Memaparkan catatan dengan label Reaksi 2013. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Reaksi 2013. Papar semua catatan

Isnin, Disember 23, 2013

MANUSKRIP ANDA (SAYA) DITOLAK

KELMAREN saya menerima sepucuk surat daripada sebuah penerbit memaklumkan bahawa manuskrip catatan perjalanan saya yang saya kirimkan beberapa bulan yang lalu tidak dapat diterbitkan atau dalam bahasa lebih "sasteranya" ditolak.

Penolakan ini, menurut kandungan surat itu lagi adalah berdasarkan laporan oleh penilai pakar yang telah dilantik dan mungkin bahagian yang dianggap penting daripada kandungan laporan penilai pakar itu dinyatakan sebagai berikut: 1) sekadar catatan perjalanan yang menceritakan apa aktiviti yang disertai; 2) Terlalu berfokuskan kepada negeri yang dilawati dan menceritakan latar sastera di negeri tersebut; dan 3) Bahasa / struktur ayat terlalu dipengaruhi oleh langgam / gaya bahasa Indonesia.

Buat saya, ini bukanlah kali pertama manuskrip saya ditolak. Walau tersimpan sedikit rasa kecewa di dalam hati, namun itu tidaklah sampai membuatkan saya menjadi atau berasa terlalu tersentuh kerananya. Malah saya selalu menghibur diri dengan mengatakan bahawa kalau memang sudah tiada rezeki, belajarlah untuk bersyukur dan tempat yang paling afdal untuk meminta hanyalah kembali kepada Dia yang maha mengetahui serta mengaturkan segala menurut kehendak-Nya.

Secara peribadi saya tidak pernah berasa terkilan apa lagi marah  kepada pihak penerbit  atau sesiapa sahaja yang berada atau bertugas di dalam sesebuah syarikat penerbitan andai setiap manuskrip yang saya kirimkan untuk pertimbangan penerbitan ditolak. Saya tahu dan faham, mereka diberikan tugas dan tanggungjawab yang besar dan berat dan untuk memastikan setiap manuskrip yang diterima sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Untuk itu, mereka pastilah bergantung kepada para penilai pakar yang dilantik dan akan menjadikan pendapat serta penilaian para pakar ini sebagai panutan atau rujukan.

Namun begitu, sudah banyak kali saya mengalami dan membaca salinan laporan para penilai pakar yang dilantik seperti ini, yang bagi saya kelakar  dan sepele. Apa yang djadikan alasan penolakan manuskrip di dalam laporannya bukanlah berkaitan manuskrip sebagai suatu keutuhan seperti pemikiran, konsep dan struktur binaannya,  tetapi hal-hal yang kadang-kadang seperti sengaja dicari-cari sebagai kelemahan seperti misalan di bawah.

Misalnya memberikan komen mengenai kesalahan ketik atau ejaan di dalam manuskrip, menyatakan rasa bosannya selaku penilai berhubung cara penulisan yang memang dipilih pengarang menggunakan banyak teknik ulangan secara sedar kerana ingin ditimbulkan kesan kebosanan di dalam seluruh naskhahnya oleh pengarang,  menyatakan rasa tidak selesanya kerana bahasa dan struktur ayat di dalam manuskrip terlalu dipengaruhi oleh langgam dan gaya bahasa Indonesia, atau dan paling kelakar,  mendefinisikan koleksi surat-surat yang ditulis secara imaginer sebagai manuskrip novel!

Begitu juga tatkala saya membaca dan merenung laporan penilai pakar yang dilantik yang memberikan alasan bagi penolakan manuskrip yang saya terima kelmaren. Banyak persoalan yang kembali timbul di benak saya. 

Misalnya, kalau saya melawat ke sesuatu tempat, apakah menjadi kesalahan kalau saya menceritakan semua aktiviti yang dilangsungi? Atau menurut penilai pakar itu saya mesti menceritakan perkara yang selain itu? Jika benar demikian apakah yang selain itu? Rasa hebat kerana dapat melawat negeri orang? Atau apa? 

Berikutnya, sudah namanya lawatan ke Indonesia, maka yang semestinya saya ceritakan pastilah mengenai Indonesia dan sebagai tanda atau bukti bahawa saya ke sana memang dengan niat mahu berinteraksi dengan situasi serta lingkungan aktiviti seni dan sastera di sana, maka bahan bacaan seperti buku-buku, akhbar yang saya baca sebahagiannya saya petik mana-mana bahagian yang saya rasakan perlu dan ada hubungkaitnya dengan sastera Malaysia.

Kerana itu jugalah dalam petikan itu saya tidak mengubah apa-apa dan kerananya kelihatan bahasa / struktur ayat terlalu dipengaruhi oleh langgam / gaya bahasa Indonesia. Sudah namanya petikan dan sudah saya berikan pun tanda petik (") untuk apa pula saya mengubah-ubah bahasanya. Atau memang ada peraturan bahawa dalam memetik kita boleh mengubah-ubah apa-apa ayat yang kita petik supaya tidak kelihatan lagi sebagai petikan asal?

Membaca pendapat penilai pakar yang menyebut mengenai bahasa / struktur ayat terlalu dipengaruhi oleh langgam / gaya bahasa Indonesia segera mengingatkan saya kepada seseorang. Apa masalah dengan dia dan bahasa / struktur ayat terlalu dipengaruhi oleh langgam / gaya bahasa Indonesia ini? 

Apakah kerana ini maka karya sewajarnya menjadi cacat atau bahasa / struktur ayat terlalu dipengaruhi oleh langgam / gaya bahasa Indonesia memang menjadi suatu kesalahan dalam dunia perbukuan di Malaysia?

Sekali lagi, saya kembali mengajukan persoalan ini bukanlah kerana marah atau terkilan kepada penerbit  atau sesiapa sahaja yang berada atau bertugas di dalam sesebuah syarikat penerbitan andai setiap manuskrip yang saya kirimkan untuk pertimbangan penerbitan tersebut ditolak. 

Secara peribadi saya hanya berasa terkilan kepada mereka yang dilantik sebagai atau berasa dirinya memang terlalu penilai pakar. Sebabnya, apa yang saya baca dan dimaklumkan kepada saya sebagai laporan oleh penilai pakar itu sangat banyak menimbulkan persoalan yang lain.

Terus terang, persoalan saya hanyalah itu!

Disember 23, 2013.

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativiti

Rabu, November 06, 2013

CERITA DAN KHABAR

1
MALAM itu, di kamar 322 Coral Bay Resort, Pangkor, bersaksikan dua teman sekamar, sekali lagi saya mendengar khabar yang sama. Kata tamu yang bertandang ke kamar itu: Saya hendak jemput awak, tetapi ramai orang kata awak begitu awak begini.

Saya hanya ketawa sinis mendengar kata-kata itu dan jauh di dalam hati saya tercenung sendiri memikirkan. 

Namun kerana sudah sejak lama mengambil sikap tidak perduli dengan segala gunjing dan umpat, saya seperti selalu tidak ingin membiarkan itu lama berada di dalam fikiran sehingga sampai membuatkan diri berasa sedih atau terkilan apa-apa.

Hidup saya tidak ditentukan oleh umpatan dan gunjingan orang. Kerana yang mendatangkan rezeki kepada saya hanyalah Dia dan bukannya manusia.

Malah saya sangat tahu dan sedar. Inilah dunia seni dan sastera di mana saya hidup dan bernafas di dalamnya. Dengan segala tipu muslihat dan kerenahnya. Dengan perasaan hasad dan dengki yang tidak berkesudahan, berkroni dan segala macam serta pelbagai lagi.

2
SAYA tahu dan mengaku, sebagai seorang pekerja seni, tentulah pencapaian saya masih tidak setinggi mana dan kerana itulah sampai kini saya masih lagi sanggup ke mana-mana untuk menambahkan ilmu serta pengetahuan.

Saya juga tahu tidak semua yang saya kerjakan itu betul dan saya bersedia untuk ditegor serta diperbetulkan, demi kebaikan dan mutu seni itu sendiri. Namun dalam keadaan dihujat dan sentiasa dihenyak dengan pelbagai tohmah sebagai tidak betul itu, saya masih juga tetap mampu meraih anugerah dan perhatian di luar daerah.

Tetapi mereka yang konon sangat disayang dan dipelihara para aparatus itu bagaimana pula? Kalaulah benar mereka yang lebih hebat, bagus, benar dan betul, kenapa pula tiada suatu pencapaian pun yang telah mereka raih dan capai sehingga kini? Kenapa?

Akhirnya, si bodoh hanya ingin berkawan sesamanya. Saling puji dan memuji dengan pujian yang palsu dan nihil. Meneruskan kesenangan bersama kroni dengan keuntungan seringit dua.

3
SEMUA itu tidak menghairankan hati kecil saya. Kalau mereka yang dilihat dan malah  mengaku dirinya lebih bijak, tahu dan berlandaskan ilmu sedemikian perangai dan laku seninya, apalah hendak dihairankan para pencacai seperti mereka yang pada hakikatnya tidak punya apa-apa begitu.

Itulah realiti dunia seni dan sastera yang saya tahu dan kenal. Kerana itu juga, saya tidak ingin mengambil peduli bila ada lagi yang merungut dan meminta banyak dari dunia ini.

Buat saya, saya bahagia dengan diri saya sendiri dan kerana itu persetankanlah dengan segala umpat dan keji mereka yang iri dan berhati busuk itu.

Saya tetap ingin terus begini. Sendiri. Sendiri. Dan bersendiri.

November 6, 2013

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Khamis, September 12, 2013

HEBAT

SAYALAH rasa saya orang yang paling bertuah dan beruntung yang hidup di dunia hari ini. Saya katakan begitu kerana saya diberikan Allah SWT keuntungan dan kesempatan untuk mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat.

Dan kerana itu jugalah, agaknya, tempias kehebatan mereka yang saya kenal itu tertempias juga ke saya. Kerana tempias itulah maka saya selalu berasa dan terperasan, berbanding dengan mereka yang tidak berkawan atau mengenal orang-orang yang hebat itu,  betapa hebatnya juga diri saya ini.

Misalnya, jika saya menulis sebuah puisi, walau pun pendek dan kontot, saya berasa puisi sayalah yang paling baik dan hebat. Begitu juga kalau saya sudah selesai menulis sebuah cerpen, novel atau baru sebentar turun dari pentas selepas membacakan sebuah sajak. Saya berasakan alangkah hebatnya juga karya dan bacaan saya itu, mengalahkan semua karya dan bacaan orang lain yang tentu sahaja pada anggapan saya tidaklah sangat hebatnya itu berbanding dengan karya dan bacaan sajak saya.

Memang seronok dapat mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat. Walau pun kadang-kadang kehebatan itu tidak apa-apa atau setara mana pun dengan kehebatan dalam erti dan maksud yang sebenarnya.

Seperti juga diri saya yang selalu dan suka perasan ini. Konon-konon sayalah yang paling hebat. Walau pun hakikatnya tiadalah apa sangat yang hebatnya.

September 12, 2013
 

Rabu, September 11, 2013

WATAK KECIL

PULUHAN tahun dahulu saya sudah melihat dan menemuinya di setiap acara yang saya juga hadir atau datang. Di mata saya waktu itu, dia sekadar satu watak, sama seperti sekian jumlah watak-watak lain yang saya lihat dan temui di mana-mana.

September 11, 2013


Ahad, Ogos 25, 2013

TANYA YANG RINGKAS

SEMOGA tanya yang ringkas itu dapat mengajak dia kembali ke negeri sendiri. Namun setiap orang bebas memilih untuk mahu ke mana melangkah dan menjengah. Atau demi kesombongan dan gengsi kadang melihat ke negeri luar itu dapat memberikan rasa diri yang lebih tinggi.

Ogos 25, 2013

Khamis, Ogos 15, 2013

KUASA + KUASA + KUASA + KUASA

KERANA dengan kuasa manusia boleh bertindak dan memerintah orang lain yang tidak memilikinya, maka ramai manusia menjadi pelahap dan tamak ingin memilikinya, dan kemudian, pelbagai usaha diikhtiarkan, tanpa peduli secara benar atau salah, untuk mempertahankan kuasa yang sudah berada di genggaman.

Sehingga akhirnya,  tatkala ketamakan terhadap kuasa mengatasi segala-gala, manusia tega menyunglap dirinya menjadi tuhan dan berasa dirinyalah  yang berhak menentukan hidup atau mati orang lain.Walau mereka tahu mereka tidak berhak untuk menjadikan dirinya tuhan, tetapi ketamakan dan rasa haloba, menjadikan para pelahap kuasa ini buta untuk melihat cahaya kebenaran serta keadilan dan terus bermaharaja lela.

Mereka berpura-pura lupa atau tidak tahu bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dalam menentukan segala dan janji balasan yang setimpal terhadap setiap perbuatan manusia di atas muka dunia ini seolah tidak pernah membuat hati dan perasaan mereka untuk tunduk.

Ogos 15, 2013

Jumaat, Julai 12, 2013

KITA TERLALU APOLOGETIK ?


KITA, khususnya para politikus kampungan dan kawakan sering bercakap mengenai semangat perpaduan nasional atau kebangsaan. Puluhan tahun lalu, dasar kebangsaan atau nasional ini sudah pun ditetap serta diputuskan. Tujuannya tidak lain adalah sebagai suatu cara kearah memupuk perpaduan di kalangan bangsa yang pelbagai di negara untuk menyatu utuh dalam sebuah negara bernama Malaysia.

Aspek terutama yang dilihat sebagai alat atau tool kearah penyatuan serta perpaduan ini  adalah lewat bahasa dan sistem pendidikan yang menggunakan suatu bahasa kebangsaan sebagai pengantarnya, dengan bahasa Melayu yang sedia dimaklum sebagai bahasa kebangsaan sebagai mana ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan negara.

Namun setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, persoalan kebangsaan dan penyatuan ini masih seringkali berdepan problema akibat ulah segelintir oportunis politik tertentu, yang cuba menjadikan isu ini sebagai alat meraih sokongan pengundi serta simpatisan dari pihak bangsanya sendiri.

Tidak cuma di sistem pendidikan yang sampai kini hasrat mewujudkan sebuah institusi pengajaran yang dapat menggabung serta menyatukan semua anak bangsa dalam sebuah institusi dengan pengantar bahasa kebangsaan yang dapat menyatukan menempuh jalan buntu. Di sastera yang sepatutnya menjadi alat penyatuan kemanusiaan yang lebih bersifat sejagat  juga turut digeser isu dengan persoalan yang hampir kurang sama yang mana dikoarkan dengan tanda pengenal Melayu dan bukan Melayu.

Persoalan kita, perlukah ada lagi istilah dan pembedaan penulis bukan Melayu dengan Melayu sebegini? Bukankah sudah jelas bahasa kebangsaan negara Malaysia kita adalah Bahasa Melayu. Jadi, siapa yang menulis dalam bahasa Melayu adalah layak disebut penulis Malaysia. Tanpa mengira apa bangsanya. Sementara yang menulis dalam bahasa kaum atau bangsanya tetaplah kekal sebagai penulis kaum dan bangsanya.

Kenapakah setelah lebih 50 tahun merdeka dan semua sudah tahu dasar serta ketetapan kebangsaan itu, hari ini masih ada lagi yang bercakap mengenai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu sebagai penulis bukan Melayu dan tidak disebut sebagai penulis Malaysia? 

