Ahad, Oktober 31, 2010

Sajak MARSLI N.O

POLITIKUS (1)

MEREKA hidup di dunia yang mewajibkan konflik. Membesar atau mengecil dengan kehendak dan sifat tamak. Memilih adalah pilihan dan  mengatasi kebenaran. Ketika  makna dilenyapkan hanya   menjadi mungkin yang selalu  berubah mengikut situasi dan tujuan.

Kemenangan adalah melupuskan lawan dan hasrat yang dikotakan dengan kerusi dan wilayah. Fitnah dan umpatan menjadi nama baru bagi sebuah fiksi dan segala tindak dihalalkan  atas nama bangsa atau  rakyat. 

Penyokong adalah kroni yang dipelihara dengan janji dan harapan. Membeli jika perlu dengan kembali ganjaran.  Cita-cita menghidupkan mereka tanpa malu dan segan. Merubah sifat lawan dan kawan, hanya dengan ganjaran dan kemenangan.

Wajah boragasnya diselindungkan dengan ribuan topeng.

Oktober 3, 2010

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 31 Oktober 2010 

Jumaat, Oktober 29, 2010

POLITIKUS (1)


DIA dewasa di dunia yang tamak
mengasuhnya menjadi cerdik 
dengan muslihat dan kehendak 
yang dipertahankan dengan  serakah.

Sesekali, dengan topeng maruah, 
dia menyalak di pentas dan dewan perhimpunan. 

Wajah anjingnya ditutup dengan pekik dan jerit. 

Sambil menjilat ludah dan kencing autanya sendiri.

Oktober 29, 2010

Ahad, Oktober 24, 2010

BARU TERJAGA ATAU SENGAJA BUAT LUPA?

ISU bahasa sudah dibicarakan sejak lama dahulu. Dari soal tetek-bengek ejaan dan nahu sampailah ke peringkat yang lebih mudah menggegar perasaan bila kedudukan serta keistimewaannya, sebagaimana tercatat dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, digeser dan dipermainkan.
Tahun 1965, kerana berasa marah dan terhina bila  kedudukan bahasanya yang telah jelas dimaktubkan  diperkotak-katikkan pihak berwajib,  sejumlah aktivis, pencinta dan pejuang bahasa, telah mengusung sebuah keranda yang dinamai Keranda I52 ke bangunan parlemen sebagai tanda protes.

Tahun demi tahun, isu bahasa tidak pernah lepas dari perhatian penggiat bahasa, ahli bahasa dan penulis yang cintakan bahasanya.

Bahasa pengantar bagi sebuah negara yang telah merdeka bukan sekadar pemertabatan  secara sepihak dan memperlindungkan rasis di sebalik nama perpaduan.

Satu bahasa sebagai bahasa pengantar bagi sebuah negara adalah alat penghubung sesama kaum dalam sebuah negara, yang tujuannya tidak lain untuk mempereratkan perpaduan atas nama negara bangsa.

Jadi kenapa hari ini masih ada yang berasa perlu bertempik dan melaung mengenai sesuatu yang memang pun sudah dimaktub dan dipersetujui sejak lama.

Apakah ini secara tidak langsung  menggambarkan sikap suka mengampu yang membuta tuli, yang mengulang-ulang bagaikan embekan seekor kambing, semata-mata kerana isu lama mengenai bahasa yang memang pun sudah sedia termaktub di dalam perlembagaan, kembali diperhangatkan oleh siapa yang berdiri gagah di atas pentas?

Hari ini, dalam suatu perhimpunan partai politik terbesar negara, kembali ia disebut dan diulang-ulang.

Apakah baru terjaga mereka, atau sengaja buat lupa?

Tahun 1982, tepatnya, Sabtu 25 September 1982, di tabloid Mingguan Bumi, saya pernah menulis mengenainya. Dan tentu sahaja, sebelum saya, tentulah ramai sudah tokoh dan pencinta bahasa yang menulis mengenainya.

Oktober 24, 2010

Jumaat, Oktober 22, 2010

DI LANGIT FRANKFURT


Langitnya berkabut dan kelabu
berbaur cahaya dan warna
secercah biru dan hitam 
yang sedikit memudar

Di palang besi tepian sungai Main
yang seakan kehilangan kilaunya
kau bersandar dengan jaket tebal
dan senyum yang tertahan

Oktober 22, 2010

Rabu, Oktober 20, 2010

TIDAK MENGAPA

TIDAK perlu rusuh dan gelisah. Atau menjadi persoalan yang bingit dan besar. 

Saya tidak pernah pun menyuruh dan memaksa.   Soal mengerti dan faham itu memang pun milik peribadi dan siapa anda. Terserah anda.

Tidak perlu membentak  keyakinan anda terhadap orang lain atau kepada saya.

Carilah seramai mungkin pengikut. Tetapi tidak semestinya anda benar dan betul.

Kepada  yang tidak tahu dan mengerti dunia lakon dan topeng ini,  memanglah anda akan dipuja bagaikan wali.

Tetapi wali apa? Wali munafik?

Oktober 20, 2010

Rabu, Oktober 13, 2010

SAYA TIDAK MEMERLUKANNYA


TERSERAH Anda.

Saya tidak memerlukannya.  Kerana saya datang dan akan pergi sendiri.

Kalau dulu Anda antara mereka yang sama lantangnya berkoar dan kini menjadi sebahagian pula.

Terserah Anda.  Apa mahu berselindung di sebalik keduk atau mahu bertelanjang.

Bukan soal masa lalu atau masa kini. 

Saya tidak memerlukannya. Apa lagi kalau sekadar memperebutkan sesuatu yang dunia.

Oktober 13, 2010

Ahad, Oktober 10, 2010

MENJADI PELAKON


TARIKH: Oktober  9, 2010.  Hari Sabtu.

Lokasi: Tingkat atas Setesen KL Central. Kurang lebih jam 10.40 pagi.

UJI BAKAT PILIH KASIH

Saya melihat betapa gemuruhnya kedua peserta itu. Namun mereka cerdik menyembunyikan rasa gemuruh mereka dengan senyum yang meleret tetapi bagi saya yang melihat terasa kering dan palsu.

Tidak sahaja gemuruh, malah mereka juga gopoh. Belum pun sempat diarahkan action, mereka sudah mulai berakting dan berdialog.

Tetapi selepas diarahkan acton, kesilapan bodoh membelakangkan kamera itu tetap mereka ulangi lagi.  Pada mulanya kedua-dua yang melakukan dan ini segera ditegor oleh Aziz M. Osman. Lalu mereka diarahkan melakonkan semula.

Kali ini peserta yang perempuan saya lihat paling kerap melakukan kesilapan bodoh itu. Dia sepenuhnya memberikan bontotnya ke arah pelakon atau kamera. Kemudian saya lihat hanya peserta yang lelaki itu tinggal di pentas dan saya tidak tahu apa yang telah dikatakan juri kepada peserta wanita yang bodoh itu.

Rasa saya inilah masalah mereka yang bercita-cita mahu menjadi pelakon. Baik di filem atau di teater. Mereka cuma punya hasrat tetapi tidak ingin  belajar dari bawah.

Harapkan muka cantik dan badan kacak tetapi otaknya kosong. Kemudian, kalau kebetulan terpilih jadi pelakon dan kemudian kebetulan menjadi popular, lagaknya sombong hendak mampus. Kisah hidupnya sebagai pelakon, bukannya kisah seni dan dunia lakonnya, tetapi kisah bertukar jantan dan betina atau kahwin cerainya yang dijaja merata media mengatasi kisah kehidupannya yang lain.

Inilah manusia yang begitu mudah kita berikan gelar seniman dan seniwati hanya kerana kegemaran hidupnya bergelumang dengan gossip dan bertukar pasangan atau teman hidup.

Saya tidak tahu pasti apa dan siapa yang sebenarnya membentuk mereka sebagai pelakon, kalau setelah mereka berjaya di uji bakat itu dan kemudian berjaya menjadi pelakon.

Siapa? Pengarah? Produser? Atau siapa yang sanggup menyewa dan mengupah mereka dengan bayaran paling inggi dan mahal?

Sanggupkah kita, sebagai pencari bakat, atau sebagai penonton yang sanggup membayar untuk menonton hasil lakonan mereka, sama  menanggung dosa untuk segala kebodohan yang dengan sengaja dibiarkan berulang-ulang?

Oktober 10, 2010

Isnin, Oktober 04, 2010

SELEBRITI (1)

Sajak MARSLI N.O

DARI layar lebar sinetron  dia  muncul ke ruang tamu rumah kita. Dengan wajah penuh cahaya  mendongengkan kisah demi kisah.  Mengajak  kita bersedih untuk sesuatu yang sebenarnya lebih layak menjadi lelucon atau bahan tertawa. Atau dibujuknya lara kita dengan mimpi baru yang lebih indah mengenai jenama.

Tetapi di luar sinetron kita melihat kisah lain yang lebih real. Selebriti kita adalah manusia gelisah yang selalu dipermainkan oleh nasibnya sendiri. Mahligai indahnya adalah gumpalan awan yang selalu terapung  di angkasa. Jodohnya  selalu digagalkan oleh pelbagai  pilihan. Dan dia  berjalan dengan tubuh yang dipinjamkan entah milik siapa.  Sesekali, kepalanya yang kadang lonjong dan kadang berbentuk segi empat  menzahirkan impian demi impian yang aneh dan kadangkala  amat menggerunkan.

Selebriti kita boleh berubah menjadi kerusi atau meja pada suatu ketika dan pada ketika yang lain boleh berubah menjadi ferrari atau airbus.

Jun 30, 2010 – 14 Julai 2010

Catatan siaran: Mingguan Malaysia,  3 Oktober 2010