Memaparkan catatan dengan label TANAH – AIR – API – ANGIN (2) Menjengah Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TANAH – AIR – API – ANGIN (2) Menjengah Buku. Papar semua catatan

Ahad, Mei 23, 2010

MELIHAT KESUNYATAAN DARI PERSPEKTIF SHAPIAI

Oleh MARSLI N.O

BANCUHAN pendidikan sekular dan keagamaan serta pengalaman hidup yang ditempuh tidak boleh tidak menjadi titik tolak atau pembentukan sikap dan falsafah kehidupan seorang manusia.

Demikian juga seorang sasterawan. Dalam  proses pematangan karyanya, pendidikan, ilmu dan kesedaran sosial serta  keagamaannya turut berperanan sebagai pembentuk yang menjadi hala tuju pengkaryaannya. Bertolak dari asas-asas pemikiran dan   keperibadian yang kukuh ini jugalah seorang sasterawan membentuk falsafah dan keyakinan seninya.

Falsafah dan keyakinan seni inilah yang secara jelas dinyatakan dengan yakin oleh penyair Shapiai Muhammad Ramly dalam pengantar kumpulan sajak beliau “Melihat Kesunyataan” yang diterbitkan Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000.

Dalam pengantar yang dijudulkannya sebagai “Puisi adalah nasi yang kusuap setiap hari” ini Shapiai Muhammad Ramly menegaskan: “Sastera seharusnya mendidik. Puisi juga seharusnya dapat menjadi alat untuk tujuan murni. Begitulah dengan sajak.”

Sementara sebuah puisi, tegas Shapiai, perbezaan di antara sebuah puisi yang baik dengan yang tidak adalah di segi peranan atau tujuannya.  Tegas Shapiai: “Puisi yang baik itu seharusnya juga bukan setakat menjadi alat untuk tujuan pendidikan, malah juga berupaya menyembuhkan.”

Menghayati maksud dan makna yang dilontarkan di dalam pengantar ringkas  kumpulan sajaknya ini jelas memperlihatkan sosok dan pendirian Shapiai Muhammad Ramly sebagai seorang penyair.

Tanpa berselindung, Shapiai memperlihatkan sikap sebagai seorang penyair yang ingin menjadikan  sajaknya sebagai  wadah menyampaikan pesan dan dakwah.

Untuk dan lantaran itu jugalah melalui kumpulan yang memuatkan 40 sajak ini, Shapiai mengaku “Melihat Kesunyataan” sebagai suatu introspeksi diri dalam menterjemah matlamat dan pencarian hidup.

Ditinjau dari aspek makna, judul “kesunyataan” bagi kumpulan sajak ini memang padanan bagi “kenyataan”. Hanya yang berbeza, makna kenyataan bagi kesunyataan lebih kepada menjurus kepada aspek agama atau ilmu tasawuf (Kamus Dewan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, halaman 1142).

Sebagai sifatnya sesuatu yang berhubung kait dengan aspek agama dan  tasawuf,  memang terkesan sebahagian besar sajak di dalam kumpulan ini bernada bening,  tidak membentak dan lebih cenderung menghening.

Malah tidak berlebihan juga kiranya dikatakan betapa  Shapiai melalui sajak-sajak di dalam kumpulan ini,   sentiasa meletakkan posisi dirinya sebagai seorang pemerhati yang peka dan selalu berusaha memberikan tafsirnya sendiri terhadap segala sesuatu yang  ditemuinya di dalam hidup.

Membuktikan kesungguhan maksud serta niatnya untuk melakukan suatu introspeksi diri melalui kumpulan sajak “Melihat Kesunyataan” ini, sajak “Langkah” di halaman satu bermula sebagai peringatan yang mengirimkan isyarat sebuah perjalanan menghampiri suatu destinasi.

Sebagai seorang manusia matang,  cara pentafsiran Shapiai terhadap sesuatu persoalan yang hadir ke benak pemikirannya tidak dirungkaikannya  kembali dengan jawapan yang polos. Sebaliknya, pertanyaan dilontarkannya  kembali sebagai refleksi dirinya melalui metafora yang kadang-kala agak mengejutkan.

