Selasa, Februari 25, 2014

TUAH SUBSIDI

TERGERAK hati hendak singgah ke kedai kopi Long Hamzah petang ini. 

Sebaik sahaja duduk, segera kupinta segelas teh kurang manis dan sekeping roti canai. “Kuah lebih sikit, Long,” Kataku. 

Akhbar yang kubeli sekejap tadi di kedai runcit Raja kubentangkan di atas meja di depanku. Di muka depan akhbar, terpampang cerita BRIM. Seorang pemuda yang kutahu menjadi ketua sebuah cawangan dan duduk di meja di hadapanku, kusedar melirik ke arah berita yang sedang kutatap itu.

“Baguskan BRIM ni. Kerajaan beri terus kepada yang benar-benar memerlukan. Bagi yang kaya dan berkemampuan mereka tak merasa lagi pemberian kerajaan macam dulu, di mana bila orang miskin dapat mereka pun sama mendapat. Kau tahu bagaimana caranya?” tanya pemuda ketua sebuah cawangan itu kepadaku. 

Beberapa orang tua yang duduk di seberang meja, yang sedang rancak bercerita mengenai BRIM juga,  seketika menghentikan bualan mereka dan serentak memandang ke arah kami.

Aku hanya menoleh dan memandang kosong ke wajah pemuda berusia sekitar 30an ini. Aku sebenarnya memang malas nak berdebat dan bertekak dengan dia pasal ini.  Apa lagi ketika niatku singgah ke kedai ini hanya sekadar untuk menghilangkan rasa bosan dan tidak ingin berfikir mengenai apa-apa.  Lagi pula, aku memang tidak begitu akrab dengan dia. Walau tinggal sekampung, perkenalan kami hanya setakat saling bertukar pandang atau bersalaman jika kebetulan bersua selepas solat di hari Jumaat di masjid.

Namun, tanpa aku pinta kudengar lagi ceramah pemuda itu.  “Caranya begini. Bila kerajaan kurangkan pemberian subsidi maka secara tak langsung mereka yang kaya dan berkemampuan tidak lagi dapat menikmati kemudahan ini. Dengan cara begini beban kerajaan menjadi berkurang dan orang yang memang miskin kerajaan bantu melalui pemberian BRIM ini.” 

Entah kenapa aku berasa agak terganggu dengan ceramah yang tidak kupinta ini. Kerana itulah, begitu sahaja Long Hamzah meletakkan pesananku di meja, berawal dengan bismillah, segera aku mencubit dan menyuap cebisan roti canai ke mulutku.

Namun ternyata pemuda ini tidak jemu menuturkan ceramahnya. “Dengan cara pemotongan subsidi beginilah maka kerajaan dapat menambahkan sumber pendapatannya dan rakyat yang miskin dapat dibantu secara langsung.”

Kerana memang sejak mula niatku tidak ingin berdebat dan berhujah dengan pemuda ini, maka kubiarkan sahaja dia bercakap sekehendaknya. Kerana niat mula ku itu jugalah maka segala apa yang terfikir dan terbetik di benak fikirku, hanya kubenamkan di dalam diam.
Walau sebenarnya memang ada yang ingin aku katakan. Namun kukira biarlah aku hanya memilih diam.

Biarlah. Mungkin pemuda ini tidak tahu atau memang sengaja tidak mahu tahu. Betapa, setelah harga minyak dinaikkan, atas alasan bahawa kerajaan telah mengurangkan subsidinya, maka berbondong-bondonglah peniaga menaikkan harga barangan dan yang mengeluh serta rasa terbeban bukan hanya mereka yang kaya dan berkemampuan, tetapi termasuk juga orang-orang tua yang duduk di seberang meja di depanku, yang tadinya sedang rancak bercerita mengenai BRIM itu juga.

Mungkin pemuda pejuang bangsa dan negara ini tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu betapa bukan hanya harga barang keperluan yang dinaikkan para peniaga atas alasan kenaikan harga minyak, malah sekecil benda seperti sebiji jeruk buah kana atau kedondong yang dahulunya berharga dua puluh sen sebungkus kini telah mereka naikkan menjadi tiga puluh sen sebungkus pula! 

Biarlah. Kalau sekalipun aku memberitahu pemuda itu mengenai ini, kukira, ketaksuban cara berfikirnya itu tidak akan memungkin dia untuk melihat persoalan ini secara lebih terbuka.

Yang jelas, aku tentu sahaja akan dia tuduh sebagai penyokong puak pembangkang!

Februari 24, 2014

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com