“AKU
sudah memilih
untuk sekadar menjadi air,” begitu kata saya pada suatu senja yang
semakin diselubungi gelap kepada dia, kira-kira 20 tahun yang lalu. Tangan
saya letakkan di atas palang besi penghadang tepian sungai dan dia yang
berdiri di samping sekejap menoleh.
Sambil
mata tertumpu renungnya ke arah sungai, saya berkata lagi, “Itu
pilihanku kini. Aku tidak akan apa-apa. Perbuatlah apa sahaja. Kencingilah aku.
Ludahilah aku. Atau lepaskanlah tinja ke atas diriku. Namun aku akan
tetap dan terus akan mengalir juga. Kerana begitulah sifatnya air. Lembut
dan cair, tetapi tidak mudah untuk mengalah. Kalau kau menghadang, alirku akan
tetap diteruskan juga, atau aku akan berkeluk ke arah yang
lain. Tetapi, kalau nanti aku berubah menjadi banjir, bersiaplah menanggung
akibah dan bencananya!”
Begitu
saya menamatkan bicara sambil mengacungkan tinju saya ke udara.
Dia yang
berdiri di sebelah saya tidak sedikit pun bersuara. Dan saya melepaskan sebuah
keluh. Apa yang sejak lama terasa berbuku dan menekan jiwa bagaikan sedikit
mengurang dan terlepas sudah.
Kami bertemu
di senja yang semakin gelap itu, seperti seringnya, untuk berbual dan saling
berdiskusi mengenai arah dan hala tuju kerja seni kami yang masih terkial-kial
ini. Kawan yang memang pun jumlahnya hanya sebelah telapak tangan satu
demi satu menghilang. Alasannya, kesebokan dan keperluan mencari
rezeki lebih diutamakan dari sekadar berfikir dan berpayah dengan seni.
Saya tidak
menyalahkan mereka kerana memilih demikian. Saya tahu, berkerja untuk seni di
sebuah kota kecil seperti kota yang kami diami ini, tidak menjanjikan sesuatu
yang pasti. Apa lagi bila pegawai-pegawai yang menguruskan seni pula lebih
mencari siapa yang lebih setia sebagai penjilat dan pengangguk.
Kami
bertempik dan membentak, selepas bosan mengeluh dan bersabar bila ruang untuk latihan
teater kami menjadi ruang monopoli kumpulan penari yang dipelihara atas nama
kumpulan seni dan budaya, yang dimagga serta dikunci pintunya.
Lalu kami
menjadi si bangsat dan perempat yang berlatih di bawah pokok di tepi
pantai. Puncanya, kerana kami tidak selalu ingin mengangguk dan menjilat,
mengiyakan apa sahaja suruh dan perintah para pegawai yang berasakan
dirinya lebih bijak dan cerdik daripada orang lain.
Dihenyak
oleh duga sebegitu rupa, yang saya rasa lebih banyak belenggu dari memberikan
ruang untuk meneruskan kreativiti, saya memutuskan untuk bergerak di luar kota
kecil ini. Walau saya tahu dugaannya lebih besar dan tegar, namun saya
bersedia menghadapinya kerana saya tahu duga itu adalah duga yang akan cepat
mematangkan jiwa saya sebagai seorang pekerja seni.
“Aku tahu
bukan di sini tempatku. Tiada siapa yang akan dan mahu ambil peduli. Jadi
kupilih untuk bergerak dan membesar di luar,” begitu kata saya, tegas dan
jitu. Dan dia masih tetap tidak bersuara.
Peristiwa
antara saya dan dia di senja yang semakin diselubungi gelap puluhan tahun yang
lalu itu masih segar di benak ingatan saya.
Seperti
juga pada waktu yang lain, di sebuah kamar hotel beberapa tahun yang
lalu, dia begitu bersungguh berdebat dan mengemukakan hujah mahu
menundukkan saya.
Alasannya,
apa yang saya kononnya sedang "perjuangkan" hanyalah utopia dan
sia-sia belaka. Tiada apa pun akhirnya yang akan berubah atau mampu
merubah dan malah itu akan menyebabkan saya dipandang serong oleh banyak pihak.
Memang
saya agak berasa terganggu dengan cara diskusinya yang dimulai dengan
mukaddimah yang amat panjang sebelum tiba ke pokok persoalan sebenar.
Apa yang disebut serta diperjelaskan dalam mukaddimah itu adalah definisi
yang bertele-tele, yang bagi saya banyak membazirkan waktu untuk suatu
percakapan atau diskusi biasa.
Namun
kerana sejak mula bukan niat saya hendak berdebat dengan sesiapa
mengenainya, saya memilih jalan tengah yang lebih mudah.
Tanpa
definisi yang bertele-tele, saya sekadar bertanya. Kata saya, cuba
berikan jawaban yang ikhlas, apakah menjadi satu kesalahan dan kehinaan tatkala
kita sebagai manusia yang bebas dan merdeka ini mahu menyatakan hasrat dan
pandangan hidupnya selagi tidak sampai mempersetankan agama, moral dan
undang-undang?