Refleksi melalui metafora inilah yang dipaparkan Shapiai ketika misalnya mentafsirkan makna kebahagian. Memang agak mengejutkan bila kebahagian dinyatakan Shapiai dengan metafora: “ia hanya kulit/ dengan tulisan emas/  tiada tanda harga.”

Kehadiran hujan yang datang bersama musim dan menghadirkan cemas dimetaforakan sebagai “Pedih Musim Hujan” (halaman 39) dilukiskan sebagai: “...menghela nafas resah/ erangan angin, menyeberangi musim-musim yang lalu/ sepanjang hari asyik merenung tembok diri/ suara hati tak pernah menjelmakan emas/ kita hanya segumpal cemas....”

Dengan metafora yang kadang-kala agak mengejutkan dalam kebanyakan sajaknya,   semakin memperjelaskan bagaimana  Shapiai   mempunyai tanggapannya sendiri  mengenai manusia.

Misalnya, ketika di dalam sajak berjudul “Rumah” (halaman 30) Shapiai menyebutkan “Manusia membina rumah daripada batubata prasangka/ menjadi gua-gua peribadi asing sekali”.

Atau  di dalam “Survival” (31)  tanpa selindung Shapiai menyatakan: “Tiap manusia memandu arahnya / keluar masuk gua yang dibina dari rasa curiga/ kota kini menjadikan aku siap/ awas, kita akan terperangkap/ mau hidup atau mati!”

Seorang ibu pula di mata Shapiai hatinya adalah sungai berliku yang tidak pernah bersua muara (Ibu, 32) dan seorang ayah (Ayahku, 40), setelah ketiadannya disedari Shapiai betapa dia telah: “..kehilangan seseorang/ yang begitu ramah mengatur kehdupanku.”

Perlumbaan sesama manusia untuk mendapatkan segala sesuatu yang dinginkannya diumpamakan Shapiai seperti melepaskan singa yang berkeliaran  di dalam diri (Melepaskan Singa, halaman 35) dan tatkala terlepas: “..ke dunia lapar benda/ mengaumkan kesombongan ke seluruh kota/ di sekelilingnya manusia rakus/ menebang hutan amanahnya.”

Di dalam kumpulan “Melihat Kesunyataan” ini Shapiai tetap tidak melupakan untuk turut menyatakan hasrat atau keinginan peribadinya seperti di dalam sajak “Ingin Aku” (34) atau dalam sajak “Puisi dan Nasi” (3) Shapiai menyatakan betapa puisi baginya: “adalah nasi/ yang kusuap setiap hari/ dari padi fikiran yang ditampi/ mengupas kemanusiaan ini.”

Menjengah peristiwa sejarah seperti pertikaman Tuah dan Jebat atau percintaan Tuah dan Teja, Shapiai melihat dan mentafsirkannya dengan pertimbangan kritikal. Jika dalam sajak “Pertikaman Tuah dan Jebat” (9) dihadirkan seorang dalang, sajak “Tuah dan Teja” (22) pula, lewat suara Teja disindir perilaku Tuah konon: “tidak mengerti erti cinta/ kerana engkau terlalu setia/ aku telah berkorban/ hanya untuk raja kemenanganmu/ hanya untuk gelar laksamanamu/ hanya untuk anak sungai kemewahanmu!” 

Perenungan Shapiai terhadap kesunyataan dalam erti kata yang lebih menepati maknanya banyak dituangkan dalam sajak-sajaknya yang  bersifat perenungan seperti “Perhentian 1” (4), “Perhentian II” (5),  “Hotel” (7), “Menjelang Malam” (11),  “Lagu Larut Malam” (15) atau “Perjalanan di Waktu Subuh” (17).

