Salah sebuah buku saya yang diterbitkan secara DIY |
Selasa, Mac 26, 2013
BUKU DIY
SAYA masih tidak lupa. Tahun 1981, ketika semangat menulis dan ingin melihat karya terbit dengan segera dalam bentuk buku terlalu menggebu-gebu, saya sanggup mengayuh basikal kurang lebih sejauh 30 kilometer meredah pekat malam untuk ke kedai zerox atau fotokopi.
Di sana, di kedai fotokopi, saya mengupah mereka menfotokopi dami buku puisi yang sudah saya siapkan di rumah dalam beberapa salinan, yang kemudiannya dijilid dengan mesin staple sebagai sebuah buku yang sangat sederhana bentuk dan layoutnya, dalam hitam putih dan berkulitkan kertas fotokopi yang biasa sahaja.
Mungkin itu satu kegilaan di masa muda, atau mungkin juga sikap terlalu terburu-buru. Tetapi rasa saya, kerja memfotokopi dami buku atau majalah yang kemudian diedarkan kepada kawan-kawan dekat ini secara begini bukan hanya dikerjakan oleh saya sahaja. Teman-teman yang menerbitkan "zine" atau majalah secara underground sekitar tahun itu juga melakukan hal yang sama dan saya pernah beberapa kali melihat dami zine mereka ini di kedai tempat selalu saya memfotokopi.
Menerbitkan buku atau majalah yang memuatkan karya sendiri dan teman-teman dekat dan kemudian diedarkan serta dibaca di kalangan sesama sendiri juga sebenarnya bukan pun suatu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa atau sampai boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah yang menyalahi undang-undang.
Ini sebenarnya adalah sebahagian dari upaya untuk berekspresi dan memanifestasikan perasaan, ide, buah fikiran kepada khalayak, yang kerana sifatnya terbatas, dalam kalangan yang juga terbatas. Di antara sesama, saling bertukar dan berbagi. Sebagai pengulangan dan penerusan kepada suatu tradisi penerbitan secara DIY yang sebelumnya dengan teknologi seklostil di tahun 1970-an, di mana karya ditaip terlebih dahulu di atas kertas stensil dan kemudian dicetak atau digelek di mesin penggelek, sama ada yang menggunakan tenaga elektrik atau yang digelek secara manual.
Secara peribadi, menerbitkan buku secara DIY memang mendatangkan rasa nikmat dan puas yang sulit untuk saya jelaskan. Pengalaman menyusun helai demi helai kertas, menjilid, memotongnya supaya sama dan sepadan, sungguh merupakan pengalaman yang punya kenikmatannya tersendiri.
Segalanya bermula dengan suatu idea yang kemudiannya disusul dengan berbulan dan malah bertahun-tahun mengumpulkan karya yang difikirkan sesuai untuk dikumpulkan di dalam sebuah buku. Setelah itu melalui pula proses merancang jumlah halaman, susun letak, hiasan kulit dan sebagainya.
Malah bukan tidak pernah berlaku juga "kemalangan" ketika menyiapkannya. Jari telunjuk saya pernah beberapa kali menjadi habuan mata pisau pemotong atau blade dan sekali pernah ke klinik untuk dijahit lantaran lukanya yang terlalu dalam dan darah terlalu deras menetes.
Saya sedar dan tahu memanglah buku yang diterbitkan scara DIY begini akan menjadi lambat prosesnya dan menyebabkan kosnya juga menjadi agak tinggi. Kerana itu jugalah ketika menjualnya, saya terpaksa meletakkan harga yang agak mahal juga berbanding dengan buku-buku yang dicetak secara benar denganmesin pencetak.
Namun saya percaya, siapa sahaja yang mengetahui dan pandai menghargai sesuatu yang langka, pasti akan mencari dan membeli buku saya yang saya terbitkan secara begini. Di setiap buku yang saya terbitkan secara begini, di sana ada keringat, darah dan jiwa saya bersamanya. Saya tidak hanya menjual sebuah buku yang mengandungi kata-kata, tetapi juga menjual roh, jiwa, keringat dan darah saya bersamanya.
