Ahad, Mei 31, 2009

SAYA, CHIN PENG DAN KENANGAN

KETIKA Chin Peng dan gerombolannya aktif, saya masih belum dilahirkan dan ketika dilahirkan pada tahun 1957, saya ketika itu masih terlalu kecil untuk tahu dan mengerti siapa dan apa Chin Peng bersama gerombolannya.

Jadi saya lebih banyak tahu mengenai manusia yang satu ini dan gerombolannya hanya dari cerita yang saya dengar dari mulut orang-orang tua begitu saya mulai meningkat remaja dan didorong oleh ghairah ingin tahu.

Mungkin sebahagiannya betul bahawa apa dilakukan oleh gerombolan yang dikaitkan dengannya itu di luar perintah atau pengetahuan Chin Peng. Tetapi bagi banyak orang tua yang bercerita kepada saya ketika saya kian menjadi remaja, nama Chin Peng selalu dihubungkan dengan kata “komunis” dan tindakan segerombolan orang yang datang dari hutan juga, yang kulitnya sama dengan warna kulit Chin Peng, juga dikaitkan dengan kata “komunis” ini. Kerana itu, sulit sekali untuk mengatakan Chin Peng bersih dan suci dari segala dosa dan kesalahan komunis serta gerombolannya.

Dari mulut orang-orang tua inilah saya diceritakan betapa ketika sedang menoreh getah mereka didatangi segerombolan orang dari hutan yang meminta bekalan makanan disediakan. Tentu sahaja dalam keadaan segalanya dikawal mereka tidak mampu memberi dan kerana mereka tahu apa akibahnya jika apa yang dipinta tidak ditunai, mereka tidak berani keluar menoreh lagi selepas itu. Dan bayangkan bagaimana seksanya hidup mereka selepas itu.

Seorang perempuan tua sambil teresak bercerita mengenai suaminya yang mati ditembak di dalam kebun getah. Konon kesalahannya menurut segerombolan orang yang datang dari hutan, suaminya menjadi tali barut askar kerajaan ketika negeri ini masih bernama Tanah Melayu.

Agak banyak cerita yang saya dengar dan himpun mengenai Chin Peng dan orang-orang dari hutan ini. Yang mungkin kalau saya ceritakan kembali, kerana kesamaan dengan cerita-cerita yang pernah dan sudah didengar orang lain, hanya akan menjadi perulangan.

Tetapi saya tidak mungkin boleh melupakan sampai bila kisah yang ini.

Begitu Jepun menyerah kalah dan dalam tempoh peralihan sekitar 14 hari, segerombolan orang yang baru keluar dari hutan dan memanggul senjata, mengisytiharkan diri mereka sebagai pemerintah. Di bandar, diadakan kenduri besar serta perarakan dan datuk, nenek saya, serta orang dari kampung menonton dengan hati kecut dan sebahagiannya menyimpan marah yang membara di dalam hati lantaran berasa diperhina serta diperlekeh ketuanannya.

Menurut cerita yang saya dengar dari orang-orang tua, ketika itulah, mereka yang sebelumnya adalah penjual ikan, taukeh kedai runcit, pembeli getah keping, mempamerkan pistol di pinggang masing-masing dan bertanya dengan nada angkuh: siapa yang menjadi raja sekarang?

Apa yang berlaku mungkin di luar pengetahuan Chin Peng. Tetapi yang berperangai angkuh dan pongah itu tetaplah orang-orang dari hutan yang warna kulitnya sama dengan warna kulit Chin Peng.

Walau mungkin di luar suruhan Chin Peng, tetapi gerombolan inilah yang bertindak menjadi hakim dan menghukum sejumlah orang Melayu atas tuduhan menjadi tali barut Jepun, walhal sebahagiannya dihukum kerana dendam peribadi atau hutang kedai yang tidak dilunasi.

Mereka yang baru keluar dari hutan inilah yang mendakwa dan mengaku dirinya pejuang yang konon sudah berjaya menghalau Jepun dari Tanah Melayu ketika itu. Seolah-olah, yang berjuang hanya mereka dan bukan pasukan Force 136, pejuang kebangsaan dan gerila-gerila Melayu yang turut sama berjuang dan berperanan.

Kemudiannya, mereka yang baru keluar dari hutan ini jugalah yang berbalik melawan tentera British. Puncanya, kerana keengganan mereka menyerah senjata dan British beranggapan peranan ketenteraan mereka juga sudah berakhir. Di samping itu, faktor lain yang tidak kurang pentingnya adalah ini: pihak British tidak bersedia mengiktiraf dan menerima faham komunis Chin Peng dan gerombolannya di negeri yang ketika itu bernama Tanah Melayu

Dan sekarang ada suara yang meminta Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia.

Bagi saya peribadi ini tuntutan dan permintaan yang sungguh kurang ajar. Siapa yang menyuarakan ini bukanlah orang yang tidak membaca sejarah tetapi manusia yang dengan sengaja menganggap orang lain bodoh dan tidak faham apa yang tersirat di sebalik apa yang dia pinta.

Secara peribadi, walau hanya berdasar dan bertolak dari cerita orang-orang tua, ketika semakin mendewasa, saya sempat dan pernah kenal secara luaran dan agak jauh dengan beberapa manusia dari gerombolan Chin Peng yang dikatakan sudah insaf dan kembali hidup di tengah masyarakat.

Walau melihat dan kenal dari jauh, saya tahu sangat bagaimana berlagak dan kurang ajarnya mereka ini ketika berurusan. Cakap mereka lepas bebas tanpa peduli perasaan orang lain dan berbuat sekehendak hatinya sahaja. Hinggalah pada suatu hari, saya melihat seorang dari mereka dihadiahkan penampar oleh seorang yang dianggap gedebe di kampung saya.

Nampaknya, usaha mereka menyatakan kehendak selalu berubah bentuk dan pendekatan. Cara dan jalan untuk masuk dan menuntut dipelbagikan. Tidak boleh plan A dipakai Plan C pula. Tidak boleh secara berlembut, jika perlu dan dirasakan sesuai dengan ugutan pula.

Dan pastikah kita benar-benar faham tentang itu?

Saya tidak pasti itu ketika kini kita lebih asyik saling berbalah dan saling menuding, khususnya di kalangan mereka yang sedang menggenggam lebih kuasa.

Ketika ini jugalah saya terkenangkan sejumlah orang-orang tua yang pernah bercerita mengenai Chin Peng dan gerombolan dari hutan, yang kini semakin berusia, uzur dan meninggalkan saya, yang tentu sahaja juga akan sama melenyapkan kisah dan cerita kekejaman gerombolan dari hutan itu dari ingatan kita.

Mungkin saya hanya berandai-andai, tetapi saya yakin juga, kerana mengenangkan sudah semakin ramai pergi dan pikun orang-orang tua yang pernah tahu dan mengalami sendiri kekejaman gerombolan dari hutan itulah maka ada suara yang sangat kurang ajar meminta Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia.

Tetapi buat diri saya, dan mungkin juga generasi seusia saya yang lain, kami tidak akan pernah lupa kisah ini dan pesan yang menyebut: jangan biarkan negeri ini dijajah orang lain lagi.

Siapakah orang yang lain itu? Kita sama-sama fikirkan dan jawablah sendiri.

Mei 28, 2009

Sabtu, Mei 30, 2009

BUKU, KOTA DAN DUSTA POLITIK


SEBAGAI seorang penulis yang pasti mengharapkan karyanya diterbitkan dalam bentuk buku dan tentu sahaja juga mewajibkan dirinya membaca dan membeli buku, saya secara peribadi tidak begitu cepat berasa ghairah dan seronok, selagi belum benar-benar melihat apa yang dinyatakan oleh seorang politik itu benar-benar menjadi kenyataan.

Inilah kesan yang pertama terbetik di hati dan perasaan saya ketika membaca di akhbar pengumuman seorang menteri mengenai apa yang dinamakan sebagai kota buku.

Saya katakan begitu bukan kerana tidak meyakini atau menganggap segala yang dinyatakan itu sebagai sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan atau sekadar cakap-cakap politik semata-mata.

Sebaliknya, apa yang segera terlintas di fikiran saya ketika membaca berita itu ialah gambaran Kampung Buku di Langkawi yang kini sudah sepi dan tidak disebut orang lagi selepas pencetus idea dan pembinanya tidak lagi berada di kerusi bernama kuasa.

Saya peribadi berasa terkilan dan terharu kerana Kampung Buku, sebuah idea yang dizahirkan dari seorang bekas menteri yang juga diketahui sebagai penggemar buku, sesungguhnya adalah idea yang baik dan bernas dan kewujudannya boleh dimanfaatkan oleh semua orang kini telah sunyi dari liputan dan perhatian orang.

Bagi saya, tiada apa yang salahnya dengan idea yang lontarkan oleh Sanusi Junid dan kewujudan Kampung Buku di Langkawi itu .

Tetapi nampaknya begitulah yang menjadi resam dan budaya di Malaysia. Bila seorang menteri bertukar, segala idea dan institusi yang diutarakan serta sudah diwujudkan sebelumnya, akan turut sama lenyap dan sunyi selepas muncul menteri yang baru mengambil alih posisinya.

Ini tidak hanya terjadi terhadap idea dan kewujudan Kampung Buku sahaja. Yang terdekat atau terhampir adalah idea yang selalu disemboyankan dahulu bernama Islam Hadhari. Juga mengalami nasib sama. Kini sudah tidak kedengaran lagi begitu berlakunya peralihan kuasa.

Walau saya tidak bermaksud mahu mengatakan betapa saya tidak sepenuhnya percaya dengan apa yang dicakapkan oleh seorang politik, tetapi yang selalu mengkhuatirkan saya itulah sebenarnya: idea yang baik dan bernas, yang sudah diinstitusikan selalu menjadi korban bila terjadi peralihan kuasa.

Namun saya juga tidak mahu menjatuhkan hukum atau terlalu mengandai-andai sebelum sesuatu menjadi nyata.

Kerana itulah saya fikir lebih baik saya menunggu dan menanti apa yang dinyatakan itu apakah benar-benar akan menjadi kenyataan atau seperti selalu yang telah dan sudah terjadi: hanyalah cakap politik untuk menyedapkan hati rakyat atau kalangan tertentu yang sedang menuntut sesuatu.

Sebagai rakyat yang membaca dan menulis saya memang berharap kota buku yang dinyatakan itu akan benar-benar menjadi nyata. Setidaknya, di kota buku itu nanti, saya akan dapat membeli buku yang lebih baik dan bagus dengan harga yang lebih murah dan lebih mudah mendapatkannya.

Itulah harapan saya dan saya tahu, tentu sahaja tidak semua orang politik suka berdusta serta beretorik atau apa yang sahaja yang diucapkannya itu semata-mata cakap politik yang belum tentu akan menjadi nyata.

Lebih-lebih lagi kini. Ketika penulis pun sudah berbondong-bondong mulai berbaik dengan orang politik dan belajar sedikit demi sedikit menjadi pembohong, jelas sudah bahawa yang bijak dan pandai berbohong pun bukan hanya orang politik.

Apa-apa pun, Kota Buku segeralah menjadi kenyataan.

Mei 22, 2009

Jumaat, Mei 29, 2009

TERIMA KASIH KERANA TOLONG IKLANKAN




TERIMA KASIH kepada sahabat bloger ABDULLAHJONES kerana membantu menyiarkan iklan kumpulan cerpen terbaru saya "POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN" di blognya. Maklumat lanjut mengenai iklan itu dapat ditelusur di sini.




Mei 29, 2009


REVIEW: 'POLITIKUS, BADUT DAN SEBUAH CERMIN’




RAHIMIN IDRIS menuliskan review kumpulan cerpen terbaru saya "POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN" di blognya MATI PIKIRAN. Kepada Sdr RAHIMIN IDRIS saya ucapkan terima kasih atas kesudian serta sokongan beliau yang sangat bermakna itu. Review oleh Rahimin Idris ini dapat dibaca lanjut di sini .

Mei 28, 2009.

Isnin, Mei 25, 2009

KEDAI KUSAM, BUKU INDAH ATAU BUKU KUSAM DI KEDAI INDAH: SEBUAH ANTARA DAN NASIBNYA


PERNAHKAH ketika mengunjungi sebuah kedai buku, kesan pertama yang menyentuh perasaan adalah betapa kusam dan suram suasana di dalamnya?

Tetapi, begitu deretan atau longgokan buku di dalam kedai tersebut didekati, dibelek dan meski secara kilasan namun agak teliti dibaca, hampir sebahagiannya, timbul pula kesan lain betapa buku-buku di situ tidaklah sesuram dan sekusam suasana di dalam kedai. Malah, diri berasa menemukan banyak mutiara dari deretan atau longgokan buku di dalam kedai yang terkesan suram dan kusam itu.

Atau katakan pada waktu lain, sebuah kedai buku di sebuah mall di tengah kota dijengah, begitu meneliti atau menjengah hampir sebahagian buku di dalamnya, diri berasa kecewa dan tertipu bila mendapati betapa banyak buku di dalam kedai yang indah dan kelihatan rapi itu hanya menawarkan kisah-kisah cinta, buku-buku bergambar dan komik, bahan bacaan untuk remaja dan anak-anak yang berserabut dengan slanga dan campur-aduk bahasa, yang dihalalkan penerbitannya atas alasan memenuhi kehendak pembaca kosmopolitan dan kalau tidak pun sampai dilabelkan sebagai idea kitar semula, buku-buku adaptasi dari idea-idea asal oleh orang lain.

Sengaja soalan ini diaju kepada diri kerana sebagai pembaca, pembeli dan penziarah kedai buku yang kalau pun tidak terlalu rajin, tetapi kerap, kita selalunya lebih tertarik dan cenderung menilai bahawa begitu melihat sebuah kedai buku yang rapi, indah dan tertata kita langsung menyangka demikian juga kandungan atau jenis buku yang dijual di dalamnya.

Dalam kata lain, kita selalunya lebih awal menumpukan minat serta perhatian terhadap hanya apa yang kelihatan di luar dan bukan sangat memikirkan apa yang terkandung di dalam buku yang dipajang, misalnya, bagaimana dengan bahasanya, bagaimana nilai moral dan mutu pemikiran yang terkandung di dalamnya.

Lantaran itu, kita sering mempunyai anggapan yang agak sedikit keliru bila mudah beranggapan bahawa di dalam kedai buku yang cantik dan tertata indah, selalunya, buku-buku yang dijual di dalamnya juga indah dan bermutu isi dan kandungannya.

Sedangkan, hakikatnya ini tidak selalu benar dan malah ini adalah tanggapan yang keliru.

Saya mencatatkan ini kerana Sabtu minggu yang lalu saya berkunjung ke sebuah kedai buku di bandar yang tidak sebok di sebuah negeri di Pantai Timur. Mengunjungi sebuah kedai buku yang sebelum ini telah beberapa kali saya kunjungi dan saya tahu di dalamnya banyak buku-buku yang tidak lagi dapat ditemui di kedai-kedai besar lain atas alasan sudah kehabisan stock, namun masih dapat ditemui dan dibeli di kedai ini.

Sekali imbas, kedai buku ini agak berhabuk, kusam dan agak sunyi. Namun bila berjam-jam masa dihabiskan untuk mencari sesuatu yang tidak dimiliki di dalam perpustakaan peribadi, banyak ditemui buku-buku lain yang walaupun dari kulit luarnya kelihatan agak malap, namun tidak dengan isi kandungannya.

Saya tanpa selindung langsung berkata kepada pemiliknya yang sudah agak berusia betapa buku-buku di dalam kedai miliknya itu bagus dan bermutu. Alangkah bagusnya kalau di susun sedikit lebih rapi dan kedai ini sedikit dipercantikkan. Begitu saya menambah lanjut.

Tidak pasti apakah kata-kata saya itu dapat diterimanya dan tentu sahaja tanpa rasa tersinggung. Saya harap begitulah dan bila kembali mengingati apa keluhnya di hadapan saya beberapa bulan yang lalu sebelum ini, saya malah sangat mengerti jika dia lebih rela kedai bukunya seolah-olah lebih selesa dengan imej yang sedemikian: kusam dan dan agak muram.

Seakan terngiang kembali keluh pemilik kedai buku ini di telinga saya. Keluhnya, kalau dahulu perniagaan bukunya dihidupkan dengan jualan buku teks, namun kini “kehidupan” itu telah dirampas oleh pemilik konsesi dan ini menjadikan peniaga buku yang patuh dan setia sepertinya berasa sangat terhimpit.

Memang berniaga buku bukanlah perniagaan yang indah. Apa lagi sebagai pengedar buku-buku yang sebelum ini lebih banyak bergantung harap dari jualan buku-buku teks dan kini perniagaan itu pun sudah dirampas dari mereka.

Jauh di dalam hati, ketika hari kian merangkak ke petang dan perlahan memandu kenderaan meninggalkan kedai buku ini, saya berbisik kepada diri: berapa lama lagikah kedai buku ini akan mampu bertahan.

Walau mungkin agak kurang tepat atau adil, saya selalunya suka menghubungkaitkan kewujudan kedai buku dan perpustakaan sebagai petunjuk daya dan minat membaca masyarakat di sesuatu tempat. Kuantan atau Seremban atau Kuala Lumpur misalnya.

Tetapi di kota yang tidak sebok ini, walau mungkin ini hanya andaian yang agak kurang tepat, rasa saya buku bukanlah tumpuan utama dan ini lumrah. Di mana-mana pun, khususnya di kota yang tidak sebok begini, perut dan keperluan lain dianggap lebih perlu. Malah di pihak berwajib, pihak berkuasa tempatan misalnya, membina sebuah perpustakaan untuk komuniti juga mungkin dirasakan tidak perlu atau penyebab yang menghabiskan peruntukan kewangan yang memang pun selalu tidak mencukupi.

Memang pun tidak ada salahnya jika tidak membaca dan membeli buku. Malah jika membaca sekalipun belum pasti boleh menjadi manusia yang berguna dan bererti.

Tetapi dari membiarkan hidup hanya dimabukkan dengan tv, dvd, atau menimbunkan ruang rumah dengan sofa terbaru, perabot jati dan memperbaharui aksesori kereta, apa salahnya sesekali buku juga dibeli.

Saya agak beremosi sebenarnya. Kenapa tidak. Di bandar yang tidak begitu sebok ini, agak jauh ke pinggir, hanya itulah satu-satunya sebuah kedai buku milik Melayu. Sementara nun di hadapan, di kawasan bandar yang baru dibangun serta dimajukan, telah berdiri kedai buku indah dan rapi, yang tidak sahaja menjual buku dan majalah, juga menjual segala peralatan tulis, pejabat dan sukan.

Dan tentu sahaja, pemiliknya adalah orang yang lain.

Februari 8, 2009

Sabtu, Mei 23, 2009

SEBUAH CERPEN ATAU SAJAK: SUDIKAH MEREKA MENDENGAR?

SAYA sebenarnya sudah sejak lama mengajar diri untuk tidak terlalu berharap berhubung dengan sesuatu perkara atau hal yang melibatkan pihak lain. Terutamanya kalau di pihak lain itulah kononnya yang menentukan berhasil atau tidak sesuatu perkara atau hal.

Dengan cara beginilah saya tidak berasa apa-apa yang sangat keterlaluan jika tidak berjaya mendapatkan sesuatu, terutamanya kalau sesuatu itu membabitkan pula pihak yang lain.

Sekiranya berjaya saya bersyukur dan dengan cara begini juga, saya mengajar diri agar tahu diri dan tidak perlu terlalu berharap. Saya tahu di mana saya mesti berdiri dan kerana itu hanya inginkan sesuatu yang memang menjadi hak saya sahaja dan kalau hak itupun telah ditentukan memang bukan untuk saya oleh Tuhan yang lebih berkuasa, saya pasrah dan pamrih sahaja.

Ketika menulis dan berkarya pun demikian jugalah perasaan dan niat saya. Begitu berasa telah selesai saya tulis dan dikirimkan ke mana-mana penerbitan, walau ada harapan di dalam perasaan agar ianya disiarkan, namun harapan itu saya biarkan menjadi harapan yang tidak terlalu menggunung, agar dengan begitu, sekiranya karya saya tidak dapat atau tidak disiarkan, saya tidak akan berasa terlalu kecewa.

Maksudnya, dalam berkarya atau menulis, saya sudah sejak lama belajar dan bersedia menghadapi saat karyanya ditolak atau tidak disiarkan, tanpa perlu berasa apa-apa perasaan negatif yang sampai boleh merosakkan diri saya sendiri.

Kerana sudah sejak lama bersedia ini jugalah maka saya tidaklah berasa terkilan atau tersentuh hati sangat bila pada suatu Sabtu yang lalu saya menerima email dari seorang yang bertugas di sebuah penerbitan.

Kandungan email itu secara jelas dan berterus terang memaklumkan bahawa sebuah karya yang saya kirimkan ke penerbitan berkenaan, yang sudah dimasukkan ke dalam senarai karya untuk disiarkan di hari esoknya, terpaksa ditarik keluar kerana perintah pihak yang lebih berkuasa dari dirinya.

Walaupun tidak diberitahu di dalam email itu sebab dan kenapa, tetapi rasanya saya dapat mengagak kenapa dan mengapa datangnya perintah itu. Tentu sahaja dan apa lagi kalau bukan alasannya adalah yang berkait dengan soal sensitif dan tidak mahu menggelisahkan pihak yang lebih berada di atas, iaitu pihak yang dibayang-bayangkan sebagai penaung dan pemerhati sesebuah penerbitan.

Bagi saya, kalau pun tidak di semua segi dan bidang, rasanya saya dapat faham dan memaklumi tugas dan tanggungjawab seorang yang menangani karya di penerbitan. Tentu sahaja di samping soal mutu, masih banyak lagi soal lain yang perlu diambil kira atau diperhitungkan.

Lebih-lebih lagi kalau sesuatu penerbitan itu berada dalam keadaan perlu sentiasa tunduk kepada arah dan perintah siapa yang menguasai kerusi, dan kerana itu juga perlu menyenandungkan kata dan suara hanya yang ingin didengar oleh yang berkuasa.

Pasti sahajalah segala apa pun yang hendak disiarkan, oleh pihak atau kuasa yang lebih besar dalam menentukan bentuk dan nada karya yang hendak disiarkan di dalam sesebuah penerbitan, hendaklah sentiasa dan perlu memperhitungkan ini. Atau dalam maksud lain hendaklah sentiasa menyenandungkan hanya kata dan nada yang merdu, sedap, seronok dan selesa didengar serta dibaca oleh pihak yang menguasai kerusi.

Jadinya, penentu selesa atau tidak, selamat atau tidak selamat, sensitif atau tidak, sesuatu yang hendak disiarkan, ditentukan oleh instict pihak yang yang lebih berkuasa di dalam sesebuah penerbitan. Pihak yang lebih berkuasa inilah yang sebenarnya terlebih dahulu menjadi penapis atau melakukan sensornya sendiri, sebelum benar-benar disensor oleh pihak yang menguasai kerusi.

Walau pun kadang-kala belum benar-benar pasti bahawa sesuatu apa yang dianggap sebagai akan menggelisahkan pihak yang berada di atas itu benar-benar demikian kesudahannya, namun selalunya di pihak yang berkuasa di penerbitan, inilah yang selalunya dimercukan.

Segala apa yang hendak disiarkan mestilah sesuatu yang tidak sensitif dan tidak sampai boleh menimbulkan kegelisahan. Kerana itu jugalah banyak perkara dan isu, tatkala ditafsirkan boleh mendekati definisi ini, akan segera dibungkamkan oleh pihak yang menangani sesuatu penerbitan.

Dengan cara beginilah, segala yang dihidangkan di dalam sesebuah penerbitan hanyalah perkara dan isu yang pada permukaannya kelihatan indah-indah, selesa dan yang diperkirakan atau dikononkan, dapat memberikan gambaran aman dan tenteram belaka.

Kerana itu jugalah tidak hanya sesuatu yang lebih langsung dan berterus terang seperti berita dan rencana yang perlu memberikan gambaran yang sedemikian, karya lain yang lebih berseni dan berselindung seperti sajak mahupun cerpen juga hendaklah sesuatu yang kandungan serta nadanya tidaklah boleh sampai ditafsirkan sesuatu yang sensitif dan akan menggelisahkan.

Walhal, apalah sangat makna dan ertinya sebuah sajak atau cerpen yang hanya sekadar salah satu alat dan cara bagi sebahagian rakyat marhaen menyatakan perasaan serta resah dan gelisah mereka kepada yang berada di atas.

Tetapi di hati, di mata dan perasaan mereka yang lebih berkuasa di sesebuah penerbitan, segala resah, gelisah dan ratap yang disampaikan secara berseni dan berselindung oleh kalangan marhaen ini, seringnya dianggap pengacau, pengganggu yang boleh menggugat keharmonian dan malah boleh mengancam kedudukannya jika karya berkenaan disiarkan.

Ketika inilah, segala kegelisahan, rungut, bantah dan sanggahan dari pihak yang berasa dirinya sudah sejak lama tertekan dan tidak diberikan peluang bersuara, dibungkam dan disorokkan dari pengetahuan pihak yang menguasai kerusi.

Sehinggakan dengan demikian, segala gambaran yang diberi atau dipaparkan kepada pihak yang menguasai kerusi hanyalah sesuatu yang palsu, sesuatu yang secara dengan sengaja diperindah serta diperelokkan.

Lalu tidak mustahillah jika gambaran atau hakikat sebenar yang diketahui atau sampai ke pengetahuan pihak yang menguasai kerusi, pihak yang sepatutnya lebih banyak mendengar suara, keluh dan resah rakyat marhaen, sebagai bukti keprihatinannya terhadap mereka, adalah sesuatu yang juga palsu.

Berdasarkan maklumat dan gambaran palsu ini jugalah pihak yang menguasai kerusi membuat perancangan dan mengatur strategi. Sehingga akhirnya, bila tiba kepada hari penentuan itu, lantaran telah menerima maklumat yang tidak benar dan palsu, segala janji dan harapan yang diberikan kepada rakyat terbanyak, tidak lain dan tidak bukan janji dan harapan pada pendengaran rakyat terbanyak, yang selama ini diredamkan segala keluh, resah dan gelisah mereka oleh kalangan yang berasakan dirinya amat berkuasa di media atau penerbitan tertentu, juga adalah janji dan harapan yang sangat tidak boleh mereka percayai.

