Sabtu, November 28, 2009

PENYAIR SEBENARNYA BOLEH BERKOMPROMI



Esei MARSLI N.O

1
DUA BELAS
atau sebelas tahun lalu, seorang teman penyair mendatangi saya pada suatu malam. Di tangannya selembar surat protes bersama salinan puisinya yang telah disiarkan di sebuah majalah. Salinan puisinya itu kelihatan ditandakan di sana sini.

Kata teman itu, dia ingin mengirim surat protes kerana puisi-puisi beliau yang disiarkan di majalah tersebut telah menjadi mangsa editan tanpa kerelaannnya dan menjadikan puisinya kian menyeleweng makna.

Namun kepada teman ini, saya nasihati agar mendiamkan saja diri. Saya katakan kepada beliau, saya khuatir kalau kerana protes itu beliau akan menjadi mangsa senarai hitam dan karya beliau mungkin sulit lagi disiarkan di majalah tersebut.

2
Dalam suatu seminar teori sastera, saya bertanya kepada anggota panelnya mengenai ada atau tidak suatu teori sastera yang membolehkan puisi karya penyair diedit.

Salah seorang editor yang menjadi anggota panelnya, dengan nada marah dan menyindir menyatakan cara saya bertanya itu menyakitkan hati.

Mujur dalam seminar tersebut hadir sama beberapa editor veteran dan penyair serta pengkritik lebih mapan.

Salah seorang penyair mapan, yang juga bekas seorang ketua editor sebuah majalah, mengakui betapa kalau seorang editor majalah atau akhbar kurang berasa selesa dengan sesebuah puisi, sebaiknya puisi berkenaan tidak disiarkan.

Tetapi kalau mahu disiarkan juga kerana sebab-sebab lain, seeloknya penyair diberitahu agar puisinya diedit oleh penyairnya sendiri sebelum boleh disiarkan.

Bergantunglah kepada penyairnya, mahu mengedit atau tidak. Namun, jangan sekali-kali diedit oleh seorang editor, tegas penyair mapan dan bekas ketua editor sebuah majalah itu.

Selepas penjelasan penyair mapan ini, editor yang menjadi anggota panel itu kelihatannya boleh menerima asas pertanyaan saya.

3
Peristiwa keengganan penyair puisinya diedit oleh orang lain kadang-kala sering disalahfahami. Penyair mudah dianggap bongkak dan payah berkerjasama dengan orang lain.

Sebenarnya tidak. Penyair tidak setuju orang lain berbuat demikian terhadap puisinya kerana ada sebabnya yang tersendiri.

Bagi penyair yang sudah berada di tahap benar-benar serius dengan kerja menyairnya, menulis puisi adalah dengan memberi seluruh raga dan jiwa.

Baginya, sebuah puisi yang sudah menjadi adalah suatu tanggungjawab dan maruah yang perlu dipertahankan.

Di dalam puisi yang sudah menjadi itu terkandung roh diri dan segala perasaannya sewaktu mencipta. Kerana itu, bila puisinya yang sudah menjadi diedit sewenangan oleh orang lain, tanpa diberitahu atau diajak berbincang terlebih dahulu, penyair mudah berasa seolah-olah maruah dirinya diinjak. Seolah-olah ada pihak lain yang sewenangan masuk ke dalam diri dan roh karyanya.

Lalu untuk mengubat pedih hati sendiri, penyair kadang-kadang memilih untuk kembali bisu dan jauh menyendiri membawa diri. Dan kerana peristiwa ini jugalah penyair mudah dianggap terlalu sombong, bongkak, mudah merajuk dan tidak mudah diajak berkompromi.

4
Sebenarnya tidak. Penyair juga manusia biasa yang juga punya hati dan perasaan. Jika orang lain tidak mahu hatinya disinggung, begitu juga penyair. Jika editor minta haknya dihormati, penyair juga begitu.

Tetapi penyair sebenarnya tidak meminta banyak. Cukuplah dirinya diberitahu secara jelas batas dan kehendak editor, penyair dengan rela hati sudi mematuhinya.

Jika puisinya mahu diedit atau dipenggal, bukanlah perkara yang amat sulit untuk dimaklum kepada penyairnya terlebih dahulu. Jika alasan untuk memenggal dan mengedit puisinya jelas dan munasabah, penyair sebenarnya dengan rela sanggup melakukannya sendiri.

Sebabnya, segala kata dan baris yang disusun di dalam sebuah puisinya yang sudah menjadi, bagi seorang penyair ada alasan dan sebabnya yang tersendiri. Segalanya tidak diletakkan sewenangan oleh penyair.

Semuanya sudah disukat dan diukur kewajaran letaknya. Misalnya, kenapa barisnya perlu pendek-pendek, kenapa baris yang itu perlu lebih panjang, kenapa susun letaknya tidak selari atau seimbang? Ianya tidak diletakkan sesuka hati.

Kerana itu, kalau misalnya seorang editor perlukan sebuah puisi yang dirasakan sesuai dengan selera mahupun kehendaknya, kenapa tidak diberitahu secara jelas kepada penyair?

Siapa kata penyair tidak boleh menuliskan sebuah puisi tempahan seperti kueh tempah?

5
Itulah silapnya kadang-kala kita. Bila penyair diam kita sangkakan dia sepenuhnya bersetuju.

Sedangkan diam penyair semata-mata kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang lain dan sekaligus juga, tidak mahu dianggap bongkak dan payah hendak berkompromi dengan orang lain. Dan bila diamnya itu dibalas dengan tindak yang lebih melampau, sesuka hati saja mengedit dan memenggal puisinya, kita salahkan pula dia jika penyair memilih pergi dan jauh menyendiri.

6
Cuba kita bertanya kembali. Benarkah penyair kita bongkak? Kalau benar dia bongkak, pernahkah kita hitungkan kenapa sebelum ini dia tidak pernah berkata apa-apa bila puisinya diubah judul dan tajuk oleh editor? Sebabnya, penyair kita diam kerana dirasakan apa yang dilakukan editor itu wajar dan patut.

