Khamis, April 19, 2012

PENILAI MANUSKRIP


SAYA tidak punya kebolehan membaca dan menduga dengan tepat apa yang ada di dalam otak dan perasaan orang lain. Apa lagi untuk membaca dan menduga apa yang ada di dalam otak dan perasaan seorang yang menjadi penilai ketika menilai sebuah manuskrip.

Tetapi, berdasarkan  beberapa peristiwa benar yang mengena dan saya alami sendiri, saya rasa saya dapat memberikan sedikit gambaran mengenai mereka secara sepihak. Walau pun saya tidak ingin lekas memberikan label dan hukuman, tetapi apa yang sudah dan pernah saya alami, memberikan saya suatu gambaran mengenai mereka.

Tetapi, sekali lagi tetapi, kerana saya sudah sejak dahulu tahu dan sedar bahawa jalan yang saya pilih ini adalah jalan yang sulit mendapat restu, saya tidak berasa terlalu kecewa andai karya saya ditolak, tidak mahu diterima dan sebaginya lagi.

Sebabnya mudah sahaja.  Memilih untuk menjadi pelawan yang selalu ingin melawan pada setiap ketika di dunia sastera dan seni tanah air yang semakin hari semakin diramai manusia yang tanpa segan dan silu mengaku dirinya sasterawan atau seniman segala tahu, yang sanggup menjadi penjilat para aparat  dan birokrat di menara kantor pengurusan sastera, seni dan budaya, demi peluang serta projek, memanglah pilihan yang jelas tidak mendapat restu serta penuh dengan risiko.

Apa lagi tatkala di menara kantor sedemikian para aparat dan birokratnya adalah manusia yang berasa dirinya lebih muda, lebih terpelajar dan terlalu banyak tahu, walaupun tidak pernah membaca sejarah, merupakan sejenis makhluk bernama manusia yang tidak boleh menerima pendapat orang lain, apa lagi tegoran, pastilah yang mahu dikawani mereka hanya para penjilat dan pengampunya yang sedemikian sahaja.

Kerana menyedari hakikat dan pilihan seni yang sebeginilah maka saya tidak sangat berasa kecewa bila diberikan keputusan: karya anda ditolak dengan sebab dan alasan yang begini dan begini.

Malah bertambah saya tidak begitu berasa sedih dan kecewa bila apa yang dikatakan sebagai laporan penilai yang menjadi sebab dan alasan penolakan sebuah manuskrip saya itu saya baca dan renungkan lama-lama.

Sebagai orang yang menulis dan mengirimkan sebuah manuskrip, saya tidak fikir jika tidak diminta secara jelas, adalah  menjadi suatu tanggungjawab saya pula untuk memperjelaskan serta menyatakan kenapa dan mengapa  saya menulis dan menyatakan sesuatu secara demikian, supaya siapa yang menilai manuskrip saya itu tahu dan faham.

Hujah saya mudah sahaja. Bukankah sesiapa yang mahu menjadi penilai dia perlu cukup punya persiapan untuk tahu mengenai sesuatu yang ingin dinilainya? Andai yang mahu dia nilai adalah sebuah manuskrip cerpen, sebagai contohnya, tentulah tidak memadai dia hanya tahu dan pernah membaca hanya cerpen-cerpen yang pernah terbit di sini tetapi juga bersedia untuk mengetahui bahawa selain apa yang sedia diketahuinya, masih ada yang perlu dia tahu dan ambil tahu.

Atau kalau tidak pun, ketika membuat penilaian, penilaiannya tidak semata berdasarkan apa yang dia suka dan minat sahaja, tetapi membukakan juga dirinya untuk bentul, gaya, aliran yang lain, yang memang pun tidak dia minati.

Soalnya, adakah kita punya seorang penilai yang mahu berbuat demikian, bertanya dan berbincang dengan penulis, membaca karya-karya lain di luar lingkup kesukaannya dan bersedia menerima apa sahaja yang selain daripada kegemaran serta kesukaannya itu?

Saya mungkin bias ketika membicarakan isu ini. Tetapi betapa pun demikian, saya tetap meyakini adalah mustahil bagi seorang yang sudah bertahunan menulis serta berkarya masih tidak punya sikap dan pegangannya sendiri dalam berkarya.

Yang menjadi soal di sini adalah sikap tertutup penilai yang membuat penilaian hanya berdasarkan apa yang disukai dan bukan apa yang patut digalak serta dikembangkan. Misalnya,  tidak semestinya semua pengarang, jika mahu membuat pembaharuan di dalam karya mesti meniru gaya Marquez, Haruki Murukami, atau kalau puisinya pula dengan gaya T.Seliot, Neruda, Sutardji.

Hakikatnya, di samping sejumlah nama yang telah disebut sekilas, sebagai contoh di atas, ruang untuk melakukan penerokaan dan inovasi terbuka dengan pelbagai kemungkinan.

Saya tetap percaya dan yakin sebuah karya yang pernah ditolak sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka jika kembali dinilai oleh seorang penilai yang lebih bersikap terbuka dan lebih tahu mengenai bidangnya.

Pengalaman yang pernah saya alami sendiri membuktikan ini. Hanya kerana kononnya meninggalkan sebaris ayat, sebuah manuskrip karya kanak-kanak saya ditolak. Tetapi bila jatuh ke tangan penilai yang lain, hanya kata “tidak sesuai diterbitkan” sahaja yang ditukar kepada “sesuai untuk diterbitkan”, maka terbitlah kemudian karya tersebut.

Malah untuk beberapa manuskrip yang lain, peristiwa dan kejadiannya hampir sedemikian juga. Bila manuskrip jatuh ke tangan penilai yang lain, yang lebih terbuka dan bersedia, ianya diterbitkan tanpa menimbulkan sebarang wabah dan malapetaka kepada sesiapa pun di kemudian hari.

Menjadi penilai bukan semudah menuliskan abjad dan huruf. Saya fikir, seorang penilai harus tahu diri dan punya rasa malu yang tebal. Misalnya, apakah layak seorang yang bergelar penilai andai sebuah manuskrip koleksi surat-surat yang ditujukan kepada kawan-kawan secara imaginer dikatakannya sebuah novel?

Atau, layakkah anda bergelar penilai jka hanya tahu membebel mengenai kesalahan ejaan yang tidak pun sampai 10 % di dalam manuskrip dan menghukumnya sebagai sebuah karya yang bahasanya meleret-leret?

Eloklah anda pergi sekolah semula.

April  19, 2012

Selasa, April 17, 2012

PROSES


SAYA sudah membaca secara tinjauan selintas sajak-sajak mereka. Mereka memang bukan penyair. Apa lagi menulisnya dalam keadaan improvisasi. Jadi tentu tidak yang dapat diharapkan terlalu sempurna.

Ini hanya salah satu proses buat mereka. Proses untuk mengenal hidup dunia dan menjadi manusia yang lebih dewasa. Begitulah mata remaja atau muda mereka melihat dunia. Saya kira, pandangan mereka tulus. Hanya, yang belum menjadi adalah kata-kata sajaknya, belum utuh dan sempurna.

Tetapi itukan proses. Seperti kita juga di masa dahulu. Juga belajar dan berproses. Sebelum hari  ini diperakui sebagai penyair.

April 17, 2012

Ahad, April 15, 2012

PUJIAN ADALAH BAHAGIA YANG MENYAKITKAN


BEBAN itu akhirnya akan kaupikul  ke mana-mana. Sesuatu yang pada  mulanya kauterima dengan rasa senang, seronok dan gembira telah berubah menjadi beban yang lain. 

Kerana tiada kebahagian dalam erti kata yang sebenarnya. Ia lebih menyakitkan dari sesuatu yang menyakitkan di tengah kenyataan yang jujur dan benar. Ia adalah beban dan tanggungjawab untuk si jujur yang tidak terlalu ingin berharap. 

Kebenarannya  yang sebenarnya adalah pembuktian kejujurannya  di tengah pertarungan waktu dan zaman. Untuk bertahan dan membuktikan kebenaran serta kesejatiannya sendiri.

Jadi untuk apa mengejar-ngejarnya?

April 15, 2012


Sabtu, April 14, 2012

MENULIS ITU SUNYI YANG BAHAGIA


SAYA telan segala rasa pahit di tengah gelisah dan sunyi itu. Saya memilih untuk bersunyi dan merenung di dunia sendiri.  Maaf. Ini urusan dan persoalan yang sangat peribadi. Saya tidak peduli anda mengacuhkannya atau tidak. Itu urusan anda. Titik.

Menulis adalah mengubat rasa lara dan kebahagiaan sekaligus.  Inilah dunia yang meminta banyak tetapi memberi sedikit. Jika tanpa kekuatan jiwa, segalanya hanyalah debu  dan angan-angan kosong yang terapung dan kemudian hilang diterbangkan taufan hiruk-pikuk dunia.

Saya ingin menghindar dari kebisingan dan kembali ke dunia saya yang sunyi. Merenung dan melihat diri sendiri. Merenung dan merenung. Untuk larut ke dalam dunia yang lebih sunyi. Dengan gelisah yang semakin tajam menghiris.

Tetapi saya bahagia.

April 14, 2012 

Jumaat, April 13, 2012

PEMBACA


SETELAH menulis dan menyatakan  apa yang ingin saya katakan dan nyatakan, saya tidak punya kuasa untuk meminta dan memaksa sesiapa sebagai pembaca karya saya menerima dan percaya.

Biarlah mereka sebagai pembaca meklaksanakan tugasnya sebagai pembaca dan saya ingin kembali ke dunia milik saya untuk berfikir dan kembali menulis menurut cara,  gaya, kehendak serta keinginan saya sendiri.

Saya memang memilih dunia yang selalu lain dan ingin menyatakan sesuatu dengan suara berontak serta melawan menurut cara dan gaya saya juga.

Tidak mengapa tidak menjadi popular atau tidak diterima. Kerana saya percaya di antara seribu yang menolak, akan tetap juga ada meski 10 penerima.

Untuk apa berkata dan menuliskan sesuatu buat mereka yang sejak mula sudah menutup pintu hati dan jiwanya?

Biarkan mereka yang bergelar pembaca memilih dan mencari dunia membacanya sendiri.

Seperti juga biarkan saya terus di dunia sunyi dan gelisah saya ini.

April 13, 2012

Isnin, April 09, 2012

TAHU


TATKALA semakin kita memaklumi di mana tahu dan bodohnya diri sendiri, kita tidak  akan menjadi terlalu peduli dan takutkan segala henyak serta kritik lagi.

Pada akhirnya, kepercayaan dan keyakinan diri sendiri adalah sumber tempat  berpijak  sebuah diri sebagai peribadi yang utuh. 

Keberanian untuk mengakui kebodohan dan kelemahan diri sendiri akan menjauhkan segala sikap sombong dan leka untuk terus belajar di dalam diri.

Kebodohan adalah cermin untuk terus belajar membaiki diri. Tetapi keberanian untuk mengakuinya secara berterus-terang  mengatasi segala keberanian yang ada.

April 9, 2012

Jumaat, April 06, 2012

PENGHORMATAN


SETIAP kita yang pernah berasa dirinya termakan budi pastilah ingin kembali membalas hutang budinya itu dengan cara yang sewajarnya. Atau kalau tidak pun,  dengan cara memberikan perhormatan yang dikira-kira wajar terhadap siapa yang pernah memberikan budinya itu.  Ketika demikianlah kita kadang terlupa segala lakon dan laku perbuatannya yang licik dan jijik sebelum ini. 

Memang budi boleh selalu membuatkan mata kita menjadi buta untuk melihat dan mengakui segala kenyataan yang sebenar. Dosa dan lakonnya seolah membius kita agar menjadi lupa dengan sengaja.  Ketika bahasa kita dipesenda-senda. Atau lagaknya yang tiba-tiba sepertikan wira pembela siapa yang tertindas serta teraniaya.

Rasa berhutang memang selalu membuat diri berasa serba salah dan diasak dilema . Sehingga memberikan penghormatan terhadap siapa yang tidak sepatutnya diberikan.

April 6, 2012

Rabu, April 04, 2012

VISI


SESUDAH sekian tahun mengaku hidup di sebuah negara yang sudah sekian lama merdeka, baru hari ini mahu bercakap mengenasi visi dan misi? 

Tanya seseorang yang entahkan siapa di luar sana.

Aku hanya memilih untuk memanjangkan senyum yang sebahagiannya dengan sengaja ditahan-tahan.

Peduli apa semua itu. Yang penting mana karyamu yang bagus dan kautulis dengan ikhlas dan jujur rasa manusiamu?

Kita tidak perlu sama terghairah untuk menyunglap diri menjadi politikus. 

Dan aku kembali ke dalam diriku yang selalu gelisah dan sunyi.

April 4, 2012


Selasa, April 03, 2012

MAKAN


MEREKA yang berniaga dan berurusan dengan makanan sebahagiannya mungkin berfikir masak dan bubuhlah apa sahaja dalam masakan mereka, pelanggan yang datang bukan tahu membezakan mana yang sedap mana yang tidak.

Seperti apa yang saya alami kelmarin. Sesudah diberitahu apa yang saya pesan tidak lalu ditelan kerana terlalu masin, masakan itu di bawa ke belakang dan datang semula tidak sampai sepuluh minit.

Bila dicicipi, saya tahu masakan itu hanya di bilas sedikit dengan air atau entah dengan apa. Namun masinnya tetap terasa dan tidak menyelerakan langsung untuk ditelan.

Memang dahulu-dahulu pun saya banyak mendengar bagaimana tukang masak dan pembancuh minuman bekerja. Saya pernah dipesan  agar tidak memarahi mereka jika meminta minuman atau masakan disediakan semula.  

Saya diberitahu, jika berada di ruang memasak atau membancuh air yang terselindung dari pandangan kita sebagai pelanggan,  ada di antara mereka yang melepaskan geram amarahnya kerana di tegur dengan cara  meludah ke dalam minuman atau masakan.

Saya berasa kesal sungguh. Sudah diberitahu dan diminta agar dilakukan sesuatu dengan masakan itu dengan suara perlahan dan lembut, tetapi yang datang kembali ke meja saya tetap juga msakan yang rasanya terlebih disirami kicap masin atau garam.

Saya tetap membayar dan meninggalkan masakan itu di meja. Walau  mereka mungkin berfikir wang saya belum pasti menambahkan untung ke dalam kantung mereka, tetapi buat saya itulah kali terakhir saya akan ke sana dan tidak akan singgah lagi ke mana-mana cawangan milik mereka yang kononnya terkenal dan gah itu.

Kesan saya, orang Melayu yang berniaga masakan memang hanya fikirkan wang yang masuk dari kantung pelanggan seperti saya tetapi tidak pernah mahu berfikir bagaimana hendak menjaga hati dan perasaan pelanggan yang datang mahu memberi wang kepada mereka.

Sebagai contohnya, ketika datang mengambil pesanan, tanpa silu dan segan dengan selambanya pelayan yang bertugas duduk di kerusi di depan atau di sebelah pelanggan. Oh, sungguh kurang sopan dan kurang  hormatnya dia!

Sebab itulah rasa saya semakin hari semakin ramai orang Melayu berpindah ke kopitiam. Peduli apa dakwaan tiada sijil halal. Pokoknya layanan mereka baik dan tahu menjaga hati pelanggan.

Sebagai pelanggan kita  tidak berkira walau harganya agak sedikit mahal. Yang penting kita sebagai pelanggan berasa dihargai dan tidak dipermainkan.

Semakin hari, semakin jeran rasanya saya hendak singgah ke premis milik Melayu yang semakin kehilangan rasa untuk menghargai  pelanggan yang datang. Kita yang datang untuk memberikan mereka wang kadang terasa sangat dilayan macam kita ini pula yang mengemis sesuatu dari mereka: perhatian dan layanan sebagai pengguna.

Saya tahu, tidak makan di kedai mereka pun saya belum pun sampai ke tahap kebulur.  Walau mereka juga boleh berkata tanpa pelanggan yang "cerewet" seperti saya mereka pun tidak akan jatuh miskin.

Tetapi yang pasti, duit saya tidak lagi akan masuk ke kantung mereka lagi. 

April 3, 2012

Isnin, April 02, 2012

MAKHLUK BARU


BEBERAPA kawan sasterawan, seniman dan penyair bercakap mengenai munculnya satu jenis makhluk baru dalam dunia sastera tanah air. Terpinga-pinga saya mendengar dan sambil mencari-cari apakah makhluk yang mereka maksudkan itu. Jenuh juga bertanya kepada kawan-kawan tetapi semua mereka hanya senyum penuh makna dan diam-diam.

Akhirnya kelmarin saya menemuinya.  Betullah apa yang dipercakapkan kawan-kawan itu. Memang makhluk baru itu ada. 

Makhluk baru ini memang ganjil sedikit. Bila ke mana-mana, mereka hanya duduk berkumpul di dalam kelompok mereka sahaja dan kalau mahu berkenalan  atau bertegur sapa, mereka nampaknya hanya pastikan  orang yang hendak mereka sapa dan berkenalan itu hanya orang-orang yang terkenal dan hebat sahaja. Kalau yang selain itu nampak macam tidak dilayan sahaja.

Dari manakah makhluk baru ini datang? Saya tidak pasti sangat dari mana. Banyak kawan-kawan pun tidak begitu tahu dan  pasti. Hanya beradasarkan pemerhatian,  nampaknya gemerlap dan kemilau itulah yang menarik dan  yang mendatangkan mereka ke mari.  Selainnya tidaklah terlalu nampak sangat apa yang mereka bawa bersama.

Hendak dikatakan karya atau sasteranya, setakat ini saya sendiri tidak begitu pasti apakah ada yang mereka bawa bersama.

Mungkin ada tetapi tidak pernah mereka hebahkan. Atau mungkin juga memang langsung tiada.

Bagi saya, inilah realitinya dunia sastera kita. Datanglah siapa sahaja.  Ini dunia   kita yang memang dengan terbuka menerima sesiapa sahaja masuk dan berada di dalamnya. 

Masuklah dengan dada lapang dan selalulah waspada. Di sini, dimangsa dan memangsakan bergerak seiringan. Hanya pilihan dan kekuatan jiwa dan raga sahaja memastikan akhirnya siapa yang benar-benar menjadi sasterawan, penyair atau seniman.

Yang selebihnya, hanya angin, debu dan para korban.

April 2, 2012