Isnin, Ogos 30, 2010
BERSIAP DENGAN KEHILANGAN
AKU sudah memilih untuk sekadar menjadi air. Begitu kata saya pada suatu senja yang semakin diselubungi gelap kepada dia. Tangan saya letakkan di atas palang besi penghadang tepian sungai dan dia yang berdiri di samping sekejap menoleh.
Sambil mata tertumpu renungnya ke arah sungai saya berkata lagi.
Itu pilihanku kini. Aku tidak akan apa-apa. Perbuatlah apa sahaja. Kencingilah aku. Ludahilah aku. Atau lepaskanlah tinja ke atas diriku. Namun aku tetap dan terus akan mengalir juga. Kerana begitulah sifatnya air. Lembut dan cair, tetapi tidak mudah untuk mengalah. Kalau kau menghadang, alirku akan tetap diteruskan juga, atau aku akan berkeluk ke arah yang lain. Tetapi, kalau nanti aku berubah menjadi banjir, bersiaplah menanggung akibah dan bencananya!
Begitu saya menamatkan bicara sambil mengacungkan tinju saya ke udara.
Dia yang berdiri di sebelah tidak sedikit pun bersuara. Dan saya melepaskan sebuah keluh. Apa yang sejak lama terasa berbuku dan menekan jiwa bagaikan sedikit mengurang dan terlepas sudah.
Kami bertemu di senja yang semakin gelap itu, seperti seringnya, untuk berbual dan saling berdiskusi mengenai arah dan hala tujuan kerja seni kami yang masih terkial-kial ini. Kawan yang memang pun jumlahnya hanya sebelah telapak tangan satu demi satu menghilang. Alasannya, kesebokan dan keperluan mencari rezeki lebih diutamakan dari sekadar berfikir dan berpayah dengan seni.
Saya tidak menyalahkan mereka kerana memilih demikian. Saya tahu, berkerja untuk seni di sebuah kota kecil seperti kota yang kami diami ini, tidak menjanjikan sesuatu yang pasti. Apa lagi bila pegawai-pegawai yang menguruskan seni pula lebih mencari siapa yang lebih setia sebagai penjilat dan pengangguk.
Kami bertempik dan membentak, selepas bosan mengeluh dan bersabar bila ruang untuk latihan menjadi ruang monopoli kumpulan penari yang dipelihara atas nama kumpulan seni dan budaya. Lalu kami menjadi si bangsat dan perempat yang berlatih di bawah pokok di tepi pantai. Puncanya, kerana kami tidak selalu ingin mengangguk dan menjilat, mengiyakan apa sahaja suruh dan perintah para pegawai yang berasakan dirinya lebih bijak dan cerdik dari orang lain.
Dihenyak oleh duga sebegitu rupa, yang saya rasa lebih banyak belenggu dari memberikan ruang untuk meneruskan kreativiti, saya memutuskan untuk bergerak di luar kota kecil ini. Walau saya tahu dugaannya lebih besar dan tegar, namun saya bersedia menghadapinya kerana saya tahu duga itu adalah duga yang akan cepat mematangkan jiwa saya sebagai seorang pekerja seni.
Aku tahu bukan di sini tempatku. Tiada siapa yang akan dan mahu ambil peduli. Jadi kupilih untuk bergerak dan membesar di luar.
Begitu kata saya, tegas dan jitu. Dan dia masih tetap tidak bersuara.
Peristiwa antara saya dan dia di senja yang semakin diselubungi gelap belasan tahun yang lalu itu masih segar di benak ingatan saya.
Seperti juga pada waktu yang lain, di sebuah kamar hotel beberapa tahun yang lalu, dia begitu bersungguh berdebat dan mengemukakan hujah mahu menundukkan saya. Alasannya, apa yang saya kononnya sedang "perjuangkan" hanyalah utopia dan sia-sia belaka. Tiada apa pun akhirnya yang akan berubah atau mampu merubah dan malah itu akan menyebabkan saya dipandang serong oleh banyak pihak.
Memang saya agak berasa terganggu dengan cara diskusinya yang dimulai dengan mukaddimah yang amat panjang sebelum tiba ke pokok persoalan sebenar. Apa yang disebut serta diperjelaskan dalam mukaddimah itu adalah definisi yang bertele-tele, yang bagi saya banyak membazirkan waktu untuk suatu percakapan biasa.
Namun kerana sejak mula bukan niat saya hendak berdebat dengan sesiapa mengenainya, saya memilih jalan tengah yang lebih mudah.
Tanpa definisi yang bertele-tele, saya sekadar bertanya. Kata saya, cuba berikan jawaban yang ikhlas, apakah menjadi satu kesalahan dan kehinaan tatkala kita sebagai manusia yang bebas dan merdeka ini mahu menyatakan hasrat dan pandangan hidupnya selagi tidak sampai mempersetankan agama, moral dan undang-undang?
Memang saya tahu dan sedar cara saya menjawab dan berhujah ketika itu tidak langsung mematuhi sebarang epistemelogi serta dengan teknik penalaran yang betul, namun saya tetap menuturkan juga kata demi kata sejujur hati saya kerana niat saya hanyalah mahu menyampaikan suatu maksud secara jelas.
Hampir separuh senja kami berdebat dan kerana mahu menghormati kawan, saya memaksa diri menjadi seorang pendengar yang taat dan mencatatkan apa-apa yang saya fikirkan penting. Saya tahu yang bercakap mengemukakan salah satu teknik berhujah dan berdebat yang dipelajarinya, tetapi seperti selalu, saya lebih percaya dan yakin kepada ketulusan dan kejujuran hati sendiri ketika mengucapkan sesuatu.
Saya tahu dan sedar, ajakan untuk berdebat dan saling mematahkan hujah itu tidak lain adalah satu usaha pendebat yang sia-sia untuk memujuk saya agar mengalah dan surut.
Tetapi saya tetap tidak berasa perlu untuk mengalah kerana saya tidak pernah berniat untuk beroleh kemenangan apa-apa. Jadi, kalah atau menang bukan yang ingin saya capai atau menjadi fokus. Sekali lagi saya tegaskan, saya hanya ingin menyatakan sesuatu maksud, seperti misalnya suka atau tidak suka terhadap sesuatu. Jadi apakah itu menjadi satu kesalahan dan keaiban atau perlu didebatkan begitu sesungguh hati?