Malah lewat sajak-sajak kategori ini,  terserlah kepasrahan Shapiai yang diungkap lewat metafora dan juga personafikasi yang memukau seperti “aku pengembara memburu restu”,  “menghapus kenangan yang tercalar”,  “memulangkan kunci amanah”,  “dunia jaga yang keras dan meminta”, “Kugulung segala hasrat” atau  “kabut khuatir menyentuh kulit keraguanku.”
 
Dari aspek biografi pengkaryaannya, Shapiai yang juga menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH ini berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan lahir pada 26 Ogos 1950.  Selain menulis sajak, beliau juga menulis cerpen, rencana dan novel. Kerana itu jugalah,   keberadaan Shapiai  sebagai pengarang dan penyair sering disebut secara seiringan.

Ini bukanlah hal yang menghairankan kerana sebagai pengarang, Shapiai pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA 1983, tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua  Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA  VI dan hadiah saguhati dengan cerpen “Suamiku” pada tahun 1991 dan cerpen “Menunggu Kemajuan” pada tahun 1986.

Pendikan awal beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping. Kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim (1969-1970), kursus perguruan khas dalam bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1976. Tahun 1988 melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) hingga selesai.  

Sebagai guru beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim di Kulai. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bharu (1984-1998) dan kemudian di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.

Shapiai mula menulis pada tahun 1971 dengan penyiaran cerpen pertamanya berjudul “Akrylazam” di Mingguan Malaysia. Karyanya, selain berupa puisi, juga cerpen dan rencana termuat dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Harian dan lain-lain. 

Kumpulan cerpen perseorangan beliau yang telah diterbitkan ialah “Perjalanan Ke Z” (DBP:) dan sebuah novel berjudul “Gerimis Perkahwinan” (Marwilis Publisher:).  Pada 1993 memenangi salah satu Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena dengan puisinya “Membina Taman” dan sebelumnya untuk anugerah yang sama pada tahun 1989. Anugerah untuk Sayembara Cerpen Esso-Gapena pula diraih pada tahun 1983 dengan cerpen berjudul “Pak Su”, tahun 1984 hadiah kedua, 1986 dengan cerpen “Menunggu Kemajuan” dan  hadiah saguhati pada tahun 1991 dengan cerpen “Suamiku”. 

Di genre puisi, karyanya termuat dalam beberapa antologi bersama.  Shapiai memenangi hadiah khas Berita Harian 1985 dengan puisi berjudul “Pertikaman Tuah dan Jebat”, tahun 1989 antara pemenang hadiah puisi Hari Kemerdekaan dengan puisi berjudul “Di Atas Mimbar Merdeka”, antara pemenang hadiah puisi Hari Kebangsaan 1991 dengan puisi “Membina Taman”. Tahun  1991 beliau  juga meraih anugerah Hadiah Puisi Alam Sekitar.  Tahun 1997 memenangi hadiah Utusan_Public Bank bagi kategori puisi dengan puisinya “Hujan Melebat Dalam Dirimu”.    Tahun 1995 dan 1999 memenangi Anugerah Sastera Negeri Johor Darul Ta’zim kategori puisi.

Sejak 1971 hingga kini menetap di Johor dan bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974, sebagai Setiausaha Dua (1977-1998) dan kini sebagai Setiausaha Satu. Pada tahun 1991 beliau  menyertai Program Penataran Sastera di Indonesian tajaan DBP. Tahun 1997 mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA selama dua belas hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 23 Mei 2010

Selasa, Januari 19, 2010

TATKALA AYAH MENJADI BOS





Tajuk: Ayah Kita Bos

Penulis: Tok Rimau dan Sinaganaga

Penerbit: Sindiket Sol-jah

Tahun: 2006

Halaman: 160 halaman


DUA blogger yang memasyhurkan diri mereka sebagai Sinaganaga dan Tok Rimau telah bergabung menerbitkan tulisan mereka yang sebelumnya disiarkan di blog masing-masing, ke dalam sebuah buku dengan judul “Ayah Kita Bos”.


Buku yang dibahagikan kepada 9 bahagian dan masing-masing bahagian pula diberikan judul sebagai rujukan dengan susunan penulis secara bergilir-gilir. Karya-karya Sinaganaga dengn judul “Hijau Pucuk Pisang”, “Merah Jambu”, “Ungu Biji Kundang” dan “Haru Biru”.


Karya-karya Tok Rimau pula dirangkumkan di bawah judul-jdul “Ekor”, “Taring”, “Misai”, “Kuku” dan sebuah komik “Ajan & Rima”.


Membaca secara pantas dan imbasan, kisah dan cerita yang dihidangkan kembali dalam bentuk buku oleh kedua blogger ini memang terasa menarik untuk dibaca kerana sifat ceritanya yang amat santai dan tidak terlalu diberati longgokan kata-kata besar atau jargon, baik atas nama apa pun.


Kebolehan mereka sebagai pencerita kelihatannya dibarengi sama dengan sifat yang jelas kelihatan untuk tidak terlalu mahu mengada-ada dan menayangkan ego mereka sebagai penulis, baik dalam cara bercerita atau kisah yang dipaparkan.


Sinaganaga dan Tok Rimau terkesan hanya mau menyata dan menyajikan sejumlah cerita kepada para pembacanya secara apa adanya dan kerana itu jugalah, kalau hanya dibaca secara sekali imbas, khususnya kisah-kisah yang dihidangkan oleh Sinaganaga, kebanyakan cerita dan kisah yang dihidangkan di dalam buku ini bagaikan kisah-kisah yang sangat iseng, enteng dan bermain-main.


Bayangkan, apalah sangat erti dan gunanya, jika dibaca secara pantas dan sekali imbas kisah mencari pelangi, menelan biji tembikai atau kisah ayam tersepit bagi kita selaku pembaca yang selalu terlalu sebok befikir ini?


Namun begitu, dalam keisengan dan enteng kisahnya, Sinaganaga sempat juga melontar sindir terhadap perilaku kurang sopan jurujual wanita Melayu yang menjawab tanya pelanggan hanya dengan memuncungkan bibirnya.


Sejumlah cerita dan kisah yang dipaparkan Sinaganaga di bahagian yang dijudulinya “Merah Jambu” sebahagian besarnya adalah pengalaman pertulangan di negeri matahari terbit. Dalam satu dua kisah yang lain di bahagian ini, Sinaganaga menyunglapkan diri menjadi tukang pemberi maklumat mengenai budaya dan tatacara berurusan dengan orang Jepun. Malah ada juga sesekali Sinaganaga cuba berlucu dengan kisah kimono yang ketiaknya berlubang.


Namun begitu lain sedikit dengan Tok Rimau yang kelihatannya lebih menunjukan keseriusannya dalam bercerita. Meski berkisar sebahagiannya di sekitar nostalgia diri dan masa lalu, amun di sebalik cerita dan kisahnya terselit juga sindiran dan komentar.


Cerita Tok Rimau mengenai tong sampah, otak dan kentut atau Mat yang tiba-tiba memakai kot ternyata tidak semata-mata kisah dan cerita tetapi menyiratkan pula komentar sosial Tok Rimau mengenai sesuatu isu yang difikirkan wajar dikomentarinya.


Di dalam kisah “Otak Aku Terkentut” misalnya, Tok Rimau berkomentar betapa melepaskan sesuatu (kentut) yang pada mulanya baik untuk kesihatan tetapi di segi budaya dan masyarakat selalu diberikan pandangan negatif terhadapnya.


Kerana pandagan negatif masyarakat itu jugalah maka perbuatan menegor kesalahan, terutama kesalahan orang berdarjat juga dilarang, sehingga menimbulkan budaya yang dinamainya sebagai “budaya bisu” dan “budaya berbisik-bisik”. Tularan dari budaya ini adalah apa yang diperpatahkan oleh Tok Rimau sebagai baling batu sembunyi tangan.


