TAHUN 1970 kami berpisah. Saya membawa haluan sendiri untuk meneruskan hidup selepas itu. Tanpa pendidikan formal yang tinggi, berjuang terus menerus untuk setidaknya agar tidak menjadi lipas atau sekeping kertas kosong yang kumal.
Syukur. Walau tidak terlalu tinggi.
Saya mampu meneruskan hidup agar tidak menjadi pengemis dan mampu memberikan
pendidikan ke universiti untuk semua anak.Awal tahun 2018, melalui media
sosial seorang kawan telah berusaha mempertemukan semula kami di alam maya.
Tetapi sesudah pertemuan itu, saya berasa agak terkilan dan sesal.
Sesudah puluhan tahun tentulah terlalu banyak perubahan terjadi dan merubah manusia. Pengaruh persekitaran, kawan-kawan sekeliling dan pekerjaan, tentulah mempengaruhi sikap hidup dan cara berfikir seorang manusia.
Hanya yang sedikit saya sesal, sesudah puluhan tahun berpisah dan kemudian kembali bertemu, kawan saya yang satu ini terlalu taksub dengan sikap politik dan pandangan hidup peribadinya. Sehingga sanggup dia berkata, "Rasuah tidak mungkin dapat dihapuskan."
Seolah-olah untuk yang satu ini, dia lupa atau sengaja lupa betapa Tuhan telah memberikan dia akal untuk menilai buruk dan baik sesuatu tindakan. Juga untuk membuat pilihan, menerima dan menolak.
Tetapi malam pertemuan itu, kerana tidak mahu merosakkannya dengan diskusi bernuansakan politik, saya merubah perbualan ke topik yang lebih santai, walau tidak berisi.
Mungkin kawan itu tersinggung kerana saya pinta dia tidak meneruskan syarahannya mengenai rasuah di malam pertemuan semula kami itu.
Tetapi saya hanya ingin berterus-terang. Cuma itu.
10 Januari, 2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan