Rabu, Mei 15, 2019

KISAH SEBUAH SAJAK DAN PARA POLITIKUS

Coretan MARSLI N.O

DAHULU, kerana sebuah sajak yang dia bacakan di pentas,  pernah dia juga digelari penyair dan sajak yang dia bacakan ke mana-mana diperkatakan orang sebagai sebuah sajak yang penuh berwawasan, jauh memandang ke depan berhubung untung nasib bangsanya.

Sehingga orang hampir langsung melupakan hakikat betapa bukan mustahil sajak itu sebenarnya ditulis oleh orang lain dan dia, sang politikus itu, hanya membacakan sahaja.

Atau dalam kata lain, sajak itu merupakan sebuah sajak tempahan yang mungkin ditulis atas pintaan politikus tersebut atau dengan dan atas arahannya untuk menyatakan begitu dan begini.

Memang sehingga kini pun tidak begitu jelas siapa sebenarnya yang menuliskan sajak tempahan tersebut. Walau ada beberapa nama yang ditebak-tebak, namun tiada siapa yang dapat atau berani menyatakan secara tepat serta jelas siapa sebenarnya orang yang dimaksudkan.

Lama sesudah itu, beredar pula sebuah sajak yang kononnya ditulis oleh sasterawan bertaraf negara, yang kononnya berkoar atas nama Melayu dan secara langsung mengutuk kaum dan bangsa lain, kononnya merekalah yang telah merampas segala kesempatan peluang untuk anak bangsa ketuanan dengan cara-cara tertentu.

Sekali lagi, bagi yang sempat merenung, jernih berfikir serta membuat perbandingan, sajak yang sedemikian jelek itu, yang sememangnya tidak layak pun disebut serta diperakukan sebagai sebuah sajak, pasti dapat mengenal apakah benar sajak itu ditulis oleh sasterawan berkenaan, atau sekali lagi sajak tempahan yang memang ditulis dengan objektif untuk secara tidak langsung agar menimbulkan rasa benci kaum-kaum bukan ketuanan yang kini semakin mendokong pendirian politik sasterawan berkenaan.

Kini, menjelang pemilu sajak yang didakwakan sebagai dituliskan oleh sasterawan berkenaan kembali beredar dan disebarkan dialam maya. Malah yang turut sama membantu menyebarkannya pun bukan manusia calang-calang.

Inilah situasi politik dan cara berpolitik manusia Melayu keparat dan bejat. Apa sahaja yang difikirkan boleh membantunya mencapai maksud politiknya akan mereka pergunakan, walhal melalui sastera dan agama sekalipun.

Sebagai peribadi, saya sebenarnya sudah lama faham dan memaklumi ini. Apa lagi bila sastera pun sama dilibatkan oleh manusia sastera yang tidak bertanggungjawab serta tidak punya rasa malu dan harga diri, rasa percaya saya terhadap sastera dan mereka semakin menjadi luntur.

Hari ini, di tangan para sasterawan atau orang sastera sejenis haiwan ini, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi untuk memuaskan kehendak serta nafsu para tuan politikus mereka.

Semain lama, semakin hina mereka jadinya. Malah tidak bersalahan andai dikatakan menghampiri taraf para anjing penjilat, yang menyalak dan menggit demi kesenangan tuan politiknya.

Kerana, sastera dan seni di tangan mereka, tidak lagi menjadi alat untuk membela segala ketidakadilan dan menjunjung kebenaran tetapi hanyalah alat untuk memuaskan nafsu para tuan politikus yang hengkang di langit serta menara tinggi nuj jauh di angkasa!

Mei 8, 2018

SILAP

KAU silap bila ingat atau fikir semua orang kau boleh hendak uji dan duga. Konon kerana kau hendak lihat apakah seorang itu boleh terima sesuatu secara terbuka atau tidak.

Memang kau terlalu silap bab ini.

Sebab bila orang datang dengan lapang dada dan terbuka hendak bersahabat tetapi kau sambut dan balas dengan cara begitu.

Memang kau terlalu silap. Sebab kau lupa betapa orang yang cuba kau hendak uji dan duga itu tidak membukakan dirinya pada setiap waktu!

-- Marsli NO
2 4.4.2019