Saya tahu ilmu saya tidak setinggi mana. Yang ada pada saya hanyalah rasa tulus dan meyakini bahawa apa yang saya sebutkan itu adalah sesuatu yang saya fikir perlu dibincang bersama untuk mencari benar atau salahnya.
Kerana itu jugalah, saya memilih untuk tidak melawan dan tidak kembali memperdebatkannya bila sekali waktu ada sindirian kononnya saya terlalu ghairah mahu menjadi pemuka.
Saya tidak sedikit pun perlu berasa aib kerana menyatakan betapa sudah sampai waktunya setiap mereka yang memilih menjadi sasterawan mempertanyakan kembali sudah di mana keberadaan dirinya sendiri sebagai sasterawan. Sekadar mengulang-ulang apa yang sudah sedia ada, atau berusaha mencari cara dan bentuk pengucapan yang lebih baru?
Saya dengan penuh sedar menyedari siapa yang berada di sekeliling saya. Di antara mereka, siapa sebenarnya sahabat dan siapa sebenarnya si talam bermuka dua.
Sekali lagi, saya sekadar ingin menyatakan. Kalau ianya sesuatu yang tidak benar, tunjukkanlah jalan yang lebih benar. Saya boleh menerima kalau bukan yang datang adalah kecaman dan sindiran yang bagi saya lebih hina dan kurang bertamadun bila yang berbuat adalah mereka yang mengaku mengamalkan tauhid dan tinggi ilmunya.
Saya sepenuhnya sedar, kerana belajar mengenainya, di mana ruang saya berdiri dan siapa yang di sekeliling saya. Walau sudah sejak mula mengetahui lewat ilmu duga dan firasat, tapi saya tidak pernah mahu menghukum sehingga belum tiba waktunya.
Jadi saya hanya diam dan sentiasa waspada. Sambil menanti benar-benar tiba hari yang diramalkan.
Walau kini, barangkali di mata banyak orang yang kurang arif bahawa saya seperti semakin kehilangan, namun saya sebenarnya sudah sejak lama bersedia menghadapi.
Hidup dan mati, datang dan pergi atau perpisahan adalah lumrah kehidupan dan saya tidak pernah ingin bersedih kerananya.
Saya tidak pernah berasa rugi walau tidak mendapat apa yang orang lain beroleh, semata-mata kerana saya tidak pernah ingin menjadi sebahagian mereka.
Saya mungkin kehilangan sesuatu, tetapi saya sebenarnya tidak pernah berasa rugi kerana kehilangannya.
Apa yang sedang terjadi di depan mata saya sendiri, semakin meyakinkan saya itu.
Kerana kita sebenarnya tidak pernah mahu mendahului tetapi lebih seronok menjadi pengulang masa sudah.
Tidak lain, kerana khuatir kalau tidak mendapat imbalan-imbalan dalam bentuk peribadi yang boleh menyebabkan hidup menjadi miskin dan papa.
Ya, saya memang tidak mendapat imbalan-imbalan dalam bentuk itu dari pihak-pihak tertentu, tetapi saya masih tetap memiliki diri saya sendiri.
Dan yang penting, walaupun tidak kaya raya, namun saya pun tidak juga miskin dan papa kedana.
Merdeka!
Ogos 30, 2010 (Ramadhan 20)
Isnin, Ogos 23, 2010
MENGENANG DIA, AKU DAN MEREKA
SENIMAN teater dan penyair besar Rendra baru saja diperingati pemergiaannya dalam satu acara di sebuah universiti.
Agak istimewa rasanya perhatian diberikan oleh sebuah akhbar terhadap acara itu. Selang tidak sampai seminggu laporan acara itu sebelumnya disiarkan, laporan berikutnya menyusul lagi. Memang tiada apa pun yang menjadi kesalahan dan penyiaran itu pun kukira, alasannya tentulah disiarkan dengan angle yang berlainan.
Rendra memang seniman besar yang menyebarkan pengaruh, aura dan rasa kagum terhadapnya di hati banyak orang, sama ada di negeri ini dan apalagi di tanah airnya sendiri.
Di Indonesia sendiri, pemergian Rendra diingati dengan banyak cara. Selain ritual yang biasa dan selayaknya, juga penerbitan buku-buku mengenainya.
Memang tidak ada apa pun yang salah dengan acara mengenang Rendra di satu universiti itu. Juga tidak ada yang salah kalau pun kisah acara itu disiarkan saban hari di sebuah akhbar berkenaan.
Mengingati dan mengenang dengan cara-cara yang patut serta wajar, setiap mereka yang hebat, baik dan berjasa besar memang perlu. Semoga, segala kebaikan, buah fikir dan karya yang ditinggalkannya akan kita sebut dan kenang kembali secara bersama.
Setidaknya, setiap kali kita bersama mengenang segala sumbangan buah fikir dan karya yang ditinggalkan sang tokoh, segalanya kembali semula menjadi hidup dan memperingatkan agar kita tidak terus menerus menjadi serakah dengan kuasa sehingga sanggup melupakan hakikat diri sebagai seoranag manusia.
Tetapi tidak hanya Rendra, saya juga terkenangkan tokoh-tokoh besar sasterawan dan seniman di negeri sendiri. Bagaimana layaknya mereka diingat serta dikenang.
Saya terkenangkan Allahyarham Pak Sako, Pak Keris Mas, Usman Awang, S. Othman Kelantan, Syed Alwi dan ramai lagi.
Bagaimana kita mengenang dan mengingati mereka?
Tentu sahaja akan ada jawapan-jawapan bijak dan cerdik. Atau sesiapa yang berasa tersinggung kalau dikatakan kurang pandai menghargai mereka yang telah pergi.
Akan muncul serentetan jawaban: kita sudah menganjurkan majlis bicara karyanya, karyanya sudah diterbitkan dalam bentuk mewah dan dibeli semunya oleh sesebuah institusi, dan pelbagai lagi.
Itu untuk tokoh yang dianggap bersih dan tidak secara langsung semasa hidupnya dilihat terlibat dengan mana-mana pergerakan politik oposisi.
Lalu bagaimana dengan Ahmad Boestamam, Hasnul Hadi atau yang masih bersama kita, Kassim Ahmad?
Yang jelas kelihatan, politik lebih menguasai dan menjadi penentu. Siapa yang memegang kuasa akan menentukan ke arah mana hala dan tujunya.
Walau pun tidak secara langsung, kita seperti dilarang memiliki ingatan bersama terhadap mereka, untuk mengenang segala buah fikir dan menghayati semangat kebenaran dan perjuangan yang ditinggalkan dalam setiap karya.
Apa lagi tatkala kata menteri semakin berubah dan cuba dinobatkan oleh mereka yang buta dan tuli menjadi petua yang wajib dipatuhi tanpa peduli benar atau salahnya.
Lalu fungsinya menjadi terbalik. Sasterawan, ilmuan dan agamawan yang sepatutnya menjadi penasihat, dipaksa mengiyakan cakap menteri, walau tidak selalunya benar dan betul.
Kerana itu juga persoalan semakin menjadi ruwet. Masalah social, bangsa dan negara, hanya dimonopoli dan diurus oleh politikus dan segala suara selainnya semakin tidak mahu diambil peduli.
Demikian juga institusi kebahasaan, sastera dan budaya yang semakin dicemari semangat politikus atau semakin cuba diusahakan agar hanya ditadbir oleh mereka yang menyenangi dan sebulu sikap dan pemikirannya dengan para politikus.
Saya sendiri membayangkan, bagaimana nanti seorang seperti saya setelah perginya? Saya punya jawaban sendiri. Saya tidak akan bersedih kalau pun nanti tidak akan dipeduli atau disebut mereka.
Tetapi bagaimana nanti kalau oknum itu adalah Pak A Samad Said, Shahnon Ahmad atau Dinsman?
Ah, saya tidak ingin melanjutkan di bulan Ramadhan yang mulia ini.
Ogos 23, 2010 (Ramadhan tiga belas)
Jumaat, Ogos 20, 2010
APA HASIL YANG DIPEROLEH?
MUNGKIN kerana ada waktunya saya agak suka juga menjadi pendengar keluh orang. Atau mungkin juga kerana memang sudah tiada orang yang sudi hendak mendengar, maka hanya saya sahajalah pilihan yang ada.
Walau apa pun, saya memang berasa simpati. Apa yang diceritakan, apa yang dia keluhkan, sudah saya lalui berbelas atau puluh tahun yang lalu.
Semua itu memang menyakitkan hati dan perasaan, menyebabkan jiwa rasa tertekan dan malah sampai ke satu tahap kronik, boleh menghilangkan selera makan dan boleh mengganggu kenyenyakan tidur di waktu malam.
Memang bagi setengah orang atau kalangan, apalah sangat kalau setakat dipergunjing, dikhianati dan disakiti hati serta perasaan. Itu dikatakan memang menjadi resam hidup dan perangai manusia yang sifatnya tidak pernah lepas dari perasaan hasad dan dengki kerana tidak mahu melihat orang lain melebihi kejayaan dirinya sendiri. Atau lebih tepatnya lagi, kerana berasakan ada pihak yang sudah berani menceroboh dan mahu mengatasi penguasaan, kedudukan dan ruang dirinya yang selama ini didiami dengan aman lagi selesa!
Untuk dan kerana itulah, taktik diatur untuk menjatuh dan melemahkan lawan. Walau untuk dan kerana itu, laku dan tindakannya mengalahkan perilaku seekor haiwan. Pelbagai taktik dan cara diperguna. Pelbagai topeng disarungkan ke wajah diri, walau kadang-kala menghapuskan langsung sifat maknusiawi diri.
Saya tahu bagaimana sakitnya hati dan perasaan bila berhadapan dengan situasi sedemikian. Saya katakan begitu kerana 10 atau mungkin 15 tahun yang lalu saya juga pernah mengalaminya.
Ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana sakitnya hati dan perasaan. Di depan memang mereka bermanis mulut dan mempamer wajah bersahabat, tetapi di belakang, mereka bersoksek dan tidak sudahnya mengumpat serta mengata. Kalau sesuatu yang ada benar dan asasnya tidaklah mengapa. Tetapi kalau jelas hanya reka dan andai semata-mata, tetap berasa juga berbara di dalam jiwa.
Untuk apa? Saya sendiri pun tidak pasti entah untuk apa.
Kalau katakan kerana hendak merebutkan pangkat atau kedudukan, pangkat dan kedudukan apa yang hendak mereka rebutkan di dalam sebuah persatuan kecil di peringkat daerah begitu?
Saya tidak pernah inginkan apa-apa dari sana. Saya hanya ingin berkawan, mengenal orang lain secara lebih dekat. Saya tidak sedikit pun tergiur untuk meraih apa-apa gelar di situ. Cukuplah saya menjadi orang kecil dan biasa di sana.
Atau kerana hasad dan dengki? Hendak dengkikan apa? Seingat saya, saya datang bukan kerana mahu merampas ruang dan kedudukan sesiapa, tetapi hanya kerana ingin berkawan, berkenal dan berkongsi dan juga belajar sesuatu yang tidak saya miliki dari orang lain. Semata-mata kerana tidak mahu sampai dikatakan bongkak dan sombong lantaran tidak mahu berkawan dan mengenal orang lain.
Atau katakanlah kerana ketika di sana saya berjaya menerbitkan beberapa karya. Tetapi kenapa pula itu dijadikan sebab untuk menaruh dengki kepada saya? Bukankah itu kerana usaha dan gigih saya dan mereka juga boleh mencapainya dengan usaha sendiri?
Atau, salahkah kalau saya tidak mahu bersikap pura-pura dengan mengatakan suka dan setuju terhadap sesuatu yang saya tidak suka dan enggan bersetuju dan kerana itu mereka berasa perlu untuk menyakiti dan menaruh hasad terhadap saya?
Saya tidak pandai hendak berbohong dan berpura-pura, berlagak baik dan sopan, tidak mengatakan sesuatu yang kononnya akan melukakan hati orang lain, semata-mata kerana hendak mengambil hati atau mengampu seseorang.
Saya tahu kerana kepandiran saya itu, saya selau tidak disenangi dan dianggap si mulut celupar, kurang ajar, tidak tahu menghormati orang lain. Tetapi apa yang boleh saya perbuat lagi. Biar apa pun, saya bersedia menerima segala risikonya.
Sejak kecil saya memang didik agar berani berterus-terang walau terpaksa menerima risiko dan hukuman.
Apa lagi kalau saya sudah berbuat kesalahan. Saya mesti mengakui segala kesalahan saya tanpa sedikit pun mahu meletakkan salah itu pula ke bahu orang lain. Saya mesti bertanggungjawab memikul segala kesilapan dan kesalahan yang telah saya lakukan, sama ada yang sengaja atau yang tidak sengaja.
Apalah erti hidup sebagai manusia kalau saling berdusta dan menyembunyikan segala kebenaran. Begitulah saya yakin dan percaya. Dengan keyakinan diri dan kepercayaan sedemikianlah saya memilih jalan hidup.
Apa lagi tatkala memilih dunia sastera dan seni. Walau saya bukan pun seorang tokoh besar dan hebat, juga bukan seorang yang terkenal serta telah melahirkan pelbagai karya hebat dan agung, saya percaya kebenaran dan kejujuran mestilah sentiasa dimekarkan di antara sesama.
Seorang seniman atau sasterawan tidak boleh bersifat munafik. Mengatakan sesuatu yang tidak dia perbuat atau memandang terlalu tinggi diri dan karyanya sendiri dan yang selain itu dianggap sebagai sampah atau najis.
Itulah yang menjadi pegangan serta keyakinan saya.
Tetapi kerana itu jugalah saya diumpat, difitnah dan dibenci. Konon saya ini suka berlagak, kaki perasan, kaki gaduh, suka buat kecoh dan entah apa-apa lagi.
Saya bukan tidak boleh menerima tegoran. Tetapi kalau hanya bersoksek dan bergunjing dibelakang, mana saya tahu apa salah saya yang sebenar. Kalau benar-benar ikhlas, tegorlah kesalahan saya. Tetapi anehnya, kenapa tiada?
Saya tahu bagaimana sakitnya hati dan perasaan menjadi mangsa umpat dan keji begitu. Saya katakan begitu kerana saya sudah pun melaluinya.
Saya memang bersimpati dengan kawan yang datang mengadu itu. Tetapi setakat simpati sahajalah. Namun untuk memberikan nasihat dan petua, saya tidak berani. Sebabnya, saya takut kalau tersalah saya memberi nasihat dan petua, saya pula yang akan dipersalahkan.
Kerana itulah saya hanya sekadar menganguk dan mengangguk sebagai tanda saya memang benar-benar sedang mendengar.
Memang tergerak juga sesekali di dalam hati untuk saya memberikan sedikit nasihat kepada sahabat yang datang mengadu itu.
Tetapi sekali lagi, layakkah saya?
Berbanding dia, saya hanyalah seorang manusia yang banyak tidak tahunya. Sekolah saya tidak setinggi mana. Usahkan ke kolej, ke peringakt menengah pun tidak sampai tamat.
Kerana itu jugalah saya berasa malu hendak memberikan dia nasihat.
Walau pun teringin hendak saya katakan kepada dia supaya bersabar dan terus bersabar, kerana akhirnya, mereka yang tidak sudah-sudah mengumpat dan mengeji itu tidak juga mendapat suatu apa pun.
Misalnya, ketika kini saya sudah menerbitkan tujuh atau lapan buah buku, para pengumpat dan pengeji itu masih juga tidak menerbitkan apa-apa selain masih asyik dengan "kerja" dan "amal jariah" mereka.
Bezanya kini, mangsa mereka bukan lagi saya, tetapi dia, sahabat yang dataang mengadu itu.
Saya tahu, saya tidak dapat mereka tewaskan kerana saya tetap bertahan dengan apa yang saya yakini sejak mula. Saya yakin, sesuatu yang baik dan bermanfaat pasti akan dibalas dengan ganjaran yang baik juga oleh Allah yang Maha Mengetahui.
Tegasnya, saya tidak takutkan mereka para pengumpat dan pengeji itu kerana saya lebih percayakan Allah yang lebih berkuasa dari segala kuasa di atas muka bumi ini.
Malah, kerana Allah juga, saya sanggup kehilangan roh dan nyawa demi mempertahankan prinsip dan kepercayaan yang saya yakini sebagai benar dan betul!
Saya harap, sahabat yang datang mengadu itu juga begitu.
Ogos 20, 2010 (Ramadhan sepuluh)
Khamis, Ogos 19, 2010
LEBIH BAIK
LEBIH baik malu sekali dan sekarang dari berterusan dimalukan orang sepanjang waktu dan zaman.
Begitu kembali kubaca catatan itu dalam salah satu buku notaku. Bertanggal 3 Januari, 1975.
Puas sendiri aku merenung dan cuba mengingat peristiwa yang memungkin dan menggerakkan kutuliskan itu di dalam buku catatan.
Kini, kubiarkan lebur dan lenyap di dalam kenangan.
Ogos 19, 2010 (Ramadhan Sembilan)
Rabu, Ogos 18, 2010
SASTERA, HADIAH DAN SAYA
ANDAI tiada sebarang hadiah disedia dan akan diberikan kepada mana-mana karya sastera yang dirasakan layak diberikan hadiah oleh mana-mana pihak atau institusi, apakah dengan begitu saya tidak akan menulis?
Dengan tegas saya menjawab, tidak.
Seingat saya, ketika saya mula menulis secara lebih bersungguh-sungguh pada tahun 1975 dan beberapa tahun kemudian karya saya mula disiarkan, apa yang saya fikirkan bukanlah soal ada atau tidaknya hadiah untuk karya sastera.
Sebaliknya, yang selalu menjadi igauan saya ketika itu adalah bagaimana mahu melahirkan sebuah karya sastera yang baik dan yang boleh memikat hati penjaga ruang sastera di akhbar dan majalah untuk disiarkan.
Saya tidak sepenuhnya sekadar ingin bernostalgia.
Tahun 1975 bukanlah tahun 2010 yang mudah dan tersedia dengan segala ruang dan peluang: institusi dan ruang untuk belajar, kewangan dan kemudahan internet.
Sekitar tahun 1975, sebagai pemula yang berminat dan berniat mahu menjadi penulis, diri secara bersendirian mahu tidak mahu mesti bergulat dengan segala kekurangan dan memanfaatkan apa yang ada. Segalanya ditempuh lewat latihan dan percubaan demi percubaan, belajar dari kesilapaan secara bersendirian, hanya dengan membaca dan membaca, tanpa sebarang guru selain diri sendiri.
Kerana itu jugalah, demi kerana niat dan hasrat itu, keluhan digantikan dengan daya usaha yang tidak kenal hentinya. Kesedihan dan rasa kesunyian diganti dengan usaha tidak kenal jemu untuk menanamkan rasa yakin dan percaya diri atau meraikan dari jauh kejayaan penulis atau pengarang lain yang karyanya berjaya mendapat tempat.
Memang agak lama rasanya menanti untuk melihat sebuah karya tulisan sendiri kali pertama disiarkan. Tahun 1979 adalah permulaannya. Sebuah sajak kecil saya disiarkan di majalah Dewan Sastera. Dan tahun yang sama juga, langkah kembara saya yang bercadang memasuki Kuala Lumpur lewat KualaTerengganu dan berkereta api dari Kelantan ke sana, tersanggkut hanya di Kuala Terengganu.
Tetapi saya tidak begitu berasa kesal walau tidak ke Kuala Lumpur sekitar tahun itu kerana kini Kuala Lumpur adalah rumah kedua saya.
Sejarah penerimaan hadiah sastera saya bermula pada tahun 1985, berjarak kurang lebih enam tahun dengan tarikh tahun karya saya pertama kali disiarkan. Tahun itu, sebuah sajak kecil saya berjudul "Buku-Buku di Perpustakaan Ini" yang disiarkan di majalah Mastika di bawah kelolaan Wahba, antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank 1985.
Kerana menjadi salah seorang pemenang hadiah penghargaan di tahun 1985 itulah maka saya mula mengenal Kuala Lumpur lebih dekat.
Malah kalau tidak salah ingatan, tahun itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dan penyair Kemala, yang hanya saya kenali melalui surat, berbaik hati menumpangkan saya bermalam di rumahnya dan menghantar saya ke tempat penyampaian anugerah di PWTC.
Juga di majlis penyampaian hadiah itu jugalah saya kembali berjumpa dengan penyair Rudi Mahmood, yang sebelumnya saya temui di Hari Puisi 1981 di Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan.
Itu kisah lama dan kalau mengenangnya, saya lebih ingin mengenang segala kebaikan orang-orang yang banyak menolong saya ketika pertama kali di Kuala Lumpur.
Kejadian-kejadian berikutnya juga adalah sejarah. Masih ada beberapa hadiah yang saya terima selepas tahun 1985. Sebahagiannya tidak saya hadiri dan hanya meminta bantuan seorang yang lain yang juga sama meraih hadiah untuk menerima bagi pihak diri saya.
Terus terang saya sebenarnya tidak pernah bergiming mengenai ada atau tidaknya hadiah sastera. Kalau takdirnya ada dan saya dimurahkan rezeki menerima, akan saya terima. Tetapi andai tiada, saya fikir itu pun tidak begitu perlu untuk saya rusuhkan.
Sebagai seorang yang bermula sebagai penulis dari sebuah dunia yang kosong dan hanya "berbakat alam", saya selalu cuba meletakkan diri sendiri di tempat yang sepatutnya. Saya tidak ingin berlebih-lebihan dan hanya mahu menerima apa yang saya fikir memang wajar dan patut saya terima.
Kalau memang ada, nilailah karya saya sewajarnya dan berikanlah angerah kalau memang itu hak yang patut saya terima. Tetapi, jangan sekali-kali sampai menidakkan hak karya orang lain, yang kerana entah sebab seperti misalnya tidak kenal baik dengan panel penilainya, atau kerana pernah berdebat dengan seorang pegawai di sebuah institusi yang mengelolanya, maka dengan dalih licik haknya untuk menerima hadiah dinafikan.
Saya menyebutkan ini kerana sudah banyak dipercakapkan orang mengenai ini, malah pada satu waktu pernah berlaku kejadian bagaimana sebuah karya ditolak penilaiannya dengan alasan memuatkan karya yang tempohnya melebihi 10 tahun, walau hal yang sebenarnya tiada pun demikian.
Memang pun dengan anugerah boleh menjadi antara faktor pendorong semangat penulis. Tetapi jangan sampai pula menjadi pertikaian yang tidak pernah usai bila masih ada karya yang lebih layak tidak diberikan hadiah ketimbang karya yang tidak.
Penulis sekarang semakin bertambah cerdik dan peka. Mereka boleh mengesani dan tepat menduga sesuatu yang diada-adakan dengan sengaja.
Tetapi seperti yang saya katakan di awal tadi, ada atau tidak hadiah sastera, saya tetap begini juga. Kalau diberi saya terima dan kalau tidak, saya tetap akan menulis juga.
Kerana itu jugalah, saya langsung tidak tergiur untuk mengisi borang dan mengirimkan salinan karya saya kepada sesiapa, semata-mata demi untuk memastikan karya saya akan dinilai dan kalau layak, akan menerima hadiah sastera.
Malah saya fikir itu semua hanyalah kerja sia-sia dan membuang waktu saya sebagai penulis. Saya katakan begitu kerana sepatutnya ada institusi yang melaksanakan tugas ini dan kalau itu tidak dilaksanakan, mereka sepatutnya berasa malu. Apa lagi kalau misalnya ada peristiwa karya yang tidak dikirim mendapat hadiah sedang yang dikirim langsung tidak disebut di dalam penilaian.
Apa erti semua ini?
Tetapi saya tidak peduli. Kalau mereka yang diberikan amanah mengenainya berasa diri mereka dewa atau nabi menentukan hidup dan mati hayat seorang penulis, saya tidak pernah mahu ambil peduli.
Dan saya lebih tidak mahu ambil peduli andai mereka pun memang memilih tidak pernah mempedulikan saya.
Ogos 18, 2010 (Ramadhan lapan)
Jumaat, Ogos 13, 2010
MENULIS UNTUK KAYA
ALHAMDULILLAH. Mengucapkan rasa syukur kepada Allah.
Kekayaan pun nampaknya sudah semakin melimpah. Hasil dari sekian banyak buku yang yang ditulis dan diterbitkan. Hati pun berasa kembang oleh gembira yang tidak kepalang melihat buku karangan sendiri berderet di pajangan toko. Peminat pun semakin bertambah. Sana dan sini dijemput memberi ceramah.
Sekali lagi diucapkan Alhamdulillah.
Namun, tatkala saya mengucapkan itu dan diam-diam menghitung jumlah dan nilai apa yang dikatakan sebagai kaya yang semakin bertambah, sedarkah tidak saya akan hal-hal yang lain?
Begitu menjelang subuh ini saya mengucapkan tanya kepada diri saya sendiri.
Ya, Allah. Saya mohon perlindungan dari-Mu andai telah tersasar dan dikelabui mata pertimbanganku oleh nafsu dan kehendak untuk menjadi kaya semata-mata. Sehinggakan dengan demikian, saya tanpa sedar telah menjiplak milik orang atas nama adaptasi dan pengubaahsuaian.
Saya membongkar dan memburu buku-buku lama karangan orang lain yang kini sudah tidak diketahui lagi di dalam sejarah, atau yang sengaja dilupakan oleh sejarah, lalu dengan kecerdikan saya sebagai pengarang, saya ubah dan olah kembali menjadi sebuah karya yang lain.
Saya letakkan buku itu di depan mata saya ketika saya sedang mengarang. Ayat demi ayat, baris demi baris, para demi para, saya baca dan hayati, kemudian dengan kebijakan dan kecerdikan saya sebagai pengarang, saya ubah dan oleh kembli idea itu dengan ayat yang konon-kononnya milik ciptaan saya sendiri.
Begitulah. Malam demi malam, siang demi siang di waktu senggang saya bekerja menulis dan mengarang. Hingga akhirnya selesailah sudah idea dari buku itu saya jiplak dan ubahsuaikan dengan ayat-ayat yang kononnya milik saya sendiri.
Kemudian, begitu karya tersebut usai saya tulis, tanpa malu saya letakkan nama saya sebagai pengarangnya dan tidak sedikit pun memberi keredit atau pujian kepada pengarang asal yang idea dan bukunya telah saya jiplak.
Malah tanpa rasa malu sedikit pun, saya berbangga-dengan apa yang saya tulis, walau hakikat sebenarnya terhasil dari idea jiplak dari karya orang lain, yang tidak sedikit pun saya sebut atau akui sebagai sebuah karya yang terhasil dari adaptasi dari sebuah buku atau idea orang lain.
Saya sanggup berbuat begitu, tanpa rasa malu dan perasaan bersalah kerana saya khuatir, andai saya berterus terang mengaku begitu, pastilah pengarang asal yang idea atau bukunya telah saya jiplak atas nama adaptasi dan ubahsuai itu, akan menuntut juga imbuhan royakltinya.
Saya tidak mahu lantaran itu, jumlah royati yang saya terima menyusut dan terpaksa saya berbagi dengan orang lain. Nafsu tamak yang merajai perasaan dan diri saya menghalang saya untuk mengaku berterus terang bahawa buku yang saya tulis itu terilham dari idea dan buku orang lain.
Saya berani berbuat begitu kerana saya tahu, di negeri saya, idea tidak dilindungi undang-undang. Sebuah buku yang sudah siap ditulis orang lain, juga boleh saya jiplak dan tulis kembali, asalkan tidak seratus peratus menyamai susunan baik bab atau ayat-ayat seperti di dalam buku asal.
Walau saya tahu banyak teman yang menulis tahu bahawa apa yang saya tulis tidak lain sekadar jiplakan dari idea dan buku orang lain. Tetapi atas nama adaptasi dan ubahsuai, atau atas nama lain yang lebih terkini, "intertekstualiti", saya pura-pura dan berlagak seolah tiada apa-apa yang terjadi dan kerana itu ingin tetap terus menulis lagi dengan cara begini.
Tentulah tidak lain kerana saya berasa seronok menjadi penulis yang semakin kaya. Kerana kekayaan telah menggoda saya dan sekaligus juga saya berasa seronok kian diminati ramai peminat.
Lebih-lebih lagi kerana kini saya semakin kerap dijemput ke sana dan ke mari memberikan ceramah mengenai penulisan, yang kadang-kadang saya sendiri berasa saya kini popularnya melebihi sasterawan yang memiliki gelaran negara!
Alangkah seronoknya menjadi penulis yang semakin kaya dan terkenal!
Tetapi apakah betul dan benar segala yang telah saya perbuat ini, ya Allah?
Baru kini saya sedar, di saat menjelang Subuh ini, betapa saya telah mengkhianati diri saya sendiri. Saya menipu dan sekaligus menjadi pencuri milik orang lain.
Sepatutnya saya berterus terang mengaku bahawa apa yang saya tulis adalah sesuatu yang terilham dari idea milik orang lain dan kalau dia meminta haknya, saya sepatutnya bersedia berkongsi dalam batas yang benar wajar akan hak ideanya itu.
Andai kata saya ingin menulis berdasarkan buku orang lain, demi untuk mengelak saya menjadi peniru, saya sepatutnya sepenuhnya membaca buku itu dan kemudian, ketika kembali menuliskannya, buku itu tidak saya pajangkan di depan mata. Saya sepatutnya menulis berdasarkan ingatan dan pemahaman.
Tetapi saya pun tahu, tindakan itu sama dengan mencuri juga. Sepatutnya, ketika mahu menuliskan sesuatu, saya perlu menulis sesuatu yang lebih original. Walau dikatakan banyak orang itu hanyalah utopia, tetapi sebagai penulis yang sejati saya mesti sentiasa memburu itu dan kalau nanti ternyata saya juga telah mencuri, biarlah itu berlaku bukan kerana sesutu yang saya lakukan dengan sengaja!
Kerana itulah saya memutuskan. Biarlah saya menjadi penulis yang tidak kaya. Pokoknya saya tidak menjiplak, mencuri dan mengadaptasi dengan sengaja. Biarlah saya menjadi penulis yang begini-begini sahaja. Tidak mengapa. Andai saya mahu juga menjadi kaya, biarlah kayanya saya kerana sesuatu yang betul dan benar.
Ya, Allah. Saya mohon, bantulah hambamu yang daif ini. Ingin saya buang rsaa tamak di dalam diri dan saya rela tidak menjadi kaya dengan cara menjiplak dan mengadaptasi idea orang lain dengan sengaja dan tanpa memberikan mereka kredit atau mengaku berterus-terang.
Saya mohon. Ya, Allah
Ogos 13, 2010
(Ramadhan Tiga)
Rabu, Ogos 11, 2010
1991, SEBUAH NOVEL DAN SAYA
SAYA selalu memilih diam dan menjauh jika di kalangan kawan-kawan saling bercerita mengenai penulisan novel masing-masing.
Saya memilih demikian kerana berasa malu dan insaf diri betapa sebagai pengarang saya memang tidak banyak menulis novel, apa lagi yang sudah berjaya diterbitkan ketimbang mereka.
Saya mungkin bukan seorang yang benar-benar layak, jika dibandingkan dengan mereka yang sudah menulis dan menerbitkan puluhan novel, untuk bercakap mengenai bagaimana seharusnya untuk menulis sebuah novel dan paling penting, sehingga berjaya pula diterbitkan.
Kalau tidak salah ingatan, sehingga kini saya baru menulis tiga novel (untuk dewasa) dan tiga (untuk kanak-kanak). Tetapi yang membuat saya tetap berasa malu, dari jumlah itu, hanya dua yang sudah diterbitkan dan itu pun bukan novel untuk dewasa.
Saya tidak bermaksud menghina mereka yang hanya menulis novel untuk kanak-kanak dan remaja. Maksud saya, selepas menulis dan berjaya menerbitkan novel untuk kanak-kanak dan remaja, sewajarnya seorang pengarang menulis dan berusaha agar diterbitkan juga novel untuk dewasanya.
Memang saya bermula dengan menulis novel untuk dewasa. Permulaannya tahun 1982 lagi. Tetapi tentu sahajalah menulis sebuah karya dalam usia penulisan yang belum boleh dihitung sebagai sudah dewasa, menyulitkan novel itu untuk diterima serta diterbitkan.
Seingat saya, baru tahun 1991 saya baru benar-benar bersungguh menulis sebuah novel yang lain, sebuah novel yang saya tulis dengan kesedaran terhadap konsep, lambang dan permainan makna.
Sebagai seorang yang mengarang, saya dengan yakin berkata kepada diri, kenapa dan tidak semestinya sebuah novel diikat oleh plot yang ketat dan rigid dan didokong oleh watak yang nyata dan peristiwa yang masuk akal semata-mata.
Salahkah kalau sebuah novel diikat hanya oleh suatu tema sebagai landasaannya, berlangsung di sebuah dunia jungkir-balik dan dengan watak yang kadang-kala kabur dan bersifat tidak logik?.
Tentulah tiada siapa yang menjawab salah atau tidak. Dan saya meneruskan apa yang saya percaya dan yakini itu dengan sedar, mengetiknyaa dengan sebuh mesin taip jenama Olivetti malam demi malam, helaian demi helaian, hingga selesai dan berhenti di halaman 158.
Memang niatnya mahu melanjutkan lagi agar ianya menjadi sebuah manuskrip novel setebal 180 atau 200 halaman. Namun rasa letih menghalang saya. Apa lagi bila saya renungkan, apalah maknanya sebuah manuskrip yang tebal kalau sekadar mengulang-ulang apa yang sebenarnya tidak begitu perlu dan sia-sia.
Itu tahun 1991. Dan manuskip itu saya jaja ke mana-mana. Jawapan yang saya terima, novel ini tidak sesuai diterbitkan.
Saya tahu, saya memang dengan sengaja menentang arus. Sekitar tahun itu, novel-novel terbitan Creative Enterprise, Marwilis Publisher dan karya pengarang seperti Akhdiat Akashah, Siti Rohya Atan, Mishar dan beberpa yang lain merajai pasaran novel tanah air.
Sekitar tahun 1991, beberapa tahun sebelum dan selepasnya, juga bangsa Melyu sedang berdepan dengan krisis dan konflik identiti sesama sendiri: antara menjadi sepenuhnya Islam yang orthodok atau menerima kemajuan di mana yang seuai dan perlu.
Sekitar tahun itu juga, bangsa Melayu, diperkudakan atas nama politik kepartian, saling tuding dan menuding antara siapa yang kafir dan siapa yang tidak, atau siapa yang lebih Melayu atau sudah dinodai oleh kesucian Melayunya oleh pengaruh luar.
Saya sepenuhnya sedar menulis sesuatu yang di luar dari jalur kebisaan. Sedar akan risiko, susah mendapat tempat penerbitan atau ruang penyiaran.
Tetapi, rasa saya bukan kerana ego atau rsa sombong seorang pemuda di waktu itu, saya yakin karya saya yang sedemikian akan tetap punya ruang dan tempatnya sendiri.
Saya malah memang sudah nekad dengan niat bahawa satu waktu naskhah itu andai tiada siapa yang sudi menerbitkannya, akaan saya terbitkan dengan belanja sendiri.
Niat saya, bukan kerana mahu melagakkan bahawa saya ini seorang penulis novel. Bukan.
Sebenarnya, saya hanya ingin membuktikan bahawa kemerdekaan dalam berkreatif, selagi tidak sampai menghina orang lain, agama, moral dan undang-undang, mestilah diraya serta digalakkan Khususnya oleh mana-mana institusi yang diprtanggungjawabkan mengenainya
Yang saya tentang adalah sikap menghalang yang tidak kena pada tempatnya. Apa lagi terhadap sastrawan dan seniman.
Itulah keyakinan saya yang tetap saya pegang hingga kini.
Apalah lagi ertinya menjadi sasterawan dan seniman di sebuah negeri yang merdeka kalau kebebasan berkreatifnya dihalang-halang?
Itulah semangat, roh yang melatari jiwa dan perasaan saya ketika menyiapkan naskhah setebal 185 halaman itu.
Kini saya masih diberi Allah anugerah untuk bernafas di tahun 2010.
Saya mengharapkan novel itu terbit dan katanya sedang dalam proses penerbitannya. Saya harap tiada lagi aral yang menghalang.
Setidaknya, penantian selama kurang lebih 19 tahun, buat seorang lelaki "pendurhaka" ini, berbaloi juga.
Ogos 10, 2010 (Ramadhan pertama)
Kategori:
Proses Kreatif Marsli N.O 2010
Khamis, Ogos 05, 2010
SAYA SEBENARNYA TERSANGAT MALU DI PENTAS
SETIAP kali tampil ke pentas, saya sebenarnya tidak pernah pun berasa bangga atau ingin menyombong-nyombongkan diri dengan perasaan hebat atau berasa lebih istimewa ketimbang orang lain.
Pentas bagi saya adalah sebuah dunia yang lain. Dunia selain yang saya hidup dan depani sehari-hari. Pentas juga adalah sebuah kehidupan yang lain, sebuah kehidupan yang sama sekali berbeza dengan dunia kehidupan seharian yang saya kenal.
Kerana itu, pentas bagi saya perbadi adalah sebuah dunia yang menyediakan cabaran serta dugaan. Dugaan di mana saya mesti bertarung membuang segala perasaan gugup, gementar dan malu.
Kerana itu jugalah setiap kali tampil ke pentas, saya tampil dengan sangat waspada dan persiapan agar tidak mudah ditewaskan olehnya. Kemudiannya, begitu turun dari pentas saya perlu pula bertarung dengan perasaan sendiri untuk membuang jauh segala perasaan terhina dan malu di dalam diri sendiri.
Saya katakan begitu kerana selalunya, sesudah usai membacakan sajak, berucap atau beraksi sebagai pemain sesuatu watak untuk suatu persembahan teater di pentas, saya selalu berasa malu yang amat tidak terperi.
Pentas bagi saya adalah sebuah dunia yang lain. Dunia selain yang saya hidup dan depani sehari-hari. Pentas juga adalah sebuah kehidupan yang lain, sebuah kehidupan yang sama sekali berbeza dengan dunia kehidupan seharian yang saya kenal.
Kerana itu, pentas bagi saya perbadi adalah sebuah dunia yang menyediakan cabaran serta dugaan. Dugaan di mana saya mesti bertarung membuang segala perasaan gugup, gementar dan malu.
Kerana itu jugalah setiap kali tampil ke pentas, saya tampil dengan sangat waspada dan persiapan agar tidak mudah ditewaskan olehnya. Kemudiannya, begitu turun dari pentas saya perlu pula bertarung dengan perasaan sendiri untuk membuang jauh segala perasaan terhina dan malu di dalam diri sendiri.
Saya katakan begitu kerana selalunya, sesudah usai membacakan sajak, berucap atau beraksi sebagai pemain sesuatu watak untuk suatu persembahan teater di pentas, saya selalu berasa malu yang amat tidak terperi.
Saya katakan begitu kerana sebentar tadi, ketika di pentas itu, seluruh diri saya jadi perhatian orang yang menonton, tidak soal apakah mereka suka atau benci, seluruh diri saya telah mereka tonton secara luar dan dalamnya.
Kerana itulah, saya sebenarnya tidak pernah rasa atau ingin berbangga kerana telah tampil ke pentas, di hadapan dan diperhatikan oleh sekian jumlah penonton.
Sungguh. Saya sebenarnya berasa tersangat malu dan memang tidak pernah ingin berbangga-bangga kerana kononnya telah mampu berdiri di pentas: membacakan sajak, berlakon teater atau sekadar bercakap tentang sesuatu.
Berdiri di pentas, atas nama sastera dan seni bagi saya peribadi adalah tanggungjawab yang telah sejak mula dipilih dengan hati rela.
Namun, di sebaik hati rela itu, hati dan jiwa di dalam kadang berperang dilema dan digelisahkan dengan pelbagai tanya.
Jujur dan ikhlaskah aku ketika berbuat dan mengucapkan? Jika ada yang menjemput dan membayar, setimpalkah apa yang saya berikan dengan apa yang telah mereka bayar?
Niat di hati bukan ingin menunjuk atau mengatakan saya lebih hebat dan lebih baik ketimbang orang yang lain.
Kerana, yang selalu saya cuba hindari tidak lain adalah jangan sampai terjadi saya menjadi lupa diri dan tidak lagi mengenal ruang di mana berpijak serta berdiri.
Lebih-lebih lagi tatkala saya mulai menjadi kesurupan lantaran asyiknya menghayati perasaan dan makna setiap kata dan jiwa watak yang saya perankan.
Saya ketika itu mungkin sedang meminjam jiwa orang lain. Tetapi saya tidak boleh kehilaangan dirinya sendiri dan melupakan tempat asal mula dirinya berpijak.
Pentas bagi saya adalah sebuah dunia dan kehidupan yang sekejap saya pinjam untuk saya jadikan wadah menyatakan sesuatu, tentunya dengan cara seni. Kerana tuntutan seninya itulah maka saya berusha untuk sejujur mungkin menyatakan dan berbuat sesuatu yang sesuai dan wajar dengan tuntutannya.
Semoga saya tidak terlalu mengada-ada dan berlebih-lebihan.
Lebih-lebih lagi tatkala saya mulai menjadi kesurupan lantaran asyiknya menghayati perasaan dan makna setiap kata dan jiwa watak yang saya perankan.
Saya ketika itu mungkin sedang meminjam jiwa orang lain. Tetapi saya tidak boleh kehilaangan dirinya sendiri dan melupakan tempat asal mula dirinya berpijak.
Pentas bagi saya adalah sebuah dunia dan kehidupan yang sekejap saya pinjam untuk saya jadikan wadah menyatakan sesuatu, tentunya dengan cara seni. Kerana tuntutan seninya itulah maka saya berusha untuk sejujur mungkin menyatakan dan berbuat sesuatu yang sesuai dan wajar dengan tuntutannya.
Semoga saya tidak terlalu mengada-ada dan berlebih-lebihan.
Ogos 5, 2010
Langgan:
Catatan (Atom)