Jumaat, April 05, 2019
ATAS NAMA MELAYU
Monolog Renungan MARSLI N.O
KALAU saya tidak membanting keringat untuk menghidupkan keluarga, saya tidak fikir akan ada sesiapa yang sanggup menghulurkannya cuma-cuma.
Lima anak saya belajar, 2 mendapat biasiswa kerana memilih bidang perguruan dan 3 lagi perlu meminjam dan perlu juga membayar selama bertahun-tahun selepas tamat pengajian dan bekerja.
Ada pemimpin selalu mengumpan dan berkoar bahawa sebagai Melayu saya perlu begitu dan begini.
Tetapi apa istimewanya menjadi Melayu?
Bahasa saya dipermain mereka dengan pelbagai sandiwara.
Benarkah mereka memang mendengar atau hanya menjadikan diriku sebahagian bidak-bidaknya?
Istimewa sangatkah menjadi Melayu?
Kalau saya tidak membanting tenaga dan keringat, tiada siapa akan memberikan segala sesuatu secara cuma-cuma.
Apa lagi saya hanya orang biasa, tiada bergelar dan tidak berketurunan mulia dan tinggi.
Ketuanan? Saya tidak nampak apa hebat dan agungnya kata yang kononnya amat "keramat" ini.
Yang jelas, dalam bertempik bagai nak pecah anak tekak mengenai tuan di negerinya sendiri ini, bangsa yang dikatakan tuan dan peribumi ini, masih tetap dan terus mencari rezeki dan bermajikankan orang lain.
Jika saya ke bandar, saya menghitung dan mencari-cari di manakan premis perniagaan yang dimiliki oleh bangsa saya sendiri. Tetapi di mana? Mana?
Jadi apa istimewanya menjadi dan berbangsa Melayu?
Yang jelas, kerana Melayulah maka saya terus ditipu dan permainkan oleh bangsa saya sendiri dan bukan oleh bangsa yang lain!
Februari 17, 2013
Langgan:
Catatan (Atom)