmu? Aku selalu bertanya kepada angin yang sinis dan mengejek. Ketika kembali memadankan segala maksud dengan kebenaran yang dipermainkan oleh sewenang.  Atau semakin aku diperbodohkan dengan lawak yang lama tetapi diperbaharui hias dan kostiumnya. Di depan lampu yang lebih berkemilau  dan bintang yang berkerdipan di hari siang?

November 30, 2011

Selasa, November 22, 2011

MAHARAJA LAWAK (2)


Dia adalah monyet yang terlalu  berlebihkan gembira kerana mendapat barang mainan dan kostium baru. Pentas adalah dunia keduanya yang lebih dicintai melebihi segala yang  pernah dia cintai sepanjang hidupnya.  Kata dia ucap tanpa dibasuh dengan akal dan fikir. Kawan dan lawan adalah bahan dunia lawaknya yang tidak pernah susut. Malah berlebihan dibuka celana dan kuncinya jika muncul kisah  lain yang boleh mendatangkan lawak yang penuh dengan cerca.  Dia memang memilih menjadi pelawak dan merelakan akal cerdiknya bertukar menjadi segumpal kertas yang ringan dan kumal. Atau perasaan manusianya disunglap menjadi kehendak yang memberhalakan rasa serakah.

Atas nama lawak, segala dia halalkan. Demi gelar dan tawa khalayak yang selalu mencandui hiburan yang nipis dan kosong. Dan bangsanya yang terpaksa menjadi pendengar, merintih perlahan-lahan di dalam kebodohan yang dipaksa mereka menerima.

November 22, 2011.

Isnin, November 21, 2011

MAHARAJA LAWAK (1)


OTAKNYA yang kosong melemparkan kata-kata yang dijalin menjadi cerita.  Logiknya adalah tepok tangan pendengar atau penonton yang selalu dicandui oleh ketawa.  Dengan bohongnya dia memperalatkan peristiwa menjadi hiburan yang benar-benar ceria. Hatinya  yang kelabu dan akalnya  yang keliru dibasuh dengan air popular. Sebelum dirinya dilenyapkan menjadi badut atau monyet di pentas.

November 21, 2011

Sabtu, November 12, 2011

KEPADA ANGIN (1)

Walau jawaban hanyalah sepoi dan desir
aku akan tetap menyapamu, duhai angin
kerana rindu yang selalu kuredamkan
meminta kata untuk kulafazkan
dengan rawan yang terlalu diam.

November 12, 2011

Khamis, November 10, 2011

PEKANBARU (1)


DI NEGERIMU,  kulihat kembali negeriku
seperti melihat cermin lain
untuk mengerti makna yang lebih lain

ketika di negeriku
para babi dinobat menjadi pemuka
bercakap mengenai bahasa dengan auta
dan sandiwara.

Kamar 737, Hotel Labersa, Pekanbaru
Oktober 25, 2011

Rabu, November 09, 2011

SUNGAI DUKU (1) & (2)


1
KUPILIH bersunyi di buritan perahu
memaksa gelisahku ke dalam kenang
agar kembali menjadi masa lalu
dan tidak selalu mendera diriku

Di pecah ombak sungaimu yang bergetar
oleh laju jentera
terpercik cebisan air ke mukaku
tetapi basahnya tetap kubiarkan
mengalir perlahan ke dalam jiwaku
yang rawan.


2
DI SUNGAIMU yang keruh
kulihat bayang diriku
yang selalu sendiri dan termangu
mencari rindu dan kasihnya
agar tidak berlalu sia-sia
dipermainkan oleh makna.

Sungai Duku, Siak
26 Oktober 2011.

Isnin, November 07, 2011

YANG LAIN (Kepada Ali Mamiya)


TIADA untuk dilafazkan kepada angin
tetapi kau ingin mengisi gemawanku
di depan kelam itu

aku adalah bintang
walau sekejap bertakhta di hatimu

ya, seperti juga kau
tangisku tidak terhitung
sehingga malam itu

kerana hidup dan cinta
adalah yang lain
dari seluruh atau sebahagian.

