Ahad, Januari 24, 2010

DI NEGERI YANG MENGALUKAN PENJILAT


KISAH
seorang budak cerdik bernama Nadim yang menyelamatkan ribuan nyawa warga Kota Singa ketika di serang todak di zaman bahari dari mati sia-sia, selalu segar di dalam fikiran saya. Kerana syor Nadimlah maka terserlah dan terbukti betapa bodohnya perintah seorang yang bergelar raja di zaman itu. Bayangkanlah, menghadapi serangan todak dengan berkubukan betis sendiri. Dan Nadim datang dengan akal cerdiknya, menukarkan betis sendiri dengan batang pisang.

Namun seperti yang dihikayatkan dari zaman bahari itu, Nadim tidak menerima anugerah setimpal kerana akal cerdiknya itu.

Sebaliknya, angkara hasut para pembesar Melayu di zaman bahari itu, Nadim tanpa sedikit pun rasa belas dan simpati digesa agar dibunuh.

Mudah sahaja alasan mereka yang bergelar pembesar dan penasihat raja ketika itu: kalau kecil sudah demikian bijaknya budak itu, besar nanti pastilah akan mampu dia berfikir untuk menderhaka dan itu tentulah tidak selamat demi kesejahteraan raja terus di takhta.

Demikianlah diriwayatkan akhirnya hayat si budak cerdik bernama Nadim itu. Dia diikat dengan rantai besi dan dihumban lemas ke laut lepas. Maka bersukarialah sekalian para pembesar yang kerja sehari-harinya merubungi raja, konon memberikan segala setia dan nasihat demi untuk kesejahteraan sebuah negara.

Entah kerana raja yang memerintah ketika di zaman bahari itu memang tidak tahu berfikir maka segala nasihat
para pembesar yang penuh dengan muslihat dan iri itu diterimanya sepenuh hati, atau pada hakikatnya memang raja sendiri yang sedar akan bahaya yang menanti jika Nadim dibiarkan terus hidup dan mendewasa di dalam negeri, lalu demi menjamin survival dan kekekalan kuasa di takhta, jalan terbaik yang ada adalah melenyapkan sahaja dia dari muka dunia.

Itulah tragedi yang menimpa seorang budak Melayu yang cerdik di zaman bahari bernama Nadim. Walau takdir mungkin menentukan Nadim sudah demikian nasib hidupnya, tetapi melenyapkan seseorang, apa lagi seorang kanak-kanak, semata-mata kerana cerdiknya dan dikhuatir nanti mengancam kedudukan seorang yang berkuasa, memang perbuatan yang sangat tidak berperi kemanusiaan, bodoh dan bahlol.

Di sini jugalah penanda aras bermulanya penafian terhadap kecerdikan di kalangan jelata dan siapa yang berkuasa serta menjadi pembesarnya pula tidak boleh sama sekali diberitahu andai telah berbuat silap atau sesuatu yang mrugikan anak bangsanya sendiri.

Rakyat dan jelata cukup hanya menerima perintah dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang telah diturunkan sebagai perintah. Andai itu cuba disanggah, maka akan buruklah padahnya.

Inilah tragedi suatu bangsa bernama Melayu. Pemerintah dan para pembesar yang berlegar di sekeliling mereka yang memerintah selalu berasa cuak, khuatir dan jika perlu membunuh apa sahaja bentuk kecerdikan yang muncul di kalangan jelata.

Apa yang menimpa Nadim jelas menjadi bukti betapa siapa yang memerintah dan juga juak-juak di sekelilingnya lebih rela rakyat dan jelata hidup terus di dalam kebodohan, asalkan mereka dapat terus menggenggam kuasa.

Bererti dengan terus membiarkan rakyat dan jelata terus hidup di dalam kebodohan, maka segala urusan pemerintahan hanya berada di kalangan sekelompok orang, yang walau pada hakikatnya mungkin lebih bodoh dari jelata yang diperbodohkan, namun merekalah yang akan menentukan segala hala tuju pemerintahan dan nasib masa depan bangsanya.

Tentu sahaja upaya memperbodohkan itu tidak dilaksanakan hanya dengan satu atau dua cara. Malah selagi ada ikhtiar dan upaya, akan diusahakan ia agar menjadi alat dan senjata ampuh untuk terus memperbodohkan jelata.

Sebutlah apa sahaja. Akta, bahan bacaan, budaya, seni dan hiburan atau apa sahaja bidang kehidupan yang boleh dieksploit, pastilah digencarkan usaha dan upaya pembodohan itu, semada secara langsung atau tidak sedar.

Tidak memadai dengan semua itu, ditakut-takutkan pula mereka dengan pelbagai momok, ancaman dan ugutan akta yang tujuannya memang jelas untuk menghindar jelata berfikir kritis dan lebih cerdik.

Usaha yang digerakkan secara terancang ini, kemudian diperkuatkan lagi tatkala bangsa yang merdeka ini dengan rela pembesar dan pemerintah yang berkepentingan dicampur urus oleh bangsa penjajah yang bersilih datang, Portugis, Belanda dan Inggeris pula.

Warisan penjajahan yang memang dengan jelas berusaha memperbodohkan jelata itu semakin diperkukuhkan cengkamannya setelah negara kembali diperintah bangsa sendiri.

Dengan upaya yang lebih licik, pembodohan itu kini semakin berubah bentuknya menjadi lebih mesra pengguna.

Penerbitan berupa buku-buku, majalah dan hiburan-hiburan yang meleka lagi menyesatkan pemikiran jelata dengan sengaja diperbanyakkan. Sementara yang sifatnya mengajak jelata lebih berfikir kritis dan terbuka, baik dalam bentuk buku atau penerbitan seni dan budaya yang lain, dikekang dengan akta dan sebahagian yang lain tidak diizinkan terbit dengan dalih moral dan kebijaksanaan yang pura-pura dan palsu.

Ketika dan saat ini jugalah, di kalangan sasterawan dan seniman seni serta budaya yang lain muncul mereka yang sanggup menjadi penjilat dan sekaligus bersekongkol dengan kebejetan-kebejatan untuk terus memperbodohkan pemikiran jelata.

Dari melahirkan karya yang lebih bersifat seni murni dan mengajak masyarakat pembacanya berfikir lebih kritis, beralih pula mereka melahirkan lebih banyak karya yang sifatnya berpura-pura dan menjilat segala slogan, konon atas nama pembangunan dan tendensi moral.

Sementara sasterawan dan seniman yang ingin terus melahirkan karya yang semata-mata bertolak dari hati nurani kesenimanannya, yang tidak sanggup menjadi pengampu serta penjilat yang melulu selalu menerrima nasib malang: sulit mendapat tempat, sulit menemui penerbit dan segala macam kepayahan.

Atau kalau tidak pun sampai sedemikian nyata penderitaan yang perlu ditanggung, mereka selalunya dipersulitkan.

Itulah nasib yang menimpa nama karyawan filem seperti Nasir Jani, Mansor Puteh, Anuar Nor Arai, Mustapha Noor, Fauziah Nawi dan Khalid Salleh di di teater, atau yang tidak tersebut namanya di sastera, sebagai contohnya.

Siapa yang tidak memilih penjadi penjilat, dinafikan haknya untuk mendapatkan dana, anugerah ketimbang mereka yang sanggup menjadi pengampu serta penjilat, yang sanggup seiring mengembek atas nama pelbagai slogan yang muluk dan indah.

Tragedi bangsa bernama Melayu ini akan terus dilanjutkan dari dekad ke dekad. Kecuali jika kuasa dan kerusi tidak lagi dianggap sebagai hak milik kekal siapa yang kebetulan bergelar penguasa dan yang memimpin.

Untuk itu tentu sahajalah harapan tertuju ke alternatif lain, yang walau atas nama apa pun, bersedia untuk melihat jelata sebagai rakan yang sama mendokong dan bukan sekadar kerbau untuk ditunggangi terus menerus.

Januari 23, 2010

Tiada ulasan: