Selasa, Januari 31, 2012

MENYAMPAH

PERASAN. Perasan.  Mampuslah.

Januari 31, 2012.

Sabtu, Januari 28, 2012

TOKOH


AKHIRNYA hanyalah pengulangan demi pengulangan untuk mengisi dan memenuhkan baki waktu dan ruang yang masih ada. Kalau berhenti nanti dikatakan sudah macet, pikun dan tidak mampu. Ketakutan mendorong mereka yang kurang kukuh jiwa dan raganya, apa lagi jika kurang berfikir juga, melakukan segala sesuatu yang sebenarnya tidak perlu dan malah langsung tidak memberikan makna apa-apa.

Misalkan seorang penyair. Tidak semestinya saban jam,  hari, minggu dan bulan perlu menyiarkan karya puisinya kalau yang dimuntahkan hanyalah sampah yang sangat memualkan.

Mencari kesempurnaan bukan perkara yang salah kerana kesempurnaan adalah tujuan. Tetapi bukan hanya luaran. Apalah erti dan makna andai karyanya dinobat sempurna dan menjulang ke puncak melangit, ditambah dengan pelbagai gelar hebat dan melambung,  ketika perangai dan peribadi pemilik karya menyerupai haiwan dan syaitan.

Waktu tidak pernah tinggal dan diam. Usia kita yang kian menipis mengajak kita kian hampir ke tanah di mana jasad bermula.

Kita barangkali terlupa atau dengan sengaja menjadikan diri manusia pelupa. Kerana itu saling berebut dan mengejar, malah kalau perlu memijak, pijaklah kepala siapa sahaja yang dirasakan boleh dan perlu dipijak. 

Akhirnya kembali kepada tanah yang itu juga siapa pun dia. Dan sebelum benar-benar tiba saat itu,  kenapa kerana gelar secuil itu kita  tega untuk tidak menjadi diri kita yang  manusia?

Saya hanya bertanya dan memperingatkan diri sendiri. Tanpa terlalu ingin menjadi tokoh atau ditokoh-tokohkan oleh siapa pun mereka.

Januari 27, 2012

Khamis, Januari 26, 2012

KATA LALUAN


KALAU guna yang bahasa Inggeris, "password" kan lebih ringkas dan tepat. Tetapi pedulilah. Kerana ada yang di dalam bahasa emak bapa saya Melayu, sebab itu saya gunakan yang Melayu. Dan kau pun janganlah mengada-ada hendak komen aku buat silap bila cakap bahasa Melayu dan bukan bahasa Malaysia. Suka hati akulah.

Ini kisah pagi semalam. Beberapa kali cuba menziarahi seorang sahabat penyair. Mesej ralat yang dipaparkan menyebut: "blog ini telah dipindahkan".

Baru di sebelah malam sahabat ini mengaku betapa dia akses atau masuk ke blognya awal tadi pagi dengan katalaluan miliknya dan tanpa mengklik butang keluar atau logout, blognya itu ditinggalkan begitu sahaja.

Saya bukan pun pakar komputer atau belajar khusus mengenai teknologi maklumat. Tetapi pengalaman mengajar saya betapa perbuatan sahabat penyair ini memang sengaja menempah nahas.  Apa lagi sebelum ini, sebuah blog lain milik sahabat ini, yang ditinggalkannya tanpa ditutup akaunnya, juga pernah diceroboh dan dimuat turun dengan pelbagai artikel yang mengarut serta memalukan oleh entahkan siapa.

Ini sebenarnya prinsip yang sangat asas. Masuk dengan kata laluan dan perlu pastikan setelah selesai kemudiannya untuk keluar dan menutup kata laluan secara rasmi.

Memang kita sebagai manusia biasa mudah tertipu. Kisah akaun email yang diceroboh, akaun bank yang tiba-tiba susut atau hadiah yang dijanjikan tidak kunjung tiba setelah sejumlah wang tunai dimasukkan ke akaun bank atas nama tertentu.

Saya sendiri seringkali menerima email yang sama dengan nama email saya, yang menawarkan jualan dengan harga istimewa pil Viagra atau Cialis dan sesekali alat untuk memperbesarkan alat kemaluan lelaki. Atau dengan nama email yang sama juga, seringkali saya menerima maklumat iklan produk-produk kesihatan lain berkaitan dengan seks dan tenaga kelakian.

Dan tidak mustahil, satu hari nanti bakal ada teman atau sahabat saya yang menerima email supaya mereka menghulurkan sejumlah derma ke dalam akaun bank atas nama tertentu, kononnya sebagai bantuan terhadap diri saya yang kononnya sedang ditahan di sebuah negara antah berantah atau sedang menghadapi kesulitan kewangan yang amat mendesak.

Bagaimana "mereka" ini boleh menceroboh?

Seingat saya, kurang lebih lapan atau enam tahun yang lalu saya pernah menerima email yang berselindung atas nama "verify email yahoo" yang mengatakan andai saya tidak mengirimkan maklumat kata laluan, email saya tidak akan dapat diakses. 

Dan di situlah tololnya saya waktu itu. Percayakan itu, saya memberikan maklumat yang dipinta "mereka".  Tetapi bila menyedari itu adalah perangkap beberapa bulan kemudiannya, saya menukar  kata laluan email saya kepada kata laluan baru.  Setidaknya, walau "mereka" boleh menyamar dengan nama email "marslino" saya, tetapi mereka tidak boleh menceroboh email peribadi milik saya sewenangnya.

Saya sedar juga, perbuatan menggunakan hanya satu kata laluan untuk semua akaun: email, blog, FB, twitter, tagged, YM dan segala macam akaun di internet atau siber, memang mengundang  bahaya. Hujah saya, bila satu akaun dibuka dengan kata laluan yang sama itu, pada waktu sama akaun lain boleh diakses oleh orang lain yang langsung tiada kena mengena, yang mungkin berniat tidak baik.

Melalui email juga saya sering menerima email yang mengaku dirinya hartawan, atau pemerintah sebuah negeri di Afrika yang telah digulingkan dan memiliki berbilion khazanah di dalam bank, atau juga email daripada mereka yang berwajah Melayu tetapi kini menetap di luar negara yang mengajak menjadi rakan kongsi perniagaan, atau daripada "mereka" yang mengaku mewakili bank tertentu yang meminta nombor akaun dan pin laluan daripada saya dengan tujuan untuk kemaskini dan pengaktifan akaun.

Saya tahu itu semua hanyalah bohong dan bertujuan hendak menipu. Malah dalam satu email yang mengajak menjadi rakan kongsi, foto wajah gadis Melayu yang digunakan sebagai penyamaran "mereka" adalah foto isteri adik ipar saya di zaman remaja.

Memang pelbagai cara penipuan dilakukan "mereka" dan siapa sahaja yang kurang waspada, pasti akan terkena.  Tidak sahaja melalui internet atau siber, melalui khidmat pesanan ringkas (kpr) di telefon bimbit juga, penipuan juga berleluasa. Pesanan untuk mengirim video hangat atau menyambut pelbagai tawaran seolah-olah suatu iklan dan promosi bukan perkara langka lagi. Tetapi, sebaik sahaja diklik "ya" atau "y" bermulalah adegan sebenar  yang sangat menyakit hati, setiap lima minit "kpr" dari penyedia perkhidmatan berkenaan akan muncul di kotak mesej telefon menyatakan ada kiriman dan baki kredit dipotong dengan sekian jumlah atau dimasukkan ke dalam penyata bil di hujung bulan nantinya.

Tentu sahaja dengan segala kecanggihan teknologi, cara penipuan pastinya akan lebih canggih, advance, dalam pelbagai bentuk rupa serta media. Penipu sentiasa ada di mana-mana.

Tetapi ini tidak bererti dunia kini hanya dipenuhi para penipu dan manusia yang baik hati serta budinya sudah pupus dari muka bumi. Saya tidak maksudkan begitu.

Saya hanya bercerita secuil pengalaman yang sudah saya sendiri lalui secara saya selaku seorang peribadi. Dengan harapan,  ada yang dapat dikongsi dan sedikit memberi manfaat kepada pembaca lain.