Silapnya mungkin, kita hanya ingin situasi menang-menang hanya secara sepihak dan bukan kedua-duanya: editor-penyair atau penyair-editor.

Atau juga, kita sangkakan asal saja namanya sebuah karya, kita rasakan boleh dan wajar diedit serta dipenggal sesuka hati, walau pun tanpa memberi peluang kepada penyairnya melakukannya sendiri? Atau setidaknya, penyairnya dimaklumkan juga terlebih dahulu.

Bagi penyair pemula yang masih belum memiliki jati diri, barangkali, editor boleh bersikap sewenangan begini. Namun sikap ini tidak wajar dipraktikkan terhadap penyair, tidak kira baru atau lama, yang sudah menganggap kerja menyairnya samalah dengan proses hidup dan mati jiwa dan diri.

Hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

Februari 25, 2007


Sumber siaran: Suara Keadilan, Bil 204, 27 Oktober – 3 November 2009

Rabu, November 25, 2009

KISAH-KISAH DI NEGERI ANGIN


Cerpen MARSLI N.O


1

JENAMA


PERASAN tidak ada satu jenama yang selalu menyerabutkan pandangan bila setiap kali kita berbelanja tingkap di sebuah pasar raya di kota kosmopolitan ini. Punca keserabutan itu kerana jenama yang satu ini kita lihat warnanya dan gayanya amatlah keterlaluan serlahannya.


Jika jenama yang lain cukup dengan apa adanya warna yang dilabelkan terhadapnya, jenama yang satu ini tidak. Jenama yang satu ini mengada-ada pula mencalitkan warna lain ke tubuh jenamanya.


Jika jenama yang lain patuh dan setia menurut gaya dan kedudukan yang ditetapkan terhadapnya, jenama yang satu ini tidak. Jenama yang satu ini akan memandai menukarkan gaya dan kedudukan walau sudah pun dinasihatkan supaya berpada-pada sahaja dalam setiap tindak dan gayanya.


Baru-baru ini ada kita mendengar khabar betapa jenama yang satu ini berteriak-teriak dan telah memecahkan cermin ruang pajangannya. Konon dikhabarkan betapa jenama yang satu ini tidak puas hati kerana mendakwa kurang diberikan layanan yang adil lagi saksama.


Memang jenama yang satu ini memang tidak sedarkan diri. Tidakkah sudah diberikan tempat serta ruang yang sewajarnya oleh tuan yang empunya cermin pajangan? Jadi mahukan apa lagi?


Kadang-kadang perangai dan laku jenama yang satu ini bagaikan anjing tersepit yang telah dilepaskan dari jepitannya. Lagak dan lakunya mudah berbalik untuk mengkerkah semula orang yang telah menolong bantunya selama ini.


Akhir-akhir ini rasa keserabutan kita itu kini sudah bertukar menjadi rasa mual dan menyampah pula. Jenama yang satu ini memang suka berlagak. Tetapi sayangnya, lagaknya itu tidak kena dengan waktu dan tempatnya.

Disember 6, 2007


2

KUPU-KUPU


INI sebuah lagi kisah yang sering terjadi di sebuah negeri yang kita kenal dan namainya sebagai Negeri Angin.


Kisahnya begini.


Sesiapa sahaja dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, jika ingin atau mahu datang melancong ke negeri ini, hendaklah mereka berwaspada dan berhati-hati.


Maksudnya, begitu sahaja mereka para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning tiba di lapangan terbang di ibu negera Negeri Aneh ini, mereka akan didatangi segerombolan lelaki segak yang menanti dengan kenderaan mewah dan menjalar. Para lelaki ini akan mendatangi mereka dengan gaya penuh santun dan berkarisma lalu mengajak dan memujuk mereka menawarkan pekerjaan.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Begitulah selalunya kata pembuka sebagai pembujuk. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Berikutnya begitulah lagi kata pembujuk untuk memikat dan menawan.


Jika pun para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini berhasil melepas dugaan yang pertama ini, ketika mereka berada di lobi-lobi hotel untuk mendaftarkan penginapan, sekali lagi mereka akan didatangi lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini. Mereka akan dibujuk lagi dengan janji dan kata manis yang sama.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Begitulah selalunya kata pembuka sebagai pembujuk. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Berikutnya begitulah lagi kata pembujuk untuk memikat dan menawan hati serta perasaan.


Malah saban waktu dan ketika berada di hotel penginapan, para pelancong dari kalangan kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini akan sentiasa di datangi lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini dengan bujukan mereka. Tidak henti-hentinya.


Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan. Begitulah selalunya kata pembujuk untuk memikat dan menawan. Diucapkan berulang-ulang. Diucapkan berulang-ulang.


Dan jika lelaki segak dengan gaya penuh santun dan berkarisma ini tidak juga berjaya membujuk, akan datanglah pula segerombolan pembujuk dari kalangan wanita pula. Gerombolan wanita ini, bahasa dan katanya amatlah berlemah dan berlembut. Hingga mudah mencairkan hati dan perasaan siapa sahaja yang mendegar kata dan melihat wajahnya.


Ingatlah akan musibah yang akan menimpa jika bujuk dan rayu mereka kau terima, wahai sekalian para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini.
Kenapakah kita katakan demikian?


Sebabnya, jika kau memilih dan terpengaruh dengan bujuk mereka, kau nantinya akan disihir menjadi seekor kupu-kupu. Kupu-kupu yang dibiarkan bertelanjang dan diletakkan di dalam sebuah sangkar kaca yang indah dan cantik. Dan di sayapmu, akan mereka letakkan nombor-nombor tertentu.


Dari luar sangkar kaca itu, saban malam, sejumlah lelaki akan melihat dan memilih nombor kupu-kupu yang mereka gemari. Lalu selepas itu, kau dan lelaki yang telah memilihmu itu akan masuk ke sebuah kamar dan di kamar itu, lelaki yang telah membayar sejumlah harga kepada pemilik sangkar kaca itu, akan mempermain-mainkanmu sekehendak hatinya.


Ingatlah itu kerana kejadian ini sudah tidak terperikan jumlahnya terjadi di Negeri Angin ini. Banyaklah sudah para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini, yang telah hilang lesap tidak dapat dikesan tarikh dan waktunya keluar dari negeri ini selepas tamat tempoh visa atau pasportnya.


Alih-alih, ketika pihak pengaman keselamatan menyerbu satu demi satu rumah hiburan dan persundalan yang berceracak tumbuh, sama ada secara berlesen atau tidak berlesen di ibu kota Negeri Angin ini, ditemuilah sejumlah besar kupu-kupu yang sedang bertelanjang atau separuh telanjang di dalam sangkar kaca di rumah hiburan atau persundalan itu.


Dan kupu-kupu itu ternyata tidak lain dan tidak bukan adalah para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning, yang konon datang melancong kerana ingin melihat keindahan seloroh pelosok Negeri Angin ini, tetapi malangnya telah terpedaya dengan pujuk dan goda untuk berkerja: “Kerjanya senang dan tidak memenatkan. Gaji dan perolehannya juga banyak dan lumayan.”


Malah menurut sebahagian sumber kisah yang layak dipercayai juga, sejak sebelum bertolak dari negeri asalnya lagi sebahagian para pelancong dari kalangan wanita cantik dan berkulit mulus lagi putih dan kuning ini sudah pun termakan pujuk ini. Dan sebaik sahaja tiba serta melepasi pemeriksaan di gerbang masuk ke ibu kota Negeri Angin ini, mereka terus diboyong para balaci serta pesuruh yang menjanjikan kerja senang lagi tidak memenatkan ini.


Mereka dikumpulkan di beberapa penempatan dan kemudian disihir menjadi kupu-kupu. Kupu-kupu yang akan dipajangkan di dalam sangkar kaca serta diberikan nombor pengenalan tertentu.


November 3, 2007



3

CACING


INI juga sebuah kisah yang terjadi di sebuah negeri yang kita kenal dan namainya sebagai Negeri Angin.


Begini kisahnya.


Demi untuk mempastikan para kapitalis di negerinya yang memang sudah kaya menjadi bertambah kaya, pemerintah mengizinkan ratusan atau malah ribuan tenaga kerja dari negara luar. Alasannya tentulah sedia dimaklumi semua: kekurangan tenaga kerja.


Bayangkanlah. Kita kekurangan tenaga kerja yang amat terok. Sehinggakan untuk dikerjakan sebagai petugas keselamatan yang menjaga keselamatan nyawa serta harta benda di negara sendiri pun diperlukan tenaga kerja dari negara luar.


Gawat. Gawat sungguh krisis tenaga kerja yang dihadapi oleh negeri yang kukenal dan kunamainya sebagai Negeri Angin ini.


Jika kita bertandang ke hotel, ke lapangan terbang, ke pasar raya, ke hospital, ke bangunan milik pemerintah, ke jalan raya, ke setesen kereta api laju, ke setesen komuter, di dalam panggung wayang, wajah yang kita lihat adalah wajah yang kita tahu berasal dari negara asing.


Mereka yang pada mulanya didatangkan untuk menjadi kuli yang dibayarkan gajinya oleh para kapitalis itu kini menyempitkan ruang untuk rakyat di Negeri Angin ini bersantai di taman awam dan tempat permandian di laman belakang menara berkembar terindah. Anak dan gadis-gadis sering diganggu kacau ketika berjalan atau bersiar-siar bersendirian. Kini mereka sudah berubah menjadi cacing yang semakin berani hendak mencucuk anak mata kita.


Tetapi kita tidak membenci mereka. Mereka datang kerana diajak dan dijanjikan pendapatan lumayan.


Yang bersalah adalah para kapitalis rakus dari negeri ini sendiri. Mereka tidak mahu mengupah kerja buruh dan pekerja negerinya sendiri kerana tidak mahu membayar mahal, merka tidak mahu membayar carum untuk wang simpanan pekerja dana negara, mencarum untuk skim kemalangan semasa kerja negara, dan segala macam caruman yang para kapitalis ini rasakan merugi serta mengurangkan nisbah keuntungan yang akan masuk ke kantung kapitalis milik mereka.


Dan anehnya, untuk kerja semudah menyusun beg di lapangan terbang, mengemas dan membersihkan kamar hotel, pun diperlukan tenaga makhluk yang kini sudah semakin berubah menjadi cacing itu.


Dan kerana itu juga, tidak mustahil kalau kini anak negeri ini sendiri yang semakin kehilangan ruang kerjanya, kerana kurang sabar dan semakin merosot moral, sebahagiannya memilih menjadi perompak dan penyamun?


November 3, 2007


Sumber siaran: Berita Harian, 21 November 2009


Isnin, November 23, 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-3

PERTEMUAN Penyair Nusantara Ke-3 yang berlangsung pada 20 hingga 22 November 2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka telah menemukan kembali saya dengan ramai teman-teman penyair, sama ada dalam atau luar negara. Selain saling bertanya dan bertukar khabar, saling bertukar hadiah dan memberi buku sudahlah pasti.


Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly : Tidak sahaja kukenal kerana karyanya yang lembut dan berhemah, tetapi juga sebagai insan yang baik dan berbudi.
W.B Rendra: Kucemburui semangat dan kegagahan berkaryanya
Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly yang baik ini menghadiahkan saya kumpulan sajak terbarunya “Keris Sebilah Itu”; Saudara Camar Putih menghadiahkan kumpulan sajak bersama beliau dengan Adi Swara dan Z.A Brunei “Titik”; dari Pak Djamal Tukimin saya menerima “Betapa Pun Begitu, Pada Hari Berkah Ini Cinta Kami Masih Tersisa”; penyair pesantren dari Tasikmalaya, Indonesia, Acep Zamzam Noor menghadiahkan saya “Maliun Hawa” karya penyair santri asuhannya, Ahmad Faisal Imron; Shamsudin Othman menghadiahkan “Tanah Nurani”; dan sasterawan muda Singapura Noor Hasnah Adam menghadiahkan “Mis3 Rasa”.


