Khamis, Mei 21, 2015

JANGAN MINAT SAYA, MINATKAN BUKU SAYA

SEHINGGA saat ini, inilah buku saya yang terkini. Terima kasih ITBM yang sudi menerima dan menerbitkan buku saya yang ini.

Selain kepada ITBM yang sudi menerbitkannya, saya sangat berterima kasih kepada editor atau manusia yang menangani manuskrip ini sehingga menjadi sebuah buku yang sangat baik dan cantik di mata saya. Dan tidak lupa juga, ucapan terima kasih saya kepada ilustrator yang membuat cover buku saya yang ini jadi surealistik dan memukau. Wow!

Kepada pembaca, tak perlu menjadi peminat saya, tetapi minatkan kepada buku ini. Di dalamnya saya bercerita dengan hati dan jiwa saya. tanpa selindung dan pura-pura.

Jika di realitas anda mengenal atau beranggapan saya sebagai manusia: kasar, perengus, kurang ajar, sombong, angkuh, keras kepala dan sebagainya, buku ini akan menjelaskan sisi lain keperibadian saya yang sebenarnya.

Mungkin buku ini tidak terlalu hebat atau tidak terlalu bagus. Tetapi yang penting, saya tidak ingin pura-pura. Walau saya tahu apa akibatnya jika terlalu berterus-terang.

Ingat, tak perlu minat saya, tetapi minatkanlah kepada buku ini.

Saya lebih takutkan Allah SWT daripada gerunkan sesama manusia. Insyaallah.

Mei 21, 2015

Rabu, Mei 20, 2015

PEMINAT

SESUDAH kurang lebih 36 tahun saya memilih dunia tulis menulis ini sebagai dunia pergulatan jiwa dan fikiran saya, baru hari ini, di dinding status FB saya, saya diperingatkan oleh seseorang mengenai kehadiran peminat dan peringatan ini disertakan juga dengan amaran lembut mengenai kemungkinan peminat akan akan lari meninggalkan saya.

Sebelum ini, walau saya pernah beberapa kali membaca pendapat yang dituliskan orang, yang antara lain mengatakan betapa agar sebuah buku seorang penulis itu laku keras, dia mestilah mempunyai peminat. Namun pendapat itu tidak pernah ingin saya jadikan perhatian serta fikiran.

Sebab dan puncanya mudah sahaja. Saya menulis kerana ingin menyatakan sesuatu kepada pembaca. Jadi jika menyukainya, sukailah karya saya dan bukan diri saya selaku penulisnya. Demikianlah jika tidak menyukainya. Tolaklah ia kerana karya itu memang tidak bagus dan bukan kerana yang menulis itu adalah diri saya.

Tanpa niat menghina atau memandang rendah, saya fikir yang memerlukan peminat hanyalah artis penyanyi atau pelakon filem. Supaya dengan ramainya peminat mereka, akan banyaklah karya nyanyian  atau filem lakonannya dibeli dan ditonton.  

Tetapi saya seorang penulis biasa, yang ingin agar hanya karyanya sahaja yang disukai serta dibeli oleh pembaca. Terus terang, tanpa niat dan maksud hendak berlagak, saya tidak ingin disukai dan diminati seperti mana penyanyi dan pelakon filem diminati. Jika ingin disukai, sukailah karya saya. Jingin ingin menolaknya, juga yang ditolak itu adalah karya dan bukan diri saya secara peribadi.

Saya tidak menghalang jika masih ada juga pembaca yang ingin meminati saya. Tetapi rasa minat mereka itu biarlah seadanya dan dimanifestasikan dengan membeli karya hasil tulis saya.

Saya tidak mahu diburu dan dikejar-kejar sebagaimana penyanyi dan pelakon filem.

Saya hanya ingin menjadi saya. Hanya itu.

Mei 20, 2015


Selasa, Mei 19, 2015

BAYANG BERINGIN


DUA kali buku sajak ini dihadiahkan kepada saya. Pertama pada tanggal 29 April 2013 dan keduanya pada 23 Jun 2013. Walau saya memaklumkan sebelumnya sudah menerima hadiahnya. 

