Memaparkan catatan dengan label Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan. Papar semua catatan
Jumaat, Mac 08, 2013
MENULIS ADALAH KESUNGGUHAN
SATU demi satu buku tulisanmu akhirnya diterbitkan juga. Namun pembaca tidak pernah tahu betapa kau saban malam, untuk puluhan tahun bersendirian melawan kesunyian dan keresahan di kamar tulismu sendiri.
Biarlah dan lebih baik andai mereka tidak pernah tahu. Kerana, andai dengan kau bercerita maka akan semakin membuka sombong dan pongahmu sendiri, lebih baiklah kau simpan segala itu menjadi rahsia di dalam dirimu sendiri.
Simpanlah sahaja segalanya di dalam diri sendiri. Simpanlah. Simpanlah sendiri.
Mac 8, 2013
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Selasa, Julai 17, 2012
MENULIS DAN PEMBACA
Saya hidup dan menulis bukan kerana arahan
dan suruhan sesiapa. Walau mungkin ada syarat dan penetapan, namun bukan
penetapan itu benar yang menjadi matlamat dan rujukan. Tetapi saya lebih
memilih kerana jiwa dan perasaan sendiri. Kerana itu, andai mana yang saya
rasa benar dan sesuai dengan jiwa, saya tetap juga mengakurinya. Namun, rujukan
dan matlamat saya bukanlah kepada sesama manusia atau siapa yang menentu.
Begitulah sejak dahulu saya meyakini. Saya tidak
menulis semata-mata kerana ingin mengambil hati dan menyenangkan perasaan
mereka yang kononnya membayar dan mempunyai kuasa. Saya sesungguhnya menolak
dengan cara saya sendiri segala bentuk halangan dan paksaan. Berhelah, berkelit
dan kadang-kadang memilih lambang, atau
melontarkan nada dan suara yang lebih merendah, seakan bergumam,
merungut sendirian di sudut yang gelap dan pengap.
Memanglah itu pilihan. Saya tidak peduli jika
tidak mudah dipandang atau dipuji. Sebab itu juga bukan matlamat ketika menulis. Selain
menyatakan maksud dan hasrat dengan
cara sendiri.
Memang benarlah apa yang sudah saya yakini sejak
dahulu. Menulis bukan kerana surahan dan pinta sesiapa. Menulis adalah urusan
diri saya sendiri. Sebagai memenuhi hasrat dan tuntutan panggilan dari dalam
jiwa saya sendiri.
Untuk dan demi itu, saya ingin berlaku jujur
dengan jiwa dan diri sendiri. Andai sebuah tulisan saya adalah paparan kebodohan dan ketololan diri
sendiri pada satu waktu, untuk apa saya malu dan berpura menutupinya.
Saya tidak berasa perlu untuk melagakkan segala
kecerdikan saya, kononnya, di dalam karya saya sendiri, semata-mata agar
dilihat dan dinilai orang lain sebagai pengarang hebat dan berilmu tinggi,
kononnya.
Apa lagi semata-mata demi ideologi yang jelas
sangat memihak atas nama lambang, kepartaian atau mazhab tertentu. Menyata dan memaparkan sesuatu seolah-olah orang lain
buta, bodoh dan tongong tidak dapat berfikir dan menilai segala sesuatu secara
wajar.
Menulis bagi saya adalah urusan memenuhi tuntutan
dan panggilan dari dalam jiwa, yang perlu saya tunaikan dengan jujur terhadap
siapa yang akan membaca karya saya. Saya tidak ingin mengajar dan menganggap
yang membaca karya saya sebagai manusia bodoh yang tidak dapat befikir dan
menilai sendiri.
Segala yang saya tulis dan hebahkan kepada
khalayak pembaca hanyalah cermin. Tidak lebih dari itu. Biarlah mereka selaku
pembaca yang menilainya sendiri baik atau buruknya.
Untuk dan kerana itu jugalah, saya tidak pernah
berasa perlu menyelidik dan bertanya fahamkah atau tidak mereka ketika atau
selepas membaca sebuah karya yang sudah saya tulis dan sebarkan.
Sebab, urusan berfikir dan memahami adalah urusan
pembaca. Mereka selaku pembaca bukanlah lembu atau kerbau. Mereka kadang-kala,
malah lebih cerdik dan bijaksana dari apa yang selama ini disangkakan.
Jadi, kenapa saya mesti merendah-rendahkan
martabat mereka dengan soalan dan kerisauan: Apakah mereka faham atau tidak
ketika membaca sesebuah karya?
Berfikir dan mencerna adalah urusan mereka. Tugas
saya selaku penulis hanyalah mengirimkan cermin. Hanya itu.
Saya tidak ngin merampas sesuatu yang bukan hak
saya.
Juali 17, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Selasa, Jun 26, 2012
SAYA KEMBALI ...
BIARKAN mereka bercakap dan menyatakan kehendak ini dan itu. Semakin jelas bahawa yang mereka katakan sikap terbuka atas nama akademik itu bermakna: Awak mesti dengar dan ikut apa yang saya cakap dan hendak.
Akhirnya kita sebagai peribadi sendiri yang memutuskan arah dan mahu ke
mana. Kerana kita tidak menulis kerana arahan serta suruhan sesiapa. Kita
menulis kerana kehendak dan tuntutan jiwa sendiri. Tanpa peduli label, gelar
dan tuntutan yang lain. Menulis adalah persoalan jiwa dan peribadi
sendiri.
Begitulah selalu. Ketika menuntut dan meminta kononnya sesuatu yang bukan
kaca dari penulis atau penyumbang, sudah dinilai sendirikah apakah yang sudah
sedia diterbit memang sesuatu yang sudah “berlian”?
Atau tidakkah kenampakan jelas seperti projek kroni dan para lingkungan
bila yang sedia ada mutu dan nilai “berlian”nya dapat dipersoal?
Sekali lagi itulah kenyataan yang tidak perlu terlalu lama difikir dan
merusuhkan otak. Tugas penulis, sekali lagi, tidak lain hanyalah menulis dengan
darah hayat dan semangat jiwanya sendiri.
Persoalan kroni tetap ulang dan berulang. Hanya waktu, tempat dan pelakunya
sahaja yang bertukar.
Dan akhirnya, ketika kita bercakap dan berteriak meminta karya bertaraf dunia untuk mengernyit ke Hadiah Nobel,
kita pura-pura lupa dan secara terangan
juga bersandiwara, betapa sastera kita bukan menjadi wadah manusia mengasuh
akal intelek serta kemerdekaan mindanya,
sebaliknya dijadikan kandang yang kian dipersempitkan agar manusianya menjadi
pengekor dan pengangguk buta segala ajaran yang disebutkan siapa sahaja yang
kebetulan berasa dirinya berkuasa menentukan: Bagaimana dan mahu ke mana
sastera kita.
Lantaran itulah, karya sastera kita, di segi teknik dan kreativiti, tanpa
malu dan silu bertolak 10 tahun ke belakang dan tidak ingin dibebaskan berlari sekehendak daya kreaativitijnya.oleh para penilai dan akedemikus yang berasa dirinya terlalu banyak tahu.
Akhirnya, saya ingin kembali ke dalam diri sendiri. Walau apa pun kata mereka. Walau bagaimana
pun penilaian mereka. Kerana, saya tidak menulis untuk segelintir mereka.
Tetapi kepada pembaca karya saya. Walau hanya segelintir mereka.
Jun 26, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Selasa, Mac 27, 2012
NASKHAH
SEBAGAI manusia yang sifatnya sentiasa di dalam alpa serta kekurangan, yang kebetulan diberikan sedikit bakat oleh Allah SWT sebagai penulis, saya selalu berusaha mengelak dan berikhtiar untuk menghindarkan perasaan riak dan takabbur di dalam diri.
Sebagai seorang penulis yang masih mencari kesempurnaan dalam meluruskan niat dan iktikadnya, saya sama sekali tidak ingin menyimpan perasaan betapa hebatnya diri sendiri dan apalagi untuk sampai ke tahap dengan pongahnya mendakwa dirinya maha hebat dan sentiasa betul, sama ada dalam setiap percakapan mahupun di dalam tulisannya.
Justeru itulah ketika berkarya, setiap sesuatu karya yang saya tulis, tidak bererti demi kepentingan sesuatu penerbitan langsung tidak boleh disentuh serta diubah oleh siapa sahaja yang membaca dan membuat penilaian terhadapnya. Ubahlah di mana yang dirasakan patut dan perlu selagi tidak sampai terlalu jauh memesongkan maksud asal yang ingin saya nyatakan sebelumnya.
Memang kadang-kala ada juga waktunya saya keberatan untuk menerima saranan dan teguran. Tetapi ini pun kemudiannya saya terima dan akuri juga, setelah saya berasa yakin dan diyakinkan dengan hujah dan alasan yang jitu kenapa sesuatu perubahan itu perlu.
Pendirian saya sebagai penulis ini rasanya sudah cukup jelas. Di antara saya sebagai penulis dengan orang lain sebagai pembaca atau juga penilai tiada siapa yang berhak untuk mendakwa dirinya lebih tahu dan superior. Masing-masing, penulis dan penilai, punya tanggungjawabnya sendiri dan saling memerlukan di antara satu sama lain.
Untuk dan kerana itulah maka saya selalu menyimpan rasa hormat yang dalam dan tinggi terhadap siapa sahaja yang sudi menjadi pembaca karya saya dan sekaligus membuat penilaian terhadapnya. Nilailah sehingga ke batas mana pun. Baik atau buruk, saya tetap dapat menerima selagi hujah dan alasannya jelas bukan bertolak dari perasaan bahawa dia lebih tahu ketimbang orang lain atau dengan hanya memberikan alasan yang sangat remeh dan tidak masuk akal.
Tetapi begitu pun demikian, walau rasanya saya sudah cuba seboleh mungkin bersedia untuk menerima dan dengan rendah hati cuba untuk mendengar kritik dan teguran orang lain, sesekali sering juga saya berdepan dengan sitausi yang boleh membuakkan rasa sebal dan mual di dalam hati. Saya tidak pasti apakah saya yang silap kerana masih dibuai rasa ego yang melampau, atau puncanya di pihak yang satu lagi.
Sebagai contohnya, beberapa hari yang lalu saya saya menerima teguran daripada seorang yang mendakwa dirinya seorang penilai naskhah yang mempertanyakan kenapakah sebuah naskhah teater yang saya tulis latarnya terlalu terhad dan berkisar hanya sekitar ruang tamu, kedai kopi dan di hadapan surau, sedangkan sudah jelas dinyatakan di dalam naskah itu bahawa latar kisahnya adalah sekitar tahun 1979?
Saya tidak pasti apakah memang dia tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu betapa ketika naskhah itu saya tulis sekitar kurun waktu itu panggung teater secanggih Istana Budaya belum lagi wujud dan kehidupan kumpulan teater amatur saya sendiri pun sangat miskin dan hanya mampu mementaskan teater dengan belanja tidak sampai RM 100.
Jadi, kenapa ini tidak pernah ingin difikirkan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai penilai naskhah teater itu sehingga tergamak dia membayangkan supaya latar di dalam naskhah saya itu diperluaskan ke mana-mana, sedangkan apa yang saya tulis itu memang dengan sengaja ditulis sebegitu rupa untuk merakam suatu momen di dalam sebuah sejarah di kurun waktu tersebut?
Malah saya lebih lama terpana lagi bila seorang yang lain yang juga mengaku dirinya seorang penilai menegur bahagian lain di dalam naskhah saya. Katanya, kenapa watak-watak di dalam naskhah saya itu cuma dinamakan Satu, Dua dan Lembaga dan kenapa tidak langsung dinamakan dengan nama yang lebih khusus seperti Ali, Hussin dan nama watak Lembaga itu dinamakan sebagai Lembaga Hitam atau Lembaga Hijau?
Itu berkenaan watak, berkenaan latar dan masa pula, saya juga turut ditegur. Katanya, kenapa latarnya hanya Pada Suatu Tempat dan berkenaan masa hanya Pada Suatu Masa?
Sungguh sampai saat ini saya masih lagi terpana dan tidak pasti.
Saya tidak tahu dan pasti. Apakah saya terlalu ego atau ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka yang lain?
Mac 27, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Isnin, Mac 19, 2012
SENDIRI
SAYA tidak ingin menyalahkan nasib dan takdir yang telah dan sudah ditentukan buat diri saya. Kerana itulah saya akan tetap dan ingin terus begini: menulis menurut kadar dan kemampuan yang saya miliki. Dan kerana itu juga, saya tidak ingin terlalu memikir-mikirkan segala kata-kata dan tulisan orang lain mengenai diri saya, walau apa pun, sehinggakan membuatkan saya menjadi terlalu sedih, gelisah, kecewa dan mundur kerananya.
Saya ingin terus begini. Bersendiri dan terus menyendiri. Bagi saya, terus bersendiri begini lebih baik daripada terjun bersama ke dalam riuh untuk sekadar menjadi pengumpat dan pengeji juga. Biarlah mereka berebutkan segala yang ingin diperebutkan atas nama dunia. Saya tidak ingin sama menjadi sebahagian. Saya ingin tetap sendiri.
Saya tahu siapa diri ini sendiri. Di mana bodoh dan betapa masih terlalu sedikit tahunya. Sejak dahulu memang sendiri itulah dunia dan kehidupan saya. Saya tidak datang ke dunia ini dahulunya dengan iringan siapa pun. Saya bertatih dan bermula dengan kebodohan dan belajar untuk sedikit menjadi pandai dengan kepercayaan terhadap diri.
Dan ketika dunia di sekitar saya semakin berwarna kelabu dan dipenuhi biawak serta ular, semakin saya mempercayai pilihan ini.
Saya tidak takut kehilangan dan sedikit pun tidak berasa kesal. Saya tidak ingin ambil peduli lagi untuk mencari gelar dan segala pujian yang palsu dan sementara.
Walau tanpanya, saya tetap akan meneruskan hidup dengan cara saya sendiri. Saya ingin terus sendiri. Menikmati makna hidup ini dan sekaligus memberikan erti kepada hidup saya sendiri. Walau betapa pun gelisah dan sunyi. Saya akan tetap terus sendiri dan memilih untuk bahagia di dalam gelisah dan sunyinya sendiri.
Mac 19, 2012.
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Sabtu, Januari 14, 2012
MAMPUSLAH
BAYARAN RM 30.00 untuk sebuah karya di zaman canggih di abad 21 ini bunyinya macam tidak masuk akal. Tetapi jangan lupa, kadar bayaran sebegitu masih berlaku. Bukan hanya untuk sebuah karya, malah untuk sebuah sajak pun masih berlaku.
Walau pun begitu, kesudian pemilik akhbar atau majalah berkenaan untuk tetap membayar karya penulis yang disiarkan mereka, walau pun kadarnya mungkin rendah atau macam tidak masuk akal, masih dapat dikatakan perbuatan yang bertanggungjawab dan tidak terlalu menghina penulis.
Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman. Di samping banyak syarikat atau pemilik akhbar yang sungguh bertanggung jawab terhadap penulis di segi bayaran terhadap karya penulis yang mereka telah pilih untuk siarkan, terdapat juga sejumlah pemilik akhbar dan majalah yang memang tidak bertanggungjawab dan punya rasa kasihan belas terhadap penulis.
Saya katakan begitu berdasarkan apa yang dialami sesudah puluhan tahun menulis. Pengalaman diperhina dan dipermainkan penerbit yang menyiarkan karya saya yang tidak mahu membayar walau pun sedikit saguhati atau honorarium sudah lali saya alami.
Pelbagai cara permainan dan sandiwara mereka. Yang memang sejak mula sudah diduga memang tidak berniat untuk membayar bila akhbar atau majalah mereka tidak mahu membayar karya penulis yang mereka siarkan.
Bila dihantar surat menuntut sedikit bayaran saguhati secara baik dan sopan, tiada mereka berikan jawapan. Setelah di telefon dan di tolak panggilan ke sana dan ke mari, akhirnya dikatakan surat tuntutan bersama salinan karya tidak mereka terima. Bila dirayu-rayu barulah berjanji hendak membayar dan meminta nombor akaun bank untuk dimasukkan bayaran.
Tetapi berminggu-minggu ditunggu, bayaran tidak juga dimasukkan. Bila dihubungi lagi lewat telefon, baru mengaku syarikat mereka ada masalah kewangan. Bila ditelefon lagi pada minggu-minggu berikutnya, nada yang menjawab semakin meninggi dan membentak-bentak.
Ini antara pengalaman yang saya alami. Pengalaman menulis pelbagai artikel budaya ke sebuah tabloid memang berakhir secara begitu. Tetapi dalam keadaan syarikat menghadapi masalah kewangan, orang yang bercakap dengan saya itu khabar yang disampaikan oleh seorang petugas di dalam syarikat itu yang kebetulan adalah kawan saya, gajinya bermula dengan angka 4.
Pengalaman seperti itu bagi saya memanglah tidak pernah membuat saya untuk merajuk dan tidak mahu lagi menulis dan menghantar karya. Cuma jauh di sudut hati, saya fikirkan apa kesannya kepada teman-teman muda yang baru ingin menapak sebagai penulis. Saya harap mereka juga tidak akan mudah kecewa dan merajuk tidak mahu menulis andai terkena juga.
Bagi seorang yang memilih menjadi penulis, menulis adalah tetap menulis. Saya percaya itu. Lainlah kalau dia sudah menjadi kaya dan bergelar Datuk atau Tan Sri.
Itulah asam garam dunia penulis. Diperhina dan dipermainkan memang bukan perkara langka. Jadi bersedialah untuk tidak mudah kecewa dan patah semangat. Menulis tetap menulis.
Dalam keadaan sedemikianlah, saya juga selalu bertemu dengan alasan-alasan bodoh di kalangan mereka yang rasa saya memang niatnya tidak mahu membayar penulis yang karyanya telah mereka siarkan.
Paling bodoh adalah alasan ini: syarikat kita menyiarkan karya penulis kerana hendak beri peluang kepada mereka sebagai penulis baru.
Peluang kepala hotak kau. Kalau tidak mahu bayar cakap sahaja terus terang. Tunggulah, sampai masa mampuslah syarikat kau itu. Tidak percaya tunggu dan lihatlah.
Dan selalunya memang begitulah. Tidak berapa lama, syarikat sebegitu akan mampuslah. Walau kononnnya telah dibeli oleh syarikat besar.
Tidak percaya? Tunggu dan lihat.
Januari 14, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Langgan:
Catatan (Atom)