Iham Ainol: Selamat menjadi penyair saya ucapkan.

Camar Putih: Sahabat dari Brunei yang berani berterus-terang.
Dari Noor Hasnah Adam saya juga menerima kumpulan cerpen “Kelarai”. Isa Kamari menghadiahkan cakera padat "Kurnia" dari kumpulan Sirrfillsirr yang memuatkan 10 lagu yang liriknya ditulis oleh beliau. A. Razak Panaemalae dari Thailand pula menghadiahkan saya novel “Tivi” karya Shahnon Ahmad yang diterjemahkannya ke bahasa Thai. Majalah Pentas terbaru, Jilid 4 Bil 2 April – Jun 2009 saya terima dari Rahimidin Zahari.

Acep Zamzam Noor: Banyak aku berkongsi maklumat dan khabar dengannya.

Merakamkan sesuatu demi untuk menghindar lupa.
Bersama Pak Ibrahim Ghaffar
Sinaganaga: Saya sangat suka dengan lukisan covernya untuk buku sajak saya "Kepada Angin Juga".
Kepada teman-teman muda dan mapan yang sudi berkongsi maklumat, bertanya, berbual dan memberikan input-input baru sebagai penambah sumber makluman diri, ingin diucapkan terima kasih. Nama-nama: Nissa’ Yusof, Roslan Jomel, Ilham Ainol, Norzatulshima Nolan, Meor, MF Kencana, Sinaganaga, Ridzuan Harun, Hameer Habeeb, W.B Rendra, Acep Zamzam Noor, Ahmadun Yosi Hefanda, Rahimidin Zahari, Jimadie, A Rahim Qahhar dan lain-lain, termasuk yang tidak mahu namanya disebutkannya di sini kerana sebab-sebab tertentu. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada yang sudi membeli buku saya.

November 23, 2009

Jumaat, November 20, 2009

DI ATAS SEJADAH

Sendiri di atas sejadah
aku menghitung keliru

kerana mereka tidak bertemu
walau di jalan yang satu

antara percaya palsu
atau ragu yang jitu

November 20, 2009

Khamis, November 19, 2009

Marsli N.O

KERANA MEREKA

Pagi ini mereka
Berebut sejadah
Walau agama tidak payah
Dan juga tidak mudah
Hanya tekun hati mendorong tabah
Bertemu Tuhan tidak berhelah

Terima kasih, Tuhan
Kerana tidak Kautanya
Dariku apakah memilik tauliah
Sendiri ketika di dalam rumah
MenghadapMu dengan pasrah.

November 19, 2009

Rabu, November 18, 2009

HUJAN TIDAK BERSELINDUNG

Terima kasih hujan
semakin aku faham dan mengerti
ketika kau tidak berselindung
membuka diri

menyedarkan aku lelaki
yang mudah mempercayai janji

ketika segala berubah menjadi mimpi
terlalu ngeri

walau aku terus menunggu
dan menanti.

Kuantan,
November 18, 2009

Ahad, November 15, 2009

KOLEKSI KARYA TERAKHIR RUSTAM A. SANI



Tajuk: Ketemu di Alur Zaman
Penulis: Rustam A. Sani
Penerbit: Media Icon Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2009
Halaman: 77 halaman

KEMATIAN seorang pengarang atau ilmuan tidak bererti pengakhiran segala bagi dirinya. Seperti kata pepatah harimau mati meninggalkan belang dan seorang pengarang atau ilmuan pula pastilah akan meninggalkan karyanya.

Apa lagi bagi seorang tokoh seperti Allahyarham Rustam A. Sani, yang tidak sekadar tersohor namanya sebagai penulis, tetapi sekaligus juga terkenal sebagai seorang tokoh politik dan sosiologis.

Memang pun sebagai seorang politikus Rustam tidak banyak meraih kejayaan dan ini ada hubungkait dengan pilihannya untuk berada di pihak oposisi. Namun hasil tulisannya tetap dan telah meninggal gema yang panjang, lama setelah beliau meninggalkan dunia yang fana ini.

Sebagai tanda penghargaan dan kenangan terhadap sumbangan pemikiran, begitu diakui penerbit Media Icon Sdn Bhd dalam pengantar Dari Penerbit, sejumlah karya terakhir Allahyarham Rustam ini dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk buku.

Buku berjudul “Ketemu di Akhir Zaman” ini memuatkan tulisan beliau yang membicarakan 11 tokoh dan sebuah sorotan beliau mengenai pasukan impian dalam kepimpinan politik Melayu.

Tulisan yang diterbitkan kembali di dalam buku ini merupakan tulisan terakhir Rustam yang sebelumnya pernah diterbitkan sebagai kolum beliau di pelbagai akhbar dan penerbitan alternatif.

11 tulisan Rustam mengenai sejumlah tokoh ini memperlihatkan bagaimana Allahyarham menyorot pemikiran, sikap, karakter dan mungkin juga keganjilan tokoh-tokoh yang dialami serta mungkin sangat dikenalnya secara langsung sebelumnya. Ulasan beliau terasa agak berimbang dan lebih banyak memberikan fokus kepada sepak terajang di dalam politik tokoh-tokoh yang dibicarakannya.

Kalau pun terkecuali dan tidak terlalu disinggung sebagai makhluk politik di dalam kumpulan tulisan beliau di dalam buku ini hanyalah H.M Dahlan dan Usman Awang.

H.M Dahlan atau Dahlan Haji Aman disorot Rustam sebagai tokoh akademik yang mengetuai Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia ketika beliau mulai menyertainya pada tahun 1976 sebagai seorang Pensyarah.

Tidak hanya itu, H.M Dahlan juga dilihat Rustam sebagai seorang yang memperlihatkan kemampuannya untuk bersikap kreatif tetapi sekaligus juga realistik. Bagi Rustam, peranan penting yang telah dimainkan oleh H.M Dahlan ialah sebagai seorang penggiat dan pemikir (bidang cendekia) bidang antropologi dan sosiologi pada tahap awal pertumbuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rustam mengaku di dalam tulisannya “Ahmad Boestamam, Ayahku” meski beliau merupakan anak lelaki tunggal tokoh politik pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) ini namun tidak mengenalnya secara peribadi.

Bagi Rustam, pengetahuannya mengenai Ahmad Boestamam lebih berupa hasil kajian dan renungannya sebagia seorang pelajar ilmu politik dan sejarah politik Malaysia Moden, khususnya nasionalisme dan gerakan politik radikal Melayu.

Nama Zainuddin Maidin terpacul dalam tulisan Rustam mengenai Lee Kuan Yew di halaman 17. Bagi Rustam, kemenangan Lee Kuan Yew yang juga dikenali di sebagai salah seorang penindas media dan kebebasan yang paling ganas di dunia menerima bayaran pampasan ganti rugi berjumlah berjuta dollar dari sebuah syarikat media antarabangsa, sesungguhnya merupakan kemenangan Zainuddin Maidin juga, yang waktu itu merupakan seorang Menteri Penerangan Malaysia.

Syed Husin Ali bagi Rustam telah merancang “kerjaya” politiknya berdasarkan pendekatan “perjuangan” beberapa tokoh pemimpin politik rakyat lama yang kiblatnya adalah perjuangan untuk rakyat serta komitmen terhadap keyakinan dan ideologi politiknya. Sayangnya, kerana kerana dia hidup dalam zaman yang lain, kejayaannnya sentiasa diukur berdasarkan ukuran kerjaya politik orang-orang zaman ini yang didasarkan kepada mencapai jawatan dan kemewahan yang diimpikan.

Tulisan belasungkawa Rustam mengenai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Abdul Razak Ahmad disarati pujian Rustam. Bagi Rustam, Abdul Razak dilihatnya sebagai seorang yang tidak pernah berusaha menonjolkan diri dengan gelagat yang bersifat kewira-wiraan atau bermegah-megah. Tegas Rustam, perjuangan Abdul Razak untuk rakyat berlangsung secara berterusan di sepanjgang hayatnya.

Kassim Ahmad bagi Rustam pula adalah seorang sarjana dan intelektual yang secara cekal dan berani telah turut terlibat dalam memikirkan persoalan-persoalan yang dihadapi masyarakatnya.

Sumbangan bakti hasil pemikirannya itu dipersembahkan melalui kegiatan yang pelbagai: sebagai penulis sastera kreatif, ahli teori dan kritik sastera, penulis esei falsafat dan politik, juga secara langusng terlibat sebagai aktivis politik.

Tulisan Rustam mengenai Johan Jaafar yang dimuatkan di bab tujuh buku ini merupakan reaksi Rustam terhadap wawancara Datuk Johan Jaafar dengan majalah Off The Edge (September 2006) “1998: A Newspaper Editor’s Story”.

Selain menyentuh kedudukan Johan Jaafar setelah Anwar Ibrahim dibebaskan di dalam tulisannya ini, Rustam turut mengambil kesempatan membuat pengakuan betapa berbeza daripada Johan, dia tidak dapat menyatakan bahawa dia telah diterima kepangkuan sesiapa, kerana mungkin dia memang tidak pernah berusaha untuk kembali ke pangkuan sesiapa.

Pemergian tokoh bernama Ezam Mohd Nor dari PKR bagi Rustam tidaklah dapat dianggap sebagai suatu tamparan maut dan memungkin parti ini runtuh dan berkubur. Tulisan Rustam di bab lapan ini turut kembali menghimbau betapa sebelum ini, dua tokoh dari parti ini, dahulunya PKN, seperti Dr. Chandra Muzaffar dan A. Rahman Othman telah pun terlebih dahulu meninggalkan parti ini, namun parti ini tetap bertahan dan meneruskan hayatnya.

Peranan yang dimainkan Khairy Jamaluddin selaku menjawat Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno disorot Rustam melalui tulisannya di bab 9. Di bawah Khairy Jamaluddin, pergerakan ini digambarkan Rustam sebagai lebih menonjol citranya sebagai pergerakan yang bersifat agresif dari segi fisikalnya tetapi amat muram dari segi kecedekiawanannya.

Menyorot isu seputar kritikan terhadap perlantikan Zainuddin Maidin selaku Menteri Penerangan Malaysia, Rustam berpendapat betapa dengan latar belakang anti-kebebasan media dan anti kebebasan bersuaranya yang begitu jelas, maka tidak mustahillah perlantikan Zainuddin Maidin itu tidak disambut dengan begitu ghairah oleh kalangan komuniti dan fraterniti kewartawanan sendiri.

Mengenai Usman Awang, yang ditulis Rustam sebagai sebuah tulisan belasungkawa, diakui Rustam betapa Usman Awang bukan hanya seorang penyair tetapi sekaligus juga pelopor yang memberikan bentuk dan struktur kepada bahasa Melayu moden, menjadikannya pengucapan politik, kewartawanan dan wacana moden yang berkesan atau efisien.

Tulisan terakhir Rustam di bab 12 buku ini yang antara lain mempertanyakan kewujudan “pasukan impian” dalam kepimpinan politik Melayu diakhir dengan kesimpulan yang wajar dan molek menjadi bahan renungan kita bersama.

Bagi Rustam, keghairahan sebahagian pihak tentang kemungkinan mencambahkan pemikiran ke arah pembentukan sebuah “dream team” adalah tidak wajar. Malah ditegaskan Rustam betapa itu ada kemungkinannya sebagai: “... sekadar merupakan mimpi ngeri mereka yang sebenarnya sedang mengigau pada waktu siang hari.”

Sebagai kesimpulan, koleksi 12 tulisan di dalam buku ini memang dengan jelas memaparkan sosok pemikiran dan analisis seorang Rustam A. Sani terhadap sesuatu isu dan tokoh. Sebagai seorang bekas sarjana bidang antropologi dan sosiologi, analisis Rustam memang menukik, dan pada bahagian tertentu di dalam tulisannya, nadanya lantang dan tidak berselindung.

Meski ada bahagian-bahagian di dalam tulisannya yang terasa agak pahit untuk ditelan dan diterima, namun setidaknya kita wajar sekejap bercermin darinya.

MARSLI N.O
21 Jun, 2009 (Ahad)

Sumber siaran: Suara Keadilan, Bil 200 , 29 Sept - 6 Okt 2009.

DI RUMAH PUISI MELAYU MALAYSIA MUTAKHIR (1)

AKAN tetap begitu-begitu juga. Meramaikan peniru dan pencuri. Takut menjadi diri sendiri.

November 15, 2009

Khamis, November 12, 2009

PEMBACA YANG MENCURI

USAI membaca karya Seno, bergegas dia menyunglapkan dirinya mahu menjadi dan berkarya seperti Seno. Esok malamnya, begitu dia usai membaca karya Putu, dia memutuskan untuk menjadi dan berkarya seperti Putu pula. Begitulah terus menerus setiap kali dia usai membaca dan menghayati sebuah karya pengarang atau penyair yang sangat dia kagumi. Kariapur, Sapardi, Afrizal, Ayu Utami, Rendra, Goenawan, Marquez, Kafka, Baha Zain, A Samad Said dan entah siapa lagi.

Tetapi dia tidak pernah membaca dan ingin menjadi dirinya sendiri. Alangkah ruginya.

November 12, 2009

Rabu, November 11, 2009

KERETA MATI


DI BAWAH pohon di penjuru taman kereta itu sudah lama mati. Benar-benar mati. Kerana di dalamnya ada orang yang telah mati. Walau tidak benar-benar mati.

November 11, 2009

Selasa, November 10, 2009

BEBERAPA FIKSI MINI

KAWANAN SERIGALA

KAWANAN dahulu sudah semakin renta dan pikun. Kini mereka yang lebih muda dan tangkas menjadi kawanan baru. Dan serigala tetaplah serigala. Walau apa pun bentuk dan rupa. Bezanya, di hujung nama setiap mereka berakhir dengan gelar.

November 9, 2009



ISTERI MITHALI

SETIAP bertemu dan berbual, rungutan tidak bahagia dan kesalkan suami yang malas berkerja mencari nafkah itulah sering terdengar dari bibir dia.

Setelah beberapa tahun tidak bertemu, khabar terbaru didengar dia telah melahirkan seorang bayi.

Memang dia isteri mithali.

November 3, 2009



KEKASIH

INI nomor terbaru milikku. Dia menongol di monitor telefon milikku. Kulihat ada kembang terselit di rambutnya. Aku kangen, bila kita akan bercinta lagi? Tanyanya. Menggoda.

Tanpa silu dia satu demi satu melucutkan pakaian. Dan kelihatanlah segala miliknya.

Aku tahu segalanya palsu.

November 8, 2009

Ahad, November 08, 2009

HAKIKAT CERPEN: ANTARA FAKTA DAN FIKSI


Oleh MARSLI N.O

SEBUAH cerpen adalah sebuah dunia baru yang dibangunkan dari himpunan realiti yang dibaur dan dicernakan di dalam imaginasi pengarangnya. Realiti yang dihimpunkan adalah realiti yang sehari-hari dilewati pengarang dengan segala deria, indera dan pengahayatannya.

Dengan deria dan inderanya, pengarang tidak hanya melihat, mendengar apa yang terpapar di permukaan tetapi juga apa yang tersirat di bawah kenyataan. Dengan deria dan inderanya, pengarang cuba mengesani raung dan tangis, suka dan ria, gelisah dan resah, rindu dan cinta yang mungkin tidak mudah diucapkan manusia yang bukan pengarang kerana rasa malu, ketakutan dan ketiadaan rasa percaya dirinya sendiri.

Apa yang telah dicernakan pengarang di dalam imaginasinya adalah inti dari suatu realiti dan ketika dibangunkan kembali menjadi sebuah cerpen, ianya telah bertukar menjadi suatu refleksi yang hanya memaparkan cebisan dan imbasan yang dianggap penting serta mampu menjadi bayangan bagi sebuah dunia baru dan lain.

Realiti hanyalah titik tolak tetapi bukan keseluruhan. Kerana itulah, pengarang yang menyalin sepenuhnya realiti sebagai bahan cerpennya adalah pengarang yang kering daya kreatif dan kreativiti. Tugasnya hanyalah sebagai mesin yang menyalin secara patuh.

Cara memandang sesuatu realiti menjadi titik tolak karya dan sikap kreatif pengarang ketika berhadapan dengan realiti juga menentukan bentuk dan cara sebuah cerpen dipersembahkan kepada khalayak.

Pengarang yang memandang realiti sebagai sumber asli yang tidak boleh sama sekali dipertikaikan hakikatnya dan juga hanya melihat makna dan erti yang terpapar di permukaan, pastilah menerima realiti secara apa adanya.

Ini berlainan dengan pengarang yang menerima realiti hanya sebagai asas tetapi bukan sebagai suatu ikatan yang memaksanya menjadi manusia yang seratus mesti menaruh kepercayaan terhadap apa yang terpapar di hadapan penglihatan secara permukaannya.

Di mata pengarang golongan ini, realiti akan diobrak dan diabrik untuk menyelongkar makna dan erti lain yang mungkin tersembunyi di sebalik atau di bawah permukaan yang kelihatan pada mata kasar.

