Selasa, Disember 22, 2020

Isnin, Disember 21, 2020

KARYA SAYA DITOLAK, TETAPI MEREKA?



Karya saya ditolak. Tentunya dengan alasan tidak sesuai dan tidak mencapai tahap dengan dasar penerbitan mereka tetapkan (dalam kata lain, tidak bermutu).

 

Huluran salam tidak bersambut, tentunya dengan alasan sikap sombong dan berlagak saya membuatkan orang membenci saya. Disalah anggap dan dijadikan habuan fitnah, tentunya dikatakan kerana berpunca dari perbuatan jahat saya sendiri.  Dan dan dan entah apa lagi.

 

Bohonglah kalau saya katakan saya tidak berasa kecewa dan tidak berasa sedih walau sedikit pun.

 

Namun saya tidak ingin membebankan diri terlalu lama dengan rasa sedih dan kecewa sedemikian. 

 

Saya memilih untuk masuk dan terlibat di dunia sastera dan perbukuan ini dengan sedar. Saya tahu tiada jalan mudah untuk seorang manusia yang suka melawan dan payah untuk bersetuju seperti saya.

 

Kerana itu saya berusaha terus, menggigihkan diri dan belajar melupakan segala kata cerca dan hina, menawarkan rasa sedih dan kecewa dengan kembali bangkit berkarya tanpa jemu dan henti.

 

Saya tahu saya bukan sesiapa di sini. Bukan anak kandungan, tidak bersaudara  atau menjadi kenalan baik dengan seseorang penulis terkenal yang hebat lagi termasyhur atau berkedudukan di mana-mana jabatan, bukan seorang lepasan mana-mana universiti atau kolej, bukan seorang yang mampu berfikir  besar dan hebat seperti orang yang lain. Bukan.

 

Namun semua itu tidak membuat saya ingin bersedih dan merasa gagal. Malah tidak pernah ingin menjadikan semua itu alasan untuk tidak berkarya dan berbelas diri.

 

Sebagai manusia biasa yang hanya apa adanya, cukuplah jika saya dapat terus menulis atau berkarya sejujur hati saya dan seadanya sahaja.

 

Cukup dan memadailah saya menulis dan menyatakan segala sesuatu yang menyentuh hati nurani serta akal fikir saya sejujurnya sahaja.

 

Tanpa perlu ditambahkan niat untuk berlagak dan melagakkan sesuatu atas alasan kononnya seorang penulis mahu tidak mahu mestilah "mengajar" pembaca karyanya agar menjadi lebih bijaksana dan lebih manusiawi. 

 

Bukan itu tujuan saya menulis dan berkarya. Soal apakah nanti pembaca karya saya akan menjadi lebih cerdik dan bijaksana sesudah itu terserah mereka.

 

Setiap kali menulis dan berkarya, saya hanya ingin memberikan reaksi terhadap segala sesuatu yang menyentuh perasaan, fikiran dan nurani saya. Hanya itu.

 

Dan segala penolakan, tidak pernah menjadikan saya sedih dan kecewa terlalu lama.

 

Saya masih tetap begini juga. Saya tidak akan patah dan mundur. Tolaklah, cercalah, gunjinglah dan henyaklah, tidak mengapa. Nama untuk mengalah dan berasa kecewa atau merajuk, tidak sama sekali. 

 

 Tetapi mereka dan kelompok mereka?

 

Teruslah bermimpi dengan segala kesombongan dan teori hebat kalian. Atau kalau tidak pun, hasil usaha curian dan peniruan.   

 

--- Marsli NO

21 Jun 2019

 

 

Selasa, Disember 01, 2020