Kepada kawan-kawan yang berminat untuk menerbitkan buku secara DIY begini, saya sedia berkongsi maklumat dan saling bertukar pengetahuan dengan yang lain. Mungkin kawan-kawan lain punya pengalamannya yang tersendiri dan sudi berkongsi pula dengan saya serta teman-teman lain di sini. Mungkin satu hari nanti, kita bersama boleh anjurkan satu festival kecil yang mempamer dan menjual buku-buku yang diterbitkan secara DIY begini.
Kepada kawan-kawan dan pembaca: Jom, kita terbitkan buku secara DIY!
Mac 26, 2013
Rabu, Mac 13, 2013
INDIE
KATA ini sudah saya
dengar dikoarkan sejak tahun 2000 atau akhir 1990-an. Mungkin untuk semacam
pengisytiharan mengenai sekelompok orang yang kononnya tidak sudi berada di
mainstream dan hanya mahu bergerak secara bebas. Istilahnya dilabelkan dengan
filem, muzik, teater dan sastera.
Mungkin juga kata
ini, indie, semacam label yang disebut dengan rasa megah, yang konon membawa
makna mengemukakan sesuatu yang lain di segi aliran dan cara berfikir di dalam
karya.
Di dunia seni dan
sastera negeri ini, siapa sahaja boleh mendakwa segala macam untuk
meninggikan martabat diri atau egonya sendiri: penyair, pembuat filem, pengarang, blogger, pemusik, seniman, penerbit atau penyanyi.
Apa lagi kalau sudah punya
sejumlah teman, penyokong, penggemar atau pengikut. Walau kadang-kala dakwaan itu
ternyata hanyalah sesuatu yang palsu dan bukan sepatutnya kerana apa yang
disebut sebenarnya jauh panggang dari api.
Sehingga semakin
lama makna indie dalam erti kata yang sebenar itu pun semakin menjadi lusuh dan
tidak bernilai. Antaranya kerana kepongahan yang lebih kepada gaya dan aksi
tetapi bukan dalam sikap, pemikiran dan inti dalaman karya.
Apa lagi bila
kelompok yang mengaku dirinya indie mengisytiharkan pula di dalam kelompoknya
punya seorang jenderal, atau ada yang mengaku dirinya jenderal.
Jika sudah begitu, apa yang indienya?
Mac 12, 2013
Selasa, Mac 12, 2013
CATATAN RINGKAS MENGENAI REAKSI
TERIMA KASIH kepada yang sudi membaca dan kemudian memberikan reaksi untuk sejumlah entri yang saya poskan di blog saya ini.
Namun harap juga dimaklum. Betapa saya sulit untuk menerima pujian-pujian yang saya rasakan bukan hak saya untuk menerima dan demikian juga dengan kritik dan cemoh yang sangat tidak jelas asal usulnya. Saya juga tidak mungkin menerima dan menyiarkan reaksi yang dikirim oleh siapa sahaja yang tidak jelas identiti dirinya, sama ada itu berupa pujian, dokongan, sokongan dan apa sahaja yang sejenis dengannya.
Saya mungkin menulis di sini dalam keadaan separa sedar, atau mungkin juga terlalu beremosi dan syok sendiri, kadang-kadang. Saya akui itu. Namun satu hal, saya biasanya tidak mahu berbohong dengan diri saya sendiri dan kerana itu menulis apa yang sedang saya fikir dan rasakan dengan tanpa berselindung.
Saya tahu sikap itu memang dan akan boleh melukakan sebahagian orang lain yang mungkin singgah dan datang untuk membaca, walau saya sama sekali tidak berniat menujukan tulisan itu kepada mereka.
Apa boleh buat. Saya tidak boleh menghalang untuk orang lain berasa dan terasa. Walau pun saya selalu memilih untuk hanya bersendiri dengan diri saya sendiri dan tidak ingin ambil peduli yang selain itu.
Mac 12, 2013
Jumaat, Mac 08, 2013
MENULIS ADALAH KESUNGGUHAN
SATU demi satu buku tulisanmu akhirnya diterbitkan juga. Namun pembaca tidak pernah tahu betapa kau saban malam, untuk puluhan tahun bersendirian melawan kesunyian dan keresahan di kamar tulismu sendiri.
Biarlah dan lebih baik andai mereka tidak pernah tahu. Kerana, andai dengan kau bercerita maka akan semakin membuka sombong dan pongahmu sendiri, lebih baiklah kau simpan segala itu menjadi rahsia di dalam dirimu sendiri.
Simpanlah sahaja segalanya di dalam diri sendiri. Simpanlah. Simpanlah sendiri.
Mac 8, 2013
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Isnin, Mac 04, 2013
MEREKA BERTIGA
SEJARAH seakan menetapkan betapa mereka berdosa kerana
menuliskan sesuatu yang kabur dan sehingga kini dakwaan itu diteruskan lagi oleh
generasi pembaca (yang menilai),
generasi yang lebih muda dan hidup di abad yang lebih moden, namun kelihatannya
lebih senang untuk tetap terus menjadi
pengulang.
Memang melihat kembali sesuatu yang telah didakwa dan
menjadi semacam tanda dengan penilaian baru memerlukan keberanian yang tidak
sedikit. Tetapi inilah cabaran untuk setiap yang ingin berada di jalan sastera
dengan sikap intelek yang tulus atau
yang mengaku sebelumnya sebagai generasi yang lebih memahami dan terbuka.
Penilaian pertama oleh seorang yang bernama Kassim Ahmad,
yang menjatuhkan hukuman secara diktator sekitar Julai 1958 di majalah Dewan
Bahasa kelihatannya sampai kini tetap dianggap sesuatu yang mutlak dan sah,
yang tidak berani kembali dipersoalkan secara lebih terbuka oleh generasi kini.
Dosa mereka adalah kerana melawan arus zamannya. Mereka
memilih untuk menyatakan perasaan dan fikiran mereka secara yang berbeda.
Ketika menyatakan sunyi, mereka tidak menceritakan sunyi tetapi melukiskan
dengan cara dan gaya mereka sendiri kesan dan akibah kesunyian itu. Mereka bertiga memang tidak
menyuguhkan makna secara per se, dalam setiap baris dan kata secara
keseluruhan.
Puisi mereka adalah perca-perca perasaan, puzzle fikiran atau ide yang dijalin tidak menurut wacana dan tautan yang klise pada zamannya. Mereka melompat, menerjang, menghardik sesekali dan menyerahkan tafsiran secara bebas kepada pembaca. Makna di dalam puisi mereka bukanlah keseluruhan tetapi berupa cebisan-cebisan. Mereka menjadikan suasana sebagai lambang dan setiap kata hanyalah bidak yang bisa disusun kembali oleh pembaca yang lain.
Puisi mereka adalah perca-perca perasaan, puzzle fikiran atau ide yang dijalin tidak menurut wacana dan tautan yang klise pada zamannya. Mereka melompat, menerjang, menghardik sesekali dan menyerahkan tafsiran secara bebas kepada pembaca. Makna di dalam puisi mereka bukanlah keseluruhan tetapi berupa cebisan-cebisan. Mereka menjadikan suasana sebagai lambang dan setiap kata hanyalah bidak yang bisa disusun kembali oleh pembaca yang lain.
Memang. Pada setiap zaman, pelawan zaman selalu dituduh
sinting dan durhaka! Tetapi kita lebih berdosa kerana menerima dan meneruskan tudingan!
Mac 4, 2013
Jumaat, Mac 01, 2013
KABUR
BENARKAH ada yang dikatakan puisi kabur, sajak kabur atau karya-karya seni dan sastera yang kabur?
Persoalannya tatkala karya terasa sulit difahami dan ditangkap maknanya. Tetapi perlukah setiap sesuatu diberikan makna tunggal? Sedangkan sastera dan seni adalah polisemi, penuh nuansa dan bebas untuk diberikan makna apa pun oleh si pembaca atau yang mendepaninya.
Jadi kenapa kita terlalu bodoh dan membazirkan waktu untuk memaksa agar yang ada hanyalah sebuah makna tunggal. Atau seorang pengkritik memaksakan kehendaknya kepada penyair supaya memberikan makna seperti mana apa yang diinginkannya.
Kelihatannya, kita tidak pernah sudah meraikan kebodohan dengan mempercayai karya sastera dan seni adalah rumus 1 + 1 = 2.
Alangkah bodoh.
Mac 1, 2013
Langgan:
Catatan (Atom)