Realiti bukanlah sesuatu yang mesti dipercayainya seratus peratus. Realiti yang sedia ada tidak mustahil juga merupakan suatu manipulasi, suatu sulapan.

Kerana itu realti yang sedia ada perlu diselongkar demi untuk menemukan makna-makna lain dan baru.

Penemuan erti dan makna yang lebih baru ini akan pula menzahirkan suatu bentuk realiti yang baru dan polisemi, bermakna ganda, sifatnya.

Dengan begini juga, cerpen sekaligus boleh berupa satu genre yang berbaur dengan genre lain seperti puisi, drama, esei atau fotografi. Ini bererti sebuah cerpen perlu dan bersedia untuk berubah, melakukan pelanggaran dan sekaligus penerokaan terhadap bentuk dan genrenya.

Untuk melakukan penerokaan dan pelanggaran, sekaligus juga berusaha menampilkan sisi lain dari sebuah cerpen, pastilah seorang pengarang memerlukan kekuatan dan keberanian di dalam jiwa kreatifnya.

Namun dari sisi yang lain, sebelum mampu untuk memiliki apa yang dinamai kekuatan dan keberanian di dalam berkreatif, tanpa kekuatan dan keberanian untuk menantang segala duga hidup dan dalaman jiwa pengarangnya sendiri, mana mungkin sebuah cerpen mampu dizahirkan sebagai bentuknya yang berbeza dari kebiasaan.

Melawan kemalasan di dalam diri yang selalu menggoda agar bertangguh dengan alasan seronok dan kesantaian, atau ketidakberdayaan untuk bangkit melawan segala rasa takut dan getir ketika bersunyi-sunyian menghadapi alam pengkaryaan, merupakan sebahagian duga permulaan sebagai penulis cerpen.

Belum lagi mendepani kritik dan gugah yang selalu mencabar yakin penulis yang belum punya kekuatan di dalam jiwa dan diri.

Walhal, yang mahu ditulis bukankah apa yang bergolak di dalam jiwa sendiri? Jadi kenapa takut untuk berkata benar dan tampil sebagai diri sendiri?

Bukankah? Mengharap belas puji dan puja orang lain terhadap karya yang dilahirkan dari keringat dan gelisah jiwa sendiri, sesungguhnya sesuatu yang sia-sia.

Hanya kekuatan dalaman diri yang mampu menghadapi segala duga dan kerana itu jugalah dikatakan betapa menulis cerpen itu adalah menguras semangat jiwa sendiri.

Memang jika ditinjau dari aspek bentuk luarannya, titik ukur yang menjadi batu sempadan di antara cerpen dan cerita adalah sebatas kulit bawang atau seperti menarik rambut di dalam tepong. Namun sebagai garis pandu secara umum, masih terdapat sedikit garis yang kasat mata sebagai "pemisah".

Pemisahnya, walaupun cerpen itu tidak lain adalah sebuah cerita atau bertolak dari sebuah "cerita", tetapi cerita yang dijadikan "cerpen" (tentu saja cerita + pendek) adalah cerita yang telah pun diberikan bumbu atau solekan. Tanpa bumbu atau solekan tersebut, cerita baru dalam bentuk bahan mentah sang fakta.

Jadinya, untuk mengelak sifat "bahan mentahnya" itu, sebagai sifat tambah yang baru, cerita yang dijadikan cerpen telah dipakaikan baju imaginasi, penyamaran, pelupusan, malah kadang-kala diperlebih-lebihkan pula.
Kerana itu jugalah, kalau mahu dicari sesuatu yang benar-benar sreg, fit, kena serta aktual dengan sesuatu yang faktual, dari sebuah cerpen yang lahir dari tangan seorang pengarang yang benar-benar menginsafi keterbatasan sifat maknusiawinya, tentu saja kefaktaannya itu sudah jauh berputar atau tergelincir 180 atau 360 darjah.

Maksudnya dari kalangan pengarang yang benar-benar memahami peranannya sebagai manusia kreatif, mereka tidak mahu membawa peranan meniru atau menyalin realiti. Sebaliknya, apa yang diusahakan hanya mengemukakan sedikit biasan atau kesan dari sesuatu, hanya sedikit. Seperti menggambarkan api, apa yang dipaparkan hanyalah kesannya, yang hangus, yang terbakar, tetapi bukan (kononnya) mahu menyalin api itu sendiri.

Tentu saja sebahagian orang merasa kecewa dengan sikap pengarang yang begini. Mereka berkoar dan bertanya: Mana realitas sosial dalam cerpen-cerpen kita? Wah, hebatnya. Walhal, realitas itu sendiri merupakan kata yang sangat abstrak dan tak sepenuhnya mereka mengertikan luar dalamnya.

Apapun, pokok dan hakikatnya terserah masing-masing pengarang. Apakah mahu mengarang cerpen atau mengarang cerita. Kitakan hidup di negara demokrasi. Jadi bebas memilih. Kita tidak perlu saling mengacung tinju dan mengatakan mereka lebih suci, mulia dan terhormat ketimbang diri orang lain, semata-mata kerana sebuah cerpen.

Februari 28, 2008

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 8 November 2009

Sabtu, November 07, 2009

KALAU BUKAN, APA LAGI?

KATAKAN semalam saya merintih sendiri kenangkan sesuatu yang sedih dan menghimpit perasaan. Katakanlah juga itu lantaran kenangkan diri yang tidak sudah dan henti dihenyak gunjing dan duga perbuatan makhluk lain yang sama bernama manusia namun di hatinya penuh hasad dan iri.

Tetapi Tuhan maha adil dan saksama. Saya diberikan ganjar lain juga.

Pada waktu sama, saya tahu dan sedar, saya masih punya sejumlah sahabat yang tetap sedia untuk membantu dan menolong, dengan pelbagai cara sama ada langsung mahupun tidak.

