Jumaat, Jun 28, 2013

KENAL


INILAH dunia  yang saya tahu dan kenal dan saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya, untuk memberi dan meninggalkan  sesuatu yang berfaedah serta berguna kepada masyarakat.

Saya tidak tahu dengan pasti apakah saya memang sudah meninggalkan sesuatu itu. Kerana, saya hanya ingin terus menerus menulis dan berkarya menurut kemampuan yang saya ada dan soal yang selain itu biarlah masyarakat atau pembaca yang menilainya.

Walau semakin lama berada di dunia ini  dan semakin saya dipanjati usia semakin banyak saya temui benda dan perkara yang menurut hemat saya yang dhaif ini tidak sepatutnya berlaku, namun saya memilih untuk tidak terlalu mahu ambil peduli atau berasa terganggu, sehingga mengganggu niat awal dan asal saya memasuki dunia ini.

Biarlah. Saya tetap ingin terus begini. Menulis dan berkarya menurut apa yang saya yakini benar.

Tidak mengapalah jika saya tidak memiliki gelar, misalnya: doktor, sarjana, atau sasterawan negara. Tidak mengapa  dan itu sebenarnya bukan pun menjadi matlamat yang ingin saya kejar.

Apa lagi jika di depan mata saya sendiri saya melihat sebahagian mereka yang bergelar ini berbuat dan bertindak tidak sebagai layaknya gelar yang dia miliki. 

Misalnya, wajarkah mereka yang bergelar ini  saling berebutan dan menjatuhkan antara satu sama lain, menyebarkan fitnah dan mencemoh-cemoh sesama sendiri, dan lebih parah lagi, tidak bersedia untuk menerima pandangan berbeda  orang lain semata-mata kerana berasa dengan gelar yang telah dia miliki betapa dia terlalu maha tahu dan terlalu maha pandai.

Inilah dunia yang saya tahu dan saya kenal. Dan kerana saya datang ke dunia ini hanya dengan niat untuk menulis, berkarya dan berusaha dengan sedikit kemampuan yang Allah berikan kepada saya, untuk memberi dan meninggalkan  sesuatu yang berfaedah serta berguna kepada masyarakat, maka saya memang memilih untuk tidak mahu mengambil peduli perbuatan-perbuatan yang bagi saya bejat dan munafik itu.

Biarkanlah mereka dengan dunia mereka dan saya akan tetap bersendiri menatap bulan dan menatap matahari. Walau betapa pun bulan dan matahari itu semakin dilitupi jerubu sejak beberapa hari ini!

Jun 28, 2013.

Rabu, Jun 26, 2013

TONGONG TAHAP GABAN


MEMANG tahap gaban tongongnya itu.

Kalau takat 15 orang yang hadir. Taraf dunia apanya.

Sudah-sudahlah buat benda yang merepek begitu. Kalau kau memang dasar muka tidak tahu malu. Janganlah kau hendak ajak orang lain pun sama jadi bodoh macam kau.

15 orang. Taraf dunia apanya? Tahi kucing.

Jun 26, 2013

Rabu, Jun 19, 2013

SOMBONG


TIDAK mengapa kalau tiada apa gerakan lagi di dalam hati saya untuk mengirim ke awak. Ini bukan soal lagi mengenai selera atau kesesuaian yang perlu saya patuhi. Dalam usia begini saya sudah memilih untuk menulis apa yang saya suka sahaja dan bukan kerana hendak penuhi kehendak orang-orang seperti awak supaya diterima dan disiar.

Itu zaman yang sudah lama berlalu atau hanya buat mereka yang kurang percaya dengan diri sendiri.

Dengan kesombongan yang awak berikan itu, demikianlah saya membalas dan menjawab. Saya peduli apa kalau awak, misalkanlah, pakai gelaran jenderalkah, sifukah, mentorkah. Peduli apa. Itu awak punya pasallah. 

Saya menulis kerana mahu meraikan diri sendiri. Cuma itu. Mana saya ambil peduli awak suka atau tidak. Awak hendak siar atau tolak. Pun awak punya sukalah. Tugas saya menulis sudah selesai. 

Kalau sampai ke tahap hendak mengikut-ikut apa yang awak hendak, minta maaflah.

Tidak mengapa kalau saya tidak kaya dan karya saya tidak menjadi best seller.

Minta maaflah.

Jun 19, 2013
 

Selasa, Jun 18, 2013

HEBATNYA AWAK, SI TOLOL


HEBATNYA awak kan?

Dengan segala yang awak pamer dan ceritakan itu. Memang hebatlah awak. Laramlah sebanyak mungkin apa yang awak ada. Lagilah bertambah nampak hebatnya awak.

Walau awak sebenarnya adalah si tolol yang mengulang-ulang dan kehilangan jejak diri.

Jun 18, 2013

Sabtu, Jun 01, 2013

MENERIMA


PENGALAMAN bekerja  di sebuah  pusat perawatan psikiatri beberapa tahun dahulu telah memungkin saya melihat dengan mata kepala sendiri perlakuan abnormal manusia ketika dalam keadaan di luar kontrol atau kawalan sedarnya sendiri.

Tetapi saya tidak melihat segala perlakuan mereka ini  dengan mata penghukum atau menjatuhkan nilai begitu atau begini. Sebaliknya, selain memang atas tuntutan tugas,  dengan mata seniman, saya melihat perilaku mereka ini sebagai suatu fenomena, gejala, tanda-tanda, untuk saya kembali menyedarkan diri sendiri dan lebih memahami perangai manusia yang mengaku diri mereka sihat dan walafiat di dunia nyata yang juga kononnya dikatakan bertamadun dan sihat itu.

Ternyata di dunia yang didakwa sebagai sihat dan penuh dengan manusia bertamadun itu sebenarnya sama sahaja dengan dunia di dalam pusat perawatan psikiatri.  Yang berbeza, manusia yang mengaku dirinya sihat dan bertamadun di dunia nyata ini mempunyai kecerdikannya yang tersendiri untuk menyembunyikan keperibadian sebenar dirinya di dalaman yang bejat, busuk dan senewen dengan cara  menyarung dan bertukar topeng mengikut waktu serta keperluan masing-masing.

Saya tahu kesimpulan yang saya simpulkan sendiri ini mungkin agak terlalu. Tetapi saya tetap yakin dan berpegang kepada kesimpulan itu kerana saya mengalami sendiri sebahagian besar peristiwa atau kejadian yang saya jadikan patokan itu.

Katalah saya paranoid atau terlalu sering berhalusinasi, saya tidak peduli. Pengalaman disakiti, digunjing dan dicerca, yang sebahagian besar watak dan pemain utamanya adalah manusia yang dijempoli banyak pengagumnya sebagai berilmu dan berintelek, yang sudah terlalu jenuh saya terima semakin menguatkan keyakinan saya mengenai kegilaan manusia yang konon diakui sihat dan hidup di dunia bertamadun itu. 

Apa lagi kalau saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana kalau yang abnormal itu pun sebahagiannya bertugas di pusat-pusat untuk memberikan kesihatan mental dan fizik kepada manusia, yang dengan segala tipu daya serta muslihat mahu menjatuhkan sesamanya demi kenaikan pangkat atau gred.

Secara peribadi saya sudah tidak begitu terlalu berasa disakiti lagi dengan segala perbuatan mereka. Kerana, semakin berusia saya juga  semakin memahami perangai dan resam mereka yang bernama manusia. Dengan begitu, saya juga semakin berasa tidak perlu dan tidak ingin untuk bersedih memikirkan segala.

Saya tidak akan merubah keyakinan saya. Pengalaman disakiti dengan cerca, gunjing dan fitnah, sudah cukup banyak mengajar saya untuk bertahan dan mencarikan penawar untuk mengubat segala duka lara sendiri. Saya tidak lagi perlu misalnya untuk berasa hairan memikirkan kenapakah sesuatu yang tidak pernah saya ucapkan  tidak semena-mena  disebarluaskan konon sayalah yang telah mengucapkan.

Saya sedar, hidup dan mati saya bukan kerana cerca atau gunjing orang lain. Begitu juga dengan rezeki dan peluang. Saya tahu mereka yang bernama manusia hanyalah peminjam, namun bukan penentu. Kerana saya lebih percaya kepada Dia yang mencipta dan memberi. Mati dan hidup, atau rezeki saya, bukan manusia yang menjadi penentu. Saya meyakini itu.

Kerana itu jugalah saya menciptakan sajak ini. Rasa sakit dan terhina kerana gunjingan untuk sesuatu yang tidak pernah saya perbuat, atau cercaan, saya tawarkan dengan doa dan zikir kepada Dia Maha Pencipta.  Saya tidak akan terlalu bersedih lagi kerana perbuatan bejat sesama manusia.

Marsli N.O
MENERIMA

Segala yang cuba 
mereka sembunyikan
di sebalik topeng 
terdedah dan terbuka juga

kebohongan, hipokrasi 
dan ego manusia

dan kerana sudah lama tahu
juga  belajar menerima
hakikat dunia dan manusia

aku tidak lagi menjadi
perasa yang terlalu berduka 

SBPI, Kuantan
Oktober 31, 2012

Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 25 November  2012

Jun 1, 2013