Tulislah kata-kata hikmat untukku, begitulah selalu saya mencandai teman yang sudi atau mahu menghadiahi buku. Tetapi tidak dengan dia. Kami saling belajar mengerti, walau dalam diam, dengan cara kami sendiri. Kerana itu saya tak berkata apa-apa ketika melihat dia menulis sesuatu di buku sajaknya ini.


Selepas dia pulang, catatan di kedua halaman awal buku sajaknya ini terasa sekali di sanubari saya. Dan ingatan saya berbaur: sulit untuk saya katakan. yang pasti saya menyatakan sedih dan air mata hanya ketika malam sudah terlalu larut. dan secara diam-diam. 
 
Kerana dengannya, hanya yang baik yang ingin dan selalu saya kenang.


Alfatihah. Amin

Selasa, Mei 12, 2015

CATATAN KECIL MENULIS PUISI

MENULIS puisi adalah proses: memilih, menimbang dan menjernihkan kata-kata. Supaya kata-kata yang dipilih untuk dinobatkan sebagai puisi itu adalah kata yang memang benar-benar tepat dan terpilih. Agar dengan demikian mampu menampilkan makna yang ingin dikemukakan di dalam puisi adalah makna yang matang, memadai dan jernih.

Ketiga-tiga unsur di dalam puisi: perasaan+ pemikiran + intelek mestilah seimbang. Seimbang dalam erti kata tiada satu pun yang berlebihan sehingga mengatasi yang lain.

Tidak perlu kata-kata hebat dan abstrak yang pada permukaannya kelihatan gagah dan berdegar-degar. Misalnya kata: peperangan, kehidupan, kesengsaraan, kebobrokan dan yang sejenis dengannya. Kata-kata yang terlalu biasa pun, jika kena cara meletak serta memadankannya, pun mampu mendirikan sebuah puisi yang hebat. Sebagai contoh cuba teliti puisi Aku karya Chairil Anwar. Kata-katanya biasa saja. Tetapi kenapa memikat?

Metafora, pengorangan, perlambangan dan lain-lain unsur stilistika itu,  saya kira adalah kerana pilihan peribadi penyair. Suka atau tak suka. Namun di segi mendokong makna ianya bukanlah satu kemestian yang akan menjamin puisi tersebut menjadi memikat dan bermutu. Keindahan yg di lebih-lebihkan akhirnya hanyalah menjadi bueh sabun. Berlebihan, berbau wangi, tetapi tak kekal. Lain kalau kata yg langsung ke inti maknanya, terasa dalam dan tajam menukik. Tapi tanpa unsur stilistika pun jadi kering dan kasar juga. Lalu seperti saya katakan terdahulu: keseimbangan

Misalnya, perhatikan puisi Wadi Leta S A, KETIKA LANGIT SEDANG TIDUR (hal 100) di bawah. Terlihat keindahan yang seimbang di situ. Di rangkap dua, kata "terdiam" yg biasa dgn cerdik dipadankan Wadi Leta S.A dengan kata "angin" dan "awan" sehingga menjadi ungkapan luar biasa:

Ketika langit sedang tidur
dengan penuh cinta
kupetik bintang timur

Angin dan awan terdiam
gunung seperti terfana
dalam kilau pengalaman

Kepesonaan yang menakjubkan
menakluk teluki nurani
aku mulai menghirup sinar

Tuhan, kaulah kekasih abadi
menganugerahkan ketenangan
ketika aku resah mencari

Terakhirnya, sebuah puisi yg ditulis juga punya pola dan wacananya sendiri. Di sinilah kebijakan penyair dituntut untuk menalar atau menyusun fikirannya ketika menuliskan puisi.

Bagi seorang pemula, berlatihlah menghematkan kata dan menjadi pemilih yang berdisiplin. Antaranya dengan berlatih menuliskan puisi yang setiap baris sekitar dua atau tiga kata dan jumlah keseluruhan baris puisinya sekitar 12 hingga 15 baris sahaja. Pilih satu isu dan diberikan judul dengan hanya satu  kata, misalnya MALAM. Tulislah berkali-kali puisi dengan judul ini dari    sudut dan pendekatan yang berbeda. Setiap puisi diberikan serial (1), (2), (3) dan seterusnya.

Selamat mencuba!
Mei 15, 2015