Khamis, April 25, 2013

MENJEMPUT DAN MENGALUKAN DATANG PEMBACA, SAHABAT DAN KENALAN


SAYA akan hadir bersama teman penyair Ridzuan Harun ke acara  Sofa Putih anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada Isnin, 29 April 2013  jam 12.00 tengah hari di aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Saya telah dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa judul atau topik yang akan diperbincangkan sepanjang acara ini ialah Pemuisi: Syok Sendiri atau Interpretasi Diri.
 
Kepada semua pengunjung, pembaca, sahabat dan kenalan, saya mengundang dan menjemput kalian hadir datang  untuk sama memeriahkan acara ini. Semoga di situ kita dapat berinteraksi dan saling bertukar pandangan dengan lebih intim. 

Selain itu juga, potongan harga yang sangat menarik sehingga 40% diberikan kepada pembeli buku hasil tulisan saya dan teman penyair Ridzuan Harun oleh pihak ITBM sepanjang acara berlangsung.

Saya atau kami menunggu kedatangan kalian dan mengucapkan jutaan terima kasih atas kebaikan dan sokongan kalian.

April 25, 2013

Khamis, April 18, 2013

SHAPIAI BERPUISI DENGAN HATI DAN FIKIR JERNIH

Oleh MARSLI N.O
marslino@yahoo.com

Aku Ingin Berbeka-Beka Dengan-Mu
Pengarang Shapiai Muhamad Ramly
Penerbit  Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Shapiai Muhamad Ramly penyair dan juga cerpenis yang juga pernah menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH kini tampil  lagi  dengan  antologi puisi terbaru beliau berjudul “Aku Ingin Berbeka-Beka Dengan-Mu.”

 Antologi puisi terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia ini merupakan antologi puisi   beliau yang ketiga selepas  “Melihat Kesunyataan”  oleh  Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000 dan “Keris Sebilah Itu” (Kurnia, 2009).

Sebagai penyair,  Shapiai yang pernah menjadi Setiausaha PPJ, pensyarah Pendidikan Seni dan menjadi Ketua Jabatan Kajian Sosial di sebuah institusi pendidikan perguruan di Johor ini merupakan antara beberapa penyair tanah air  yang secara berani dan tegas mengisytiharkan pendirian kepenyairannya secara terbuka.

Bagi penyair yang bertitle haji ini, puisi diakui beliau merupakan nasi yang disuapnya  setiap hari.  Justeru itulah dalam antologi yang memuatkan 100 puisi  ini, berdasarkan catatan tanggal di setiap akhir puisi beliau,  dapat ditemukan beberapa puisi ditulis beliau dalam masa sehari atau selang beberapa hari.

Sekali imbas memang kelihatan Shapiai terlalu mudah menuliskan puisi. Apa sahaja yang dilihat serta menyentuh hati penyairnya, akan diungkapkan menjadi puisi. Justeru itulah isu yang diutarakan beliau beragam dan pelbagai. Dari soal renungan diri menjalar ke persoalan perasaan, melingkar pula ke soal politik dan survival bangsa, atau sesekali  mengirim  misteri.

Jika di dalam puisinya “Perjalanan Hidup”(halaman 1) Shapiai  merenung perjalanan hidupnya sendiri dari muda sehingga menjadi tua, beliau menyinggung pula nasib bahasa yang  menjadi mangsa manusia rakus kebendaan. Di dalam puisinya “Bas Terakhir” (halaman 13) Shapiai membiarkan kita selaku pembaca menebak sendiri maksud bas terakhir yang : “menjemput dan melaju/ ke dunia sunyi/ jauh sekali”.

Namun keprolifikan Shapiai dalam berpuisi tidak bermakna beliau semborono mencopot kata yang hanya berupa  kata-kata kosong dan diletakkan begitu sahaja tanpa perhitungan nilai seni dan sesuatu yang mampu makna yang lebih bererti sebagai bahan renungan buat kita selaku pembaca.

Di sinilah kelihatannya kelebihan dan keistimewaan Shapiai sebagai seorang penyair. Betapa prolifik dan gencarnya beliau menuliskan puisi saban hari, namun bagi Shapiai kata bukanlah hanya alat dan permainan atau sekadar kenderaan yang ditunggangi dengan perasaan yang hambar lagi kosong.

Bagi Shapiai pendirian beliau adalah jelas. Sebuah tulisan (puisi) bagi beliau mestilah mengandungi pesan-pesan dan peringatan, kisah pendidikan dan teladan, pengukuhan iman, mengajak kepada kebaikan dan seterus mengajak pembaca menjauhi perkara mungkar.

Dengan prinsip sebeginilah, di samping bancuhan pengalaman serta latar sebagai pendidik di sebuah institusi perguruan, di tangan Shapiai,  setiap kata yang dirangkai serta direndakan beliau menjadi baris dan bait di dalam puisinya merupakan kata-kata yang penuh dengan daya yang tidak hanya menyampaikan nuansa makna yang lebih mendalam tetapi sekaligus memaparkan inti pemikiran berasaskan daya intelek.

Inilah kelihatannya yang menjadi kiblat serta pendirian kepenyairan Shapiai.  Buat Shapiai setiap kata mestilah menawarkan pemikiran dan ini secara tegas dinyatakan beliau di dalam prakata antologi puisi terbarunya ini, yang diberikannya judul  sebagai “Sastera Untuk Akhirat”, Shapiai menekan betapa pentingnya sebuah karya sastera, dalam hubungan ini puisi, berkiblatkan intelek.