Apakah kita sengaja membutakan diri dengan dasar kebangsaan atau nasional yang sudah puluhan tahun ditetap serta diputuskan itu? Apa masalah kita sebenarnya? Apakah kerana sudah kehabisan modal politik maka isu ini pun hendak dipermainkan oleh para oportunis itu? Kenapa kita tiba-tiba menjadi bangsa yang terlalu apologetik hanya kerana sebaris kata dalam sebuah novel atau kerana ada sebahagian oportunis yang tiba-tiba berkoar. 

Kenapa? 

Julai 12, 2013

Isnin, Julai 08, 2013

LUNTUR

BODOHLAH siapa  yang mempercayai betapa segala hanya kerana dirinya. Kerana kehebatan dan kuasa manusia, tidak mampu mengatasi kehebatan dan kekuasaan Tuhan. Apa lagi hanya untuk secuil peluang dan rezeki perlu menjilat pantat si bejat dan petualang!

Julai 7, 2013

Ahad, Julai 07, 2013

CERITA

SEGALANYA adalah keduk untuk menutup wajah sebenar diri. Kebejatan dan kebusukan diri disembunyikan. Agar di hadapan setiap orang kelihatan alangkah bijak dan hebatnya diri, alangkah mulia dan beradabnya diri. Sedang di belakang pengetahuan orang banyak, busuknya mengatasi bangkai dan danur.

Julai 6, 2013

Jumaat, Julai 05, 2013

MALU

BIARKAN mereka  pencuri yang licik itu terus bersangka bahawa tiada siapa tahu kerja mencuri mereka. Walau atas nama dan dalih apa. Pencuri tetaplah pencuri.

Julai 5, 2013

Jumaat, Jun 28, 2013

KENAL


INILAH dunia  yang saya tahu dan kenal dan saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya, untuk memberi dan meninggalkan  sesuatu yang berfaedah serta berguna kepada masyarakat.

Saya tidak tahu dengan pasti apakah saya memang sudah meninggalkan sesuatu itu. Kerana, saya hanya ingin terus menerus menulis dan berkarya menurut kemampuan yang saya ada dan soal yang selain itu biarlah masyarakat atau pembaca yang menilainya.

Walau semakin lama berada di dunia ini  dan semakin saya dipanjati usia semakin banyak saya temui benda dan perkara yang menurut hemat saya yang dhaif ini tidak sepatutnya berlaku, namun saya memilih untuk tidak terlalu mahu ambil peduli atau berasa terganggu, sehingga mengganggu niat awal dan asal saya memasuki dunia ini.

Biarlah. Saya tetap ingin terus begini. Menulis dan berkarya menurut apa yang saya yakini benar.

Tidak mengapalah jika saya tidak memiliki gelar, misalnya: doktor, sarjana, atau sasterawan negara. Tidak mengapa  dan itu sebenarnya bukan pun menjadi matlamat yang ingin saya kejar.

Apa lagi jika di depan mata saya sendiri saya melihat sebahagian mereka yang bergelar ini berbuat dan bertindak tidak sebagai layaknya gelar yang dia miliki. 

Misalnya, wajarkah mereka yang bergelar ini  saling berebutan dan menjatuhkan antara satu sama lain, menyebarkan fitnah dan mencemoh-cemoh sesama sendiri, dan lebih parah lagi, tidak bersedia untuk menerima pandangan berbeda  orang lain semata-mata kerana berasa dengan gelar yang telah dia miliki betapa dia terlalu maha tahu dan terlalu maha pandai.

Inilah dunia yang saya tahu dan saya kenal. Dan kerana saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya, untuk memberi dan meninggalkan  sesuatu yang berfaedah serta berguna kepada masyarakat, maka saya memang memilih untuk tidak mahu mengambil peduli perbuatan-perbuatan yang bagi saya bejat dan munafik itu.

Biarkanlah mereka dengan dunia mereka dan saya akan tetap bersendiri menatap bulan dan menatap matahari. Walau betapa pun bulan dan matahari itu semakin dilitupi jerubu sejak beberapa hari ini!

Jun 28, 2013.

Rabu, Jun 26, 2013

TONGONG TAHAP GABAN


MEMANG tahap gaban tongongnya itu.

Kalau takat 15 orang yang hadir. Taraf dunia apanya.

Sudah-sudahlah buat benda yang merepek begitu. Kalau kau memang dasar muka tidak tahu malu. Janganlah kau hendak ajak orang lain pun sama jadi bodoh macam kau.

15 orang. Taraf dunia apanya? Tahi kucing.

Jun 26, 2013

Rabu, Jun 19, 2013

SOMBONG


TIDAK mengapa kalau tiada apa gerakan lagi di dalam hati saya untuk mengirim ke awak. Ini bukan soal lagi mengenai selera atau kesesuaian yang perlu saya patuhi. Dalam usia begini saya sudah memilih untuk menulis apa yang saya suka sahaja dan bukan kerana hendak penuhi kehendak orang-orang seperti awak supaya diterima dan disiar.

Itu zaman yang sudah lama berlalu atau hanya buat mereka yang kurang percaya dengan diri sendiri.

Dengan kesombongan yang awak berikan itu, demikianlah saya membalas dan menjawab. Saya peduli apa kalau awak, misalkanlah, pakai gelaran jenderalkah, sifukah, mentorkah. Peduli apa. Itu awak punya pasallah. 

Saya menulis kerana mahu meraikan diri sendiri. Cuma itu. Mana saya ambil peduli awak suka atau tidak. Awak hendak siar atau tolak. Pun awak punya sukalah. Tugas saya menulis sudah selesai. 

Kalau sampai ke tahap hendak mengikut-ikut apa yang awak hendak, minta maaflah.

Tidak mengapa kalau saya tidak kaya dan karya saya tidak menjadi best seller.

Minta maaflah.

Jun 19, 2013
 

Selasa, Jun 18, 2013

HEBATNYA AWAK, SI TOLOL


HEBATNYA awak kan?

Dengan segala yang awak pamer dan ceritakan itu. Memang hebatlah awak. Laramlah sebanyak mungkin apa yang awak ada. Lagilah bertambah nampak hebatnya awak.

Walau awak sebenarnya adalah si tolol yang mengulang-ulang dan kehilangan jejak diri.

Jun 18, 2013

Rabu, Mac 13, 2013

INDIE




KATA ini sudah saya dengar dikoarkan sejak tahun 2000 atau akhir 1990-an. Mungkin untuk semacam pengisytiharan mengenai sekelompok orang yang kononnya tidak sudi berada di mainstream dan hanya mahu bergerak secara bebas. Istilahnya dilabelkan dengan filem, muzik, teater dan  sastera.

Mungkin juga kata ini, indie, semacam label yang disebut dengan rasa megah, yang konon membawa makna mengemukakan sesuatu yang lain di segi aliran dan cara berfikir di dalam karya. 

Di dunia seni dan sastera negeri ini, siapa sahaja  boleh mendakwa segala macam untuk meninggikan martabat diri atau egonya sendiri: penyair, pembuat filem, pengarang, blogger, pemusik, seniman, penerbit atau penyanyi. 

Apa lagi kalau sudah punya sejumlah teman, penyokong, penggemar atau pengikut. Walau kadang-kala dakwaan itu ternyata hanyalah sesuatu yang palsu dan bukan sepatutnya kerana apa yang disebut sebenarnya jauh panggang dari api.

Sehingga semakin lama makna indie dalam erti kata yang sebenar itu pun semakin menjadi lusuh dan tidak bernilai. Antaranya kerana kepongahan yang lebih kepada gaya dan aksi tetapi bukan dalam sikap, pemikiran dan inti dalaman karya.

Apa lagi bila kelompok yang mengaku dirinya indie mengisytiharkan pula di dalam kelompoknya punya seorang jenderal, atau ada yang mengaku dirinya jenderal. 

Jika sudah begitu, apa yang indienya?