Memang
saya tahu dan sedar cara saya menjawab dan berhujah ketika itu tidak langsung
mematuhi sebarang epistemelogi serta dengan teknik penalaran yang betul, namun
saya tetap menuturkan juga kata demi kata sejujur hati saya kerana niat saya
hanyalah mahu menyampaikan suatu maksud secara jelas.
Hampir
separuh senja kami berdebat dan kerana mahu menghormati kawan, saya
memaksa diri menjadi seorang pendengar yang taat dan mencatatkan apa-apa yang
saya fikirkan penting. Saya tahu yang bercakap mengemukakan salah satu teknik
berhujah dan berdebat yang dipelajarinya, tetapi seperti selalu, saya
lebih percaya dan yakin kepada ketulusan dan kejujuran hati sendiri ketika
mengucapkan sesuatu.
Saya tahu
dan sedar, ajakan untuk berdebat dan saling mematahkan hujah itu tidak lain
adalah satu usaha pendebat yang sia-sia untuk memujuk saya
agar mengalah dan surut.
Tetapi
saya tetap tidak berasa perlu untuk mengalah kerana saya tidak pernah
berniat untuk beroleh kemenangan apa-apa.
Jadi,
kalah atau menang bukan yang ingin saya capai atau menjadi fokus. Sekali lagi
saya tegaskan, saya hanya ingin menyatakan sesuatu maksud, seperti misalnya
suka atau tidak suka terhadap sesuatu. Jadi apakah itu menjadi satu kesalahan
dan keaiban atau perlu didebatkan begitu sesungguh hati?
Saya tahu
ilmu saya tidak setinggi mana. Yang ada pada saya hanyalah rasa tulus dan
meyakini bahawa apa yang saya sebutkan itu adalah sesuatu yang saya fikir perlu
dibincang bersama untuk mencari benar atau salahnya.
Kerana itu
jugalah, saya memilih untuk tidak melawan dan tidak kembali memperdebatkannya
bila sekali waktu ada sindiran kononnya saya terlalu ghairah mahu menjadi
pemuka.
Saya tidak
sedikit pun perlu berasa aib kerana menyatakan betapa sudah sampai
waktunya setiap mereka yang memilih menjadi sasterawan mempertanyakan
kembali sudah di mana keberadaan dirinya sendiri sebagai sasterawan. Sekadar
mengulang-ulang apa yang sudah sedia ada, atau berusaha mencari cara dan bentuk
pengucapan yang lebih baru?
Saya
dengan penuh sedar menyedari siapa yang berada di sekeliling saya. Di antara
mereka, siapa sebenarnya sahabat dan siapa sebenarnya si talam bermuka dua.
Sekali
lagi, saya sekadar ingin menyatakan. Kalau ianya sesuatu yang tidak benar,
tunjukkanlah jalan yang lebih benar. Saya boleh menerima dengan hati dan
fikiran terbuka kalau yang datang bukanlah
kecaman dan sindiran, yang bagi saya
lebih hina dan kurang bertamadun bila yang berbuat demikian adalah mereka yang
mengaku mengamalkan tauhid dan tinggi ilmunya.
Saya
sepenuhnya sedar, kerana belajar dan tahu mengenainya, di mana ruang saya
berdiri dan siapa yang di sekeliling saya. Walau sudah sejak mula
mengetahui lewat ilmu duga dan firasat, tapi saya tidak pernah mahu menghukum
sehingga belum tiba waktunya.
Jadi saya
hanya diam dan sentiasa waspada. Sambil menanti benar-benar tiba hari yang
diramalkan.
Walau
kini, barangkali di mata banyak orang yang kurang arif bahawa saya seperti
semakin kehilangan, namun saya sebenarnya sudah sejak lama bersedia menghadapi.
Hidup dan
mati, datang dan pergi atau perpisahan adalah lumrah kehidupan dan saya tidak
pernah ingin bersedih kerananya. Saya tidak pernah berasa rugi walau tidak
mendapat apa yang orang lain beroleh, semata-mata kerana saya tidak pernah
ingin menjadi sebahagian mereka.
Saya
mungkin kehilangan sesuatu, tetapi saya sebenarnya tidak pernah berasa rugi
kerana kehilangannya. Apa yang sedang terjadi di depan mata saya sendiri,
semakin meyakinkan saya itu.
Kerana
kita sebenarnya tidak pernah mahu mendahului tetapi lebih seronok menjadi
pengulang masa sudah. Tidak lain, kerana khuatir kalau tidak mendapat
imbalan-imbalan dalam bentuk peribadi yang boleh menyebabkan hidup
menjadi miskin dan papa.
Ya, saya
memang tidak mendapat imbalan-imbalan dalam bentuk itu dari pihak-pihak
tertentu, tetapi saya masih tetap memiliki diri saya sendiri.
Dan yang
penting, walaupun tidak kaya raya, namun saya pun tidak juga miskin dan papa
kedana.
Merdeka!
Ogos 30,
2010 (Ramadhan 20)
____________________________________________________________________________________
MARSLI
N.O kini adalah penulis sepenuh masa yang memilih untuk bersendirian dan
mengembara ke serata pelosok tanah semenanjung dengan motor tuanya.