Kisah Mat yang masuk ke tandas dan kemudian keluar ke pejabat pos dengan mengenakan kot sebenarnya bukanlah kerana keinginannya hendak berlagak. Puncanya, seluar Mat yang disangkutkan di kepala paip sebelah tangki pam di dalam tandas dibasahi air yang meleleh, untuk mengelak difitnah dirinya kencing dalam seluar, Mat mengenakan kot.


Memang pun secara bersungguh-sungguh Tok Rimau kelihatannya seolah-olah hanya mahu bercerita mengenai Mat mengenakan kot. Namun di sebalik cerita itu, Tok Rimau secara langsung telah mengomentari perbuatan orang yang suka mencuri penyangkut tembaga di dalam tandas.


Cara bercerita Tok Rimau yang lebih bersungguh-sungguh semakin ketara dalam bahagian atau bab seterusnya di dalam buku ini. Kisah di dalam serial “Bumbung Aku Lantai Orang” memperihalkan cerita aku “Tok Rimau” yang tinggal di flat Bukit Cagar.


Kisah ini saling tidak tumpah menjadi autobiografi penulis sendiri, yang sekali gus melukiskan panorama budaya dan masyarakat sekitarnya: budaya samseng, masalah sosial dan jenayah.


Namun begitu, dalam kesungguhan bercerita itu, Tok Rimau sempat juga melontarkan sindir terhadap birokrasi dan seribu satu macam kerenah mengenai pegawai kerajaan yang korup melalui kisah “Lori Kuih Mat Zain”. Di dalam kisah ini, Mat Zain yang sering diganggu oleh kerani Majlis yang korup.


Berbanding dengan Tok Rimau, kisah atau cerita yang dipaparkan oleh Sinaganaga di dalam buku ini lebih enteng dan iseng. Tetapi tidaklah bererti dalam keisengan dan enteng kisahnya itu Sinaganaga sekadar mahu atau terlalu seronok bermain dengan kata-kata dan bahasa, sehinggakan kisah dan cerita yang dipaparkannya sekadar kisah dan cerita yang kosong dan nihil sirat makna dalamannya.


Di sini jugalah kelihatan kehebatan dan kelebihan Sinaganaga sebagai seorang pencerita. Dalam kisah pendek dan ringkas yang dipilih sebagai judul buku ini berjudul “Ayah Kita Bos” di halaman 92, Sinaganaga memaparkan kisah kanak-kanak A yang mengagumi ayahnya sebagai “bos” semata-mata kerana mendengar Cina penjual VCD memanggilnya bos.


Bagi seorang lelaki dewasa yang mendengar, tentulah panggilan itu tidak memberikan erti apa-apa, malah mengundang ketawa di dalam hatinya sendiri.


Lebih jauh merenungkan kisah kecil dan mudah ini, imiginasi kita mudah meliar dan menghubungkannnya dengan makna yang lebih jauh mendasar. Antaranya, kita sebenarnya selalu merasa kita adalah bos, tuan atau pemilik, walau pada zahirnya segala yang dibanggakan sudah menjadi milik orang dan kita terus terbuai oleh gelar dan sanjung nan palsu.


Sebagai kesimpulan dan perbandingan, tulisan Sinaganaga di dalam buku ini memang lebih memperjelaskan sosok dan stail penulisannya yang bersifat santai, kenes, dan membling. Sementara Tok Rimau pula, di sebalik kisah dan cerita-nya yang kelihatan biasa di permukaan, seringkali menyelitkan kritik dan komentar sosialnya.


Tidak percaya? Baca antara kisah Tok Rimau berjudul “Marhalah” di halaman 84. Renungkan kata-kata ini: “Aku rasa pemandu-pemandu jahat juga sedang melalui zaman kegelapan mereka. Tidakkah mereka tahu kerap sekali jalan raya adalah lokasi musabah untuk mati?”


MARSLI N.O

September 10, 2009


Sumber siaran: Suara Keadilan, Bil 216 19 – 26 Januari 2010