Isnin, Mei 25, 2020
TENTANG MENULIS SAJAK
Sdr, memang sungguhankah mahu menulis sajak?
Ingin aku bertanya dia demikian setelah membaca sejumlah
tulisan yang dia sodorkan dan katakan kepadaku sebagai sajak. Tetapi kerana aku hanya mahu dikenal sebagai pembaca,
pembeli dan penjual buku, soalan itu
tidak pernah aku tanyakan kepada dia.
Dan kini, setelah beberapa tahun aku mendiamkan tanya itu,
aku masih tidak melihat dia menyiarkan sajaknya di mana-mana. Aku tidak pasti
apakah dia masih bercita-cita atau punya niat untuk menulis sajak.
Bagiku, menulis sajak itu proses. Tidak kira berapa lama
waktunya dan berlangsung seiring dengan gerak dan nafas hidup yang ingin
menuliskannya.
Mungkin lantaran itulah ramai yang menjadi bosan dan tidak
meneruskannya.
Walau yang ingin ditulis, hanya sebuah sajak pendek ala
"MALAM LEBARAN/ bulan di atas kuburan"!
15.5.2020
Isnin, Mei 18, 2020
MEMAKLUM DAN MENAFIKAN
DJAZLAM Zainal yang menulis mengenai buku saya MERANGKAI KISAH MERENDA KATA, di portal ulasan buku di bawah ITBM, antara lain menyebutkan: "Beliau juga seorang deklamator (...). Namun beliau tidak
pernah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan yang diadakan saban
tahun. Sebaliknya, anak didiknya selalu menjuarainya. Antaranya, Amuruszati
Noor Rahim, Aflieza Arshad dan lain-lain."
Saya ingin memaklumkan di sini. Sebagai manusia yang ingin selalu bebas serta merdeka, saya tidak pernah berasa punya anak didik di mana-mana pun. Bagi saya, walau siapa pun dia, kejayaan mereka sebagai apa pun adalah berkat usaha dan kegigihan masing-masing individu dan tiada kena mengena dengan diri atau didikan saya.
18.5.2020
Jumaat, Mei 01, 2020
DUA NOTA KECIL
BILA SALAH
Bila kita menulis dan tulisan itu disiarkan, kemudian ternyata ada fakta
di dalamnya yang salah, sepatutnya kita mengaku silap itu serta minta maaf
kepada yang berkenaan.
Tetapi bila kita hanya buat bodoh dan biarkan orang lain tanggung akibatnya,
penulis jenis apa kita ini?
Jika demikian, kita sepatutnya malu mengaku diri kita penulis atau
sarjana.
-Marsli N.O
24.4.2019
BIARLAH
Walau banyak tulisan dan pendapat orang lain yang kita tidak setuju dan
tidak suka, tetapi kerana sedar itu hak masing-masing untuk bersuara dan tidak
pun menyentuh diri kita, kita memilih untuk tidak berikan apa-apa kritik atau
komen balas.
Kita pun tidak tergiur hendak tunjuk kebodohan orang lain dan nak
tonjolkan betapa hebatnya pemikiran dan karya kita berbanding dengan orang
lain.
Kita berpendapat, tidak guna ijazah berjela, gelaran melangit, membaca
beribu buku, namun perangai suka mencemoh, menghina dan mengkritik diri serta
karya orang lain sentiasa dijadikan amalan.
Biarlah. Andai kerana pilihan untuk mendiamkan diri, mengelak daripada
mengkritik serta membahas pendapat serta karya milik orang lain itu, kita akan
dianggap kurang cerdik serta tidak berpendidikan.
Biarlah.
-Marsli N.O
24.4.2020
Langgan:
Catatan (Atom)