Khamis, September 29, 2016

AKU, HANTU DAN SEORANG LEMBU

Cerpen MARSLI N.O

SUDAH tidak kuasa hendak aku mengira atau menghitung entah sudah berapa jumlah malamnya tingkap kaca di bahagian luar kamar tulisku ini digedor oleh lembaga hitam bernama hantu yang  menempel di situ.

Tentulah aku dapat meneka dan mengecam milik siapakah lembaga hitam bernama hantu yang tidak henti dan jemunya melakukan perbuatan sia-sianya itu kerana hadirnya mengganggu hidupku sudah sekian tahun lamanya. Kerana itu jugalah  aku pun memang sudah memilih untuk tidak mempedulikan hadir dan wujudunya dia di situ.

“Hendak mengganggu? Ganggulah. Aku tidak akan ambil kisah dan peduli. Buatlah apa sahaja yang kau hendak. Sudah memang demikian begitu perangai kau, hantu. Lantaklah,” begitulah kataku kepada diri.

Memang pada mulanya beberapa tahun yang lalu aku berasa  agak terganggu juga mendengar ketok dan cakarnya di kaca tingkap kamarku itu. Tetapi kerana sudah nekad hati ini untuk tidak mahu peduli atau mengambil acuh lagi akan hadir serta wujudnya lembaga si hantu yang dulunya mengaku dirinya sudah berjaya menyunglap menjadi manusia dan menamakan dirinya sebagai Mat itu, maka tidaklah aku membuat tahu atau sebarang acuh lagi kini.

Malah andai rasa terlalu terganggu dan marahku tiba-tiba kembali membuak kerana diganggu oleh gangguan itu, supaya kedua belah telingaku tidak mendenagr ketok dan cakar itu, dengan sengaja aku akan menyumbatkan telingaku dengan pentilan kapas.

Tetapi malam ini, bukan, kukira sudah menjadi pagi, kira-kira waktu sudah menghampiri Subuh, ketika tingkap kaca kamarku sekejap kukuak lantaran mahu mendapatkan angin segar dan dingin dari luar, tanpa kujemput atau undang, menerkam masuklah si hantu yang dulunya mengaku dirinya sudah berjaya menyunglap menjadi manusia dan menamakan dirinya sebagai Mat itu.

“Kenapa lama sangat kau diam? Kau sudah habis idea atau sudah habis fikirankah maka tiada lagi sebarang kata dan bicara kauluahkan kepada aku?” Sekonyong-konyong itulah kata bicara yang dilontarkan oleh si hantu yang dulunya mengaku dirinya sudah berjaya menyunglap menjadi manusia dan menamakan dirinya sebagai Mat itu di hadapanku.

Kerana memang sudah tekadku untuk tidak peduli dan mengacuhkannya, maka aku memilih diam dan membisu. Tetapi itu rupanya semakin menjadikan si hantu yang dulunya mengaku dirinya sudah berjaya menyunglap menjadi manusia dan menamakan dirinya sebagai Mat itu galak untuk terus melontarkan katanya.

“Heh. Sudah bisu atau tulikah kau ini? Kulontarkan tanya tetapi sedikit tidak kau memberi jawab!” kini si hantu itu menjerkahku.

Tetapi kerana tekadku memang tidak ingin melayan serta mengacuhkan dia, aku terus diam membisukian diriku.

“Sia-sialah kalau demikian kau bergelar manusia yang sempurna akal serta fikiran. Ketika di depan mataku dunia dan bangsa kau tunggang dan langgang tetapi kau masih juga berzuhud di dalam kamar ini. Apa? Kau kini sudah memilih atau telah naik tarafnya ke tahap menjadi walikah?” Kini begitu lancang terdengar kata-kata terlontar dari bibir si hantu itu.

Namun aku tetap terus diam dan membisukan diriku. Wajahnya yang bopeng hitam dan legam itu pun sedikit tidak kutoleh atau pandang.

“Sekarang kau tengoklah sudah apa yang jadi kini. Tidak usahlah hendak melalak meraung atau mengatakan segala kesal lagi di dalam hati tatkala segala yang terjadi begini kerana itu bukankah pilihan kau sendiri? Ya, sudah lupakah bagaimana dengan segala rela dan percaya kau dahululah yang memilih untuk bertuankan lembu.”

Kudengar kian galak dan lantang si hantu itu meneruskan kata-katanya. Kini dibabitkannya pula watak lain bernama lembu.

“Jangan kau marah atau menuduh aku berkata-kata ini terlalu kurang ajar dan celupar. Segalanya sudah terbukti jelas di depan mata kau dan aku seperti itu. Seperti kata pepatah kalaupun menangis melahu-lahu sehingga keluar segala air mata dan sehinggakan bercampur dengan darah, apa yang berlaku tetaplah sudah pun berlaku dan begitu-begitulah juga,” si hantu itu meneruskan kata bicaranya.

“Heh, apa yang kau repekkan ini sebenarnya? Apa hah?” kini aku membuka secebis bicara. Wajah si hantu yang bopeng dan hitam legam itu lama kutenong. Pandang mataku tertunak ke arahnya.

“Tidak ada lagi guna kesal dan sedih kerana segala. Itulah sudah akhir dan akibah jika demikian memilihnya menjadikan tuan atau hanya bertuankan kepada seekor lembu.” Si hantu itu kini kembali menghujatku.

Wajah si hantu yang bopeng hitam dan legam itu kembali lama kutenung. Di dalam diam, aku tertanya sendirian. Lembu? Lembu manakah yang dimaksudkan oleh si hantu keparat ini? Tanya itulah yang bertalu-talu menerjahi benakku kini.

“Wahai hantu yang sungguh tidak sedarkan akan hakikat siapa dirimu yang sebenar. Cuba kau jelaskan kepadaku apakah sebenarnya maksud di sebalik segala kata-katamu itu?” kini aku pura-pura berlagak bodoh mengajukan tanya kepada si hantu itu.

Tidak semena-mena si hantu yang berwajah bopeng dan hitam legam itu kini ketawa mengilai sekuat hatinya. Tidak cukup dengan ketawanya, kulihat kini dia menggolek-golekkan pula tubuhnya ke lantai.
“Hei, kenapa kau ketawa? Apakah terlalu lucu tanya yang kuucapkan sebentar  tadi?” kini aku pula yang menjerkah si hantu itu.

Mendengar jerkahku itu, si hantu itu segera menghentikan ketawa mengilainya dan kembali menghadapi diriku.

“Itulah kau manusia. Bila kukatakan bodoh, kau marah. Tetapi itulah hakikat yang sebenarnya,”  satu demi satu kudengar kata-kata terluncur dari bibir si hantu itu.

“Sudah. Jangan kau hendak permainkan aku lagi. Sedarlah diri kau itu. Kau hanya hantu. Ingat itu dan jangan cuba hendak berlagak lebih pandai ketimbang diriku yang manusia ini!” kubalas kata-kata si hantu itu dengan suara yang sengaja kutinggikan sedikit.

“Itulah kau manusia. Tidak mahu dan tidak sanggup menerima kenyataan betapa kadang-kala dirinya tetap juga berbuat silap juga,” si hantu itu kembali meningkah kata-kataku.

”Apa! Apa maksud kau!” tempikku sekuat hati.

“Walau seekor lembu yang boleh berkata seperti layaknya seorang manusia. Tetapi apalah istimewanya dia kerana lembu tetaplah lembu. Tetapi terpulanglah kepada kau hendak percaya atau tidak kerana aku berkata apa yang aku rasa perlu aku kata. Dan ketika kau memilih akan dia menjadi tuan dan pendahulu untuk segala urusan dirimu, maka itulah namanya celaka akan segala yang menimpa jua dirimu!”

Mendengar kata-kata si hantu itu, aku lama terkaku dan terpana. Di dalam fikirku, tidak sudah aku bertanya dan bersoal. Siapakah si hantu ini sebenarnya? Siapakah?

Wajah si hantu yang bopeng hitam dan legam itu kembali lama kutenung. Di dalam diamku aku berfikir betapa logik dan benar segala kata dan ucapannya. Tetapi sekali lagi di dalam diam aku kembali bertanya, siapakah si hantu yang bopeng hitam dan legam ini sebenarnya.

Siapakah dia yang sebenarnya? Dan kini, aku semakin menjadi tidak pasti. Siapakah sebenarnya yang lebih bodoh dan tolol: akukah, si hantu itukah, atau si lembu yang satu itu?
* * * * *

MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Mulai menulis sekitar tahun 1970-an dan kini sudah menghasilkan 8 kumpulan cerpen, 6 kumpulan puisi, 3 novel, 2 proses kreatif dan satu kumpulan drama pentas.

Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumaat, September 23, 2016

SEBAB MENULIS DAN MENYIARKAN

ADA banyak sebab kita hendak menulis dan menyiarkan tulisan kita supaya dibaca oleh orang lain. 

Antaranya, kerana kita mahu menyampaikan perasaan, fikiran dan pandangan hidup kita. 

Soal betul atau tidak bukan persoalan dan kita pun tidak mengharapkan supaya semua orang suka dan bersetuju dengan apa yang sudah kita tulis dan siarkan. 

Yang penting kita sudah menuliskannya dengan penuh rasa tulus dan kejujuran, serta tidak berniat hendak menghukum sesiapa atau dengan pongahnya hendak menunjukkan betapa kita lebih tahu, lebih pandai, lebih baik dan lebih mulia berbandingan dengan diri orang lain.

Tetapi lebih hina lagi, bila kita menulis semata-mata kerana hendak membodek, mengampu dan mengambil hati seseorang yang lain, dengan harapan agar diberikan hadiah dan diberikan pangkat atau jawatan yang tinggi. 

Apa lagi bila yang hendak kita bodek dan ampu itu seseorang yang berpangkat besar, berharta dan berkuasa, tetapi perangai dan lakunya bak syaitan atau binatang yang suka menipu, menyunglap dan berdusta!

@ Marsli N.O
September 23, 2026