Untuk membuktikan benar atau tidaknya pernyataan penyair kelahiran  Gunung Semanggol, Perak pada 26 Ogos 1950 lewat puisi-puisi beliau di dalam antologi ini tidaklah terlalu sulit.  Oleh kerana intelek yang menjadi landasnya, isu dan persoalan yang diperkatakan Shapiai sering cenderung mengajak kita sebagai pembaca lanjut berfikir.

Dalam puisinya “Suara Melayu” (halaman 48) kata “kita”, “serambi” atau “tetamu” memang adalah kata-kata biasa yang diucapkan sehari-hari, tetapi di sebalik biasanya itu, kita selaku pembaca tetap akan terus  bertanya mengenai siapakah sebenarnya “tetamu” dan apakah sebenarnya menguji yang dimaksudkan penyair: “Betapa kita sering bertolak ansur/ membenarkan serambi kita dihuni/ oleh tetamu/ yang terus menguji.”

Atau di dalam puisinya yang lain berjudul “Persidangan Politik Kapak” (halaman 49), Shapiai menjadikan kapak sebagai kata biasa yang membawa maksud alat untuk memotong atau menebang pokok dan kayu dipergunakan penyair sebagai simbol yang memusnahkan: “Suara-suara kapak/ masih kedengaran/ menumbangkan beribu pohon kebaikan/ di dunia politik rimba.”

Di sini juga kelihatan betapa lihainya Shapiai menghubungkan suatu makna yang biasa (kapak) dengan isu lain iaitu kebaikan dan politik. Malah untuk lebih menimbulkan kesan di segi pemaknaan lain yang lebih ambigious sifatnya, penyair mengaitkan pula dengan kata “rimba” yang boleh membawa atau menyampaikan maksud “tidak teratur, tanpa peraturan dan susila serta penegakan hukum secara sewenangan. 

Shapiai juga tidak lupa mengkritik perilaku bangsanya yang bernama Melayu di dalam puisinya “Islah Melayu” (halaman 109). Di mata kepenyairan Shapiai: “Yang membunuh Han Nadimbukan raja/ tetapi Melayu!/ yang membunuh Jebat bukan Tuah/ tetapi Melayu!/ kerismu itu/ pamor bisa hasadnya/ membunuh Melayu sendiri.”

Memang  keprolifikan Shapiai dalam berpuisi dapat dikatakan bersebab juga. Sebahagian ungkapan dalam puisinya “Pekan-Pekan Perasaan” (halaman 3) setidaknya memperjelaskan: “perjalanan meletihkan/ haruskah kita menyerah?/ pada tangan-tangan nakal/ memintal persoalan jadi persefahaman sukar.” 

Ternyata kegelisahan itulah yang merongrong sensitivity nurani Shapiai sebagai penyair untuk terus menyalurkannya ke dalam puisi demi puisinya. Seperti diakuinya lagi dalam baris berikutnya puisi beliau: “Pekan-pekan perasaan/ sering dimamah tegar bimbang/ tanyalah kenapa mereka sanggup berperang.”

Secara keseluruhan, suara gelisah Shapiai sebagai penyair  sangat jelas terserlah di dalam puisi-puisi beliau yang membicarakan persoalan politik, bahasa dan nasib masa depan bangsanya sendiri.

Namun hebatnya Shapiai, betapapun dilanda resah dan gelisah, suara puisi yang dilontarkan beliau bukanlah suara herdik dan bentakan.  Suara kepenyairan Shapiai adalah suara seorang yang sama sekali tidak membenarkan perasaan mendahului fikirannya. Setiap yang menyentuh perasaan kepenyiarannya diluahkan kembali dalam bentuk puisi yang bening dan agak jernih. Misalnya di dalam puisi “Imam Menangis” (halaman 76) dengan nada merendah Shapiai menyatakan:  Imam menangis/ di mimbar kesal/ melihat mungkar makmum/nafsu dan kuasa/ bisu dan buta.”

Di tangan Shapiai puisi tidak dijadikannya alat untuk menghukum. Sebaliknya, dengan puisi Shapiai menyatakan harapan dan ajakan kepada kita selaku pembaca puisinya  untuk sama merenung. Di depan pertelingkahan sesama ummah misalnya, dengarkan apa pinta dan harap Shapia di dalam puisinya “Membuka Pintu Pengertian” (halaman 31): "Di rumah ukhwah ini/ pilihlah kamar benar/ tanpa ada keraguan// Membuka pintu pengertian/ lebih bermakna/ dari menutup pintu percaya.”

Alangkah indah dan baiknya jika  para politikus kita dari paksi mana pun  membaca dan memetik iktibar dari puisi ini. Malah tidak bersalaha kiranya dikatakan betapa elok benar buku ini disebarluaskan di kalangan mereka para politikus itu, moga dengan dana seeorang atau institusi. Semoga keseronokan  saling bercakar di antara sesama mereka akan segera memudar.

Selain memetik iktibar dan mendengar harapan dan pinta yang diungkapkan dengan fikiran jernih seorang penyair   kita juga menemui sehimpun metafora baru dan menarik seperti "Di Kerajaan Hujan" (halaman 86), "Ribut Mungkar" (halaman  92), "Kelambu Kaca" (halaman 21), "Seulas Nangka  Amanah" (hal 9).

Ternyata Shapiai menuliskan puisi-puisinya  memang benar-benar dengan hati jernih, tanpa rasa amarah dan dendam. Terpancar kejernihan jiwa sang penyair dalam setiap tutur dan kata puisinya. Kerana kedatangan Shapiai seperti diakui di dalam puisi yang menjadi judul antologinya ini “Aku Ingin Berbeka-Beka DenganMu” (halaman 45) memang dengan sikap seorang insan yang benar-benar  insaf  lagi tawadduk.

END

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 14 April 2013