Jumaat, Disember 16, 2016

BEKERJA DENGAN SENI

BANYAK teman yang pertama kali bertemu atau kurang begitu tahu menganai latar penglibatan saya di bidang sastera dan seni, kerana melihat saya lebih banyak bergerak di luar dan tidak di negeri di mana saya tinggal,  sering bertanyakan saya soalan begini: Kenapa kau seperti sengaja mengasingkan diri dan sombong tidak mahu terlibat dengan kerja-kerja seni di negerimu sendiri?

Saya selalunya hanya menjawab ringkas soalan mereka. Kata saya kurang lebih begini: Biarkanlah. Bila kita tahu kita tidak begitu disukai atau disenangi orang di tempat sendiri, jadi lebih baik aku bergerak dan pergi ke mana tempat yang orang boleh menerima kerja-kerja seniku.

Sebenarnya memang banyak yang ingin saya katakan kepada mereka yang bertanya begini. Namun bila saya berlama-lama befikir saya akhirnya berkata kepada diri sendiri: Perlu apakah saya ceritakan segala kisah pedih dan luka itu kepada orang lain? Untuk apa? Apa gunanya?

Saya tahu, kerja seni yang saya pilih ini merupakan pilihan saya peribadi sejak mula. Lantas kerana itu, saya sudah cukup bersedia menerima segala risiko serta akibat dari pilihan saya itu: terluka, disakiti, dicaci, dihina atau diremeh-remahkan.

Namun di samping semua yang demikian, saya yakin bahawa pilihan yang sudah saya jadikan fokus dan sebahagian daripada tujuan kehidupan saya ini tetap nanti pada akhirnya akan membuah hasil serta kejayaan dan ini ternyata ada benarnya.

Pilihan saya untuk lebih menyendiri dan bergerak sendirian sebenarnya bukanlah kerana dorongan rasa sombong di dalam diri atau kerana saya berasa lebih cerdik dan pandai berbanding diri orang lain.

Sebenarnya  tidak. Jauh dan lama sebelum itu, saya sudah berusaha untuk bergerak bersama orang-orang di negeri sendiri, memujuk, mengajak, untuk berkerja dengan seni, dengan cara yang saya fikir jujur dan tulus untuk semata-mata kerana seninya dan itu dan bukan untuk sebab-sebab lain yang tiada kena mengena dengan seni.

Dengan seni yang saya pilih, teater dan sastera, saya cuba untuk  teman-teman yang saya tahu dan kenal untuk bersama di dalam sebuah kelompok mengerjakannya: berlatih, berdiskusi, berinteraksi dengan dunia ilmu dan bacaan serta tontonan keluar, secara konstan minggu demi minggu dan bulan demi bulan.

Namun akhirnya ternyata saya keletihan sendirian. Banyak ajakan saya dianggap sepi kerana mereka berhujah bahawa untuk sebuah pementasan teater, latihannya tidak perlu hari demi hari, minggu demi minggu selama berbulan-bulan.

Bagi mereka itu semua membuang waktu dan tenaga, kerana, bagi mereka, sebuah pemnetasan teater cukup dengan hanya berlatih 8 jam dharab 4 hari Ahad!  Dan ketika saya mendesak serta menempelak dengan mengatakan cara mereka bekerja adalah salah, saya sebaliknya pula dianggap sombong, angkuh dan berlagak!

Saya sebenarnya sudah hampir 20 tahun melupakan mereka dan menganggap sepi segala ocehan mereka. Apa lagi bila mereka, kerana kepandaian berkata-kata atau apa sahaja yang sejenis dengannya, kelihatannya sangat mendapat dokongan orang-orang di jabatan tertentu, saya jadi semakin memilih untuk menjauhkan diri serta bersikap tidak peduli dan meneruskan kerja-kerja seni saya secara bersendirian menurut apa yang saya yakini.

Tetapi ingatan dan kenangan saya kembali terbuka lagi bila kelmaren, dihari kedua Idulfitri, seusai solat Jumaat  di masjid di mana saya bermukim dan tinggal, saya bertemu dengan seorang rakan yang setahu saya sebelum ini menjadi presiden sebuah persatuan seni di sini.