Kerana berasa bosan dan jemu mendengar harapan serta janji palsu itu jugalah, maka rakyat yang selama ini hanya tahu bersuara, berkeluh dan berkesah, menyatakan resah dan gelisahnya secara senyap dan diam, menolak dan mula mengalihkan arah kepercayaannya kepada pihak yang lain.

Bagi rakyat, yang mereka harapkan bukanlah emas dan permata, atau memberikan mereka sesuatu secara percuma. Sebaliknya, yang mereka inginkan adalah agar suara mereka didengar, diperhatikan dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi. Tentu sahajalah, jika itu tidak mampu dipenuhi oleh sesiapa sahaja pihak yang menguasai kerusi, pastilah mereka akan menjadi kecewa dan membuat pilihan yang lain.

Sekali lagi ditegaskan, apalah sangat ertinya sebuah sajak, sebuah cerpen, atau sebuah novel. Ianya tidak lain hanyalah sebuah karya dan coretan dari otak dan fikiran manusia yang memang kuat berimaginasi. Tetapi, kerana yang menulis sajak, cerpen atau novel itu bergelumang hidup sesama jelata, tentulah apa yang mereka tulis atau imaginasikan itu adalah sesuatu yang memang pun mereka dengar dan telah hayati terlebih dahulu bersama jelata.

Itulah yang terjadi. Ketika sebuah sajak, cerpen atau sebuah novel, yang memang pun sebuah karya imaginatif, yang tidak pun mempunyai kekuatan apa-apa, konon atas alasan tidak mahu menggelisahan mana-mana pihak, telah cuba dibungkam dan tidak dibenarkan terbit di sesebuah penerbitan, pada waktu sama, semakinlah membara dan bergegolak resah dan gelisah marhaen secara diam dan terpendam.

Tentulah yang bersalah bukanlah sesiapa yang bertugas dan berasa dirinya berkuasa menentukan sesuainya tidak sesebuah karya kreatif disiarkan di mana-mana penerbitan.

Segalanya berpunca dari kalangan yang menguasai kerusi juga. Silapnya, mereka tidak sudi mendengar dan kalau mendengar sekalipun, mereka hanya mendengar apa yang hanya ingin mereka dengar sahaja. Selebih dari itu dianggap pengganggu dan penyebok belaka.

Tetapi di pihak diri saya, disiarkan atau tidak, direstui atau tidak, diminati atau tidak, saya akan tetap juga akan menulis dengan cara dan gaya yang sudah saya pilih, yang mungkin juga boleh berubah mengikut kesesuaian waktu.

Saya tidak fikir halangan dan sensor apa pun akan mampu menghalang hasrat dan kehendak saya untuk menulis.

Apa lagi untuk bersedih sehinggakan meratap dan berguling-guling di atas tanah kerana sebuah cerpen atau sajaknya tidak disiarkan.

April 27, 2009

Jumaat, Mei 22, 2009

SAYA, GURU, MURID DAN KETERBUKAAN

16 MEI dirayakan sebagai Hari Guru. Walau tidak merayakannya secara khusus semata-mata kerana tanggal ini, namun seorang atau beberapa guru, nama dan ingatan saya tetap terpahat kepadanya.

Tentu sahaja gurulah yang telah mengajar saya tulis dan baca, kecerdikan dan lain-lain perkara yang perlu sebagai seorang murid. Tanpa seorang guru, walau siapa pun dia, mustahil saya mengenal huruf, kata, angka dan ilmu. Kerana itu jugalah, walau siapa pun dia, saya meletakkan sanjung dan hormat yang tinggi terhadap guru.

Tetapi guru jugalah yang sekaligus meninggalkan saya beberapa ingatan pedih dan luka, yang sehingga kini sulit terpadam di dalam ingatan. Mungkin ini semacam suatu dendam atau kemarahan yang sejak lama terpendam namun sampai kini pun tidak dapat saya redamkan.

Barangkali saya sangat tidak berlaku adil kepada mereka. Hanya kerana satu atau dua peristiwa, saya seperti mendendami mereka. Namun kerana rasa dendam dan marah itulah saya tidak hentinya melawan dan terus melawan, agar rasa marah dan dendam itu tidak sampai melarat menjadi api yang akan diam-diam membakar diri saya sendiri, sehinggakan rasa hormat saya kepada guru menjadi luntur.

Terus-terang secara peribadi, saya berasa sulit melupakan peristiwa dan dua guru ini kerana peristiwa dan guru inilah yang membuatkan saya berasa sedih, terhina dan malu.

Mungkin juga ketika melakukan itu tiada sebarang niat di hati mereka untuk memperkecil dan membuatkan saya berasa malu kepada kawan-kawan. Tetapi sebagai manusia biasa, sehingga ke hari ini kesan itu masih terasa di hati saya dan saya selalu bertanya sendiri kenapakah seorang guru sanggup meluahkan kata-kata itu dan seorang yang lain pula, kenapa langsung tidak mahu memberi saya peluang memperjelaskan keadaan atau sekejap mendengar luahan hati saya sebelum dengan sombongnya menghukum.

Segalanya bagaikan baru semalam terjadi. Jelas di mata dan di telinga saya kata cemohan seorang yang bernama guru. Ketika itu, saya di bangku sekolah rendah dan sedang didatangi minat yang amat sangat hendak menjadi penulis. Namun tiada siapa yang dapat saya minta nasihat dan pandangan. Jadi tempat meluahkan minat dan kehendak hanyalah di dalam buku tulis yang belum digunakan. Ketika waktu luang di dalam kelas dan sebelum hadir guru, menulislah saya sehingga penuh sebuah buku dan dilanjutkan dengan buku tulis yang lain dan yang lain.

Tetapi sindiran guru itu sungguh mengejutkan saya. Maksud sindirannya antara lain ialah betapa saya yang masih berhingus (lengkap dengan penggayaan oleh si guru ketika menyebutkan kata berhingus itu) dan belum sepenuhnya pandai mengeja dan berbahasa sudah berangan-angan hendak menjadi penulis. Saya agak guru ini perasan kerana beliau sering melirik buku cerita yang telah siap saya tulis dan saya lukiskan ilustrasi serta judul di kulit luarnya yang saya letakkan di atas meja.

Terus terang, sehingga ke hari ini, kalau kembali mengenangkan sindiran guru itu, hati saya berasa bergelora dan terbakar. Walau pun kini saya sudah pun menulis dan sudah menerbitkan beberapa karya, rasa jengkel dan terkilan saya terhadap guru itu masih belum mereda.

Walau mungkin saya terlalu mengharapkan sesuatu yang memang tidak mungkin dari guru itu, tetapi saya selalu bertanya kepada diri sendiri, kalau benar saya tidak pandai mengeja kenapa guru itu tidak bersungguh mengajar saya supaya pandai. Sayangnya, guru yang hanya setahun menjadi guru kelas saya ini, hanya mencemoh dan tidak membimbing.

Saya juga berasa kecewa dan sebal terhadap seorang guru yang lain, guru yang mengajar subjek agama sebenarnya, kerana telah mendenda saya berdiri di luar kelas di sepanjang waktu pengajarannya, semata-mata kerana saya tidak membawa buku teks agama ke sekolah dan langsung tidak mahu mendengar sebab dan kenapa saya tidak membawa buku trsebut.

Saya tidak berasa kesal dan sebal terhadap guru ini kalau dia sudi mendengar apa yang ingin saya beritahu betapa semalam, saya yang bersekolah di sesi petang, terpaksa menumpang tidur di rumah seorang penduduk berhampiran sekolah lantaran tayar basikal saya bocor ketika pulang dan tiada kedai membaiki basikal berhampiran.

Tetapi sikapnya yang begitu sombong terus menghalau dan menyuruh saya berdiri di luar kelas, sungguh membuat saya berasa kesal, sebal dan sedih.

Memang pun saya selalu berasa hormat dan selalu berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi guru saya. Namun saya juga tidak mahu berbohong dan mengatakan dari semua guru saya, tiada seorang pun yang pernah membuatkan hati saya berasa luka.

Di antara mereka, dua orang guru inilah. Namun hormat saya kepada mereka sebagai seorang guru yang pernah mengajar saya, tetap tidak pudar dan luntur.

Kerana pernah berasa diperkecil dan diremehkan oleh guru ini jugalah saya selalunya cuba bersikap lebih terbuka dengan anak-anak, terutama apabila mereka kian membesar dan menjadi remaja.

Anak-anak saya beri peluang berhujah dan kembali bertanya setiap segala sesuatu dan hujah mereka akan saya terima jika ada logiknya dan benar-benar dapat meyakinkan saya. Tentu sahaja ini kadang-kadang melibatkan perbincangan yang agak panjang atau menjadi perdebatan yang agak seru.

Namun saya agak terperanggah bila di suatu petang, isteri saya yang pada sebelah paginya ke sekolah kerana dipanggil guru sekolah menengah seorang anak saya memberitahu guru itu menyatakan sulit berbincang dengan saya dan saya sendiri seolah selalu ingin memenangkan anak sendiri.