Cukuplah. Itu sudah memadai. Kerana saya tidak ingin meminta banyak dari kehidupan yang terlalu pemurah ini. Terima kasih, Tuhan.

Januari 25, 2012

Selasa, Januari 24, 2012

ANJING


Kau menyalak
dan menggigit
hanya kerana ganjar
dan upah

Januari 24, 2012

Ahad, Januari 22, 2012

KASIHAN


Marahku beralih 
menjadi kasihan
mengenang matimu nanti
dengan wajah anjing
walau zahir jasadmu
masih jasad manusia

Januari 22, 2012

Sabtu, Januari 21, 2012

CATATAN KECIL


KEBAHAGIAN
BUKAN apa yang kaudapat. Tetapi berapa yang disyukuri. 

KEJUJURAN
KETIKA mendapat segala kehendak.  Tidak mengapa kalau perlu memijak.

BERANI
MENGIYAKAN segala kata-kata pemimpin itulah keberanian sejati. 

DUSTA
MENGATAKAN yang benar adalah dusta yang paling benar. 

PEMIMPIN
"Mengatakan yang dusta adalah benar yang sentiasa ingin didengar oleh rakyat."

Januari  21, 2012

Jumaat, Januari 20, 2012

PECAH


FIKIR. Tetapi yang kaya siapa? Jerit. Yang memegang kuasa siapa? 

Januari 20, 2012

Rabu, Januari 18, 2012

SYAITAN


KENAPA salahkan yang di luar, kalau di dalam sudah lama bercokol. 

Januari 18, 2012
 

Ahad, Januari 15, 2012

BERLAKU


PERISTIWA adalah segala benda dan perkara yang sudah berlaku serta menjadi kejadian. Kebodohan dan kecerdikan adalah pilihan, sama ada secara sedar mahupun tidak. Begitu juga keangkuhan dan keegoaan.  Hasrat untuk menipu rakyat diselindungkan dengan laungan atas nama pembelaan, maruah dan nasib masa depan. Tetapi maruah apa, masa depan siapa? 

Atau mereka yang menulis karya mendakwa menulisnya atas nama ilmu dan berlagak gaya sebagai intelektual. Bukankah  tahu kucing pun ilmu juga dengan kepintaran  serta kelicikan hujah. Apa lagi bila punya sejumlah pendokong yang taksub.

Siapa yang berkuasa untuk memutar jarum takdir dan merubahkan kejadian? Kita penerima tetapi diberikan akal untuk berfikir: menerima atau menolak. Di sebaliknya adalah makna-makna yang tersembunyi dan akan hanya dimengerti dengan otak yang berfikir.  

Seperti pagi ini, semakin jelas kebodohan sendiri. Ketika mata yang dianugerahi Tuhan diguna hanya untuk melihat keindahan di permukaan. Atau bersama ikut di dalam gerombolan ya yang dengan sengaja menjadikan matanya buta.

Tetapi menangis dan membebel sendiri juga tidak memberikan apa-apa. Si pelahap dan para penyunglap datang dan tampil  dengan gaya serta caranya sendiri dan kemudian, pulang dengan perolehan masing-masing.

Kau mempercayai Tuhan kerana ingin selalu menjadi dirimu sendiri. Tetapi para penyunglap itu juga mengaku mereka juga memiliki tuhan dan mempercayainya sepenuh hati. Jadi siapakah di antara kau dan mereka yang lebih bertuhan?

Peristiwa yang berlaku akhirnya disebut menjadi kejadian demi kejadian. Apa yang berlaku, yang penting kau memilih menjadi apa?

Siapa peduli pilihanmu adalah hidup bergalang dosa sepanjang hayat. Siapa peduli.  Kau yang memilih dan bukan orang lain.

Bercintalah terus andai itu menjadikan kau berasa selalu muda dan bahagia. Tetapi kalau kecundang kerana kebodohan sendiri, jangan salahkan sesiapa.

Cuma, bertaubatlah sebelum terlambat tatkala asyikmu melayan segala yang bejat atau menjadi budak syahwat.

Jangan risau. Aku cuma berkata-kata kepada diriku sendiri.

Januari 15, 2012

Sabtu, Januari 14, 2012

MAMPUSLAH


BAYARAN RM 30.00 untuk sebuah karya di zaman canggih di abad 21 ini bunyinya macam tidak masuk akal. Tetapi jangan lupa, kadar bayaran sebegitu masih berlaku. Bukan hanya untuk sebuah karya, malah untuk sebuah sajak pun masih berlaku.

Walau pun begitu, kesudian pemilik akhbar atau majalah berkenaan untuk tetap membayar karya penulis yang disiarkan mereka, walau pun kadarnya mungkin rendah atau macam tidak masuk akal, masih dapat dikatakan perbuatan yang bertanggungjawab dan tidak terlalu menghina penulis.

Saya katakan begitu berdasarkan pengalaman. Di samping banyak syarikat atau pemilik akhbar yang sungguh bertanggung jawab terhadap penulis di segi bayaran terhadap karya penulis  yang mereka telah pilih untuk siarkan, terdapat juga sejumlah  pemilik akhbar dan majalah yang memang tidak  bertanggungjawab dan punya rasa kasihan belas terhadap penulis. 

Saya katakan begitu berdasarkan apa yang dialami sesudah puluhan tahun menulis. Pengalaman diperhina dan dipermainkan penerbit yang menyiarkan karya saya yang tidak mahu membayar walau pun sedikit saguhati atau honorarium sudah lali saya alami.

Pelbagai cara permainan dan sandiwara mereka. Yang memang sejak mula sudah diduga memang tidak berniat untuk membayar bila akhbar atau majalah mereka tidak mahu membayar karya penulis yang mereka siarkan.

Bila dihantar surat menuntut sedikit bayaran saguhati secara baik dan sopan, tiada mereka berikan jawapan.  Setelah di telefon dan di tolak panggilan ke sana dan ke mari, akhirnya dikatakan surat tuntutan bersama salinan karya tidak mereka terima. Bila dirayu-rayu barulah berjanji hendak membayar dan meminta nombor akaun bank untuk dimasukkan bayaran.  

Tetapi berminggu-minggu ditunggu, bayaran tidak juga dimasukkan. Bila dihubungi lagi lewat telefon, baru mengaku syarikat mereka ada masalah kewangan. Bila ditelefon lagi pada minggu-minggu berikutnya, nada yang menjawab semakin meninggi dan membentak-bentak.

Ini antara pengalaman yang saya alami. Pengalaman menulis pelbagai artikel budaya ke sebuah tabloid memang berakhir secara begitu. Tetapi dalam keadaan syarikat menghadapi masalah kewangan, orang yang bercakap dengan saya itu khabar yang disampaikan oleh seorang petugas di dalam syarikat itu yang kebetulan adalah kawan saya,  gajinya bermula dengan angka 4.

Pengalaman seperti itu bagi saya memanglah tidak pernah membuat saya untuk merajuk dan tidak mahu lagi menulis dan menghantar karya.  Cuma jauh di sudut hati, saya fikirkan apa kesannya kepada teman-teman muda yang baru ingin menapak sebagai penulis.  Saya harap mereka juga tidak akan mudah kecewa dan merajuk tidak mahu menulis andai terkena juga.

Bagi seorang yang memilih menjadi  penulis, menulis adalah tetap menulis. Saya percaya itu. Lainlah kalau dia sudah menjadi kaya dan bergelar Datuk atau Tan Sri.

Itulah asam garam dunia penulis. Diperhina dan dipermainkan memang bukan perkara langka. Jadi bersedialah untuk tidak mudah kecewa dan patah semangat. Menulis tetap menulis.

Dalam keadaan sedemikianlah, saya juga selalu bertemu dengan alasan-alasan bodoh di kalangan mereka yang rasa saya memang niatnya tidak mahu membayar penulis yang karyanya telah mereka siarkan.

Paling bodoh adalah alasan ini: syarikat kita menyiarkan karya penulis kerana hendak beri peluang kepada mereka sebagai penulis baru.

Peluang kepala hotak kau. Kalau tidak mahu bayar cakap sahaja terus terang. Tunggulah, sampai masa mampuslah syarikat kau itu. Tidak percaya tunggu dan lihatlah.

Dan selalunya memang begitulah. Tidak berapa lama, syarikat sebegitu akan mampuslah. Walau kononnnya telah dibeli oleh syarikat besar.

Tidak percaya? Tunggu dan lihat.

Januari 14, 2012

Jumaat, Januari 13, 2012

BERPISAH DAN BERTEMU


SETIAP kali bertemu dan hati tergetar, selalu saya peringatkan diri agar tidak mudah percaya dan menerima. Sungguh saya tidak mahu percaya serta terlalu mudah menerima. Sebabnya mudah dan jelas, saya takut itu hanyalah fatamorgana, yang sementara dan sia-sia. Lalu seperti selalu, saya juga kemudiannya yang sendiri akan   menjadi kecewa.

Tetapi itu hanya kehendak dan niat. Bila tiba waktu dan saatnya datang, saya mudah pula menjadi lupa diri apa yang sudah selama ini cuba saya jauhi.  Saya menjadi terlalu lemah dengan kebaikan dan  lemah lembut. Apa lagi jika bersama kebaikan itu diucapkan juga ruang serta harapan.

Ternyata sekarang saya kecewa lagi. Dan saya perlu berjalan lagi mencari sesuatu yang pasti dan abadi. Saya tidak ingin salahkan sesiapa. Kerana luka apa pun,  akhirnya bukan untuk hanya diratap serta ditangiskan.  Saya belajar untuk lebih bersimpati dan menjadi lelaki yang lebih mengerti. Walau kerananya saya sentiasa akan diuji.

Kepada yang pernah sekejap hadir ke dalam hidup saya, jangan risaukan apa-apa.  Lelaki yang berani dan sejati tidak perlu diberitahu bila waktunya mesti pergi. Kerana, dia tahu memilih sendiri waktunya. Sama ada untuk terus menjadi penanti atau memilih jalan lain yang lebih menyendiri.

Januari 13, 2012.

Khamis, Januari 12, 2012

HANYA BAYANG


KATAKAN apa punkah. Harta. Pangkat. Nama besar. Kasih. Sayang. Cinta. Semunya hanyalah bayang. Yang zahir kerana disuluh cahaya dan akan menghilang tanpa kewujudannya. Jadi untuk apa saya bersedih kalau tidak memiliki atau tiba-tiba ditakdirkan kehilangannya.  Apalah daya saya untuk menghalang.  Kerana itu, saya selalu pasrah dan malah tidak ingin terlalu berharap.

Januari 12, Januari 2012. 

Rabu, Januari 11, 2012

KASUT DAN SELIPAR


KASIHAN. Pahala bersolat dan berjemaah di masjid menjadi cacat hanya kerana sepasang selipar atau kasut yang harganya di bawah lima atau seratus ringgit. Atau oknum begini memang dengan sengaja datang berjemaah ke masjid dengan niat pulang nanti menyarungkan selipar atau kasut yang lebih baru, yang memang dia tahu itu adalah milik orang lain, yang dia sauk tanpa sebarang rasa malu dan bersalah.

Saya tidak begitu hairan dan terkejut kalau kejadian ini berlaku di bandar.  Tetapi peristiwa singgah bersolat Maghrib di sebuah masjid jamek di sebuah perkampungan nelayan semalam, benar-benar buat saya lama berfikir. 

Apakah kerana munculnya sepasang selipar yang kelihatan masih terlalu baru maka mata si penyauk yang memang demikian niatnya mudah terpancing seusai Maghrib semalam?  Saya tidak tahu dan tidak ingin ambil tahu soal itu.  Dan harganya, memang pun tidak sampai lima ringgit.

Tetapi yang buat saya agak lama berfikir adalah mengenai sikap sosial dan beragama di dalam komuniti di perkampungan nelayan ini.

Apakah ceramah ugama yang berkumandang saban malam dari corong pembesar suara di masjid yang dapat di dengar jelas oleh penduduk sekitarnya masih belum memadai menjadikan penduduknya lebih insaf dan menyedari soal dosa dan pahala, walau yang dicuri hanya sekadar  sepasang selipar?

Kalau demikian untuk apa saban malam ceramah agama dikemundangkan kalau hati dan jiwa pendengarnya masih belum dapat didik serta ditundukkan agar menjadi lebih manusiawi?  Tidakkah itu membazir namanya?

Saya tahu banyak yang tidak bersetuju dengan saya kerana menghubungkaitkan soal kecurian sepasang selipar dengan kegagalan ceramah agama atau usaha-usaha untuk lebih memberikan kesedaran agama di kalangan jelata.

Tetapi buat saya peribadi, untuk apa saban malam melontarkan ceramah kalau di luar masjid, kebejatan, konflik sesama sendiri, perebutan dalam parti atau JKKK tetap berleluasa juga?

Tiada yang salah dengan ceramah. Tetapi bila sikap berasa diri lebih mulia kerana selalu berada di masjid dan membuang peduli urusan dunia di luar masjid sebagai urusan yang perlu diselesaikan oleh orang lain, saya kira inilah yang silapnya.

Saya tidak peduli pun selipar yang hilang itu menyebabkan saya sekejap berkaki ayam menuju ke kenderaan. Yang saya fikirkan, bagaimana kalau yang terkena itu adalah musafir yang kebetulan singgah bersolat sebelum meneruskan perjalanannya yang masih panjang?

Apakah tidak mereka berfikir: di masjid yang indah dan baru di sebuah perkampungan nelayan begini pun, selipar yang tidak sampai lima ringgit pun sanggup dicuri?

Saya meredakan segala kejadian. Tetapi di dalam fikiran, tetap juga itu yang saya fikirkan: sudah seberkesan manakah usaha kita mendidik ahli masyarakat kita lebih mencintai agama dan menghayati segala ajarannya?

Atau kita sebenarnya sekadar berpura bersungguh-sungguh tetapi pada hakikatnya, sekadar melepaskan batuk di tangga?

Januari 11, 2012

Ahad, Januari 08, 2012

DI MALAM TAHUN BARU

Sajak MARSLI N.O

Aku hanya ingin menjadi diriku
menyambutmu sekadar perlu
dengan sajak-sajakku

Kerana kau tentu lebih tahu
apa niat di dalam hatiku
kenapa tidak berteriak 
dan sama menyalak

Maafkan aku
kerana tidak ingin meminjam wajah anjing
atau sama menjadi anjing.

Telok Cempedak, Kuantan
Januari 1, 2012

Khamis, Januari 05, 2012

TAHUN BARU LAGI


TAHUN baru muncul lagi. Usia bertambah. Tetapi amal baik dan menunaikan segala perintahNya bagaimana? Bertambah menjadi manusiakah diri atau tetap bersekongkol dengan para syaitan? 

Perubahan dan keinsafan tidak datang bersama tahun yang baru berganti atau bertambah. Tetapi rasa insaf diri dan usaha untuk sentiasa lebih menjadi manusia yang sejati adalah perjuangan dari dalam jiwa sendiri.

Saya berkali-kali dan cuba untuk sentiasa menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Tanpa ingin memperbandingkan diri dengan sesiapa pun. Ini adalah perjuangan saya peribadi.

Saya menyebutnya dan akan terus menyebutnya. Untuk memperingatkan diri yang selalu bersikap leka. 

Ya, diri saya sendiri dan baik juga rasanya untuk tidak berterusan  membabitkan atau melempar segala kesilapan saya sendiri atas nama syaitan.

Kerana, mungkin yang menjadi syaitan itu sebenarnya adalah diri saya sendiri.

Allah yang Maha Mengetahui.

Januari 5, 2012
 

Selasa, Januari 03, 2012

TAHUN BARU


SAYA kembali. Saya kembali.

Januari 1, 2012