Ahad, Mei 23, 2010
MELIHAT KESUNYATAAN DARI PERSPEKTIF SHAPIAI
Oleh MARSLI N.O
BANCUHAN pendidikan sekular dan keagamaan serta pengalaman hidup yang ditempuh tidak boleh tidak menjadi titik tolak atau pembentukan sikap dan falsafah kehidupan seorang manusia.
Demikian juga seorang sasterawan. Dalam proses pematangan karyanya, pendidikan, ilmu dan kesedaran sosial serta keagamaannya turut berperanan sebagai pembentuk yang menjadi hala tuju pengkaryaannya. Bertolak dari asas-asas pemikiran dan keperibadian yang kukuh ini jugalah seorang sasterawan membentuk falsafah dan keyakinan seninya.
Falsafah dan keyakinan seni inilah yang secara jelas dinyatakan dengan yakin oleh penyair Shapiai Muhammad Ramly dalam pengantar kumpulan sajak beliau “Melihat Kesunyataan” yang diterbitkan Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000.
Dalam pengantar yang dijudulkannya sebagai “Puisi adalah nasi yang kusuap setiap hari” ini Shapiai Muhammad Ramly menegaskan: “Sastera seharusnya mendidik. Puisi juga seharusnya dapat menjadi alat untuk tujuan murni. Begitulah dengan sajak.”
Sementara sebuah puisi, tegas Shapiai, perbezaan di antara sebuah puisi yang baik dengan yang tidak adalah di segi peranan atau tujuannya. Tegas Shapiai: “Puisi yang baik itu seharusnya juga bukan setakat menjadi alat untuk tujuan pendidikan, malah juga berupaya menyembuhkan.”
Menghayati maksud dan makna yang dilontarkan di dalam pengantar ringkas kumpulan sajaknya ini jelas memperlihatkan sosok dan pendirian Shapiai Muhammad Ramly sebagai seorang penyair.
Tanpa berselindung, Shapiai memperlihatkan sikap sebagai seorang penyair yang ingin menjadikan sajaknya sebagai wadah menyampaikan pesan dan dakwah.
Untuk dan lantaran itu jugalah melalui kumpulan yang memuatkan 40 sajak ini, Shapiai mengaku “Melihat Kesunyataan” sebagai suatu introspeksi diri dalam menterjemah matlamat dan pencarian hidup.
Ditinjau dari aspek makna, judul “kesunyataan” bagi kumpulan sajak ini memang padanan bagi “kenyataan”. Hanya yang berbeza, makna kenyataan bagi kesunyataan lebih kepada menjurus kepada aspek agama atau ilmu tasawuf (Kamus Dewan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, halaman 1142).
Sebagai sifatnya sesuatu yang berhubung kait dengan aspek agama dan tasawuf, memang terkesan sebahagian besar sajak di dalam kumpulan ini bernada bening, tidak membentak dan lebih cenderung menghening.
Malah tidak berlebihan juga kiranya dikatakan betapa Shapiai melalui sajak-sajak di dalam kumpulan ini, sentiasa meletakkan posisi dirinya sebagai seorang pemerhati yang peka dan selalu berusaha memberikan tafsirnya sendiri terhadap segala sesuatu yang ditemuinya di dalam hidup.
Membuktikan kesungguhan maksud serta niatnya untuk melakukan suatu introspeksi diri melalui kumpulan sajak “Melihat Kesunyataan” ini, sajak “Langkah” di halaman satu bermula sebagai peringatan yang mengirimkan isyarat sebuah perjalanan menghampiri suatu destinasi.
Sebagai seorang manusia matang, cara pentafsiran Shapiai terhadap sesuatu persoalan yang hadir ke benak pemikirannya tidak dirungkaikannya kembali dengan jawapan yang polos. Sebaliknya, pertanyaan dilontarkannya kembali sebagai refleksi dirinya melalui metafora yang kadang-kala agak mengejutkan.
Refleksi melalui metafora inilah yang dipaparkan Shapiai ketika misalnya mentafsirkan makna kebahagian. Memang agak mengejutkan bila kebahagian dinyatakan Shapiai dengan metafora: “ia hanya kulit/ dengan tulisan emas/ tiada tanda harga.”
Kehadiran hujan yang datang bersama musim dan menghadirkan cemas dimetaforakan sebagai “Pedih Musim Hujan” (halaman 39) dilukiskan sebagai: “...menghela nafas resah/ erangan angin, menyeberangi musim-musim yang lalu/ sepanjang hari asyik merenung tembok diri/ suara hati tak pernah menjelmakan emas/ kita hanya segumpal cemas....”
Dengan metafora yang kadang-kala agak mengejutkan dalam kebanyakan sajaknya, semakin memperjelaskan bagaimana Shapiai mempunyai tanggapannya sendiri mengenai manusia.
Misalnya, ketika di dalam sajak berjudul “Rumah” (halaman 30) Shapiai menyebutkan “Manusia membina rumah daripada batubata prasangka/ menjadi gua-gua peribadi asing sekali”.
Atau di dalam “Survival” (31) tanpa selindung Shapiai menyatakan: “Tiap manusia memandu arahnya / keluar masuk gua yang dibina dari rasa curiga/ kota kini menjadikan aku siap/ awas, kita akan terperangkap/ mau hidup atau mati!”
Seorang ibu pula di mata Shapiai hatinya adalah sungai berliku yang tidak pernah bersua muara (Ibu, 32) dan seorang ayah (Ayahku, 40), setelah ketiadannya disedari Shapiai betapa dia telah: “..kehilangan seseorang/ yang begitu ramah mengatur kehdupanku.”
Perlumbaan sesama manusia untuk mendapatkan segala sesuatu yang dinginkannya diumpamakan Shapiai seperti melepaskan singa yang berkeliaran di dalam diri (Melepaskan Singa, halaman 35) dan tatkala terlepas: “..ke dunia lapar benda/ mengaumkan kesombongan ke seluruh kota/ di sekelilingnya manusia rakus/ menebang hutan amanahnya.”
Di dalam kumpulan “Melihat Kesunyataan” ini Shapiai tetap tidak melupakan untuk turut menyatakan hasrat atau keinginan peribadinya seperti di dalam sajak “Ingin Aku” (34) atau dalam sajak “Puisi dan Nasi” (3) Shapiai menyatakan betapa puisi baginya: “adalah nasi/ yang kusuap setiap hari/ dari padi fikiran yang ditampi/ mengupas kemanusiaan ini.”
Menjengah peristiwa sejarah seperti pertikaman Tuah dan Jebat atau percintaan Tuah dan Teja, Shapiai melihat dan mentafsirkannya dengan pertimbangan kritikal. Jika dalam sajak “Pertikaman Tuah dan Jebat” (9) dihadirkan seorang dalang, sajak “Tuah dan Teja” (22) pula, lewat suara Teja disindir perilaku Tuah konon: “tidak mengerti erti cinta/ kerana engkau terlalu setia/ aku telah berkorban/ hanya untuk raja kemenanganmu/ hanya untuk gelar laksamanamu/ hanya untuk anak sungai kemewahanmu!”
Perenungan Shapiai terhadap kesunyataan dalam erti kata yang lebih menepati maknanya banyak dituangkan dalam sajak-sajaknya yang bersifat perenungan seperti “Perhentian 1” (4), “Perhentian II” (5), “Hotel” (7), “Menjelang Malam” (11), “Lagu Larut Malam” (15) atau “Perjalanan di Waktu Subuh” (17).
Malah lewat sajak-sajak kategori ini, terserlah kepasrahan Shapiai yang diungkap lewat metafora dan juga personafikasi yang memukau seperti “aku pengembara memburu restu”, “menghapus kenangan yang tercalar”, “memulangkan kunci amanah”, “dunia jaga yang keras dan meminta”, “Kugulung segala hasrat” atau “kabut khuatir menyentuh kulit keraguanku.”
Dari aspek biografi pengkaryaannya, Shapiai yang juga menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH ini berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan lahir pada 26 Ogos 1950. Selain menulis sajak, beliau juga menulis cerpen, rencana dan novel. Kerana itu jugalah, keberadaan Shapiai sebagai pengarang dan penyair sering disebut secara seiringan.