Baru saya teringat. Dengan guru itu, ketika satu kali bertemu dengannya di kamar guru dan dia memberitahu anak saya suka melwan cakap, saya memberitahu dia betapa di dalam keluarga saya perbincangan dan saling bertukar hujah itu adalah normal. Anak-anak diberi peluang berhujah dan jika benar dan meyakinkan, hujahnya akan diterima.

Rupa-rupanya guru ini tidak boleh menerima cara sebegini. Sebagai guru dia hanya mahukan anak saya menerima segala kata dan suruhannya tanpa perlu kembali menyoal. Dan ini bagi saya kurang wajar.

Seorang murid, bagi saya, wajar diajar cara berhujah dan berfikir yang betul. Bukan hanya mengarah dan meniatkan mereka menjadi robot. Murid, terutamanya bangsa Melayu, wajar diajar berhujah dan berfikir kritis secara betul. Agar dengan begitu, mereka tidak hanya menjadi penurut buta.

Saya tidak ingin mengatakan guru itu tidak betul dan saya yang benar. Mungkin guru itu hanya meneruskan apa yang sudah mentradisi di dalam sistem yang sedia ada: murid mesti mengakuri segalanya kata guru, guru mematuhi segala perintah guru lebih besar, guru lebih besar mesti mematuhi segala suruhan jabatan dan ketua jabatan pula mesti patuhi, akur dan tunduk terhadap segala perintah yang datang dari mulut seorang menteri.

Lalu akhirnya? Jangan salahkan kalau kita melahirkan siswa dan siswi yang sedemikian rupa.

Kecuali memang sejak mula memang itulah yang ingin kita lahirkan. Tujuannya, tentu sahajalah agar kita nantinya senang mengurusi robot-robot bernyawa mengikut kehendak dan dikawal otak serta pemikirannya untuk kepentingan kerusi dan kuasa.

Sekali lagi, walau dua guru ini membuatkan dendam dan marah saya sehingga kini tetap bergelora, tetapi saya tidak membenci mana-mana guru.

Sekali lagi, tanpa guru, siapalah saya.

Mei 16, 2009

Rabu, Mei 20, 2009

“POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN” SUDAH TERBIT


KUMPULAN cerpen terbaru saya “POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN” kini sudah terbit. Kumpulan yang memuatkan 12 cerpen dan setebal 111 halaman ini pada mula saya cadangkan judulnya sebagai “Mereka Telah Menjadi Anjing” tetapi kemudiannya telah saya tukarkan kepada judul baru “POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN” .

Walaupun judulnya berubah, namun kandungan dan isinya masih tetap sama seperti apa yang dirancang dan diwarwarkan sebelum ini.

Harga bagi senaskhah kumpulan cerpen ini ialah RM 20.00 (Ringgit malaysia: Dua Puluh Sahaja) termasuk ongkos pos.

Saudara/Saudari, Tuan/Puan yang berminat boleh membuat pesanan dengan memasukkan RM 20.00 (bagi senaskhah) ke dalam akaun MAYBANK atas nama RAMLI SELAMAT nombor akaun 1060 1681 4831. Harap disimpan keratan atau resit kemasukan wang ke akaun untuk dirujuk jika berlaku sebarang kekeliruan nanti

Kemasukkan wang sila dimaklumkan lewat email kepada saya berserta alamat untuk kiriman pos yang dipastikan selamat penerimaannya nanti.

Bagi yang berminat memiliki tetapi belum memesan, sila emailkan kepada pengarang: marslino@yahoo.com dan memasukkan RM 20.00 ke dalam akaun yang tertera.

Teman-teman yang telah memesan kumpulan cerpen ini terlebih awal sebelum ini diucapkan setinggi terima kasih dari pengarang dan penerbit.

Budi Tuan/Puan, Saudara/Saudari tidak kami melupakan.

MARSLI N.O
Media Karya

Mei 20, 2009

Sabtu, Mei 16, 2009

BAKAL TERBIT



KUMPULAN cerpen terbaru saya yang judulnya pada mula saya cadangkan sebagai “Mereka Telah Menjadi Anjing” tetapi kemudiannya saya tukarkan menjadi “POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN” akan menemui pembaca akhir Mei, 2009 ini.

Walaupun judulnya berubah, namun kandungan dan isi kumpulan yang memuatkan 12 cerpen dan setebal 111 halaman ini tetap sama seperti apa yang dirancang dan diwarwarkan sebelum ini.

Dami kumpulan cerpen ini sudah di peringkat pecetakan. Harga bagi senaskhah kumpulan cerpen ini ialah RM 20.00 (Ringgit malaysia: Dua Puluh Sahaja) termasuk ongkos pos. Bagi yang berminat memiliki tetapi belum memesan, sila emailkan kepada pengarang: marslino@yahoo.com

Teman-teman yang telah memesan kumpulan cerpen tersebut terlebih awal sebelum ini harap bersetuju dengan perubahan judul dan akan dikirimkan naskhah sebaik sahaja siap dicetak dan menerima kiriman ongkos dari mereka.

Kiriman boleh dimasukkan ke dalam akaun MAYBANK atas nama RAMLI SELAMAT nombor akaun 1060 1681 4831. Harap disimpan keratan atau resit kemasukan wang ke akuan untuk dirujuk jika berlaku sebarang kekeliruan nanti dan kemasukkan wang dimaklumkan lewat email kepada saya.

Berikut adalah senarai nama pemesan kumpulan cerpen yang bakal terbit Mereka yang memesan lebih dari satu naskhah akan dinyatakan jumlah pesanan sebenar mereka di hujung nama.

1- Sdr Benuasuluk
2- Sdr Ibnu Ahmad al-Kurawwi
3- Sdr Sham al-Johori
4- Sdr MohamadKholid
5- Sdr Rahimin Idris
6- Sdri Maizura Mohd Ederis
7- Sdr Zarif Hassan
8- Sdr Rahimidn Zahari (3 naskhah)
9- Sdr WB Rendra (2 naskhah)
10- Sdr Hasmora Masnuri
11- Sdr Naimisa Yusof

Kepada teman, sahabat dan bakal pemesan yang lain yang namanya tidak tersenarai atau belum membuat pesanan, sila maklumkan melalui email agar nama anda dimasukkan ke dalam senarai yang telah dikemaskini.

Kerjasama anda memesan dan juga memaklumkan, saya ucapkan terima kasih.

Mei 16, 2009

SEBUAH BUKU, KERINGAT DAN TITISAN DARAH

SETELAH merasai sendiri bagaimana pedihnya jari tertoreh pisau dan melihat darah merah menitis ke lantai barulah senja ini saya benar-benar mengerti apa ertinya ungkapan di atas.

Puncanya, pisau pemotong lebihan tepi dami terakhir buku POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN tergelincir dari pembaris dan melencong ke ibu jari kiri yang menekan pembaris. Ketajaman pisau tidak terasa menggores kulit dan isi ibu jari kiri. Yang tinggal adalah rasa nyeri dan pedih tatkala darah berwarna merah pekat mulai menitis. Mujur cairan pekat dan likat minyak gamat mampu segera menghentikan darah dan merapatkan kembali luka kecil yang ternganga.

Kemalangan kecil ini saya terima sebagai ujian dan peringatan kepada diri. Menulis walau pada zahirnya kelihatan hanya duduk menghadapi monitor komputer riba namun tetap menuntut keringat dan tidak mustahil darah.

Dan saya menceritakan ini bukanlah dengan niat dan tujuan untuk melebih-lebih atau mendramatikkan proses penerbitan buku ini.

Sepanjang pengalaman menerbitkan buku secara sendiri inilah kali pertama saya mengalami kemalangan kecil begini. Oleh kerana ini pengalaman kali pertama, saya segera menyuruh diri segera berwaspada dan bermuhasabah sendiri.

Mungkin silap saya sendiri juga kerana tidak dapat bersabar. Kalau saya membawanya ke kedai dan memotong dengan mesin pemotongnya, tentu kemalangan kecil ini dapat saya elakkan.

Bagaimana saya tidak menjadi terghairah. Dami buku ini sudah tertangguh hampir setahun. Pada waktu sama juga, kandungan di dalamnya sudah beberapa kali dipinda dan dirubah kerana sepanjang waktu ada sahaja yang dirasakan perlu diperbaiki, diperlembut atau di mana perlu, lebih diperkeraskan nadanya.

Paling akhir, judul dan hiasan kulitnya juga turut sama mengalami evolusi. Pada waktu bersamaan juga, hasil meneliti buku-buku yang diterbitkan secara indie, saya mendapat ilham bagaimana hendak memperelokkan lagi bentuk penerbitannya.

Akhirnya, buku ini akan menemui pembaca pada akhir bulan Mei 2009 ini. Saya harap begitu dan saya mohon supaya kerja ini mendapat barakah dari Allah jua. Kerana saya kira, berbanding dengan segala apa sahaja kuasa yang ada di muka bumi ini, saya yakin Allah adalah penentu segala dan saya pasrah kepadaNya.

Mei 18, 2009

Khamis, Mei 14, 2009

DARI JUDUL KE JUDUL YANG LAIN

AKHIRNYA dami awal buku ini, dalam bentuk sebuah buku bayangan yang sudah utuh, selesai juga saya kerjakan. Lega rasa di dalam perasaan dan sudah terlerai juga rasanya sebahagian dari proses yang perlu saya kerjakan. Sekarang tinggal membacanya kembali lebih teliti, mengedit di sana sini di mana perlu dan jika semuanya sudah selesai, tinggal membawa dami naskhah yang sudah diperbaiki kali terakhir itu ke kedai pencetak.

Tetapi begitu dami ini ditunjukkan di depan anak-anak dan isteri, mereka membantah dan protes. Kata mereka judulnya keterlaluan. Kata anjing bagi mereka bila mana dipadukan dengan manusia sangat tidak wajar.

Saya diam dan tidak membantah apa-apa. Saya biarkan mereka memberi pendapat dan hujah. Setidaknya, saya mendapat pandangan-pandangan lain mengenai buku saya yang terbaru ini. Walau mereka dekat dan akrab dengan saya, tidak semestinya saya hanya mahu mendengar yang selari dengan kehendak saya sahaja. Pendapat dan pandangan mereka, walau bertentangan dengan pendapat saya, dalam persoalan judul buku ini perlu juga saya terima dan dengar.

Sekarang, ketika menuliskan catatan ini, saya masih berfikir-fikir mengenai judul buku ini. Antara "Mereka Telah Menjadi Anjing" atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain?

Memang pun. Ketika menuliskan kisah-kisah yang saya kumpulkan di dalam buku ini hati dan perasaan saya sedang sangat bergelora dengan rasa marah, sedih dan sesal yang berbaur. Tetapi sekarang, bila hati dan perasaan saya rasanya lebih dapat berjarak dari peristiwa-peristiwa yang pernah mengganggu perasaan saya itu, saya cuba untuk lebih mewaraskan segala-galanya semula: judul, kata-kata mahupun bagaimana cerita itu dihidangkan.

Sekarang saya masih dan sedang berfikir mengenai judulnya. Antara "Mereka Telah Menjadi Anjing" atau menggantikannya dengan sesuatu yang lain?

Atau bagaimana kalau judulnya saya tukarkan menjadi "Politikus, Badut dan Sebuah Cermin" ? Tidakkah itu kedengarannya lebih subjektif dan polisemi?

Mei 14, 2009

Selasa, Mei 12, 2009

KALAH JADI ABU MENANG JADI ARANG

WALAU hidup saya sehari-hari kelihatan pada zahirnya terlalu sebok menguruskan soal perut dan hanya asyik bercengkerama dengan huruf dan kata, tetapi janganlah pula disangkakan bahawa saya langsung tidak punya waktu untuk berfikir soal-soal yang selain itu, seperti misalnya nasib masa depan bangsa dan negaranya, soal-soal kehidupan yang lebih hakiki dan segala hiruk-pikuk lain yang berlaku di dunia politik.

Malah seringkali, selain perkara-perkara yang kelihatan amat menjadikan saya sebok dan asyik itu, ketika sedang bersendirian dan berhening di malam yang kian larut, ketika suasana alam semakin menjadi hening dan sepi, soal-soal yang selain dari soal perut dan kata-kata itu seringkali menjadi bahan renungan dan berlegar-legar di dalam fikiran.

Walaupun saya tahu, saya bukanlah siapa-siapa atau bukanlah seorang yang berkuasa dan boleh mengubah sesuatu perkara hanya dan dengan lidah dan tindakan-tindakan, walau sejauh dan setinggi mana pun saya befikir dan merenung, apalah sangat yang dapat saya lakukan, namun rasa dan kehendak untuk merenung dan berfikir mengenainya tetaplah juga tidak dapat dihindar.

Setidaknya, begitulah saya mengira, dengan turut sama berfikir dan merenung mengenai perkara-perkara yang ada hubung dan kaitnya dengan nasib masa depan bangsa dan negaranya serta segala apa yang berlaku di dunia politik di dalam negeri sendiri, saya tidaklah mudah menjadi robot yang akan menerima segala maklumat mengenainya yang disodorkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan secara membuta tuli.

Begitulah saya mengira, dengan berfikir, merenung dan mempertimbangkan dari segenap segi yang saya mampu dan tahu mengenainya, saya setidaknya juga dapat belajar bersikap lebih saksama, dalam erti kata tidaklah mudah mahu memenang dan membetulkan sesuatu pihak hanya berdasarkan emosi dan bukan berdasarkan fakta-faktya yang sahih lagi benar.

Apa lagi dalam keadaan di mana segala media dan ruang yang ada cuba seboleh mungkin dipergunakan untuk kepentingan sesuatu kelompok yang berkepentingan atau sedang cuba mempertahankan sesuatu, di mana segala fakta dan yang benar cuba dan mahu disunglap hanya agar benar-benar kelihatan memihak dan seolah-olah menunjukkan hanya di pihaknya sahajalah yang betul lagi benar, sedangkan di pihak yang lain, merekalah yang menjadi punca segala kemelut, heboh dan ketidaktenteraman itu.

Tetapi yang pasti, rakyat banyak, yang lebih banyak bersikap membisu, sebenarnya tidaklah terlalu bodoh dan tolol sehinggakan tidak dapat mempergunakan akal dan fikirannnya sendiri untuk mempertimbangkan segala sesuatu yang mereka lihat, baca, alami dan dengar dengan fikiran saksama mereka sendiri.

Siapakah sebenarnya mereka, sama ada pengamal media atau ahli-ahli politik berasa dirinya sehinggakan begitu berani dan sanggup memperlakukan segala sesuatu mengikut sekehendak hatinya, walau untuk itu, mereka sebenarnya telah berdusta dan mempermain-mainkan segala yang hak dan benar?

Apakah mereka fikir diri mereka adalah malaikat atau tuhan, yang begitu amat berkuasa sehingga segala sesuatu begitu berani mereka permain-mainkan, terutama apabila melibatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebenaran dan kuasa?

Malah tersangatlah sedih dan malang, anggota keselamatan negara, yang sepatutnya melakukan tugas menjaga keselamatan negara yang lebih inti, seperti mengawal dan membenteras kejadian jenayah rompak, samun, culik, mencegah kemasukan pendatang tanpa izin dan lain-lain kejadian jenayah yang melibatkan keselamatan rakyat dan negara, telah diperalatkan oleh kalangan politik yang sedang berkuasa untuk menjadi alat dan suruhan mereka, yang hakikat sebenarnya adalah hendak mempertahankan sesuatu secara yang boleh dipersoalkan kesahihannya.

Memang pun yang berhak dan berkuasa menentukan siapa yang dikehendaki menjadi pemerintah adalah suara dan kehendak rakyat. Tetapi kenapa ini dinafi dan diputarbelitkan? Kenapa segala kemelut tidak diserahkan kepada kehendak dan suara rakyat menjadi penentu dan membuat pilihan, atau diperkirakan bahawa rakyat yang selama ini diam dan seperti membisu itu tidak tahu berfikir dan sendiri menilai?

Begitulah. Di dalam diam dan sunyi malam sering saya merenung dan berfikir sendiri. Walau saya tahu saya bukanlah sesiapa yang mampu mengubah segala sesuatu hanya dengan lidah dan kata-kata, namun setidaknya saya sudah bercakap dan menyatakan: bahawa saya sesungguhnya tidak bisu dan boleh selamanya diperbodohkan.

Sebagai seorang makhluk bernama manusia, yang mempercayai segala sesuatu kejadian dan kehendak adalah dengan dan di bawah ketentuan Allah yang Maha berkuasa, saya tidak ingin memihak dan memenangkan sesiapa.

Apa yang saya dambakan sebagai makhluk ciptaan Allah, yang sedar dan menginsafi segala kekerdilan dan kelemahan dirinya, semoga segala kekalutan ini dileraikan segera.

Sebagai seorang rakyat, yang untuk hidup sehari-hari diri dan keluarganya perlu menitiskan keringat dan tidak pernah mendapatkan segala sesuatu secara percuma tanpa usaha, saya turut berasa sedih, kalut dan terharu melihat segala yang sedang terjadi.

Pertelingkahan, perebutan, yang sedang terjadi ini tidak lain melibatkan adalah sesama bangsa yang namanya Melayu juga. Lalu walau siapa pun yang kalah dan menang, kesan dan akibatnya yang paling jelas dan ketara adalah terhadap sesama bangsa bernama Melayu juga.

Saya tahu, bagi sesiapa sahaja yang sudah dimabukkan kata kuasa dan politik, kemenangan itulah yang mereka kejar dan dambakan. Walau untuk itu akan ada pihak yang hangus atau terbakar, bukanlah menjadi soal.

