Sabtu, Disember 15, 2018
PENGUMUMAN
Mei 11, 2016 (Rabu). Nota
Subuh.
(Cuplikan dari nota Kembara Solo
Malaya 10-17 Mei 2016)
Kurang lebih jam 5.50 pagi, azan
Subuh mengejutkan aku dari lena.
Inilah bagusnya menginap di hotel
bajet berhampiran surau atau masjid. Letih dan mengantok bagai mana pun,
kupaksa juga diri untuk bangkit, ke bilik air di luar untuk berwudhu dan
menunaikan perintah yang yang wajib ditunai.
Terasa malu dan hina diri untuk
meneruskan tidur tatkala mendengar lantang berkumandang seruan "jaga itu lebih
baik daripada tidur" dari corong pembesar suara surau berhampiran.
Letih, mengantok, rasa kurang
selesa dan pelbagai duga lagi, aku tahu akan sentiasa menguji diri di sepanjang
kembara sendiriku ini. Kupinta dengan harap dan doa, semoga Allah SWT memberikan
aku kekuatan dan sentiasa melindungi diriku yang kerdil ini di sepanjang
kembara ini.
Sebagai pengembara yang baru
bermula, yang ingin belajar melihat lebih dekat dan lebih jauh tanah airnya
sendiri, aku bergerak bertatih-tatih sendirian di kembara ini. Aku tahu akan
banyak duga dan ujinya. Aku redho dan pasrah.
Apa pun yang terjadi dan akan
kuhadapi seterusnya nanti, kuserahkan seluruh jiwa dan ragaku hanya kepada Dia
yang maha mengetahui segala urusan-Nya.
Kerana dengan kembara ini, aku ingin
benar-benar menghayati dan memahami makna sunyi yang sejati. Dengan sunyi ini,
aku ingin bermuhasabah menilai kebodohan dan kekurangan diriku sendiri.
Insyaallah. Kerana inilah tujuan kembara sendiriku ini. Aamiin
Selepas sarapan pada jam 7.30
pagi tadi, aku kembali ke kamar hotel ini. Bersantai berbaring, membaca dan
menulis, sambil menikmati dingin hawa daripada alat pendingin hawa yang
seadanya.
Sengaja aku tidak mahu
menggesa-gesakan diri, walau kutahu jarak antara Kuala Terengganu ke Machang,
menurut Google sekitar 132 kilometer dan lama perjalanan sekitar 2 jam lebih.
Atau kalau berdasarkan cara aku menunggang motor, yang sering berhenti mencatat
dan merakamkan foto, sekitar 3 jam lebih.
Sejak mula bergerak semalam pun,
aku memang berniat untuk mengembara sesantai yang mungkin, tidak ingin terlalu
tergesa-gesa, kerana aku ingin lebih menikmati keindahan alam tanah airku ini
sedalamnya dan merakamkan foto untuk kenangan diriku peribadi di kemudian hari.
Memang bergerak secara begini
akan memakan banyak waktu dan perlukan agak lebih wang kerana aku akan agak
lama dan kerap berhenti di banyak lokasi. Bajet hotel dan makan tentunya yang
menuntut peruntukan yang lebih.
Tetapi apa salahnya berbelanja
lebih sedikit. Aku tidak mengembara mengejar nama tempat dan lokasi, tetapi aku
mahu mengenal dan belajar memahami setiap lokasi yang aku singgah, walau hanya
sekilas. Seperti membaca sebuah buku yang agak tebal. Tidak dapat membaca semua
isinya, dapat menyentuh dan mencium baunya pun sudah memadai.
Lagi pula, sebagai pemilik
diabetic, aku memang punya kelemahan untuk berjalan di terlalu awal pagi.
Kebisaannya, selepas solat Subuh dan sarapan, untuk mengelak rasa mengantok
yang amat berat di tengah perjalanan nanti, aku perlu sekejap tidur sekitar jam
9.00 pagi.
Sebagai panduan mencari arah
destinasi perjalanan, aku menggunakan peta konvensional dan peta maya kepunyaan
Google.
Tetapi awas, tak semua petunjuk
peta Google boleh dipercayai, perlu semakan semula. Contohnya hotel yang kusewa
kamarnya ini kini. Google mengatakan letaknya di Jalan Sultan Ismail, walhal
sebenarnya di Jalan Sultan Zainal Abidin.
Dan kini sudah jam 9.48 pagi. Aku
perlu sekejap tidur untuk rehatkan mata. Nanti jam 11.00 pagi aku akan
meneruskan perjalanan.
@ MARSLI
N.O kini adalah penulis sepenuh masa dan memilih untuk percaya sepenuhnya
kepada dirnya sendiri. Beliau sering mengembara sendirian dengan motorsikal 250
atau 175ccnya. Dengan motto: aku kembara, menulis di jalan dan tidor di jalan.
Kategori:
Kembara Solo Malaya 2016
Langgan:
Catatan (Atom)