Isnin, Mac 30, 2026

KISAH NOVER PENDERHAKA

KISAH NOVEL PENDERHAKA Coretan MARSLI N. O 

Naskhah novel ini saya selesai menaipnya pada tahun 1991. Sejak tahun 1991 itu, saya menjaja naskhah novel ini kepada beberapa penerbit untuk pertimbangan diterbitkan. 

Tetapi di tengah maraknya minat pembaca dan penerbit, terutamanya Creative Enterprise, menerbitkan novel cinta dan kemasyarakatan beraliran realis ketika itu, naskhah novel saya ini tentulah ditolak. 

Satu saat, sekitar akhir tahun 1990-an, saya serahkan naskhah novel ini kepada seorang kawan yang kini sudah bergelar pengkritik sastera terkenal untuk mendapat pandangan dan saran. Jawab yang saya terima sangat mengecewakan. 

Antara lain dikatakannya naskhah ini ditulis dengan emosi yang meluap-luap dan kurang jelas persoalan yang dibicarakan oleh saya selaku penulisnya. Namun ketika saya pinta huraian lanjut mengenainya, tidak pula saya diberikan penjelasan atau sesuatu yang dapat saya jadikan panutan untuk memperbaiki naskhah novel pertama (kategori umum/dewasa) saya ini, Saya sungguh tidak faham maksud sebenar yang dikatakan pengkritik ini. 

Kerana, jika tanpa emosi mana mungkin saya dapat menulis. Dan saya meminta penjelasan lanjut daripada pengkritik yang membaca naskhah saya itu bukanlah kerana mengharapkan pujian yang melangit yang boleh menjadikan saya seorang pemimpi, tetapi dengan harapan untuk belajar sesuatu darinya. 

Akhirnya bertahun-tahun saya menyimpan naskhah ini di dalam almari dan memendam segala perasaan kecewa agar tidak menjadikan saya manusia yang tewas. Saya melawan dan terus melawan dengan cara kembali menulis dan membaca tanpa henti. Tanpa peduli apa pun yang dikatakan pengkritik mengenai karya saya. Kepada diri sendiri saya peringatkan betapa tiada guna dan perlu lagi saya mengharapkan kritik dan nasihat orang lain seratus peratus ketika berkarya. Buruk atau baik saya harus berusaha sendiri. 

Namun akhirnya, tahun 2009, atas daya usaha dan projek Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, naskhah ini dimungkinkan penerbitannya dan atas daya usaha pegawai projeknya ketika itu, Puan Ariza Ismail terbitlah manuskrip ini sebagai sebuah buku. 

Bagi saya peribadi, novel saya yang berjudul Penderhaka ini amat panjang sejarah penerbitannya.

Mungkin silap saya kerana memilih cara yang sedikit lain untuk menulis dan menyatakan sesuatu. Andai saya memilih jalan lurus, berterus-terang dan menjadi pengekor, mematuhi segala peraturan serta ketetapan cara-cara menulis novel yang sudah diajarkan oleh para pengkritik dan para sifu penulisan novel di negara saya, mungkin tidak sejauh itu saya harus menunggu untuk penerbitan sebuah novel umum saya yang pertama. 

Tetapi saya memang memilih untuk menjadi seorang "penderhaka" dengan cara yang sudah saya pilih sendiri. Dan saya tahu serta sedia menanggung apa saja akibatnya. Kerana saya menulis bukan demi kemasyhuran atau gelaran dan pujian. Tetapi menulis untuk menyatakan sikap dan keyakinan hidup peribadi saya. Untuk menyatakan diri dan keperibadian saya sendiri! Tanpa peduli apa pun caci maki dan kejian orang lain. 

Juga saya sedar dan tahu. Berjayanya naskhah ini diterbitkan sebagai sebuah buku, bukan bererti saya sudah mencapai tahap kehebatan seorang yang bergelar penulis, sehingga menjadi manusia lupa serta sombong diri. 

Sama sekali tidak. Malah saya tetap hanya ingin menjadi air yang terus mengalir. Cukup sekedar itu. 

Marsli NO 
April 21, 2019 

#penderhaka 
#marslinomenulis 
#autobiografimarslino

Tiada ulasan: