Selasa, Mac 27, 2012

NASKHAH


SEBAGAI manusia yang sifatnya sentiasa di dalam alpa serta kekurangan, yang kebetulan diberikan sedikit bakat oleh Allah SWT sebagai penulis, saya selalu berusaha mengelak dan berikhtiar untuk menghindarkan perasaan riak dan takabbur di dalam diri.

Sebagai seorang penulis yang masih mencari kesempurnaan dalam meluruskan niat dan iktikadnya, saya sama sekali  tidak ingin menyimpan perasaan betapa hebatnya diri sendiri dan apalagi  untuk sampai ke tahap  dengan pongahnya mendakwa  dirinya maha hebat dan sentiasa betul, sama ada dalam setiap percakapan mahupun di dalam tulisannya.

Justeru itulah ketika berkarya, setiap sesuatu karya yang saya tulis, tidak bererti demi kepentingan sesuatu penerbitan  langsung tidak boleh disentuh serta diubah oleh siapa sahaja yang membaca dan membuat penilaian  terhadapnya. Ubahlah di mana yang dirasakan patut dan perlu selagi tidak sampai terlalu jauh memesongkan maksud asal yang ingin saya nyatakan sebelumnya.     

Memang kadang-kala ada juga waktunya saya keberatan untuk menerima saranan dan teguran. Tetapi ini pun kemudiannya saya terima dan akuri juga, setelah saya berasa yakin dan diyakinkan  dengan  hujah dan alasan yang jitu  kenapa sesuatu perubahan itu perlu.

Pendirian saya sebagai penulis ini rasanya sudah cukup jelas. Di antara saya sebagai penulis  dengan orang lain sebagai pembaca atau juga  penilai tiada siapa yang berhak untuk mendakwa dirinya lebih tahu dan superior.  Masing-masing, penulis dan penilai, punya tanggungjawabnya sendiri dan saling memerlukan di antara satu sama lain.

Untuk dan kerana itulah maka saya selalu menyimpan rasa hormat yang dalam dan tinggi terhadap siapa sahaja yang sudi menjadi pembaca karya saya dan sekaligus membuat penilaian terhadapnya.  Nilailah sehingga ke batas mana pun. Baik atau buruk, saya tetap dapat menerima selagi hujah dan alasannya jelas bukan bertolak dari perasaan bahawa dia lebih tahu ketimbang orang lain atau dengan hanya memberikan alasan yang sangat remeh dan tidak masuk akal.

Tetapi begitu pun demikian, walau rasanya saya sudah cuba seboleh mungkin bersedia untuk menerima dan dengan rendah hati cuba untuk  mendengar kritik dan teguran orang lain,  sesekali sering juga saya berdepan dengan sitausi yang boleh membuakkan rasa sebal dan mual di dalam hati.  Saya tidak pasti apakah saya yang silap kerana masih dibuai rasa ego yang melampau, atau puncanya di pihak yang satu lagi.

Sebagai contohnya, beberapa hari yang lalu saya saya menerima  teguran daripada  seorang yang mendakwa dirinya seorang penilai naskhah yang  mempertanyakan  kenapakah sebuah naskhah teater yang saya tulis latarnya terlalu terhad dan  berkisar hanya sekitar ruang tamu, kedai kopi dan di hadapan surau, sedangkan sudah jelas dinyatakan di dalam naskah itu bahawa latar kisahnya adalah sekitar tahun 1979?

Saya tidak pasti apakah memang dia tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu betapa ketika naskhah itu saya tulis sekitar kurun waktu itu panggung teater  secanggih Istana Budaya belum lagi wujud dan kehidupan kumpulan teater amatur saya sendiri pun sangat miskin dan  hanya mampu mementaskan teater dengan belanja tidak sampai RM 100.

Jadi, kenapa ini tidak pernah ingin difikirkan oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai penilai naskhah teater itu sehingga tergamak dia membayangkan supaya latar di dalam naskhah saya itu diperluaskan ke mana-mana, sedangkan apa yang saya tulis itu memang dengan sengaja ditulis sebegitu rupa  untuk merakam suatu momen di dalam sebuah sejarah di kurun waktu tersebut?

Malah saya lebih lama terpana lagi bila seorang yang lain yang juga mengaku dirinya seorang penilai menegur bahagian lain di dalam  naskhah saya. Katanya, kenapa watak-watak di dalam naskhah saya itu  cuma dinamakan Satu, Dua dan Lembaga dan kenapa tidak langsung dinamakan  dengan nama yang lebih khusus seperti Ali, Hussin dan nama watak Lembaga itu  dinamakan sebagai  Lembaga Hitam  atau Lembaga Hijau?

Itu berkenaan watak, berkenaan latar dan masa pula, saya juga turut ditegur. Katanya, kenapa  latarnya hanya Pada Suatu Tempat dan berkenaan masa hanya Pada Suatu Masa?

Sungguh sampai saat ini saya masih lagi terpana dan tidak pasti.

Saya tidak tahu dan pasti. Apakah saya terlalu ego atau ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka yang lain?

Mac 27, 2012


Isnin, Mac 19, 2012

SENDIRI

SAYA tidak ingin  menyalahkan nasib dan takdir yang telah dan sudah ditentukan   buat diri saya. Kerana itulah saya akan tetap dan ingin terus  begini: menulis menurut kadar dan kemampuan yang saya miliki.  Dan kerana itu juga, saya tidak ingin terlalu memikir-mikirkan segala kata-kata dan tulisan orang lain mengenai diri saya,  walau apa pun, sehinggakan membuatkan saya menjadi terlalu sedih, gelisah, kecewa  dan mundur kerananya.

Saya ingin terus begini. Bersendiri dan terus menyendiri.  Bagi saya,  terus bersendiri begini lebih baik daripada terjun bersama ke dalam riuh untuk sekadar menjadi pengumpat dan pengeji juga. Biarlah mereka berebutkan segala yang ingin diperebutkan atas nama dunia.  Saya tidak ingin sama menjadi sebahagian. Saya ingin tetap sendiri.

Saya tahu siapa diri ini sendiri. Di mana bodoh dan betapa masih terlalu sedikit tahunya. Sejak dahulu memang sendiri  itulah dunia dan kehidupan saya. Saya tidak datang ke dunia ini dahulunya dengan iringan siapa pun.  Saya bertatih dan bermula  dengan kebodohan dan  belajar untuk sedikit menjadi pandai dengan kepercayaan terhadap diri.

Dan ketika dunia di sekitar saya semakin berwarna kelabu dan dipenuhi biawak serta ular, semakin saya mempercayai pilihan ini.

Saya tidak takut kehilangan dan sedikit pun tidak berasa kesal. Saya tidak ingin ambil peduli lagi untuk mencari gelar dan segala pujian yang palsu dan sementara. 

Walau tanpanya, saya tetap akan meneruskan  hidup dengan cara saya sendiri. Saya ingin terus sendiri. Menikmati makna hidup ini dan sekaligus memberikan erti kepada hidup saya sendiri. Walau betapa pun gelisah dan sunyi. Saya akan tetap terus sendiri dan memilih untuk bahagia di dalam gelisah dan sunyinya sendiri.

Mac 19, 2012.

Selasa, Mac 13, 2012

MATI


SAYA tidak marah dan tersinggung kalau kerananya dianggap bodoh.  Soal mati di mana-mana dan bila-bila waktu pun akan tetap mati. 

Tetapi saya tidak ingin mati dalam keadaan diperbodohkan oleh  mereka yang berfikir dan berasa betapa orang seperti saya boleh sewenangnya mereka perbodohkan dan menyangka boleh menerima  secara membuta tuli segala hujah dan alasan yang dipasakkan ke dalam fikiran saya dengan hujah dan alasan yang mereka cipta serta reka, yang  jelas sangat  tidak masuk akal.

Asasnya mudah sahaja. Kalau tidak bahaya, kenapa perlu datang sedemikian jauh? Tidakkah suatu kerja yang bodoh dan tongong bila mana hasil yang diperolehi  dari perut bumi di gurun negeri mereka sendiri perlu diangkut sedemikian jauh hingga melangkaui benua dan lautan untuk memprosesnya di sini?

Kenapa tidak di bumi mereka sendiri? Dan kenapakah di negaranya sendiri terjadi bantahan mengenainya?

Tetapi seperti selalu. Beberapa orang, termasuk yang diberikan kepercayaan oleh rakyat agar membela dan memelihara kesejahteraan hidup mereka yang bernama rakyat mencipta serta mereka pelbagai alasan. 

Sekali lagi, saya tidak marah atau berasa tersinggung kalau dianggap bodoh dan kurang memahami. 

Cuma, bila perkara yang pada asasnya sangat mudah ini pun tidak begitu mudah untuk difahami oleh mereka yang berasa dirinya terlalu cerdik dan diberikan amanah oleh rakyat dan malah cuba memutarbelitkannya pula dengan pelbagai dalih dan alasan, saya ingin juga kembali bertanya: SIAPA SEBENARNYA YANG BODOH?

Mac 13, 2012

Ahad, Mac 11, 2012

KONON


ALATKAH, kelompokkah, ketidakadilankah atau apakah, semua tetap akan begitu juga. Tetapi  karyamu,  karyamu, mana karyamu? Itukan pokok persoalan utamanya. 

Yang selainya hanya angin, buih, yang kosong dan tidak membawa makna apa-apa.Yang begitu kau pergi menyahut alam kematian tiada suatu apa lagi yang tinggal.

Kecuali karya. Kecuali karya. Tentunya karya yang bermanfaat dan bererti.

Mac 11, 2012

Rabu, Mac 07, 2012

ALAT


DENGAN perasaan dan jiwa tanpa silu serta segan, semakin ternyata kini betapa para pengampu menjadikan sastera dan seni alat untuk menjilat para atasannya dan siapa sahaja yang berkuasa, yang disangkakannya berhak menentukan hidup serta mati dirinya.

Mac 7, 2012

Selasa, Mac 06, 2012

SAMPAH


SIAPA sahaja, sejak dahulu dan kini, tanpa sedikit pun rasa silu dan segan mengaku melakukan sesuatu atas nama sastera dan seni, walau pun sastera dan seni   yang didakwanya itu tidak lain hanyalah sampah.

Subjektiviti dan kebebasannya memang menjadikan seni  keduk paling mudah dan ampuh buat seorang manusia untuk berselindung dengan nama sastera dan seni. Memang di dalam sastera dan seni, tidak diperlukan  kartu izin dan dengan lesen kebebasan dan kemerdekaannya itulah siapa sahaja  tanpa perlu rasa malu dan segan boleh  mengaku melakukan sesuatu atas  nama sastera dan seni.

Keterbukaan itulah yang diambil kesempatan oleh mereka yang tidak punya rasa segan dan malu dengan sesungguh hati. Sastera dan seni diperalat dan dilacurkan dengan segala cara dan upayanya. Atas nama sastera dan seni kononnya, segala ruang dan peluang yang ada dieksploitasi untuk kepentingan diri dan kroni.  Ruang dan peluang itu,  dijadikanlah ruang dan peluang pula untuk diri peribadinya menunjuk-nunjuk peluang dan kuasa dirinya untuk menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak, atas nama sastera dan seni juga.

Namun sampah tetaplah sampah. Walau disalut dengan label apa pun, tetaplah demikian sifatnya. Kerana sifatnya yang sampah, maka segala apa pun yang dipersembahkan atas nama sastera dan seni yang palsu itu, akan tetap terasa hambar dan langsung tidak mampu  menyentuh takaran rasa dan jiwa, kecuali rasa mual, bosan dan menyampah terhadapnya.

Sastera dan seni sesungguhnya perlukan jiwa dan hati yang jujur tatkala mengucapkan segala sesuatu atas nama sastera dan seninya. Sesuatu yang kelihatan pada permukaannya terlalu mudah dan biasa, tetapi tetap akan terasa sentuhan dan usapan rasa sastera serta seninya ke takaran jiwa seni khalayak bila mana diucapkan dengan penuh rasa jujur.

Sesuatu yang extravaganza, bermegah-megah dan dengan lantang berkoar, belum tentu sebuah hasil sastera dan seni  yang benar andai niat dan maksud persembahannya tidak lain hanyalah untuk menjilat-jilat dan mengampu segala pihak yang berkuasa dan mempunyai kuasa, atau membabi-buta menyokong sesuatu ideologi yang bukan bersifat sejagat, ingin dan menjadikan keriakan menunjuk-nunjukkan kemegahan dan kecantikannya sebagai matlamat.

Asas dan permulaannya, kejujuran dan keikhlasan itulah yang menentukan apakah sesuatu itu benar-benar sesuatu yang sastera dan seni. Walau siapa sahaja boleh mengaku keikhlasan dan kejujurannya dalam berseni, namun karyanya tidak akan mampu untuk menipu khalayak yang memang mencari sastera dan seni yang tulin.

Longgokkanlah seribu sampah atas nama sastera dan seni,  namun yang kekal tetaplah segala sesuatu yang ikhlas, jujur dan seadanya untuk menyatakan apa yang menyentuh jiwa serta perasaan yang menghasilkannya.

Walau berselindung atas nama kehebatan ilmu bantu dan teori maha hebat, namun kebongkakan serta keriakan yang cuba diselindungkan itu, akan tetap terkesan juga.

Dan akhirnya, sastera serta seni yang demikian akan menjadikan diri serta peribadi penghasilnya tetaplah sampah juga.

Mac 6, 2012.

SOMBONG


SAYA membalasnya dengan senyum sumbing dan kelat. Sambil menahan gementar marah dan geram di dalam dada. Tidak. Saya tidak akan menjawab atau membalas dengan sebarang kata atau tindakan. Kerana saya tahu, selalu yang terjadi nanti, saya jugalah yang akan dijadikan letak dan punca persoalan.  Apa tidaknya. Itulah kata tuduhan. Si sombong yang selalu mencari gaduh dan berbuat hal.

Tidak mengapa. Saya mengaku, setelah sekian tahun belajar dan menahan diri untuk bersabar dengan segala henyak serta kecaman, saya kini  memang dengan sengaja untuk sedikit berlagak "sombong".

Tidak mengapa. Saya tidak berasa perlu untuk menjawab dan memberikan reaksi kembali yang sampai boleh menampakkan kebodohan saya sendiri.

Sebabnya, saya berasa seronok dan sinis melihat segala tingkah dan perbuatan mereka yang dengan bangganya mengaku betapa bersopan dan lemah lembutnya diri mereka, baik dalam setiap tutur katanya, tindak tanduknya, malah tipu muslihatnya terhadap setiap orang yang mereka sangka boleh diperbodoh-bodohkan dengan lakon dan topeng yang mereka sarungkan di wajah.

Apa lagi melihat mereka yang tanpa silu dan segan beraksi mempamerkan kesombongan dengan atau atas  nama agama dan intelektual akademik dan sastera.

Tidak apa-apa. Silakan kalian terus dengan lakon dan topengan kalian. Saya akan tetap begini-begini juga. Walau tidak kaya, namun tidak sampai terlalu miskin dan bangsat.

Kerana saya tahu, hidup dan mati saya, rezeki dan sumber pencarian hidup saya, bukan ditentukan oleh tangan dan hati busuk kalian!

Tidak mengapa. Saya ingin tetap terus hidup dengan dan dalam "Kesombongan" yang begini.

Mac 6, 2012

Khamis, Mac 01, 2012

SAJAK-SAJAK SUNYI 1


Marsli N.O
DOA TANAH

Tuhan, aku memohon dan meminta 
hanya kepadaMu
yang lebih mengerti dan tahu
setiap  urusan dunia dan segalanya

ketika mereka dengan sombong
dan angkuhnya
menumpahkan pembangunan
ke jasad kerdilku
dan sisanya dibiarkan
menjadi racun nikmat
untuk rakyat
yang telah mereka perbodohkan
jiwa dan akalnya
agar menjadi kaldai yang mudah menerima
segala dakyah dan perintahnya
serta menghukum segala pelawan
dengan hinaan ciptaan

Hanya kepadamu, Tuhan
aku memohon dan merayu
leburkanlah segala kesombongan
yang mereka koarkan dengan suara kuasa
dan berikanlah kemenangan
kepada setiap pelawan dan pejuang
yang sudah sejak lama bersabar
dan bertahan.

Februari 26, 2012