Isnin, Jun 28, 2010

DI NEGERI SENDIRI

Sajak MARSLI N.O

DI NEGERI sendiri aku bersunyi
bercakap kepada angin, laut dan matahari

Aku tahu aku hanya sendiri
bersunyi dengan sepi

Ketika kau mulai memilih
menjadi pelari yang tidak lagi  mengerti
seperti si pekak yang kian menjadi tuli

Ketika sesama
menumbuhkan curiga di dalam diri

Menyubur menjadi rimba dan belantara
tempat berkeliaran
haiwan dan lembaga
menyeringai sentiasa
mengintai mangsa
siapa yang alpa
hanya untuk secuil laba

Kita sesama menjadi galak dan mabok
di dalam alpa
kerana tergoda oleh janji dan pura

Sesama sendiri
memilih duri
dan bukan lagi pekerti

Hati kita yang merambah haloba
membiak api membara
membakar waras di antara
timbang serta terima

Sebatang jasad di sebuah negeri
bernama cinta
kian lebur dan menghilang rupa

Kita bakal sirna
dan entah berubah menjadi apa
boragas atau masihkah
manusia

Di negeri sendiri
aku bersunyi
bercakap kepada angin, laut dan matahari

Aku ingin bersunyi
dan bersendiri

Kerana aku tidak ingin menjadi
peludah negeri sendiri
yang tidak peduli walau sekali
negerinya yang tenteram
berubah menjadi negeri berapi
asalkan hasrat menjadi pasti

Walau datang bertandang
musuh dan dagang
kembali membawa bencana berudulang
selagi hendak di hati berulang
sendiri mengaut untung dan senang

Aku tidak ingin menjadi peludah negeri
yang bijak melontar hujah
ketika bersungguh
hendak meyakinkan helah
dengan lidah terbelah

Di negeri ini
aku ingin bersunyi
dan bersendiri
bercakap kepada angin, laut dan matahari

Ketika kau mulai memilih
menjadi pelari
yang tidak lagi mahu mengerti
atau bangsa yang tega
meludah negerinya sendiri.

Jun 17, 2010

Sumber siaran: Malam Puisi Riong Berita Harian dan DBP, 26 Jun 2010 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP Kuala Lumpur. 

Versi Deklamasi: Sila telusur di Youtube dengan kata kunci MARSLI N.O  
 

Selasa, Jun 22, 2010

PENJARA PUDU

(1895 - 22 Jun 2010)

SPERMA  meleleh dari celah jemari pembuat dasar pembangunan.  Sejarah disunglap menjadi buah simalakama. Suara rakyat hanyalah onani.  Para cukong bersileweran melibaskan sayapnya ke udara.  Jalan Hang Tuah adalah sebuah  kisah sedih dari sinetron yang tidak pasti bila akan berakhir. Lupakan dengan  dangdut atau disko.  Hujung dan pangkal? Mencari damai di dada montok gro  berdada montok dan telanjang.  Tentunya dari Shanghai, Manila atau Vietnam. Di bawah pohon sena yang lambat merimbun seseorang membuka celana. Penisnya yang tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil dihayun ke kanan dan ke kiri. Perempuan-perempuan sedang meratap. Kerana belum sepenuh tuntas orgasmenya. Mari ke mari dan setubuhilah aku dengan penismu yang semakin kendur dan menyulitkan penatrasi ke liang vaginaku. Ketika babi menyumpah dan setan berdansa kerana  kebodohan manusia. Di sebalik keduk wajah siapa yang berselindung? Celaka kau. Aku bukan penyembah berhala.

MARSLI N.O
Jun 22, 2010

Ahad, Jun 20, 2010

KOSMETIK

Sajak Marsli N.O

(1)
Gadis-gadis kita dibujuk menjadi deretan papan iklan.
Di setiap persimpangan, kita melihat begitu banyak warna
yang berteriak dan huruf yang mengisyaratkan bahasa
menegangkan syahwat, menggoda kita menjadi pengguna
yang leka beronani dengan label dan jenama.

Beban yang kita beli di pasaran terbuka, kita pikul dengan rela.
Dengan wajah ceria, gadis kita menghadiahkan senyum kepada
pemilik jenama.

Gadis-gadis kita diarak mengelilingi api dan digubah menjadi lilin.
Perlahan-lahan gadis kita mencair dan larut menjadi kimia.

Januari 22, 2007

(2)
Bukalah Jilbab dan pamerkan hitam rambutmu.
Begitu kata iklan yang tamak dan ingin menjadi penguasa
kepada gadis kita yang sedang terpinga-pinga. Bibirnya
yang sumbing selalu tersungging tatkala mendendangkan
sebuah lagu yang mendayu-dayu. Atau ketika sedang asyik
berlenggok dangdut bak Mas Idayu.

Berjuta kali gadis kita dibujuk dan diajak berdansa dengan
sebuah jenama.

Dan dari sebuah botol yang aneh bentuknya mengalir
segerombolan syampoo
beramai-ramai mereka mengerumuni gadis kita
sambil membacakan sebuah mantera

Gadis kita yang terpinga-pinga kini telah disunglap menjadi lilin
dan iklan membentuknya dalam pelbagai acuan.

Menjadi ikan, kucing atau ular yang jinak ditakluki jenama
Terpamer di billboard atau kaca pajangan.

Februari 4, 2007

(3)
Atau di kaca tv gadis kita dideretkan seperti
gerabak dan berkelahi sesama sendiri
demi warna dan pengagum

Di kaca tv, gadis kita tampil dengan wajah yang selalu berubah
dan berjalan dengan kepalanya di bawah.

Januari 28, 2007

Sumber siaran:

Sabtu, Jun 12, 2010

Cerpen: Di Ruang Sandiwara

Oleh Marsli NO

PERMULAANNYA adalah gelap.

Dan tatkala cahaya menerangi, kelihatanlah seorang seseorang sedang mundar-mandir ruang pentas itu. Langkahnya kelihatan berat terseok-seok. Sesekali berhenti untuk seketika. Dan kemudian melangkah lagi. Sambil kepalanya digeleng-gelengkan ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah ada sesuatu yang amat memberati di dalam fikirannya.

Dan pada saat yang lain, berhenti lagi dia lebih lama dari tadi. Sambil tinju dikepalkan berkali-kali dan sesekali diacung-acungkan tinggi ke udara.

Sebentar kemudian muncul pula seorang yang lain. Pada mulanya kelihatan teragak-agak dan berhati-hati mengaturkan langkahnya. Pandangannya membelingas ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang diawasi atau amat mencurigakannya.

Dia yang sedang mundar-mandir tidak mempedulikan kehadiran dia yang baru muncul. 


Tiba-tiba terdengar gendang dipalu bertalu-talu entah dari mana. Bertingkah-tingkah bunyinya.

Mereka tersentak dan kaku di posisi masing-masing. Tangan mereka terdepang lebar. Mulut ternganga. Mata terbelalak.

Paluan gendang terdengar semakin lantang.

Salah seorang dari mereka meloncat ke kiri dan ke kanan. Dan menepis-nepis sesuatu yang entah apa di sekitar dirinya.

Salah seorang dari mereka yang lain dari mereka terkial-kial sendirian dan berusaha menghadangi sesuatu dari menimpa tubuhnya. Sesuatu yang entah apa. Sesekali tubuhnya terdorong ke depan dan ke belakang.

Paluan gendang terdengar semakin lantang.

“Tidak! Tidak! Tidak!” Dia yang sedang meloncat dan menepis-nepis itu kini mulai berteriak-teriak. Pada mulanya perlahan.

“Tidak! Tidak! Tidak!” Demikian juga dia yang sedang berusaha menghadangi sesuatu dari menimpa tubuhnya itu. Juga ikut berteriak. Pada mulanya perlahan.

“Tidak! Tidak! Tidak!”

“Tidak! Tidak! Tidak!”

Kini teriakan mereka terdengar semakin lantang berkumandang. Dan paluan gendang juga semakin rancak dan lantang.

Mereka terus berteriak dan berteriak dan berteriak. Bagaikan orang telah kesurupan. Cahaya yang menerangi ruang pentas kini sekali gelap dan sekali terang. Mereka terus berteriak dan berteriak dan berteriak. Bagaikan orang telah kesurupan. Cahaya yang menerangi ruang pentas masih lagi sekali gelap dan sekali terang.

Mereka akhirnya bergelimpangan di ruang pentas. Dan pada detik yang sama paluan gendang pun automatis terhenti. Suasana menjadi hening beberapa detik.

Entah dari mana. Kini terdengar pula sedu sedan. Entah dari mana. Dan disusuli pula dengan suara orang berbicara yang tidak begitu jelas biji butir bicaranya yang juga entah datang dari mana. Pada mulanya perlahan dan kemudian semakin lantang dan jelas biji butir bicaranya.

“Bukankah dahulu lagi sudah kukatakan. Jangan. Jangan. Tetapi kau berdegil. Dan sekarang inilah akibatnya.”

“Kenapakah kau begitu tolol dan tega memilih itu. Bukankah kau sendiri tahu apa akibat yang bakal tertimpa ke atas dirimu? Kenapa? Kenapa?”

“Sudah terlambat. Apa yang terjadi telah pun terjadi. Kenapa kini dipersalahkan orang yang lain. Tetapi dirimu. Dirimu!”

Suara orang berbicara yang entah datang dari mana itu kedengaran silih berganti. 


Cahaya yang menerangi ruang pentas masih lagi sekali gelap dan sekali terang. 


“Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah. Hah.”

Kini terdengar pula teriakan bertali arus entah datang dari mana dan disusuli pula dengan tepuk tangan. Bertingkah-tingkah.

Mereka yang bergelimpangan di ruang pentas tersentak bangkit. Membelingas ke kiri dan ke kanan. Teriak dan tepukan bagaikan telah memukau mereka. Mereka mengelilingi ruang pentas. Sambil berpencak menepis-nepis sesuatu yang entah apa di sekitar diri mereka.

Teriak dan tepukan semakin lantang dan rancak.

Ruang pentas kembali diterangi cahaya benderang.

Teriak dan tepukan itu kini bagaikan satu penyatuan irama yang mengiringi pergerakan mereka. Mereka mengelilingi ruang. Sambil terus berpencak menepis-nepis sesuatu yaang entah apa disekitar diri mereka. Seiringan dengan teriak dan tepukan.

Tidak berapa lama kemudian muncul seseorang yang lain. Tercegat mematung di suatu sudut. Memerhatikan mereka yang sedang mengelilingi ruang pentas sambil berpencak dan berkali-kali menepis sesuatu yang entah apa di sekitar diri mereka itu.

Dan perhatiannya semakin difokuskan ke arah mereka yang kini menyusuli pencak dan tepisannya dengan gelengan kepala ke kiri dan ke kanan pula.


Dia yang baru muncul hati-hati dan perlahan-lahan menghampiri mereka. Namun mereka tidak mempedulikannya. Mereka masih lagi leka dan asyik menepis-nepis dan menggeleng-geleng. Seiringan dengan teriakan dan tepukan.

Dia yang baru muncul cuba berbuat sesuatu untuk menarik perhatian mereka. Namun usahanya sia-sia belaka. Lalu dia melakukan sesuatu yang lain. Namun itu juga tidak berhasil menarik perhatian mereka.

“Sudah! Hentikan segera sandiwara ini! Hentikan! Aku sudah bosan! Aku sudah bosan melihatnya!” Berteriak dia. Lantang dan sesungguh hati.

Serentak dengan teriakan itu teriak dan tepukan pun terhenti. Mereka tersentak dan kaku di posisi masing-masing di ruang pentas itu.

“Untuk apa ini semua mesti diteruskan? Untuk apa? Sandiwara. Sandiwara. Dan sandiwara. Sampai bila? Api. Darah. Dan air mata. Tidak pernahkah mereka menyedarinya? Betapakah. Dunia ini sudah semakin hitam. Dan alangkah jijiknya.”
Dia berteriak lagi dan kian menghampiri mereka.

“Cukup! Cukup! Hentikan! Hentikan!” Dia berteriak lagi. Di samping mereka.

Mereka tersentak dan terpinga-pinga. Saling bertukar pandang sesama mereka.

“Tidakkah kalian menyedarinya? Tidakkah?” tanya dia. Kepada salah seorang dari mereka.

“Apa?” salah seorang dari mereka bertanya.

“Kau masih tidak menyedarinya? Atau sengaja tidak mahu menyedarinya?” dia bertanya lagi.

“Ah, usahlah kau pinta apa-apa dariku. Aku sudah terlalu letih. Dan bosan,” salah sorang di antara mereka berkeluh kesah.

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

“ Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”


“ Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain.

“Lalu kalian relakan itu terus berleluasa di hadapan mata sendiri?”

“Apa?”

“Api. Darah. Dan air mata.”

“Apa sesungguhnya yang mesti kami lakukan?”

“Bertindak!”

“Siapa?”

“Kita!”

“Kita?”

“Tidak. Aku tidak sanggup!” bantah salah seorang dari mereka yang lain. Pantas.

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain.

“Kenapa tidak? Gentarkah kalian?”

“Ah, saudara. Lupakah saudara pada apa yang telah tertimpa ke atas diri moyang kita itu?”

“Moyang kita?”

“Telah lupakah saudara? Lantaran tidak rela melihat bangsanya dibelenggu oleh mata rantai kebodohan maka dirinya sendiri menjadi habuan,” mereka yang lain meneruskan bicaranya.

“Apa kena mengenanya dengan kita? Atau kalian?”


“Masih tidak mengertikah saudara? Kerana sandiwara itulah maka dia menjadi mangsa.”

“Maksudmu?” tingkah dia. Pantas.

“Ketika berkata sekelian juak dan terpedaya sudahnya yang mendengar. Berbahaya amat sebuah negeri memiliki budak sepintar itu. Maka jadilah dia habuan dan korban.”

Dia melongo. Sedikit demi sedikit bayangan kisah silam itu kembali berhamburan deras menerjahi ruang ingatan.

“Nadim! Nadim!” dia berteriak. Menyeru nama itu berkali-kali.

“Lalu demikianlah saudara. Kupilih membisu kerana demikian lebih selamat.
Meskipun aku tahu betapa naifnya pilihan begini. Kerana aku tahu siapa sebenarnya diriku ini.”

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

“Ya! Ya! Ya! Ya! Ya! Ya!”

Ujaran itu disahut bersahut-sahutan oleh mereka yang lain.

“Ternyata kalian ini manusia dayus. Dan lebih menjijikkan lagi, bila kalian tega pula bersekongkol dengan kebodohan itu. Menjadi pengampu dan penjilat.”

“Jangan kau menghina kami. Insaflah kau betapa demikian namanya suratan. Untuk apa melawan kalau sekadar menjadi abu dan arang?”:

Dan kembali sekalian mereka mengitari ruang pentas. Seolah-olah mencari sesuatu yang telah hilang. Sesuatu yang entah apa.

Paluan gendang kembali terdengar lantang dan bertingkah-tingkah.

“Berbahagiakah hidup tatkala memilih menjadi badut-badut cuma?” dia bertanya dengan suara lantang. Di antara tingkahan paluan gendang yang semakin lantang.
Namun tiada siapa yang menjawab.

Dan jasad sekalian mereka yang lingung dan terpinga-pinga di ruang pentas itu kini sedikit demi sedikit, bertukar sifat dan bentuknya menjadi cebisan kain pelbagai warna. Terapung dan terawang-awang di udara.

Semakin lama semakin kecil dan sirna.

Ketika gelap kembali merongrong seluruh pelosok dan ruang pentas.


PROFIL
MARSLI NO lahir di Kerteh, Terengganu, pada 7 Oktober 1957. Selain cerpen, juga menulis puisi, novel, naskhah drama pentas/tv, resensi buku dan rencana. Tahun 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila dan Singapore Writer’s Festival di Singapura pada tahun 2003. Selain "Biduan" (DBP, 1994) dan "Demi" (DBP: 1998), “Menanti Buraq” adalah kumpulan cerpen ketiga beliau terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2008. Kumpulan cerpen terbarunya “Politikus, Badut & Sebuah Cermin” yang diterbitkannya secara persendirian tahun 2009 ini boleh didapatkan dengan memesan ke email marslino@yahoo.com atau mendapatkan maklumat di http://marslino. blogspot.com/.

Sumber siaran: Berita Harian, Sabtu, 12 Jun 2010