Saya tahu siapalah sangat diri saya untuk menyeru dan berseru kepada mereka yang sedang berebut dan berkelahi itu.

Namun saya sudah berkata dan terserah mereka untuk mendengar atau tidak.

Setidaknya, saya telah membuktikan bahwa betapa diam dan senyap saya, bukanlah kerana bodoh atau tidak mengerti. Sebaliknya, diam dan senyap saya tidak lain kerana terlalu sedih dan terharu melihat sesama bangsa saling berseteru dan pada waktu sama mengajak rakyat semakin menjadi gelisah dan keliru.

Saya kira, mereka juga bukanlah terlalu bodoh untuk mengerti betapa yang kalah akan menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Mei 12, 2009.

PEMENTASAN TEATER "FRAGMEN TOLONG"






UNGU Production Kolej Tun Dr. Ismail UPM telah mementaskan teater “Fragmen Tolong” karya Marsli N.O sempena Festival Teater Interkolej 2009. Kumpulan kami mendapat beberapa percalonan iaitu kategori arahan dan adaptasi terbaik, penataan cahaya terbaik, publisiti terbaik, bunyi dan audio terbaik serta kategori lakonan berkumpulan. Alhamdulilah kumpulan kami memenangi tempat ketiga keseluruhan, kategori props terbaik serta pelakon pembantu lelaki terbaik.


Laporan via email :
Nur Yasmin bt Ahmad,
Ungu Production Kolej Tun Dr. Ismail,
Universiti Putra Malaysia

Ahad, Mei 10, 2009

MELAYANI WRITER’S BLOCK


SEJAK 6 Mei hingga ke hari ini saya masih belum menulis sesuatu yang dapat saya anggap bermakna.

Saya dengan sengaja menyantai-nyantaikan diri, melayan kehendak diri yang berasa hendak sedikit bermalas-malas atau sepanjang siang 9 Mei, menemani anak lelaki saya ke perlawanan bola sepak dan secara kebetulan sekejap berbual dengan seorang teman penulis dari Kuala Terengganu yang kebetulan singgah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di sini.

Saya tahu sehari tidak menulis bagi seorang penulis akan meninggalkan kesan terasa seperti ada yang kurang sempurna di dalam hidupnya. Tetapi saya memang tidak berniat hendak memaksa-maksa diri jika saya sedang tidak didatangi rasa gatal hendak menulis.

Bagi saya peribadi, jika sedang tidak berasa terlalu tergoda untuk menulis, lebih baik saya melakukan sesuatu untuk meraikan bahagian lain di dalam diri saya. Melakukan sesuatu yang sama sekali lain yang dapat meredakan rasa tegang dan gelisah di dalam diri saya.

Saya tidak menjadi terlalu gelisah kerana sedang tidak menulis kerana bagi saya, saya berasa saya sebenarnya masih tetap berada di dalam porses untuk menuliskan sesuatu sebenarnya.

Saya katakan begitu kerana ketika saya sedang bersantai-santai atau melakukan sesuatu yang lain itu, saya sedar di dalam kepala saya sesekali saya juga sedang berfikir mengenai sesuatu yang terasa menggangg hati dan perasaan seni saya.

Malah tidak mustahil saya terbayangkan kata-kata tertentu yang boleh saya nanti rangkai dan renda-rendakan menjadi sebaris sajak yang lebih utuh.

Kerana itulah juga saya katakan betapa menulis itu bagi saya adalah suatu proses yang panjang. Proses itu tidak bermula ketika saya sedang menghadap papan kekunci, tetapi ianya sebenarnya bermula tatkala hati dan perasaan saya tersentuh oleh sesuatu, sama ada peristiwa yang saya lihat, dengar, baca atau alami sendiri.

Ketika saya sedang bersanta-santai dan melakukan sesuatu yang lain yang tiada kena mengena dengan menulis, otak saya sebenarnya ikut dan sedang aktif berfikir juga mengenai sesuatu yang nanti boleh saya kembangkan menjadi sebuah tulisan yang utuh.

Malah ketika saya melihat anak saya dan kawan-kawannya sedang “berjuang” di tengah padang, saya sebenarnya tidak sekadar melihat perlawanan bola sepak semata-mata.

Di dalam imaginasi saya, saya berasa saya sebenarnya juga sedang menonton satu peristiwa lain yang lebih besar di dalam kehidupan yang sebenar. Saya berasa apa yang saya tonton itu tidak tumpah dan amat seiras dengan peristiwa perebutan kerusi di dalam DUN Perak. Ada yang kena kejar, ada yang mengejar dan ada yang diseret-seret keluar.

Atau kalau tidak pun, saya berasa saya sebenarnya sedang melihat bagaimana sekelompok manusia, dari dua kelompok yang saling bertentangan, sedang riuh rendah memperebutkan sesuatu seperti peristiwa di Permatang Pauh, Bukit Selambau atau Bukit Gantang.

Walau saya tahu imaginasi saya itu mungkin amat keterlaluan. Tetapi itulah sebenarnya yang sedang saya fikirkan ketika menonton perlawanan bola sepak anak lelaki saya dan kwan-kawannya itu.

Kerana itulah saya tidak begitu sangat berasa resah dan risau jika saya sedang tidak berada dalam perasaan gatal hendak menulis.

Saya sebenarnya ingin memberi ruang yang lebih adil kepada diri saya sendiri. Atau dalam kata lain yang lebih jelasnya, saya ingin meraikan hidup saya yang singkat ini dengan cara yang baik dan bermanfaat.

Maksudnya, jika ada waktunya saya perlu bersantai-santai dan bergembira tanpa perlu menuliskan apa-apa, maka waktu itulah saya akan bersantai dan bergembira tanpanya.

Setidaknya, dengan cara begini, bila nanti tiba pula waktunya saya berasa sangat terghairah untuk menulis, saya akan menulis bermati-matian hingga tuntas dan selesai.

Mei 10, 2009

KE KUALA LIPIS

BAHAGIAN Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 6 Mei 2009 telah mengadakan Majlis Bicara Karya Sastera Negeri Pahang. Acara yang berlangsung di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ini telah dikendalikan oleh pegawainya Encik Mohd Jusoh Majid.

Sebanyak tiga karya telah dibicarakan. Karya tersebut ialah kumpulan cerpen Menanti Buraq karya Marsli N.O di bicarakan oleh Profesor Dr. Mohamad Mokhtar Hassan dari Universiti Malaya, kumpulan sajak Di Ruang Ini karya Sahrunizam Abdul Talib (Profesor Rahman Shaari) dan novel Igau karya A Rahman CM (Mohd hanafi Ibrahim dari DBP).

Aku pergi dan pulang dengan berkenderaan sendiri. Melewati desa Mela tempat bermukimnya novelis tersohor Desa Pingitan, Ibrahim Omar atau dengan debar dan waspada melenjani jalan berbukau tetapi sudah semakin elok di Kerambit. Juga hati tersentuh menatap langit yang diselaputi mendung dan deretan pilar pohon yang kian dimamah hari.

Sebagai tanda ingatan kehadiran, kurakamkan beberapa foto.

Mei 10, 2009



Mei 10, 2009

Khamis, Mei 07, 2009

WRITER’S BLOCK (?)

SAYA tidak peduli sangat kalau misalnya sekejap lagi, ketika saya hendak menuliskan sesuatu, otak saya menjadi beku, tidak dapat memulai walau secebis kata mengenai sesuatu yang hendak saya tulis.

Saya katakan begitu kerana saya memang pun tidak peduli dan selalu mencari jalan selesai yang bagi saya sangat mudah dan tidak memerukan banyak belanja. Maksud saya, kalau ketika hendak menuliskan sesuatu itu saya tidak mampu untuk menuliskannya, saya biasanya akan keluar dari kamar dan melalukan sesuatu yang lain, yang saya rasa hendak saya lakukan dan berasa sangat seronok bila sedang malkukannya.

Bagi saya menulis itu mana boleh dipaksa-paksa. Menulis itu perlu dilakukan dalam keadaan sudah benar-benar bersedia. Kalau dipaksa-paksa manakan menjadi.

Menulis itu lebih kurang seperti jugalah, maaf bukan niat hendak berlucah atau merendahkan martabat kerja menulis, bandingannya seperti juga kita hendak membuang air kecil, hendak melahirkan anak atau pun tidor.

Mana boleh hendak dipaksa-paksa membuang air kecil kalau tidak terasa langsung hendak mengeluarkannya.

Bagitu juga kalau hendak melahirkan anak. Mana mungkin orang yang tidak bersedia untuk melahirkan boleh dipaksa-paksa supaya melahirkan seorang bayi. Maksdnya, orang yang hendak melahirkan seorang anak mestilah mengandung terlebih dahulu selama beberapa bulan. Kemudiannya selepas genap waktu dan tempohnya, barulah anak itu dilahirkan ke dunia.

Apa lagi kalau hendak tidor. Bolehkah kalau mata tidak berasa mengantok atau badan berasa benar-benar letih dipaksa-paksa juga supaya tidor?

Tentu sahajalah tidak mungkin boleh tidor dan kalau dipaksa-paksa juga, akibat lain pula yang akan datang. Akibat itu, biasanya, fikiran akan didatangi pelbagai gangguan dan lamunan. Gangguan dan lamunan ini selalunya datang dalam bentuk yang agak negatif dan jika berlamaan dilayan serta difikirkan boleh pula mendatangkan rasa risau dan gelisah di dalam diri.

Kesudahannya, seperti yang selalu dialami oleh pengidap amnesia, yang menjadikan mereka resah dan gelisah bukanlah kerana tidak boleh melelapkan mata tetapi fikiran dan lamunan yang datang mengganggu tatkala mata tidak dapat dilelapkan.

Lainlah kalau terlentang atau bolak-balik di kasur kerana tidak boleh tidor itu ditukarkan dengan melakukan sesuatu aktiviti yang lain yang lebih bermanfaat. Misalnya menonton tv, menulis, membaca, mengemas dan membersihkan rumah, membaca al-quran, solat atau berzikir.

Begitu jugalah halnya jika tidak boleh menulis ketika diri memaksa dirinya sendiri supaya menulis. Dari memecahkan kepala memikirkan sesuatu yang memang pun tidak mahu menjelma dan gelisah mengenangkan sesuatu yang memang pun tidak akan tertulis, lebih baik keluar dari kamar dan bersantai-santai atau melakukan sesuatu yang lain yang dapat meredakan rasa gelisah dan tegang di dalam diri.

Kerana itulah saya berasa saya tidak mempunyai masalah sangat berhubung dengan soal yang selalu disebutkan kawan-kawan penulis sebagai tembok halangan seorang penulis atau writer’s block.

Menulis bagi saya sepatutnya tidaklah terlalu menjadi sulit dan menggelisahkan. Sulit dan gelisah itu sebenarnya bermula ketika mendepani realiti dan mengumpul bahan. Ketika menulis, sesudah bahannnya sudah ada, tugas penulis adalah menulis sahaja terus menerus. Dan kalau sudah berasa letih dan mulai menjadi macet, maka wajarlah berhenti dan bersantai dahulu, sambil-sambil itu mencarilah input baru.

Masalahnya memanglah ada kalau menulis itu disangka hanya baru bermula tatkala masuk ke kamar menulis atau berada di depan papan kekunci. Di mana ketika itu, tanpa benar-benar bersedia diri dipaksa utuk menuliskan sesuatu.

Tetapi menulis sebenarnya, maksudnya prosesnya, bermula jauh dan lama sebelum itu. Segala yang dilihat dan di dengar perlu dikumpul dan dicerna di dalam diri agar menjadi khazanah fikir dan sumber idea yang digaul di dalam diri.

Sampai waktunya, segalanya itu, akan mendesak-desak supaya segera dilahirkan dalam bentuk karya dan ketika itulah, tanpa dapat ditahan-tahan, proses menulis itu menjadi lancar.

Jadi kenapa mesti fikir atau takutkan writer’s block?

Hidup ini, sebagai apa pun, perlulah dihayat dan dinikmati sepenuhnya. Segala seginya, susah, senang, duka dan ria, perlulah diterima seadanya. Dengan begitu hidup tidak terasa menekan dan terlalu mendesak.

Seperti juga menulis. Menulis sepatutnya seperti juga ruang dan segi lain di dalam hidup, seperti makan, minum, tidor dan berajalan-jalan, yang dirasakan pelru di dalam hidup.


Kalau memang tiada apa yang hendak ditulis, maka bersantai dan buatlah sesuatu yang lain, yang boleh membuatkan diri berasa seronok dan bahagia.

Asalkan bukan sesuatu yang dilarang agama dan undang-undang, segalanya menjadi sah!

Saya harap, kalau pun tidak sepenuhnya, catatan saya ini dapat menjawab kemusykilan seorang pelajar yang saya temui pada suatu acara di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis pada tengah hari 6 Mei, 2009 semalam.

Saya tidak nafikan, bagi seorang pemula atau sesiapa yang baru berjinak-jinak hendak memulai menulis, soal block atau tembok hadangan menulis ini memang menjadi punca yang menghalang.

Halangan ini menjadi benar sebahagiannya kalau soal seni menulis atau mengarang itu masih belum begitu dikuasai. Tetapi kalau diteruskan juga hari demi hari, menulis secara berdikit-dikit tanpa jemu, kemahiran itu akhirnya akan dikuasai juga.

Saya berani berkata begini dengan yakin berdasarkan pengalaman diri sendiri.

Saya mengaku, sampai kini pun saya masih lagi belajar menulis dari mana pun sumbernya. Tetapi sedikit kemahiran yang saya kuasai dan terus saya usahakan menggilap dan mempertingkatkannya, tidak lain terhasil setelah hampir atau mungkin lebih 30 tahun menulis dan terus menulis tanpa jemu.

Rasanya, saya juga tidak menjadi terlalu gelisah dan risau kalau menghadapi saat-saat didatangi rasa tidak boleh menulis ini kerana saya selalu berkata kepada diri sendiri bahawa saya masuk ke dunia tulis menulis ini tanpa sebarang pamrih.

Maksudnya, saya tidak harapkan apa-apa yang bukan hak atau yang patut menjadi milik saya kalau memang sudah ditakdirkan Tuhan bukan untuk saya. Saya juga bersedia menjadi air yang boleh mengalir ke mana sahaja dan kalau sekali waktu boleh juga berubah menjadi badai atau banjir.

Mei 7, 2009

HARI PEKERJA


WALAU 1 Mei diisytihar Hari Pekerja namun saya tidak sedikit pun tergiur untuk sama ucapkan kepada diri dan meraikannya dengan ritual tertentu.

Sama seperti hari-hari biasa untuk ke tempat kerja, saya bangun seperti biasa dan mengulangi ritual yang sama. Hanya bezanya saya tidaklah berpakaian untuk ke pejabat dan berkenderaan ke sana.

Sepanjang hari yang diisytiharkan sebagai Hari Pekerja ini saya hanya berada di rumah, bersantai, bersama keluarga, membaca dan sedikit menulis.

Saya fikir pada bila-bila waktunya saya tetap juga seorang pekerja dan untuk meraikannya, saya tidak perlu menunggu tanggal 1 Mei.

Memang saya berasa seronok menjadi seorang pekerja dan sekaligus benar-benar merasakan dirinya sebagai seorang pekerja. Saya berasa bahagia dan gembira menjadi seorang pekerja.

Walau tidak saya nafikan ketika bekerja saya memang selalu bertembung dengan duga dan cabaran kerja, namun saya tetap juga mahu bergembira dan memujuk diri supaya tetap berasa bahagia.

Walau ketika bekerja saya tetap mempunyai seorang “tuan” namun tuan itu hanyalah atas nama birokrasi dan jabatan. Jadi kerana itu juga, saya menghormati “tuan” saya itu semata-mata atas nama birokrasi dan jabatan juga dan selebihnya dari itu tuan itu tidaklah bermakna apa-apa buat diri saya.

Bagi saya, kerja apa pun yang saya laksanakan, walau siapa pun yang bergelar tuan di atas dan di depan saya, yang menjadi tuan yang sebenar buat diri saya tidaklah lain selain diri saya sendiri.

Kerana itu jugalah saya berasa saya selalu meraikan diri saya sebagai seorang pekerja, yang bertuankan dirinya sendiri, pada bila-bila masa dan tarikh yang saya suka.

Kerana itu juga, tanggal 1 Mei bagi saya samalah seperti hari-hari dan tanggal lain yang tidak menimbulkan sebarang rasa bahagia dan istimewa buat diri saya. Walau kerana itu, konon kerana merai dan memperingati pekerja di seluruh dunia, saya juga berpeluang bercuti percuma dan tetap dbayar gaji, namun bagi saya itu pun tetap perkara yang biasa-biasa sahaja.

Saya berani berkata dan menulis begini, yang mungkin boleh kedengaran agak angkuh atau terlalu berlebih rasa percaya diri ini tidak lain kerana saya selalu berasa diri saya adalah tuan kepada diri saya sendiri.

Saya fikir sesiapa sahaja di dunia ini memang patut dan wajar berasa, berfikir dan benar-benar percaya bahawa dirinya sendiri adalah tuan kepada dirinya sendiri. Ini bererti yang menjadi tuan sebenar bukanlah sesiapa yang telah membayar kita upah untuk bekerja bagi pihak dirinya, apa lagi untuk seseorang atau sekelompok manusia yang memang telah kita pilih dengan percaya dan undi kita supaya menjadi pemimpin.

Soal upah yang diberi hanyalah urusan memberi dan menerima. Namun itu tidak bererti kita sekaligus juga memberikan diri dan jiwa kepada seseorang yang kita percaya menjadi tuan kepada diri kita atau kepada seseorang yang memang selalu mahu berlagak sebagai tuan.

Mei 1, 2009