Selasa, April 27, 2010

SAYA HANYA INGIN MENULIS, MAAFKAN SAYA


MAAFKAN saya para pembaca yang selalu saya hormati dan kagumi.  Saya mohon maaf  andai  di dalam karya saya yang  dibaca terkesan nada pongah dan sikap mahu berlagak-lagak dari saya.

Saya katakan demikian kerana sebagai manusia biasa yang menulis,  saya tentulah tidak sunyi melakukan kesilapan dan kesalahan, sehingga ada kala dan waktunya di dalam tulisan saya, terkesan seolah-olah saya ini orangnya suka menyombong dan mempongahkan diri.

Namun, andai itu memang benar ada atau terjadi,   saya akui  ini tentulah bukanlah sesuatu yang ingin saya lakukan dengan sengaja atau serta secara sedar.

Sebagai seorang yang menulis saya  sentiasa  menghormati  sesiapa sahaja yang sudi  membaca karya saya. Saya tahu, tanpa sekalian sebagai pembaca apalah sangat makna dan erti sebuah karya yang saya tulis. Dan saya juga tahu,  hanya sesiapa yang benar-benar tekun dan rajin sahaja yang sanggup berlamaan memperuntukkan waktunya untuk membaca.

Kerana rasa hormat itulah, ketika menulis, perkara yang amat saya takut serta cuba selalu  saya elakkan adalah jangan sampai dalam setiap tulisan saya terkesan sikap berlagak dan menyombongkan diri saya.

Kerana bagi saya, walau siapa pun dia pembaca karya saya, saya ingin menghormati dia dengan cara saya.

Untuk dan kerana itu jugalah, sebagai tanda saya menghormati dan menghargai  siapa sahaja yang sudi membaca karya saya, saya ingin mengajak  para pembaca sama berkongsi sesuatu yang saya rasa seperti apa adanya.

Maksud saya, dalam menyatakan sesuatu, baik perasaan dan fikiran-fikiran saya, saya memilih untuk menyatakannnya secara berterus terang, tanpa selindung dan sama sekali tidak ingin berlagak suci bagaikan wali.

Bagai saya, sebagai seorang yang menulis, setelah sebuah karyanya dihantar ke tengah khalayak pembaca, biarlah pembaca yang menilai serta membuat kesimpulannya sendiri. Ini bererti, saya tidak ingin sama sekali mengkhotbahi pembaca karya saya.   Apa yang saya tulis, tidak lain adalah diri saya yang apa adanya, yang tentu sahaja lengkap dengan segala keburukan, kecacatan dan juga sisi baik dan positif di dalam dirinya.

Di dalam karya saya, saya bersedia untuk dinilai sebagai apa sahaja oleh pembaca karya saya. Andai bodoh di mata penilaian pembaca, bodohlah diri saya. Andai tetap dirasakan berguna  di mata pembaca, maka sangat bersyukurlah diri saya.

Namun untuk berlagak-lagak dan berpura-pura di depan pembaca karya saya,  semata-mata demi untuk mempamerkan kehebatan diri saya, tidak sekali-kali mahu saya lakukan.

Andai ketika saya menulis itu saya rasakan perlu menyatakan marah dan jengkel  kerana sesuatu perlakuan yang saya rasakan tidak benar dan tidak adil,  maka di dalam tulisan saya itu saya secara berterus terang akan menyatakan perasaan marah saya itu.

Andai pada momen yang lain, saya rasa saya perlu berteriak dan membentak, maka saya akan meluahkan itu sebagai sebuah tulisan untuk saya kongsikan bersama dengan pembaca.

Walau saya tahu dengan cara yang demikian saya mungkin seperti membukakan diri dengan segala keburukan serta kebodohannya saya sendiri, tetapi memang begitulah sikap dan pendirian saya. Kerana saya memang memilih cara yang demikian.

Walau saya tahu, dengan membukakan diri serta memilih sikap berterus terang itu akan menyebabkan saya mudah disalahmengerti dan dilempar dengan pelbagai tuduhan atau fitnah, saya relakan itu semua kerana saya lebih mempercayai segala ketentuan yang ditetapkan oleh Yang Maha Esa.

Sekali lagi saya tegaskan, tanpa pembaca yang sudi membaca karya saya, apalah sangat ertinya kehadiran saya sebagai seorang penulis.

Tanpa pembaca, saya mungkin hanyalah angin, hanyalah debu atau sekadar secarik bulu di langit luas.

Saya hanya ingin menulis.  Tetapi  kalau kerana itu saya terpaksa menjadi manusia yang tidak mudah patuh, tidak pandai menjilat dan mengampu sesiapa atau sesekali perlu melukakan perasaan orang lain  demi dan atas nama kebenaran,  maafkanlah saya.

Ya, maafkanlah saya kerana kebolehan saya hanyalah menulis dan saya ingin terus menulis.

Terima kasih sekalian  yang sudi membaca karya saya. Dan terutamanya,  terima kasih saya kepada Tuhan yang selalu memberikan saya ilham serta kekuatan!

April 27, 2010

Tiada ulasan: