TERIMA kasih kerana sudi membaca sebuah karya dari seorang pengarang yang ingin selalu melawan dengan caranya sendiri.
Begitu catat saya di halaman depan sebuah buku yang saya hadiahkan kepada seorang pembaca, yang juga seorang pustakawan dan pemilik sebuah blog.
Walau tidak diminta sebagai hadiah, namun saya teruja dan tergerak ingin menghadiahkan buku saya kepada pembaca itu, sebagai tanda penghargaan saya terhadap cara dia menulis dan menyatakan sesuatu di blognya, yang menurut hemat serta pemerhatian saya, selalunya tulus dan tidak ingin melagak-lagakkan bahawa dia terlalu banyak tahu kepada orang lain yang membaca tulisannya.
Walau dalam surat iringan kiriman buku saya itu, memang saya catatkan harapan dan menyatakan andai dia tidak keberatan serta punya luang waktu agar dia sudi meresensi buku saya itu, tetapi saya pun tidaklah terlalu sangat berharap mengenainya.
Alasan saya mudah sahaja, soal menulis dan menyatakan sesuatu mengenai sesebuah buku yang sudah dibaca ada hubungkaitnya dengan perasaan dan rasa serasi. Kalau berasa ada sesuatu yang boleh menggerakkan diri untuk menulis sesuatu mengenainya, pastilah tanpa disuruh sesiapa pun resensi mengenainya ditulis juga.
Saya dengan yakin menyatakan begitu kerana bagi saya menulis memang merupakan reaksi diri saya terhadap sesuatu, apakah isu, peristiwa, fikiran dan idea-idea. Jadi dengan begitu juga, saya tidak pernah menulis sesuatu hanya dengan niat dan maksud hendak bermain-main, beriseng-iseng. Sama sekali tidak.
Setiap kali menulis, saya menulis secara tegas, dengan niat dan tujuan untuk menyampaikan suatu maksud, sikap serta pendirian saya terhadapnya, yang selalunya bersemangat berontak dan melawan dengan cara saya sendiri.
Saya tahu, memilih sikap dan menonjolkan keperibadian yang suka berontak serta melawan memang mengundang bahaya dan bencana: tidak disukai establishment, dicebir-cebir dan malah dikatakan sebagai suka berlagak-lagak.
Tetapi saya tidak pernah merusuhkan kalau kerananya karya saya agak tidak digemari kalangan establishmen atau para pendokong konvensi. Walau apa pun, saya akan tetap terus berontak dan melawan dengan cara saya sendiri.
Memilih sikap dan keyakinan ini bukan pula bererti saya penyokong keganasan dan pemberontakan yang sifatnya fizikal. Sebaliknya, sebagai seorang seniman, saya memilih sikap berontak dan melawan itu hanya di dalam karya yang sifatnya kreatif. Kerana, hanya dengan cara demikian, sebuah karya kreatif menyatakan kemampuan serta kemungkinannya untuk menghidangkan pelbagai nuansa dan takrif maknanya sendiri.
Jadi, kalau di dalam karya yang sifatnya kreaif mulai dikekang kebebasan dan daya kreativitinya, apalah lagi makna sebuah karya sastera dan kreativiti seorang seniman?
Malah lebih malang lagi, tatkala para seniman yang lebih muda di segi usia sudah mulai disekat-sekat serta dikekang-kekang kebebasannya dalam berkarya serta berkreatif, dengan cara ditakut-takut serta dimomok-momokkan, kalau pun tidak diugut-ugut, akan menempuh jalan sulit dan sukar andai memilih sikap menjadi pelawan dan pemberontak.
Jika hanya anggukan-anggukan, embekan-embekan atau penjilatan-penjilatan yang dikemundangkan, maka apakah lagi yang diharapkan dari sebuah karya sastera? Karya sloganis? Propagandis dan tempahan?
Kalau dari sebuah dunia bernama kreativiti sudah mulai mahu dikekang semangat penerokaan, pemberontakan dan pencarian ke arah mencapai sebuah adi karya, maka tinggal apa lagi di jiwa dan batang tubuh seniman?
Secara peribadi, saya sudah menempuh dan melalui jalan payah menjadi seorang yang suka melawan dan berontak itu sejak tahun 1979 lagi. Realitinya, kesulitan serta kepayahan itu sebenarnya tidaklah sebesar mana pun kerana saya selalu menghadapi cabaran itu dengan kebesaran jiwa dan semangat ingin selalu merdeka secara peribadi.
Dan hari ini, saya masih ingin terus berontak serta melawan secara kreatif dan melalui karya. Walau di mata para pemuda hari ini zaman saya sudah semakin berlalu, namun suatu yang membuat saya selalu berasa bangga adalah ini.
Saya berontak dan melawan dengan cara saya sendiri, tanpa pernah memijak dan mengencingi orang lain untuk mendapatkan apa yang saya ingini di dalam sastera.
Karya saya mungkin tetap begitu-begitu juga. Namun Alhamdulillah. Saya masih memiliki diri saya dan tidak pernah menjual maruah dan jiwa saya hanya untuk sesuatu peluang.
Kerana itu, saya bahagia menjadi seorang pelawan tetapi bukan seorang pahlawan.
April 10, 2010
4 ulasan:
Gong yang kamu pukul ini bukan dari jenis gong yang dipukul di perayaan atau konvensi orang-orang establishment.
Mersik bunyinya akan jadi teladan pada jenerasi yg mendatang. Mudah-mudahan...
Salam Pak Hashim: Terima kasih atas tanggapan. Melihat apa yang terjadi, saya tidak ingin berharap apa-apa walau dari bahagian mana pun. Saya kira Pak Hashim memaklumi betapa demikian lakunya di dunia pencipta palsu ini.
Marsli N.O
Teruskan berkarya bang..
Teruskan berkarya dik. Saya suka melihat dan membaca kalian.
Catat Ulasan