Ahad, April 27, 2014

PERGI MAMPOSLAH

MARAH saya memang akan mudah meledak bila sabar dan diam saya dianggap ruang untuk memudahkan orang lain meludah dan melempar najis ke muka marwah saya. Namun secara terbuka seingat saya, baru sekali saya bertempik dan meledakkannya di depan khalayak. Itu pun setelah selama beberapa tahun saya menahan sabar dengan sindir dan perli sedemikian. 

Sebagai manusia biasa bohonglah jika saya katakan tidak akan berasa tersentuh dengan segala umpat dan gunjingan orang di belakang saya. Namun walau berkali disampaikan orang bahawa si anu mengata saya begitu dan begini, tidaklah sesegera itu pula saya pergi menyergah dan menyerang si pengumpat itu kembali.

Begitu juga, bukan sekali atau dua saya diberitahu betapa ada orang mengata betapa saya ini cita-citanya sahaja melangit namun ilmunya tidaklah setinggi mana. Namun saya tidak mahu terlalu mengacuhkan gunjingan sedemikian. Kerana maju dan mundur saya sebagai penulis, saya sedar, bukanlah kerana gunjingan begitu, tetapi kerana usaha keras saya sendiri.

Saya akui betapa pencapaian saya masih terlalu sedikit dan kerana itu masih tetap terus berusaha untuk menghasilkan karya demi karya, tidak ingin berasa bangga dan berbesar diri yang bukan pada tempatnya.  

Namun begitu, dalam keinsafan terhadap kekerdilan pencapaian sendiri dan terus berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dirinya sendiri itu, saya tetap berasa bahagia dan bersyukur.

Kerana setidaknya, saya tidak memijak dan mempergunakan orang lain untuk mendapatkan sesuatu. Kejayaan saya, memang turut dibantu oleh sejumlah guru dan insan yang berbudi, namun itu saya iringi pula dengan usaha keras tanpa jemu, sedikit demi sedikit.

Jadi kepada yang ingin, umpat dan kejilah saya terus sekehendak hatimu. Kepada kalian sedemikian, saya ucapkan: Pergi mamposlah, kau!

April 27, 2014

Rabu, April 23, 2014

MAYAT DAN KETUANAN

SEMAKIN jelas kenyataan bila politik dan keangkuhan manusia dikedepankan di dalam nurani, jasad yang sudah tak bermaya  pun  tega dijadikan musuh dan bahan sendaan.  

Nampaknya kita ini memang bangsa yang hebat dan terlalu berani berdepan hanya dengan jasad yang sudah tidak bernyawa. Namun ketika di depan mata sendiri tanah demi tanah, rumah demi rumah terlepas ke tangan orang lain, kita hanya tercenung dan selantangnya masih menyanyikan lagu kebanggaan berimakan ketuanan. 

Mungkin kita sudah menjadi terlalu rabun sehingga tidak melihat realitas apa yang terpampang di depan mata. Di kota dan pekan, siapakah yang meramaikan ruang perniagaan, pemilik tanah dan bangunan?

Ya, marilah kita terus berbangga dan mabuk  dengan momok ketuanan.

Kita memang bangsa yang diperbodohkan oleh orang-orang yang kita berikan percaya dengan sebuah undi. Kita pun terus didodoikan dengan mimpi demi mimpi!

April 23, 2014

Jumaat, April 11, 2014

SAYA HENDAK MINTA TOLONG



KETIKA sedang bersiap mengenakan helmet dan mahu menghidupkan enjin motor  Dorado 250 cc yang saya parkir di hujung sebuah restoren yang sudah pun menutup perniagaannya petang itu, saya melihat seorang pemuda tiba-tiba muncul dan berdiri terpinga-pinga sambil berpaut pada tiang papan tanda di hujung simpang tidak jauh dari tempat saya berdiri.

Melihat wajahnya yang keruh dan jauh merenung serta seperti orang yang sedang kehilangan punca,  gerak hati saya menduga pemuda ini pasti sedang dalam sesuatu kesulitan. Duga saya itu ternyata benar. Sebaik sahaja disapa, pemuda itu segera mendekat dan bercerita dengan wajahnya yang kusut dan keruh.

Kata pemuda itu, dia yang datang daripada sebuah kampung di Rantau Panjang, Kelantan sudah dua malam  tidur di bangku taman kerana sudah kehabisan wang. Puncanya, dia ke mari hanya dengan wang secukupnya untuk tambang kerana mempercayai janji kawannya yang meminta dia ke mari kerana ada lowongan kerja sebagai pemandu lori mengangkut tanah di Semambu.

Namun sebaik sahaja tiba di sini, kawan yang sebelumnya telah dia minta alamat tempat kerjanya itu hanya menyuruh dia menelefon sebaik sahaja tiba. “Tetapi sampai sudah telefonnya tidak diangkat  dan hanya mesin suara yang menjawab,” cerita pemuda itu.

Saya merenung pemuda itu ke atas dan ke bawah.

“Saya hendak balik pun duit dah tak ada. Saya ke balai polis minta tolong mereka suruh saya ke masjid. Saya ke masjid pihak pejabatnya kata tiada peruntukan dan suruh saya ke PERKIM pula. Di PERKIM  pun serupa juga. Mereka kata mereka pun tiada peruntukan untuk membantu orang yang susuah seperti saya,” pemuda itu meneruskan ceritanya.

Saya masih merenung pemuda ini ke atas dan ke bawah. Sambil menyedari hari semakin menghampiri maghrib.

“Saya ingat kalau susah sangat, saya hendak pergi ke gereja saja,” kata pemuda itu lagi.

Saya tidak salahkan pemuda ini jika demikian akhirnya dia berfikir. Jika saya sekalipun di keadaan dia dan dalam keadaan yang sangat terdesak, untuk hanya sekadar mendapatkan wang untuk tambang pulang ke kampung, setelah “tertipu” dengan janji kawan yang menawarkan lowongan kerja, setelah ke sana dan ke mari memohon belas dan pertolongan, namun tiada siapa yang sudi hendak menolong, apakah lagi pilihan paling dekat yang saya ada?

Melihat wajah dan air mukanya, saya yakin dan percaya pemuda itu tidak berbohong. Saya berani mengatakan itu kerana saya pernah merasai saat keputusan duit ketika bersendirian di Kuala Lumpur suatu masa dahulu.  Hanya Tuhan yang tahu betapa malu dan  hinanya diri untuk meminta pertolongan daripada orang yang tidak kita kenali. Mujur saya diberikan Tuhan jalan ikhtiar.  Saya segera teringat saya pernah menulis beberapa karya di sebuah majalah dan kebetulan majalah tersebut saya bawa bersama. Dengan muka yang kulitnya terasa setebal dua inci, saya mencari pejabat majalah tersebut di Subang Jaya dan sebaik berjumpa pemilik majalah itu, berterus-terang saya memberitahu saya sudah kehabisan wang untuk tambang pulang ke Kuantan dan kerana ada karya saya yang disiarkan dalam majalah terbitannya, saya  meminta wang untuk beberapa karya itu. Syukur saya diberikan wang sekadarnya yang memadai untuk saya membeli tiket bas pulang ke Kuantan. Namun sampai kini, saya masih tetap tidak lupa bagaimana sorot pandangan dan senyum mengejek beberapa petugas di pejabat majalah itu sebaik sahaja saya keluar dari bilik ketua pengarangnya dan melintasi mereka menuju ke pintu keluar!

Dengan hati waspada saya bertanya pemuda ini apakah ada sesiapa yang dia kenali yang boleh saya tolong hubungi. Namun jawab yang dia berikan terlalu naif. Katanya, dia tidak memilik telefon dan tidak ingat nombor-nombor orang yang dia kenali yang berada di Besut.

Sayangnya saya tidak begitu mendengar dengan jelas nama kampungnya yang dia sebutkan di Rantau Panjang itu. Saya tahu, di zaman semoden ini mana ada lagi manusia yang tidak pernah keluar daripada kepompong kampungnya dan ketinggalan di segi kemudahan perbankan, misalnya, tidak memilik kad bank atau ATM!  Tetapi jauh di dalam hati saya sendiri mewajarkan. Kalau duit  memang tidak ada atau sekadar punya untuk cukup makan, apa lagi yang hendak disimpan dan kerana itu kad bank apa yang hendak diandalkan?

Kerana tidak ingin berlama-lama dan menyedari Maghrib yang semakin mendekat, kepada pemuda itu saya katakan, “Mungkin ada yang hendak menolong. Tetapi susahnya sekarang ini banyak yang menipu dan ambil kesempatan. Kerana itulah, bila ada mereka yang benar-benar susah dan memerlukan,  orang susah hendak percaya.”
Namun saya sedar, syarahan senja saya itu tidak akan membantu dia. Menyedari itu, saya segera bertanya berapa jumlah wang yang dia perlukan untuk membeli tiket ke Kota Bharu.

“Tidak sampai ke Kota Bharu pun tidak mengapa. Sampai di Jertih pun tak apa. Di Jertih saya ada kawan,” jawab pemuda itu dan menyebutkan jumlah sebanyak RM 25 sebagai harga tiket bas ke Jertih.

Saya tidak pasti dan tidak ingat berapa sebenarnya harga tambang bas ke Jertih atau Kota Baharu. Yang pasti, saya harap pemuda itu malam ini sudah berada dalam bas menuju ke Jertih.

Ketika saya berpesan supaya dia mengirimkan salam saya kepada ayahnya, baru saya diberitahu oleh pemuda itu bahawa dia  sudah tidak berbapa dan hanya tinggal di kampung bersama meknya.
Hanya sayangnya, saya terlupa hendak bertanyakan nama pemuda itu dan apa nama kampungnya di Rantau Panjang!

Saya hanya ingin bersangka baik. Urusan selebihnya biarlah menjadi urusan Tuhan. Kalau misalnya dia tidak jujur dan hanya bersandiwara dengan saya, biarkanlah.
“Biarlah segalanya ditentukan oleh Tuhan. Kalau dia tidak bercakap benar, biarlah dia menjawabnya dengan Tuhan,”kata saya kepada pemuda itu.

Setelah berpesan agar dia melintas jalan yang dijejali kenderaan yang laju memecut itu menggunakan laluan lampu melintas dan saya pastikan dia berjalan melintasi padang dan kemudiannya saya lihat dia semakin jauh berjalan menuju ke arah setesen bas bandar berhampiran pasar, saya segera menghidup enjin motor dan menghala pulang sebelum azan Maghrib mula berkumandang.

Kini, ketika mengetik catatan ini, saya tercenung memikirkan sendiri.

Hati kita manusia yang bernama Melayu dan Islam ini apakah  sudah semakin menjadi kaku dan hilang rasa simpatikah kini?   Kalau sekalipun kita ditipu sebanyak lima atau sepuluh ringgit oleh seorang perayu yang menggunakan modal kehabisan wang untuk tambang pulang kerana tertipu atau diperdayakan, apakah kerananya kita akan menjadi miskin dan papa kedana dalam sekelip mata? Rasa saya tidak.

Entahlah. Mungkin kita hari ini mudah dan terlalu cepat berlagak bagaikan dialah tuhan yang menilai seorang manusia sebagai begitu dan begini. Sehinggakan begitu, bila bertemu dengan manusia yang memang  sedang benar-benar ditimpa kesusahan, kita pun secara pukul rata mengatakan  bahawa dia ini  juga adalah manusia penipu yang ingin mengambil kesempatan atas rasa kasihan dan simpati kita!

Berhubung persoalan ini, saya tidak ingin menuduh sesiapa atau berlagak seolah-olah sayalah yang lebih mulia dan suci ketimbang orang lain.

Setiap kita punya hak untuk berfikir dan memilih.

April 11, 2014

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Selasa, April 08, 2014

BEGINILAH MELAYU (1)

KETIKA saya  melangkah masuk ke gerai  makan di bawah pokok itu memang saya niatkan di dalam hati bahawa saya datang untuk makan di gerai  itu bukan   hanya mahu makan secara percuma di situ. 

Tetapi seusai makan dan mahu memanggil pelayannya untuk mengira berapa yang perlu saya membayar, saya terperanggah seketika bila melihat terpampang satu nota besar tertulis di kaunter yang di belakangnya sedang duduk memanggung kaki seorang wanita: SILA BAYAR DI KAUNTER.

Jauh di dalam hati saya merungut sendiri. Saya datang ke gerai ini sebagai pelanggan dan mahu mendatangkan wang kepada pemiliknya. Tetapi kenapa demikian caranya pelanggan dilayan serta dirai? Pelanggan diarah datang menyembah taukeh warung yang duduk di bangku tinggi sambil memanggungkan kaki, semata-mata untuk memberitahu apa yang telah dia makan dan membayar harganya di situ.

Beginilah Melayu. Baru menjadi taukeh warung sudah berlagak sombong dan berangin tinggi. Patutlah sebelumnya tadi pelayan yang berkali-kali saya meminta datang untuk mengira membuat tidak tahu atau memekakkan telinga!

Memang perangai sombong Melayu yang tidak bertempat ini selalu dapat dijumpa bila ke gerai atau restoren milik mereka. Dengan dalih arahan LAYAN DIRI pelanggan dibiarkan mencedok dan mengambil sendiri apa yang hendak mereka makan, walau  hanya kitalah satu-satunya pelanggan ketika itu!

Saya sebenarnya tidak sangat berasa terkilan dengan perintah dan arahan yang sedemikian jika gerai atau restoren itu memang bersifat ekslusif, tertutup dan berhawa dingin. Namun keadaan ini tidak berlaku di premis yang walaupun bersifat ekslusif tetapi jika pemiliknya bukan Melayu. Sebut sahaja "bil" pelayan akan datang membawa kertas berisikan jumlah yang perlu kita bayar dan tidak pula merungut atau mengarahkan kita ke kaunter jika diserahkan bayaran kepadanya. Tetapi kalau restoren yang konon-konon "ekslusif" milik Melayu? Kalau kita tidak diarahkan membayar di kaunter, bukan nama restoren Melayulah!

Memang bagi sebagian orang perkara yang saya timbulkan ini kecil dan remeh. Namun sebagai pelanggan, saya selalu meminta hak saya dihormati kerana bagi saya pelanggan tetaplah raja dan saya tidak memakan secara percuma. Berdepan dengan warung dan restoren sedemikian, itulah kali pertama dan terakhir saya ke sana!

April 8, 2014

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com