Lapangan Balai Seni Idrus Tintin, Pekan Baru, Riau
Oktober 27, 2011

Sabtu, Oktober 29, 2011

SEBAHAGIAN (1)


Apa yang sedang kaufikirkan ketika bersendirian? 
Begitu tanyaku kepada langit yang hitam.
 
Walau hanya sebahagian, aku tetap ingin mengenang.

Walau tangismu tidak terhitung 
dan malam tidak berbintang.

Dataran Balai Seni Idrus Tintin, Pekanbaru
Oktober 27, 2011
 

Rabu, Oktober 26, 2011

SEBENTAR



Saya adalah diri yang berdiri di luar dengan kehendak.
Jangan Tuan dan Puan menjadi gelisah.

Sebentar.

Silakan memilih sesuai keinginan.

Ah, Diamlah.
 
Kamar 737, Hotel Labersa, Pekan Baru
Oktober 26, 2011

Jumaat, Julai 08, 2011

PENGGENGGAM BARA


Segala yang dia percaya
dibuktikan dengan tindak

kerana tidak ingin
menjadi bidak
mengakur segala kehendak

dia bukan penjilat
kerana hasrat
atau berkelit
kerana hati bejat

atas nama benar dan hakiki
dia berdiri

walau menggenggam
bara berapi

dia adalah lelaki berani

Julai 8, 2011

Khamis, Julai 07, 2011

MENGENANG: LELAKI BARA


Dia lelaki
bergelora dalam diamnya
menyimpan bara
dengan kata

tidak mengalah kepada usia

kerana percaya dan yakinnya
menyayangi bangsa
dia sanggup meredah lara

mengasap dupa
tegar jiwa

walau berjuta
keji dan cela
pemilik lidah pendua muka

Julai 1, 2011

Ahad, Mei 01, 2011

BELAJAR MELUPAKAN

Sajak MARSLI N.O


Dengan huruf dan ingatan
aku belajar melupakan

Walau tanpa menoleh
di jalan sudah kupilih

Kerana kutahu
dendam hanyalah
marah yang sekejap 
diredamkan

Tetapi akan membunuhku
dengan diam
dan perlahan

Kuantan
4 November 2010 

Sumber siaran: Berita Minggu, 1 Mei 2011

Rabu, April 06, 2011

MEMBUANG MALU

Sajak MARSLI N.O

inilah bangsa
yang mulai membuang
sopan dan malu
dengan akal serakah menderu
menjaja dakwa
tulen atau palsu
membujuk si bodoh dan keliru
mengangguk dan bersetuju
seperti lembu

April 6, 2011


Isnin, Mac 21, 2011

BAK AYAM

Sajak MARSLI N.O

Inilah bangsa
lakunya bak ayam
galak dan lantang
dengan kokok
mempamerkan jantan

tetapi  kerana alpa
sesama sendiri
saling berebut dan berkelahi
negeri berulang diludahi

oleh petualang
lidahnya nan bercabang
di muka senyumnya terpampang
tetapi di dalam
hatinya berjelaga hitam

Kuantan, 9 Januari 2011

Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 20 Mac 2011

Isnin, Februari 21, 2011

SELEBRITI (2)

Sajak MARSLI N.O

Impian yang menghidupkan selebriti kita menjadikan dirinya manusia sejuta mungkin.  Cintanya sering bertukar dan berganti seperti kasut atau pakaian. Di pentas peragaan, dilepaskan cantiknya yang palsu dari celah wajahnya yang terbelah dan di kamar sunyinya, dia  berkelahi dengan usia yang selalu mencemburuinya tanpa mengira waktu dan lokasi.

Sunyi yang selalu mengalir di pembuluh darahnya cuba ditawarkan dengan riuh yang selalu memabukkan. Dia mereguk dukanya yang  rakus dan tiada rasa belas. Jantungnya yang setiap detik mendegupkan lagu rindu menjadikan dadanya semakin menipis dan leper.

Populariti merubah dirinya menjadi boneka jinak. Tanpa soal, dia  menyerah kepada  siapa yang menawarkan harga paling tinggi dan mahal. Dengan mata terpejam dan kepala yang diletakkan di bawah, dia terbang mencari syorga demi syorga.

Jun 30, 2010 –  Julai 14,  2010

Sumber Siaran: Mingguan Malaysia, 20 Februari 2011