Mac 12, 2013

Selasa, Mac 12, 2013

CATATAN RINGKAS MENGENAI REAKSI


TERIMA KASIH kepada yang sudi membaca dan kemudian memberikan reaksi untuk sejumlah entri yang saya poskan di blog saya ini. 

Namun harap juga dimaklum. Betapa saya sulit untuk menerima pujian-pujian yang saya rasakan bukan hak saya untuk menerima dan demikian juga dengan kritik dan cemoh yang sangat tidak jelas asal usulnya. Saya juga tidak mungkin menerima dan menyiarkan reaksi yang dikirim oleh siapa sahaja yang tidak jelas identiti dirinya, sama ada itu berupa pujian, dokongan, sokongan dan apa sahaja yang sejenis dengannya.

Saya mungkin menulis di sini dalam  keadaan separa sedar, atau mungkin juga terlalu beremosi dan syok sendiri, kadang-kadang. Saya akui itu. Namun satu hal, saya biasanya tidak mahu berbohong dengan diri saya sendiri dan kerana itu menulis apa yang sedang saya fikir dan rasakan dengan tanpa berselindung. 

Saya tahu sikap itu memang dan akan boleh melukakan sebahagian orang lain yang mungkin singgah dan datang untuk membaca, walau saya sama sekali tidak berniat menujukan tulisan itu kepada mereka. 

Apa boleh buat. Saya tidak boleh menghalang untuk orang lain berasa dan terasa. Walau pun saya selalu memilih untuk hanya bersendiri dengan diri saya sendiri dan tidak ingin ambil peduli yang selain itu.

Mac 12, 2013

Isnin, Mac 04, 2013

MEREKA BERTIGA

SEJARAH seakan menetapkan betapa mereka berdosa kerana menuliskan sesuatu yang kabur dan sehingga kini dakwaan itu diteruskan lagi oleh generasi pembaca (yang  menilai), generasi yang lebih muda dan hidup di abad yang lebih moden, namun kelihatannya  lebih senang untuk tetap terus menjadi pengulang.

Memang melihat kembali sesuatu yang telah didakwa dan menjadi semacam tanda dengan penilaian baru memerlukan keberanian yang tidak sedikit. Tetapi inilah cabaran untuk setiap yang ingin berada di jalan sastera dengan sikap  intelek yang tulus atau yang mengaku sebelumnya sebagai generasi yang lebih memahami dan terbuka.

Penilaian pertama oleh seorang yang bernama Kassim Ahmad, yang menjatuhkan hukuman secara diktator sekitar Julai 1958 di majalah Dewan Bahasa kelihatannya sampai kini tetap dianggap sesuatu yang mutlak dan sah, yang tidak berani kembali dipersoalkan secara lebih terbuka oleh generasi kini.

Dosa mereka adalah kerana melawan arus zamannya. Mereka memilih untuk menyatakan perasaan dan fikiran mereka secara yang berbeda. Ketika menyatakan sunyi, mereka tidak menceritakan sunyi tetapi melukiskan dengan cara dan gaya mereka  sendiri kesan dan akibah kesunyian itu. Mereka bertiga memang tidak menyuguhkan makna secara per se, dalam setiap baris dan kata secara keseluruhan.

Puisi mereka adalah perca-perca perasaan, puzzle fikiran atau ide yang dijalin tidak menurut wacana dan tautan yang klise pada zamannya. Mereka melompat, menerjang, menghardik sesekali dan menyerahkan tafsiran secara bebas kepada pembaca. Makna di dalam puisi mereka bukanlah keseluruhan tetapi berupa cebisan-cebisan. Mereka menjadikan suasana sebagai lambang dan setiap kata hanyalah bidak yang bisa disusun kembali oleh pembaca yang lain.  

Memang. Pada setiap zaman, pelawan zaman selalu dituduh sinting dan durhaka! Tetapi kita lebih berdosa kerana menerima dan meneruskan tudingan!

Mac 4, 2013