Teman ini, ketika saya tanyakan perkembangan terkininya memberitahu dirinya sudah tidak lagi menjadi presiden persatuan tersebut.

Namun bukan itu yang membuat saya membuka kembali ingatan mengenainya.

Sebaliknya, bila dia mengaku dan memberitahu saya: Kepada mereka aku katakan,15 tahun dahulu seorang kawan pernah beritahu tiada gunanya bergerak dan bergiat di sini dan ketika mereka tanyakan siapakah kawanku itu, aku katakan kawanku yang mengatakan itu adalah Marsli N.O dan mereka kebanyakannya seperti terpana.

Saya tidak memberikan komen lanjut terhadap apa yang dikhabarkan oleh teman itu. Hanya jauh di dalam fikiran, saya terkenangkan betapa orang-orang yang pernah menempelak saya sebagai berlagak dan bodoh sombong ini, semata-mata kerana saya mengajak mereka mengerjakan seni secara lebih bersungguh dan berdisiplin inilah kini yang saya dengar menjadi fasilitator seni dan sastera tertentu.

Tentulah mereka terlalu hebat di mata para ketua projek pengahayatan seni dan sastera di peringkat nasional itu. Walau mereka, berbanding saya yang sudah menerbitkan beberapa buku dan terus menerus berkarya, tidak punya sebarang buku atau karya yang boleh diandalkan, namun semata-mata kerana kepandaian kebodekan dan kejilatan mereka, maka diangkat dan dinobatkanlah  mereka sebagai fasiliotator anu dan ini atau dipanggil bercakap dan memberikan fatwa mengenai seni, sastera dan teater, walau pun yang mereka cakap dan fatwakan tidak lain hanyalah angin dan buih, atau dalam kata lebih kasarnya, penuh dengan tipu dan dusta.

Jauh di sudut hati saya berkata sendiri: Sesudah itu akan jadi apa mereka dan bagaimana pula nasib anak-anak yang mereka berikan cermin tipudaya itu?

Saya sudah lama tahu jawabannya dan sudah setahun dua ini mulai bergerak untuk membongkar segala penipuan dan jenayah mereka!

(C) MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Mulai menulis sekitar tahun 1970-an dan kini sudah menghasilkan 8 kumpulan cerpen, 6 kumpulan puisi, 3 novel, 2 proses kreatif dan satu kumpulan drama pentas. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

KETIKA SEMAKIN MENUA

JIKA tahun yang dihitung, maka 2016 ini sudah 59 usiaku dan Oktober 2017 nanti, andai diizinkan Allah SWT untuk aku lagi bernafas, maka 60 tahun sudah usiaku. 

Segala ingatan dan kenangan serasa masihkan kelmaren. Tetap segar dan bugar di dalam ingatan, dan untuk itu, kepada Allah SWT sekali lagi aku berterima kasih, kerana mengizin dan memberikan aku daya ingatan yang masih bugar dan segar, serta kesihatan yang juga masih sihat dan membolehkan aku bergerak ke mana-mana secara mandiri.

Sehingga di usia ini, sebagai manusia biasa dan sebagai sasterawan, walau dalam sesekali mengucapkan sebal dan marah terhadap pelbagai situasi mual yang merongrong sekitar diri dan dunia, aku selalu ingin berasa syukur dan berterima kasih kepada Allah SWT. 

Meski mungkin tidak sehebat dan sebaik mana sekalipun karya yang sudah kutulis dan diterbitkan  itu, terutamanya jika hendak dibandingkan dengan sejumlah besar karya para sasterawan lain yang hebat di negaraku ini, namun setidaknya, aku sudah buktikan kesungguhan diri dan keberadaanku sendiri di tanah sastera ini dengan sejumlah karya hasil tulisanku yang diterbitkan oleh beberapa penerbitan. 

Memang pun ketika sedang menulis atau berkarya, tidak pernah sedikit pun datang atau terfikirkan niat di dalam hatiku untuk  untuk menunjukkan hebat diriku melalui karya-karyaku. Bagiku, cukuplah jika aku mampu menulis dan terus menulis seperti apa adanya menurut keyakinan diriku sendiri, tanpa rasa ingin untuk meniru dan mengekor sesiapa. Tidak mengapalah jika karya tulisanku tidak dianggap hebat dan aku sebagai penulis tidak disanjung-sanjung. Yang penting bagiku sebagai penulis, aku hanya ingin berkata sejujur dan semampu diriku. Cukuplah hanya sekedar itu.

Aku pun memang sedar dan tahu di mana sebenarnya taraf dan kedudukan karya tulisanku. Memang kerananya aku tidak menjadi jutawan kerana hasil tulisanku itu. Tetapi setidaknya, dengan hasil tulisan itu jugalah sebanyak sedikit membantu aku meringankan beban kewangan menyara keluarga, membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka hingga beberapa orang sudah ke universiti dan kini sudah mampu bekerja menyara dirinya sendiri dan sebanyak sedikit menghulurkan bantuan kewangan kepada keluarga saban bulan, mengikut masing-masing kemampuan.

Jadi apa lagi yang kuinginkan di dalam hidup ini? Pagi ini, dan malah sudah sejak awal tahun 2013 yang lalu lagi, pertanyaan yang satu ini selalu datang menjengah ke benak fikirku. Soal dan tanya itu muncul ke dalam benak fikir, tatkala sedang bersunyi-sunyi sendirian, atau malah ketika sedang dalam perjalanan, didorong oleh rasa dan sedar di dalam diri betapa aku tidak boleh selalu menjadi manusia tamak dan perlu lebih menjadi manusia yang lebih tahu diri, bersyukur dan segera berterima kasih.

Soal dan tanya itu juga mendorong aku menjadi sedar, betapa tidak semua yang kita kehendak dan inginkan di dalam hidup ini akan kita dapat dan menjadi kenyataan. Kerana itu jugalah, sebagai manusia biasa, aku perlu segera membuang segala perasaan tamak dan haloba yang sedemikian itu, jika masih ada dan berbaki di dalam diri.

Tanya dan soal apa lagi yang kuingin dan kejar di dalam hidup ini, menjadikan saya lama merenung diri sendiri. Di samping memikir dan merenungkan kegagalan dan kekecewaan di dalam hidup, sekaligus mendorong juga saya merenung pencapaian dan segala yang telah saya peroleh selama ini.

Ya, berbanding teman-teman sasterawan yang masih berharap dan mengharap karya mereka diterbitkan oleh sesebuah penerbitan, bukan bermaksud hendak menghina dan berlagak sombong terhadap mereka, saya sendiri sudah pun punya sejumlah karya yang diterbitkan.
Begitu juga dengan hadiah dan anugerah, walau tidak bergelar sasterawan negara atau meraih hadiah di luar negara, namun saya tetap berasa syukur dengan apa-apa anugerah yang telah saya terima sehingga kini di dalam negara saya sendiri.

Jadi, apa lagi yang saya ingin dan kejar di dalam hidup saya yang semakin menua dan entah besok atau lusa akan pergi ini?

Tidak lain dan tidak  bukan. Saya hanya ingin menjadi manusia yang lebih baik, lebih pemurah, lebih ikhlas dan lebih mematuhi segala perintah-Nya.

Kerana saya tahu, saya bukanlah manusia yang terlalu baik dan sempurna dan bukan hamba-Nya yang selalu patuh. Kini yang ingin saya kejar dan capai hanyalah ingin menjadi seorang hamba yang patuh dan selalu mengamalkan segala suruhan-Nya.

Disember 16, 2016

(C) MARSLI N.O  dilahirkan di Estet Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu dan membesar serta mendewasa di Kuantan, Pahang. Beliau kini adalah penulis sepenuh masa. Secara peribadi, demi untuk mendapatkan gugahan serta gerakan untuk terus berkarya dan berkreatif, beliau sering berpergian secara bersendirian ke mana-mana dengan motorsikalnya. Mulai April 2013, beliau diktiraf sebagai Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.