Selasa, April 06, 2010

SI PIKUN DAN TAKDIR


SAYALAH  kini yang  tidak lagi bererti dan menanti dilenyapkan oleh waktu  yang selalu menderu bersama  angin. Ketika di peterana bergemerlapan itu, sayalah dahulu penentu segala. Pengagum dan penyanjung tidak terpermenai jumlah. Ke mana pergi dan berada sentiasa terdengar sanjung dan puja. Tetapi kini saya hanya debu, hanya secebis, bak  secabik kain yang comot dan tidak berharga, yang  terpengap sendirian di pojok nan gelap. Saya tahu. Setelah nanti bernama sirna pastilah tiada suatu  yang akan saya tinggalkan di dunia. Walau dahulu sayalah segala yang didatangi dan disanjung hormat sekalian  doyok, pencacai dan barua yang gilakan  gelar.  Kini saya hanyalah si pikun. Si pikun yang   kian dilupakan. Walau dahulu,  kerana bantu dan jasa saya,  maka sekalian mereka itu kini bergelar sudah.  Dan kini, mereka yang sudah bergelar itu jugalah tanpa silu dan segan, bertalu melontarkan ludahnya ke muka saya.

Itulah saya. Si pikun yang menanti dilenyapkan oleh waktu yang selalu menderu bersama angin. Walau dahulu sayalah penentu dan pemberi segala gelar.

TAKDIR
INI memangnya sudah suratan. Saya diakrabi oleh yang namanya Takdir. Seperti kata seorang wartawan, filsofis dan penyair yang kian tenar di ibu kota,  setiap orang memang telah ditakdirkan sama ada menjadi cacing atau belalang.  Saya tidak sama sekali berniat mengingkari. Kalau memang takdirnya saya menjadi belalang, maka belalanglah saya. Andai saya telah takdirnya adalah cencorot, maka cencorotlah saya.

Hinggalah pada suatu ketika. Ketika melintas di jalan, sebuah kereta meluru laju ke arah saya. Saya tidak sedikit berniat mengelak atau menghindar. Kerana saya tahu, apalah gunanya menghindar sesuatu yang memang sudah menjadi takdir  saya. Saya pasrah. Mati dan hidup memang bukan urusan saya. Dan saya memang mati. 

Tetapi keyakinan dan percaya saya terhadap apa yang dikatakan takdir itu mulai menjadi goyah. Ketika sedang dikafankan, saya mendengar beberapa orang berbual. "Kasihan dia. Kemalangan dapat dihindar kalau dia berusaha mengelak atau meloncat. Tetapi tidak. Dia hanya tercegat bagaikan patung. Berdiri di tengah jalan yang sebok," begitu kata salah seorang dari mereka.

Kerana itulah kini, saya berasa saya mati kerana kebodohan saya sendiri. Mati saya adalah mati yang sia-sia.

Kini saya insaf. Mati kerana mempercayai sesuatu secara membuta tuli bukanlah takdir.

Tetapi kebodohan.

April 6, 2010

Tiada ulasan: