BELAKANGAN ini, soal kelesuan kritikan sastera kembali
diperkatakan. Tidak sahaja oleh mereka yang berminat dengan isu ini, tetapi
juga oleh mereka yang memang sudah pun bergelar pengkritik dan sarjana.
Saya memang
ingin bercakap lanjut beberapa hal yang dirasakan penting mengenainya.
Tetapi bila
fikirkan ini bagaikan mengulang semula apa yang pernah dibincangkan mereka yang
lebih arif pada tahun-tahun sebelum ini dan menyedari kritikan bukanlah bidang
penguasaan, saya tidak jadi meneruskan niat ini dan memilih untuk hanya
bercakap beberapa hal ringkas dan kurang penting mengenainya sahaja.
Benarkah kritik
mampu menjulang dan mematangkan karya seorang penulis?
Saya peribadi
meyakini bahawa seorang penulis yang tahu dan sedar peranannya sendiri sebagai
penulis, tanpa adanya kritik dan perhatian pihak lain, akan tetap juga menulis
dan terus menulis.
Hanya penulis
dalam golongan orang-orang lapar sahaja yang berasakan, tanpa kritik dan
pujian, semangat berkarya mereka akan menjadi kendur dan sekaligus juga amat
percaya bahawa hanya dengan kritik sahajalah kemajuan dan ketinggian mutu
sastera dapat dipacu.
Saya bukan anti
kritik atau memandang kritikan terhadap karya sebagai musuh.
Tetapi untuk dan
perlu apa sebuah kritik, jika pengkritik sekedar mempamerkan ego dan kebodohan
dirinya sendiri di dalam tulisan kritikannya jika hanya ghairah mempertanyakan
keperibadian penulis dan segala sesuatu yang tiada di dalam karya?
Misalnya
mengungkapkan di dalam kritiknya, "Kerana menulis dalam semua genre, kita
sulit mengkategorikan apakah si A seorang cerpenis atau penyair." Atau
dalam tulisan kritikannya yang lain disebutkan, "Si A terkenal sebagai
penyair yang amat teliti memilih kata-kata untuk puisinya. Tetapi entah kenapa,
dalam puisinya yang ini, si A kelihatan sembrono amat."
Lebih memualkan
bila pengkritik berasakan dirinya lebih cerdik dan ingin mengajar penulis
bagaimana cara sebaiknya menuliskan karya, tetapi bahan dan sumber karya
penulis yang dirujuk sebagai bahan kritikannya bukan karya dan bahan yang
bersifat terkini.
Selepas era
pengkritik Keris Mas, Yahya Ismail, Shahnon Ahmad, Baha Zain, Muhammad Haji
Salleh, Umar Junus, Shahlan Mohd Saman, Othman Puteh, Mana Sikana, Anwar
Ridhwan, Arbak Othman (beberapa nama sebagai contoh) pada kurun waktu 70an, 80,
90an dan awal 2000, dengan hasil kerja kritikan Dr Rahimah A Hamid, Dr Saleeh
Rahamad, S.M Zakir dan sesekali Zaen Kasturi, saya peribadi tidak lagi
menemukan tulisan kritikan yang benar-benar berwibawa, yang dapat dijadikan
cermin oleh pengkarya dan sekaligus mempamerkan kebijaksanaan serta kematangan
fikiran si pengkritik.
Kemunculan
sejumlah nama pengkritik pada kurun tahun 2000 ke atas ini, juga tidak
banyak menghasilkan karya kritik yang berwibawa. Kehadirannya tetap ada,
namun sifatnya lebih kepada pengulangan dan ada kalanya seperti bertolak semula
ke belakang.
Seperti juga
manusia lain, saya kira pengkritik karya sastera juga tergolong orang-orang
lapar atau kalangan manusia yang laparkan pujian dan sanjungan.
Kerana ini
jugalah mereka marah dan mudah tersinggung jika karya dan hasil kritikannya
kembali dipersoalkan pengkarya.
Seolah-olah
merasakan dirinya dewa dan orang mulia suci yang tidak boleh disentuh!
-- Marsli N.O
23.1.2021