Ini bukanlah hal yang menghairankan kerana sebagai pengarang, Shapiai pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA 1983, tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA VI dan hadiah saguhati dengan cerpen “Suamiku” pada tahun 1991 dan cerpen “Menunggu Kemajuan” pada tahun 1986.
Pendikan awal beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping. Kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim (1969-1970), kursus perguruan khas dalam bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1976. Tahun 1988 melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) hingga selesai.
Sebagai guru beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim di Kulai. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bharu (1984-1998) dan kemudian di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.
Shapiai mula menulis pada tahun 1971 dengan penyiaran cerpen pertamanya berjudul “Akrylazam” di Mingguan Malaysia. Karyanya, selain berupa puisi, juga cerpen dan rencana termuat dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Harian dan lain-lain.
Kumpulan cerpen perseorangan beliau yang telah diterbitkan ialah “Perjalanan Ke Z” (DBP:) dan sebuah novel berjudul “Gerimis Perkahwinan” (Marwilis Publisher:). Pada 1993 memenangi salah satu Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena dengan puisinya “Membina Taman” dan sebelumnya untuk anugerah yang sama pada tahun 1989. Anugerah untuk Sayembara Cerpen Esso-Gapena pula diraih pada tahun 1983 dengan cerpen berjudul “Pak Su”, tahun 1984 hadiah kedua, 1986 dengan cerpen “Menunggu Kemajuan” dan hadiah saguhati pada tahun 1991 dengan cerpen “Suamiku”.
Di genre puisi, karyanya termuat dalam beberapa antologi bersama. Shapiai memenangi hadiah khas Berita Harian 1985 dengan puisi berjudul “Pertikaman Tuah dan Jebat”, tahun 1989 antara pemenang hadiah puisi Hari Kemerdekaan dengan puisi berjudul “Di Atas Mimbar Merdeka”, antara pemenang hadiah puisi Hari Kebangsaan 1991 dengan puisi “Membina Taman”. Tahun 1991 beliau juga meraih anugerah Hadiah Puisi Alam Sekitar. Tahun 1997 memenangi hadiah Utusan_Public Bank bagi kategori puisi dengan puisinya “Hujan Melebat Dalam Dirimu”. Tahun 1995 dan 1999 memenangi Anugerah Sastera Negeri Johor Darul Ta’zim kategori puisi.
Sejak 1971 hingga kini menetap di Johor dan bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974, sebagai Setiausaha Dua (1977-1998) dan kini sebagai Setiausaha Satu. Pada tahun 1991 beliau menyertai Program Penataran Sastera di Indonesian tajaan DBP. Tahun 1997 mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA selama dua belas hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.
Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 23 Mei 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
7 ulasan:
Tahniah tuan atas esei yang tersiar dalam MM hari ini!^_^
Marsli N.O,
Saya dengan rendah diri dan berbesar hati merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas ulasan terhadap buku kumpulan puisi, 'Melihat Kesunyataan' itu. Lebih-lebih lagi ulasan ini disiarkan dalam satu halaman penuh dalam MM 23 Mei hari ini. Ulasan seumpama ini sebenarnya akan memberi keyakinan kepada saya untuk terus berkarya. Selama ini saya berasa saya tidaklah sesiapa dalam kesusasteraan Melayu masa kini.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Marsli.
Sdr A Muziru: Selamat berkarya.
Marsli N.O,
Mohon untuk menyalin semula esei ini unntuk pengisian bolg saya.
Sdr Shapiai: Terima kasih atas tanggapan terhadap tulisan saya yang tidak sepertinya. Andai bisa menggembira dan bermanfaat buat Sdr, saya tumpang berasa bahagia. Silakan menyiarkannya di blog Sdr. Selamat terus berkarya.
Marsli N.O
Salam singgah Sdr MARSLI,
Ulasan yang mengalir jernih dan sampai tenang ke muara bahagia. Kedua-duanya(Tuan Haji Shapiai dan Ramli Selamat)insan yang saya kagumi dan hormati. Selalu.
Teruskan berkarya demi bahasa dan bangsa Melayu...
Sdr Ilham Ainol: Selamat berkarya lebih gencar.
Catat Ulasan