Jumaat, Ogos 31, 2012

KEMBALI MEMBACA


KUISI malam waktu menjelang tanggal 31 Ogos ini dengan menyemak dan membaca sejumlah kertas catatan dan guntingan akhbar di fail rujukan teater di kamar kerjaku.

Kutemui kembali dan kubaca beberapa nama, peristiwa dan sejumlah isu yang pernah aku terlibat di dalamnya. Sama ada sebagai aktivis, sutradara untuk sejumlah pementasan atau sebagai manusia  yang disinggung serta dijoloki  dengan segala macam label atau gelaran oleh para musuh atau mereka yang kurang menyukai diriku.

Aku kembali mengenang. Memang terlalu sakit dan berasa sangat terluka waktu itu.  Bekerja dengan perasaan marah dan tertekan untuk meyakinkan orang-orang di dalamnya dan juga beberapa mereka yang dipanggil pegawai, betapa untuk memajukan seni diperlukan sikap yang lebih bersungguh,  fokus dan perlu berlandaskan ilmu yang benar dan jujur. 

Untuk meredakan rasa marah, tertekan dan gelisah, aku selalu memilih untuk diam dan lebih lama menyendiri. Atau dengan sengaja menenggelamkan diriku dalam kesibukan untuk lebih tekun menuliskan karya serta membuat catatan.

Di Mana Kau, Sang Puteri (Kuantan: 21 Mac, 1981)
Malah bukan mustahil kalau saban malam rasa tertekan dan gelisahku itu sering pula terbawa-bawa ke dalam mimpi dan tidurku sendiri. Sehinggakan tanpa sedar, dari bibirku terlontar pekik dan jeritan, yang menjagakan nyenyak  tidur keluarga atau jiran sebelah menyebelah rumah.

Memang aku sangat tertekan dan gelisah waktu itu. Malah sering kali bertanya kepada diri sendiri. Apakah aku salah memilih jalan seniku atau berhadapan dengan manusia baghal di sini?

Kerana, yang kuinginkan rasanya, tidaklah terlalu utopia dan sulit melangit.  Yang kuajak dan cuba fokuskan adalah kesungguhan dan kejujuran dalam mengerjakan seni.

Maksudku, jika berteater, fokus teaternya itu adalah kerana seni dan fitrah sebagai manusia dan bukan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan  kontrak pembaikan bangunan pejabat, gelaran, pangkat atau kekasih untuk dikencani secara tidak halal serta sah.

Aku tahu dan sedar dalam sesi latihan bengkel dan disiplin aku sangat tegas dan kerana itu aku sedar aku kurang disenangi mereka. Tetapi aku rela melalui itu daripada melakukan sesuatu yang aku tahu akan mengkhianati perjuangan sebenar membangunkan teater menurut lunas yang kufahami sebagai tidak menyalahi dan melanggar hakikat maknusiawi serta agama.
Sidang (Kuala Terengganu: 28 Disember, 1983)

Aku tidak minta disenangi kerana menurut segala kehendak mereka untuk terlalu bermain-main dengan teater. Aku tidak perlukan itu. Aku hanya inginkan mereka menghayati apa yang baik dari bengkel dan latihan. Hanya itu.

Aku juga dengan sengaja memilih untuk tidak membodek dan melobi sesiapa, walau pun aku tahu betapa sulitnya jalan yang akan kutempuhi jika tidak berbaik dengan para pegawai atau kerana tidak mengampunya.

Memang itu adalah sejarah yang sudah berlalu dan malam ini aku sedetik mengenangnya.

Sendiri kuhitung-hitung. Sudah kurang lebih atau hampir 22 tahun segalanya berlalu. Aku masih tetap begini dan di sini. Meneruskan dengan caraku sendiri segala yang aku yakini mengenai teater, sastera dan seni. Tanpa perlu disuruh atau dipaksa sesiapa, aku tetap terus menulis dan berkarya dan nanti bakal atau sedang menunggu sejumlah naskhah teater tulisanku diterbitkan dalam bentuk buku yang lebih tersusun serta bermaruah.

Tetapi bagaimana mereka yang dahulu pernah menggubris dan menyinggung serta memberikan diriku segala macam gelar atau label yang sangat memedihkan telingaku yang mendengar?

Sebahagiannya kudengar sudah berani tampil dan bercakap mengenai seni. Syukurlah. Setidaknya, latihan keberanian dan yakin diri  yang dahulu kuajarkan di dalam bengkel teaterku sudah mampu membimbing dan membentuk semangat mereka.

Namun, bila kukenang-kenang lagi mengenai sikap mereka dahulu di dalam bengkel, aku tertanya sendiri: Apa sebenarnya yang dicakap serta diajarkan kepada murid baru mereka?

Dan para pegawai itu, memang kudengar khabar sudah ramai yang pangkatnya semakin tinggi.  Tetapi bila melihat sendiri segala yang  sedang terjadi dengan seni, budaya dan teater negara, aku sedikit pun tidak berasa hairan kalau demikian kesudahannya.

Yang dimarak dan digalakkan adalah budaya mengampu dan bodek. Lalu seni apa pun menjadi medan untuk para pengampu dan pembodek juga.

Walau seninya hancur dan semakin luntur nilai seninya itu tidak mengapa, asalkan pegawai-pegawainya terus sahaja diampu serta dibodek.

Lalu aktivis yang tidak suka atau tidak pandai mengampu serta membodek, seperti Khalid Salleh, Fauziah Nawi atau yang lain-lainnya, akan demikian teruslah untung nasib mereka.

Dan aku, akan tetap dan terus meneruskan jalan seniku menurut percaya dan yakin diriku sendiri. Sehingga aku menemui noktah dan kembali menghadap Tuhan.

Ogos 31, 2012


Jumaat, Ogos 24, 2012

TIDAK PEDULI



NAMA yang disebut dan dicatat di buku-buku akhirnya tinggal nama sebagai nama. Pemilik yang jika masih hidup   membacanya  dengan   rasa bangga yang melangit. 

Tetapi kesudahannya?  Kerana yang disebut dan dicatat hanyalah nama. Ketika pemiliknya sudah tidak berbuat apa-apa lagi. Selain menembangkan lagu sombong dirinya sendiri: seorang tokoh yang pernah disebut dan tersohor. Demikian konon tembangnya.

Ketika hayatnya berakhir,  segalanya menjadi debu dibawa angin.  Hilang  tanpa bekas dan jejak.

Betapa pun ketika hidupnya dan bercokol bagaikan tunggul di dalam persatuan anu atau ini, dengan karya yang terlalu kerdil dan sedikit, dirinya disanjung dan diberhalakan oleh pengagum serta  pendokong.

Ternyata  kesohoran namanya  yang ditinggal tidak digiring dengan karya yang berbekas.  Dan namanya yang pernah disebut atau masih tercatat di buku, kini menjadi caci yang sangat menghina. 

Atau selalu menyindir  dalam diam.

Ogos 24, 2012

Ahad, Ogos 19, 2012

TERIMA KASIH, TUHAN

Sajak MARSLI N.O

TERIMA kasih, Tuhan
kerana terlalu sedikit
aku memberi
tetapi terlalu luas
engkau membalas

Terima kasih, Tuhan
kerana terlalu
aku leka
oleh sebok dunia
tetapi tetap 
tidak engkau melupakan
aku yang hamba

Syawal 1