Memaparkan catatan dengan label Autobiografi Marsli N.O (2009). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Autobiografi Marsli N.O (2009). Papar semua catatan

Sabtu, November 07, 2009

KALAU BUKAN, APA LAGI?

KATAKAN semalam saya merintih sendiri kenangkan sesuatu yang sedih dan menghimpit perasaan. Katakanlah juga itu lantaran kenangkan diri yang tidak sudah dan henti dihenyak gunjing dan duga perbuatan makhluk lain yang sama bernama manusia namun di hatinya penuh hasad dan iri.

Tetapi Tuhan maha adil dan saksama. Saya diberikan ganjar lain juga.

Pada waktu sama, saya tahu dan sedar, saya masih punya sejumlah sahabat yang tetap sedia untuk membantu dan menolong, dengan pelbagai cara sama ada langsung mahupun tidak.

Misalkan, tanpa saya duga, seorang sahabat yang lama tidak bercakap di telefon, tiba-tiba muncul dan mengabarkan betapa dia tidak ingin ke mari untuk suatu acara dan meminta saya meneruskan bagi pihak dirinya.

Seorang teman yang lain pula, bersungguh menganjurkan suatu acara di daerahnya walau sebelum ini saya tidak pernah menyebut atau berbicara mengenainya ketika bersua dalam banyak percakapan kami sebelum ini.

Atau seorang teman di sebuah penerbitan yang lain. Selalu dan sudi mendengar, sehinggakan begitu, sering saya digunjing oleh makhluk yang kurang senang hati dan perasaanya melihat betapa akrabnya kami, kononnya sering merayu dan membentak-bentak meminta karyanya disiarkan orang.

Atau paling tidak pun, seorang yang tiba-tiba kembali menjelma ke dalam ingatan dengan pesan ringkasnya lewat angin, selepas sekian tahun menghilang.

Memang pun saya tidak terlalu sangat tersentuh oleh semua gunjing yang didengar sendiri atau yang disampaikan oleh angin.

Atau ketika tercenung sendiri memikirkan baki wang di tangan semakin menipis, Tuhan mendatangkan saya rezeki yang lain, yang sungguh tidak saya duga.

Ajakan berceramah, kiriman cek untuk sajak dan cerpen yang beberapa bulan dulu disiar, atau paling tidak ilham untuk menyemak baki simpanan di bank.

Memang di satu bahagian saya digunjing dan ditolak. Tetapi di bahagian lain ternyata tidak. Bagi pencari palsu, saya memang selalu dibenci dan dihindari kerana saya tidak pernah ingin bermain dengan sastera dan seni atau berkompromi untuk memberinya makna lain yang palsu dan bejat.

Biar apa pun, saya tetap tidak mahu berganjak dengan yakin yang sejak mula dan tidak mahu tunduk mengalah hanya kerana bertegas dengan prinsip, yang saya yakini sebagai benar.

Saya memang tidak akan berkompromi dengan pencuri dan pelacur yang berlagak atas nama seni, seniman atau sasterawan. Apa lagi untuk menjadi sebahagian mereka yang semakin menyunglap dirinya menjadi badut sarkas di pentas yang disediakan indah oleh tangan-tangan politik.

Biarlah apa dan bagaimana, saya tetap ingin begini juga. Tidak terlalu kaya dan yang penting, tidak perlu memijak kepala orang lain untuk naik menanjak dan berpura menjadi wali di depan orang yang tidak tahu dan mengerti.

Saya juga tidak ingin berlagak pandai dan menjadi bijak kerana di hujung namanya tecatat secalit gelar, meski pada hakikat hanya peniru, pencuri yang lahap dan menghina orang lain tanpa sebab.

Saya tidak ingin bertanding dengan mereka kerana saya tahu dunia saya bukanlah di sana.

Kerana itulah saya memilih sendiri dan mengambil sikap tidak peduli. Dunia saya adalah sunyi yang selalu sendiri dan saya tidak pernah ingin membenci dunia yang saya pilih ini walau apa pun.

Saya tahu dan mengerti di mana saya mesti berdiri.

Dan apa lagi kalau saya tidak berterima kasih kepada Tuhan yang selalu memberi. Juga buat sejumlah nama, sahabat dan kekasih. Anda memang manusia baik dan berbudi.

Tetapi, kalau saya tidak menyebutkan anda secara terbuka, janganlah terkilan atau terasa.

Saya harap anda faham dan mengerti kenapa.

November 7, 2009

Rabu, Julai 01, 2009

TIGA MANUSKRIP SAYA DITOLAAK

TIGA manuskrip saya ditolak. Tentu sahaja bersamanya diiring surat yang kandungannya tentulah menyatakan sebab dan kenapa manuskrip saya ditolak.

Sepanjang menulis, ini bukanlah kali pertama manuskrip saya ditolak. Kerana sudah sering ditolak itu jugalah maka saya tidaklah terlalu berasa terkilan atau kecewa. Lagi pula, saya tahu dan sedar bila mana kuasa menerima atau meluluskan sesuatu itu memang pun bukan di pihak saya, maka saya tidaklah perlu terlalu sangat berharap.

Pasti sahajalah pihak yang menolak punya segudang sebab dan alasan kenapa terpaksa dan mungkin juga perlu menolak sesebuah manuskrip yang tiba. Mereka yang berkenaan, tentulah punya selera, kehendak dan ketetapan tertentu mengenai sesuatu dan apa yang hendak serta perlu mereka diterbitkan. Katakanlah ini suatu dasar di sesebuah penerbitan.

Bagi saya itu adalah normal. Tiada apa yang hendak dikeluh serta dirusuhkan. Masing-masing pihak punya sebab dan kehendaknya sendiri. Penerbit dengan kehendaknya dan pengarang juga tentulah punya kehendaknya juga. Hanya setelah terjadinya jalinan persesuaian rasa dan kehendak di antara kedua belah pihak, baharulah tercapainya hasrat serta kehendak berikut dan seterusnya.

Itulah fahaman dan prinsip yang saya pegang. Walau mungkin ditawarkan duit secara mudah dan cepat, tetapi kiranya tiada rasa sesuai dan keserasian kehendak, sulit dan tidak hendak saya terima tawaran yang mungkin lumayan itu. Walau yang menerbit memiliki wang, tetapi bagi saya, wangnya itu tidaklah sampai bersifat mahu “membeli” pengarang atau sesuatu yang lain. Biarlah segala sesuatu itu bersifat saling memberi dan menerima secara adil dan ikhlas serta memenangkan kedua-dua belah pihak.

Kerana fahaman dan prinsip ini jugalah saya tidak begitu berasa terkilan atau kecewa bila telah acap kali manuskrip saya ditolak. Dan saya juga sedar, penolakan sesebuah manuskrip saya oleh sesebuah penerbitan itu ada juga hubungkait dengan sikap dan pendirian saya sendiri dalam berkarya. Sikap dan pendirian yang saya maksudkan itu tidak lain adalah disebabkan diri saya ini tergolong jenis manusia yang agak degil, yang tidak suka selamanya mengikut kehendak massa dan arus semasa atau dalam kata mudahnya selalu suka melawan arus.

Contohnya, kalau ada ketetapan yang meminta supaya sebuah manuskrip novel tebalnya tidak boleh kurang dari 200 halaman, saya akan kembali bertanya perlukah sebuah novel setebal demikian dan kerana itu saya melanggar peratruran yang sudah ditetapkan. Memanifestasikannya, saya akan mengirimkan manuskrip yang tebalnya mungkin hanya 100 halaman.

Atau kalau dalam sesuatu pertandingan menulis sajak menetapkan betapa sajak yang menyertai pertandingan mestilah sekian jumlah baris dan tidak boleh melebih sekian kata bagi setiap baris, saya biasanya akan menghantar sajak yang lebih pendek dan ringkas pula.

Tentu sahajalah kesudahannya sudah saya ramal. Namun rasa hendak melawan dan melanggar ketetapan itu memang tidak boleh hendak saya tahan. Walau tidak mendapat apa-apa, namun sebagai seorang yang menulis, saya rasa bebas, merdeka dan mandiri kerana tidak terlalu mahu mematuhi apa-apa ketetapan yang ditetapkan untuk suatu pertandingan menulis karya sastera dan seni.

Jadi kalau kerana itu manuskrip saya tidak diterima atau saya sendiri agak kurang disenangi, saya memang sudah bersedia untuk menerima risiko atas pilihan saya itu.

Saya sama sekali tidak berniat hendak menjadi pemberontak atau seorang yang secara membuta tuli hanya asyik hendak melawan dengan cara begini.

Saya sebenarnya hanya hendak menyatakan diri saya sendiri. Tidak lebih dari itu. Maksud saya diri saya yang sebagai seorang pekerja seni.

Kerana itulah saya tidak rasa terkilan, kecewa atau marah bila karya saya ditolak.

Saya tahu orang lain berhak untuk tidak menerima dan menolak sebuah karya saya. Tetapi saya yakin tidak semua orang yang akan menolak. Saya yakin tidak semua orang otak dan cara berfikirnya sama. Saya percaya dan yakin di samping yang menolak, masih ada walau segelintir yang sanggup dan sudi menerima karya saya. Saya yakin itu.

Saya berasa percaya dan yakin kerana saya percaya betapa seorang pekerja seni itu berkarya bukanlah kerana suruhan, kehendak dan batasan yang ditetapkan oleh orang lain terhadap dirinya.

Bagi saya, seorang pekerja seni yang luhur adalah seorang yang berkarya kerana semata-mata mahu memenuhi kata hati dan nuraninya sendiri. Dan kalau ada juga kadang-kadang persamaan dengan kehendak atau tuntutan yang di luar dirinya, itu hanyalah kebetulan dan kerana kebenaran tuntutan itu sendiri, yang tidak menyalahi atau bertentangan dengan nilai moral dan keyakinannya sendiri.

Kerana itu juga bentuk atau genre tidak menjadi persoalan yang besar. Apakah itu sebuah novel pop, apakah itu sebuah sajak yang polos, atau cerpen yang melanggar segala konvensi, yang penting adalah inti dan kejujuran pengucapannya.

Yang disanggah adalah kehendak dari sebelah pihak yang terlalu dipaksakan dan tentu sahajalah yang memaksakan itu kerana berasa dirinya punya kuasa penentu terhadap pihak yang lain.

Apa lagi kini semakin banyak cara untuk menjadi lebih mandiri dan merdeka. Menerbitkan karya juga tidak semestinya menantikan ihsan sepihak yang bergelar penerbit semata-mata.

Bagi saya, walau pun tidak menjadi kaya, mampu membeli kereta atau membayar pendahuluan untuk sebuah rumah, namun menerbitkan karya dengan keringat dan modal sendiri tentulah lebih bererti dari sekadar meratapi nasib diri lantaran tiga manuskripnya telah ditolak.

Saya meyakini cara ini kerana sejak mula memang saya lebih tertarik hanya ingin menjadi diri saya sendiri. Biarlah apa pun anggap dan gunjing orang. Saya akan terus dengan cara dan keyakinan ini.

Walau tidak terlalu kaya kerana berkarya secara begini, tetapi saya tidak menyusahkan sesiapa dan berasa tetap menjadi diri saya, yang dalam erti kata tetap menghormati hak-hak orang lain dan tidak menyusahkan orang lain.

Saya yakin itu dan seorang pekerja seni tentulah bukan hanya seorang yang berkarya dan bekerja kerana suruhan dan kehendak orang lain semata-mata, sehinggakan demi melihat karyanya diterbitkan, misalnya, sanggup dia korbankan hasrat dan jiwa dirinya sendiri di dalam karya.

Tentu sahaja saya juga tidak perlu terlalu berasa sesal ataupun sedih sehinggakan berguling-guling menghempaskan diri di atas tanah jika antara sebab dan alasan penolakan manuskrip saya itu, antaranya ialah dikatakan kononnya kerana kandungannya seiras dengan suatu projek yang sedang diusahakan oleh sepihak yang lain, yang saya agak tentulah dengan restu dan lindungan pihak yang berkenaanlah. Walhal manuskrip saya sudah lama saya siap kerjakan bertahun sebelum itu dan terperam kerana menunggukan waktu yang sesuai untuk dikirim ke penerbitan.

Saya tidak pasti sejauh mana benar dan tepat kekononan dakwaan itu. Tetapi di dalam hati saya, saya menyebut juga.

Masyaallah. Rupanya itu pun menjadi kesalahan juga, ya?

Dan seperti selalu saya diam-diam mentertawakan diri saya sendiri.

Mei 30, 2009

Sabtu, Mei 23, 2009

SEBUAH CERPEN ATAU SAJAK: SUDIKAH MEREKA MENDENGAR?

SAYA sebenarnya sudah sejak lama mengajar diri untuk tidak terlalu berharap berhubung dengan sesuatu perkara atau hal yang melibatkan pihak lain. Terutamanya kalau di pihak lain itulah kononnya yang menentukan berhasil atau tidak sesuatu perkara atau hal.

Dengan cara beginilah saya tidak berasa apa-apa yang sangat keterlaluan jika tidak berjaya mendapatkan sesuatu, terutamanya kalau sesuatu itu membabitkan pula pihak yang lain.

Sekiranya berjaya saya bersyukur dan dengan cara begini juga, saya mengajar diri agar tahu diri dan tidak perlu terlalu berharap. Saya tahu di mana saya mesti berdiri dan kerana itu hanya inginkan sesuatu yang memang menjadi hak saya sahaja dan kalau hak itupun telah ditentukan memang bukan untuk saya oleh Tuhan yang lebih berkuasa, saya pasrah dan pamrih sahaja.

Ketika menulis dan berkarya pun demikian jugalah perasaan dan niat saya. Begitu berasa telah selesai saya tulis dan dikirimkan ke mana-mana penerbitan, walau ada harapan di dalam perasaan agar ianya disiarkan, namun harapan itu saya biarkan menjadi harapan yang tidak terlalu menggunung, agar dengan begitu, sekiranya karya saya tidak dapat atau tidak disiarkan, saya tidak akan berasa terlalu kecewa.

Maksudnya, dalam berkarya atau menulis, saya sudah sejak lama belajar dan bersedia menghadapi saat karyanya ditolak atau tidak disiarkan, tanpa perlu berasa apa-apa perasaan negatif yang sampai boleh merosakkan diri saya sendiri.

Kerana sudah sejak lama bersedia ini jugalah maka saya tidaklah berasa terkilan atau tersentuh hati sangat bila pada suatu Sabtu yang lalu saya menerima email dari seorang yang bertugas di sebuah penerbitan.

Kandungan email itu secara jelas dan berterus terang memaklumkan bahawa sebuah karya yang saya kirimkan ke penerbitan berkenaan, yang sudah dimasukkan ke dalam senarai karya untuk disiarkan di hari esoknya, terpaksa ditarik keluar kerana perintah pihak yang lebih berkuasa dari dirinya.

Walaupun tidak diberitahu di dalam email itu sebab dan kenapa, tetapi rasanya saya dapat mengagak kenapa dan mengapa datangnya perintah itu. Tentu sahaja dan apa lagi kalau bukan alasannya adalah yang berkait dengan soal sensitif dan tidak mahu menggelisahkan pihak yang lebih berada di atas, iaitu pihak yang dibayang-bayangkan sebagai penaung dan pemerhati sesebuah penerbitan.

Bagi saya, kalau pun tidak di semua segi dan bidang, rasanya saya dapat faham dan memaklumi tugas dan tanggungjawab seorang yang menangani karya di penerbitan. Tentu sahaja di samping soal mutu, masih banyak lagi soal lain yang perlu diambil kira atau diperhitungkan.

Lebih-lebih lagi kalau sesuatu penerbitan itu berada dalam keadaan perlu sentiasa tunduk kepada arah dan perintah siapa yang menguasai kerusi, dan kerana itu juga perlu menyenandungkan kata dan suara hanya yang ingin didengar oleh yang berkuasa.

Pasti sahajalah segala apa pun yang hendak disiarkan, oleh pihak atau kuasa yang lebih besar dalam menentukan bentuk dan nada karya yang hendak disiarkan di dalam sesebuah penerbitan, hendaklah sentiasa dan perlu memperhitungkan ini. Atau dalam maksud lain hendaklah sentiasa menyenandungkan hanya kata dan nada yang merdu, sedap, seronok dan selesa didengar serta dibaca oleh pihak yang menguasai kerusi.

Jadinya, penentu selesa atau tidak, selamat atau tidak selamat, sensitif atau tidak, sesuatu yang hendak disiarkan, ditentukan oleh instict pihak yang yang lebih berkuasa di dalam sesebuah penerbitan. Pihak yang lebih berkuasa inilah yang sebenarnya terlebih dahulu menjadi penapis atau melakukan sensornya sendiri, sebelum benar-benar disensor oleh pihak yang menguasai kerusi.

Walau pun kadang-kala belum benar-benar pasti bahawa sesuatu apa yang dianggap sebagai akan menggelisahkan pihak yang berada di atas itu benar-benar demikian kesudahannya, namun selalunya di pihak yang berkuasa di penerbitan, inilah yang selalunya dimercukan.

Segala apa yang hendak disiarkan mestilah sesuatu yang tidak sensitif dan tidak sampai boleh menimbulkan kegelisahan. Kerana itu jugalah banyak perkara dan isu, tatkala ditafsirkan boleh mendekati definisi ini, akan segera dibungkamkan oleh pihak yang menangani sesuatu penerbitan.

Dengan cara beginilah, segala yang dihidangkan di dalam sesebuah penerbitan hanyalah perkara dan isu yang pada permukaannya kelihatan indah-indah, selesa dan yang diperkirakan atau dikononkan, dapat memberikan gambaran aman dan tenteram belaka.

Kerana itu jugalah tidak hanya sesuatu yang lebih langsung dan berterus terang seperti berita dan rencana yang perlu memberikan gambaran yang sedemikian, karya lain yang lebih berseni dan berselindung seperti sajak mahupun cerpen juga hendaklah sesuatu yang kandungan serta nadanya tidaklah boleh sampai ditafsirkan sesuatu yang sensitif dan akan menggelisahkan.

Walhal, apalah sangat makna dan ertinya sebuah sajak atau cerpen yang hanya sekadar salah satu alat dan cara bagi sebahagian rakyat marhaen menyatakan perasaan serta resah dan gelisah mereka kepada yang berada di atas.

Tetapi di hati, di mata dan perasaan mereka yang lebih berkuasa di sesebuah penerbitan, segala resah, gelisah dan ratap yang disampaikan secara berseni dan berselindung oleh kalangan marhaen ini, seringnya dianggap pengacau, pengganggu yang boleh menggugat keharmonian dan malah boleh mengancam kedudukannya jika karya berkenaan disiarkan.

Ketika inilah, segala kegelisahan, rungut, bantah dan sanggahan dari pihak yang berasa dirinya sudah sejak lama tertekan dan tidak diberikan peluang bersuara, dibungkam dan disorokkan dari pengetahuan pihak yang menguasai kerusi.

Sehinggakan dengan demikian, segala gambaran yang diberi atau dipaparkan kepada pihak yang menguasai kerusi hanyalah sesuatu yang palsu, sesuatu yang secara dengan sengaja diperindah serta diperelokkan.

Lalu tidak mustahillah jika gambaran atau hakikat sebenar yang diketahui atau sampai ke pengetahuan pihak yang menguasai kerusi, pihak yang sepatutnya lebih banyak mendengar suara, keluh dan resah rakyat marhaen, sebagai bukti keprihatinannya terhadap mereka, adalah sesuatu yang juga palsu.

Berdasarkan maklumat dan gambaran palsu ini jugalah pihak yang menguasai kerusi membuat perancangan dan mengatur strategi. Sehingga akhirnya, bila tiba kepada hari penentuan itu, lantaran telah menerima maklumat yang tidak benar dan palsu, segala janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat terbanyak, tidak lain dan tidak bukan janji dan harapan pada pendengaran rakyat terbanyak, yang selama ini diredamkan segala keluh, resah dan gelisah mereka oleh kalangan yang berasakan dirinya amat berkuasa di media atau penerbitan tertentu, juga adalah janji dan harapan yang sangat tidak boleh mereka percayai.

Kerana berasa bosan dan jemu mendengar harapan serta janji palsu itu jugalah, maka rakyat yang selama ini hanya tahu bersuara, berkeluh dan berkesah, menyatakan resah dan gelisahnya secara senyap dan diam, menolak dan mula mengalihkan arah kepercayaannya kepada pihak yang lain.

Bagi rakyat, yang mereka harapkan bukanlah emas dan permata, atau memberikan mereka sesuatu secara percuma. Sebaliknya, yang mereka inginkan adalah agar suara mereka didengar, diperhatikan dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi. Tentu sahajalah, jika itu tidak mampu dipenuhi oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi, pastilah mereka akan menjadi kecewa dan membuat pilihan yang lain.

Sekali lagi ditegaskan, apalah sangat ertinya sebuah sajak, sebuah cerpen, atau sebuah novel. Ianya tidak lain hanyalah sebuah karya dan coretan dari otak dan fikiran manusia yang memang kuat berimaginasi. Tetapi, kerana yang menulis sajak, cerpen atau novel itu bergelumang hidup sesama jelata, tentulah apa yang mereka tulis atau imaginasikan itu adalah sesuatu yang memang pun mereka dengar dan telah hayati terlebih dahulu bersama jelata.

Itulah yang terjadi. Ketika sebuah sajak, cerpen atau sebuah novel, yang memang pun sebuah karya imaginatif, yang tidak pun mempunyai kekuatan apa-apa, konon atas alasan tidak mahu menggelisahan mana-mana pihak, telah cuba dibungkam dan tidak dibenarkan terbit di sesebuah penerbitan, pada waktu sama, semakinlah membara dan bergegolak resah dan gelisah marhaen secara diam dan terpendam.

Tentulah yang bersalah bukanlah sesiapa yang bertugas dan berasa dirinya berkuasa menentukan sesuainya tidak sesebuah karya kreatif disiarkan di mana-mana penerbitan.

Segalanya berpunca dari kalangan yang menguasai kerusi juga. Silapnya, mereka tidak sudi mendengar dan kalau mendengar sekalipun, mereka hanya mendengar apa yang hanya ingin mereka dengar sahaja. Selebih dari itu dianggap pengganggu dan penyebok belaka.

Tetapi di pihak diri saya, disiarkan atau tidak, direstui atau tidak, diminati atau tidak, saya akan tetap juga akan menulis dengan cara dan gaya yang sudah saya pilih, yang mungkin juga boleh berubah mengikut kesesuaian waktu.

Saya tidak fikir halangan dan sensor apa pun akan mampu menghalang hasrat dan kehendak saya untuk menulis.

Apa lagi untuk bersedih sehinggakan meratap dan berguling-guling di atas tanah kerana sebuah cerpen atau sajaknya tidak disiarkan.

April 27, 2009

Khamis, April 30, 2009

MAAF, SAYA TIDAK PANDAI BERBOHONG


MEMANGLAH seronok ketika mula membaca kandungan khidmat pesanan ringkas itu.

Apa tidaknya, diminta bantuan oleh seorang besar di sebuah institusi untuk menuliskan sebuah sajak yang konon-konon ditulis oleh seorang yang bakal bergelar pemimpin besar mengenai diri bapanya sendiri. Maksudnya, walau saya yang menulis sajak itu, tetapi nama yang dikedepankan adalah nama siapa yang bakal bergelar pemimpin besar itu.

Wow, hebat itu. Dapat menulis konon-kononnya atas nama atau bagi pihak seorang yang bergelar dan tersohor. Bukan semua penyair boleh dapat peluang sebegini.

Namun rasa seronok dalam hati saya itu hanya seketika sahaja. Akal waras dan rasa malu di dalam diri saya masih kuat dan inilah yang menghalang saya segera menghentikan rasa seronok tersebut.

Malu yang saya maksudkan di sini ialah malu untuk berpura-pura seolah-olah saya yang menuliskan sajak itu konon-konon adalah seseorang yang dimaksudkan itu, walhal secara jujurnya apalah sangat yang saya tahu segala apa yang ada di dalam hati dan fikiran seseorang yang demikian?

Memanglah saya pun memiliki rasa bahagia, bangga dan seronok yang sendiri jika berbapakan seorang yang begitu hebat dan terkenang di dalam sejarah. Tetapi saya tidak memiliki itu. Saya berasa seronok, bangga dan bahagia memilik bapa dan bapa saya adalah seorang manusia yang biasa-biasa sahaja. Jadi mana mungkin untuk saya dapat mengkonon-konon begitu sahaja ketika menulis sajak yang dimaksudkan itu nanti.

Tidakkah menolak tawaran itu bererti saya menolak peluang untuk mendapatkan bayaran yang agak lumayan dari institusi berkenaan dan juga sekaligus peluang untuk saya dapat berbaik-baik dengan seorang yang bakal bergelar pemimpin besar? Begitu terjengah tanya itu di benak.

Namun diam-diam di dalam hati saya memujuk dan belajar mewaraskan diri sendiri. Apalah sangat erti dan makna sejumlah bayaran jika untuk mendapatkannya saya mesti berbohong dengan menuliskan sesuatu yang memang pun tidak sepenuhnya saya alami sendiri dan ketahui.

Apa lagi sebuah kesempatan untuk berbaik-baik dengan seseorang yang bakal menjadi tokoh besar. Bagi saya biarlah saya yang pipit ini tetap berbaik dan berkawan dengan sesama pipit sahaja. Walau pun pipit saya ini belumlah tentu memang seorang pipit, namun tidak mengapa tidak dapat berbaik dan mendekat-dekatkan diri dengan mana-mana tokoh tersohor. Cukup dan lebih bahagia rasanya jika lingkungan saya dalah sesama pipit dan tidak enggang.

Memang pun sebagai seorang penyair saya memang boleh mempergunakan daya imaginasi saya untuk membayang-bayang, mereka-reka, atau mengandai-andaikan, namun kalau benar sekali pun, saya lebih rela membayangkan sesuatu yang lain dari itu, sesuatu yang tiada kena mengena dengan mana-mana tokoh atau orang tersohor.

Saya lebih rela menulis sebuah karya yang mungkin bagi banyak orang hanyalah sebuah karya yang biasa-biasa atau sekadar apa adanya sahaja. Asalkan sesuatu yang saya tulis itu memang sesuatu yang datang dari kesedaran hati nurani saya sendiri untuk menuliskannya.

Kerana itulah, kepada pihak yang mengirimkan khidmat pesanan ringkas itu, saya beritahu berterus-terang saya menolak tawaran istimewa itu dan meminta maaf kerana saya tidak pandai berbohong.

Saya harap apa yang saya beritahu itu dapat diterima baik dan dengan hati terbuka oleh pihak yang berkenaan. Saya harap sangat, apa yang saya nyatakan itu tidak akan sampai boleh membuat sesiapa tersinggung.

Tetapi, kalau andaikan terjadi juga kerana penolakan saya itu, saya misalnya akan dianggap sombong atau tidak sedarkan diri, tidak kuasalah saya hendak berkata apa-apa.

Bagi pihak diri saya, saya sudah menyatakannya. Apa yang selebihnya itu saya rasa sudah bukan urusan saya lagi.

Walau pun sekali waktu terbetik juga di dalam fikir betapa sedikit dan sebanyak, cara ajakan dan tawaran itu sebenarnya dapat juga dijadikan petunjuk bagaimana sebahagian pihak menilai dan menanggapi kedirian seorang penyair.

Tetapi oleh kerana saya sudah menetapkan bahawa urusan saya selesai sudah begitu saya menyatakan betapa saya tidak pandai berbohong kepada yang berkenaan, maka apa yang terbetik di dalam fikir itu tidaklah ingin berlamaan saya kenangkan.

April 29, 2009

Rabu, April 29, 2009

TIDAK PERLU INGATKAN SAYA ITU


PERNAH pada suatu waktu, saya diperingatkan seseorang melalui surat-Enya, menyuruh saya agar jangan menulis apa-apa mengenai dirinya.

Pertama kali membaca surat-Enya itu, saya berasa hairan dan aneh juga kenapa dan apa perlunya seorang ini sungguh bermurah hati memberikan nasihatnya sebegitu kepada saya. Seingat-ingat saya, tidak pernah pun di mana-mana saya menyebut dan merujuk nama dia di dalam tulisan dan percakapan saya. Jadi kenapa pula dia memberikan saya nasihat begitu?

Beberapa ketika saya merenung dan berfikir. Baru saya sedikit mendapat semacam pencerahan. Seorang ini mungkin berasa perlu memberi ingat kepada saya kerana belakangan ini saya agak banyak menulis mengenai apa yang pernah dan sudah saya lalui di masa silam. Mungkin seorang ini khuatir kalau nanti saya ada menulis sesuatu mengenai dia dan itupun kalau-kalau dia memang pernah terlibat dalam sesuatu peristiwa di masa silam yang membabitkan diri dia dengan saya.

Tetapi apa perlunya dia memberikan saya ingat mengenai itu? Bukankah untuk menulis apa pun itu merupakan hak dan pilihan diri saya sendiri? Dan di pihak saya sendiri sebenarnya, saya langsung tidak ada niat atau berasa perlu untuk menulis sesuatu apa, kalau memang benarlah ada, mengenai sesuatu yang melibatkan diri saya dengan dia. Apa lagi untuk menulis dan bercerita sesuatu secara langsung mengenai dia. Lagilah saya tidak teringat, ingin mahupun sudi.

Kerana itulah saya berfikir, siapakah dia fikir dirinya hendak memberikan saya peringatan itu?

Tidak sudah saya befikir mengenai seorang ini. Mengaku dirinya pejuang, pemartabat, tetapi dalam waktu sama, pandai-pandai pula hendak mengekang kebebasan berfikir dan menyuruh orang lain agar mematuhi kehendak dia.

Apa ini.

Februari 28, 2009