Selasa, Mei 25, 2010

KECELAKAAN BERJUDI

SEMALAM, tanggal 24 Mei 2010 hari "meriah" bagi mereka yang bertugas secara rasmi dengan majikan yang dipilih oleh rakyat. Bank dikerumuni dan helaian kertas kecil penyata pengeluaran wang yang tidak ingin disimpan, membeludak memenuhi tong sampah kecil di sudut bilik berkaca mesin pengeluaran wang.

Sesudah Subuh saya menghitung-hitung jumlah baki pendapatan dengan segala macam bil yang perlu dilunasi. Segala simbol dalam kira mengira digunakan: campur, tolak, dharab dan bahagi. Ternyata hasilnya tetap sama. Ada lebihan tunggakan bil berbanding baki pendapatan.

Saya tercenung. Di mana hendak dicari lagi tambahan sebanyak beberapa ratus untuk melangsaikan tunggakan?  Kalau lambat dijelaskan, rumah bakal bergelap, telefon bakal disekat dari membuat sebarang panggilan dan sekaligus juga menyekat akses saya ke dunia siber.

Saya mengeluh berat. Di mata imaginasi saya terbayang deretan iklan syarikat "pembantu" penyelesai masalah  kewangan. Tetapi kerana banyak sudah kisah dan berita mereka yang akhirnya telah   terjerat hanya bermula dengan jumlah pinjaman yang pada mulanya kecil, saya lekas-lekas menghapuskan bayang imaginasi itu dari fikiran.

Kemudian muncul pula bayangan  kedai penjual nombor taruhan. Dengan membeli satu tiket mencatatkan empat digit nombor, kalau meraih tempat pertama, saya boleh meraih wang kemenangan ribuan ringgit.

Tetapi sekali lagi saya lekas-lekas melupuskan bayang imaginasi itu dari fikiran. Saya tidak  mahu bersikap dan berlagak sebagai wali dengan mengatakan bahawa sesiapa yang membeli nombor taruhan  itu sebenarnya manusia yang buruk akhlaknya. Memang sudah jelas hukumnya. Tetapi saya tidak mahu menghukum sesiapa yang telah, sedang atau pernah membelinya sebagai manusia yang bermoral rendah.

Saya katakan begitu kerana pada suatu waktu, didorong oleh perasaan mahu mencuba dan merasai  sendiri pengalaman membeli nombor taruhan atas nama seorang seniman, saya pernah beberapa kali membeli nombor taruhan, tanpa terlalu menyimpan harapan untuk menang hadiah pertama atau saguhati.

Saya tidak berasa terkilan atau rugi kerana tidak menang apa-apa hadiah. Niat saya hanya untuk menempuh satu pengalaman yang real, dalam batas yang tidak sampai memudaratkan diri saya atau keluarga, yang saya harap satu waktu boleh saya fiksikan pula.

Saya secara peribadi sangat faham dan mengerti bila diberitahu betapa berjudi itu sebenarnya sesuatu yang boleh mendatangkan bencana serta kecelakaan.


Secara peribadi, kurang lebih tiga puluh tahun dahulu  saya pernah melalui sendiri apa yang dikatakan kecelakaan akibat berjudi itu. Kerananya,  saya beraya di dalam hutan bersama tiga orang teman senasib di sebuah kongsi  pekerja ladang. Tuhan sahaja yang tahu betapa sedih dan terharunya hati bila mendengar laungan takbir Idulfitri di radio. Saya menutup telinga untuk mengelak air mata terus berderai dan  mengalir.

Puncanya, dua malam sebelum Idulfitri, saya turut sama berjudi dengan kaki judi secara kecil-kecilan di rumah kongsi. Semua wang yang saya simpan untuk pulang beraya hangus di tikar judi. Saya ternganga dan tidak mampu berkata mengenangkan diri yang akan beraya di dalam hutan. 

Pengalaman yang ditempuh sendiri sememangnya pengajaran yang mudah menginsafkan. Sejak peristiwa itu saya tidak pernah lagi bermain judi.  Berdasarkan pengalaman sendiri, saya dengan tegas berani menempelak sesiapa yang mendakwa betapa dengan berjudi sesorang boleh menjadi kaya. Berdasarkan pengalaman sendiri, dakwaan itu adalah karut dan dusta!

Kerana itulah, walau sedang terkial-kial berfikir cara dan bagaimana hendak mendapatkan tambahan beberapa ratus ringgit untuk memperjelaskan tunggakan bil, saya tidak tergerak untuk berjudi.

Malah, begitu saya membayangkan di dalam fikiran, kalau saya ditakdirkan menjadi seorang  ketua negara, betapa pun negara saya sedang dihimpit masalah kewangan, saya tidak fikir dengan meluluskan lesen judi maka negara yang saya pimpin serta tadbir akan terlepas dari beban kepapaan.

Tetapi itu hanya igauan di dalam  imaginasi. Saya bukan pun seorang pemimpin negara. Saya hanya seorang ketua sebuah keluarga yang sederhana, yang selalu berusaha menghidupkan keluarganya dengan sumber yang seboleh mungkin mesti jelas sumbernya dan halalnya.

Dalam keadaan saya tercenung memikirkan, anak perempuan saya yang sudah pun bekerja menghulur sebuah sampul. Ketika saya buka, di dalamnya terselit wang beberapa ratus.


"Untuk membayar bil telefon dan membeli beras," begitu katanya tanpa sempat saya bertanya.

Alhamdulillah. Tuhan telah  membantu saya. 

Dan saya tetap yakin, judi tetap membawa kecelakaan walau bagaimana pun bentuk serta caranya.

Kalau demikian, kenapa masih juga ada mereka yang sanggup menambahkan satu lagi lesen judi?

Mei 25, 2010

4 ulasan:

Hashim Zabidi berkata...

...berjudi samalah dengan berhutang
bukankah hidup ini judi!
berhutang mengirai lapang
berjudi menduga hati
jangan tersalah imbang
memakan diri sendiri...

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang marsli.
sebagai anak - saya terkesan, betapa tanda ingatan kepada kedua ibubapa itu besar impaknya; berapapun nilainya.

Naim berkata...

Ya,
kerana lesen itulah, maka ramai orang yang nipis imannya terliur untuk merasa tuah judi.

---------------------
Ini suatu tragedi ummah di negara yang diisytihar sebagai negara Islam.

@naimisa

MARSLI N.O berkata...

Pak Hashim: Semoga kita dijauhkan dari malapetaka.

Sdr WB Rendra: Selamat membaca.

Sdr Naimisa: Semoga kita dijauhkan darinya.

MARSLI N.O