Misalkan, tanpa saya duga, seorang sahabat yang lama tidak bercakap di telefon, tiba-tiba muncul dan mengabarkan betapa dia tidak ingin ke mari untuk suatu acara dan meminta saya meneruskan bagi pihak dirinya.

Seorang teman yang lain pula, bersungguh menganjurkan suatu acara di daerahnya walau sebelum ini saya tidak pernah menyebut atau berbicara mengenainya ketika bersua dalam banyak percakapan kami sebelum ini.

Atau seorang teman di sebuah penerbitan yang lain. Selalu dan sudi mendengar, sehinggakan begitu, sering saya digunjing oleh makhluk yang kurang senang hati dan perasaanya melihat betapa akrabnya kami, kononnya sering merayu dan membentak-bentak meminta karyanya disiarkan orang.

Atau paling tidak pun, seorang yang tiba-tiba kembali menjelma ke dalam ingatan dengan pesan ringkasnya lewat angin, selepas sekian tahun menghilang.

Memang pun saya tidak terlalu sangat tersentuh oleh semua gunjing yang didengar sendiri atau yang disampaikan oleh angin.

Atau ketika tercenung sendiri memikirkan baki wang di tangan semakin menipis, Tuhan mendatangkan saya rezeki yang lain, yang sungguh tidak saya duga.

Ajakan berceramah, kiriman cek untuk sajak dan cerpen yang beberapa bulan dulu disiar, atau paling tidak ilham untuk menyemak baki simpanan di bank.

Memang di satu bahagian saya digunjing dan ditolak. Tetapi di bahagian lain ternyata tidak. Bagi pencari palsu, saya memang selalu dibenci dan dihindari kerana saya tidak pernah ingin bermain dengan sastera dan seni atau berkompromi untuk memberinya makna lain yang palsu dan bejat.

Biar apa pun, saya tetap tidak mahu berganjak dengan yakin yang sejak mula dan tidak mahu tunduk mengalah hanya kerana bertegas dengan prinsip, yang saya yakini sebagai benar.

Saya memang tidak akan berkompromi dengan pencuri dan pelacur yang berlagak atas nama seni, seniman atau sasterawan. Apa lagi untuk menjadi sebahagian mereka yang semakin menyunglap dirinya menjadi badut sarkas di pentas yang disediakan indah oleh tangan-tangan politik.

Biarlah apa dan bagaimana, saya tetap ingin begini juga. Tidak terlalu kaya dan yang penting, tidak perlu memijak kepala orang lain untuk naik menanjak dan berpura menjadi wali di depan orang yang tidak tahu dan mengerti.

Saya juga tidak ingin berlagak pandai dan menjadi bijak kerana di hujung namanya tecatat secalit gelar, meski pada hakikat hanya peniru, pencuri yang lahap dan menghina orang lain tanpa sebab.

Saya tidak ingin bertanding dengan mereka kerana saya tahu dunia saya bukanlah di sana.

Kerana itulah saya memilih sendiri dan mengambil sikap tidak peduli. Dunia saya adalah sunyi yang selalu sendiri dan saya tidak pernah ingin membenci dunia yang saya pilih ini walau apa pun.

Saya tahu dan mengerti di mana saya mesti berdiri.

Dan apa lagi kalau saya tidak berterima kasih kepada Tuhan yang selalu memberi. Juga buat sejumlah nama, sahabat dan kekasih. Anda memang manusia baik dan berbudi.

Tetapi, kalau saya tidak menyebutkan anda secara terbuka, janganlah terkilan atau terasa.

Saya harap anda faham dan mengerti kenapa.

November 7, 2009

Khamis, November 05, 2009

KAU, AKU DAN BULAN

KITA saling berbagi purnama
bersama pesona

walau berbeza jarak
dan terhalang hendak

tetapi kita tidak ingin
menjadi
bidak syahwat

Kuantan,
November 5, 2009

Rabu, November 04, 2009

DI PASAR MANUSIA

BINGAR suara manusia berbaur memenuhi ruang. Tawar menawar harga berlangsung dan beradu sesama. Tetapi meski rendah dan murah harga namun tiada yang sudi menerima serta membeli.

Di pasar manusia kini, si bijak, si tangkas, dan si petah tidak tergiur dibeli bakal tuannya.

Kerana nanti akan mudah menjadi perderhaka yang berbalik melawan kita. Begitu dalih mereka yang bergelar si tuan. Dan si capik, si tuli serta si bisu pantas menjadi pilihan.

Tinggal pilihan, perlukah berlagak dan menyunglap diri sekelip mata menjadi si cacat, bisu dan si buta agar nanti mudah dibeli dan kemudiannya disayangi bakal sang tuan.

Atau tetap berdiri dan meyakini sendiri prinsip diri, hidup seada, tanpa perlu bertuankan sesiapa kecuali diri sendiri.

Jawabnya terserah.

September 3, 2009

Ahad, November 01, 2009

DI NEGERI KATA

Sajak MARSLI N.O























Marsli N.O
DI NEGERI KATA

Selalu aku melihat orang berbondong ke negeri kata
Masing-masing berebutan ingin menguasai
Segala cerok dan pelosok wilayah di negeri kata
Sehingga suasana menjadi bising dan bingar dijejal suara
Teriak dan tengkar sesama

Masing-masing bersikeras mengaku dengan tegang urat di leher
Memiliki wilayah kata, dunia kata, tulang kata, jantung kata dan
Mata kata.

Tetapi dengan kata juga mereka saling membunuh dan melenyapkan lawan.
Di negeri kata mereka telah berubah menjadi sang pesulap yang mabok
Mengejar gelar dan seronok untuk nafsu dan perut
Atau menjadi haiwan haloba yang tidak mengenal beza
antara sahabat, saudara dan bangsa

Di negeri kata, watak manusia berubah sekelip mata
Menjadi boragas dan naga-naga.

Kuantan,
September 12, 2009

Sumber Siaran: MINGGUAN MALAYSIA, 1 November 2009