Rabu, Ogos 18, 2010

SASTERA, HADIAH DAN SAYA

ANDAI tiada sebarang hadiah disedia dan akan diberikan kepada mana-mana karya sastera yang dirasakan layak diberikan hadiah oleh mana-mana pihak atau institusi, apakah dengan begitu saya tidak akan menulis?

Dengan tegas saya menjawab, tidak.

Seingat saya, ketika saya mula menulis secara lebih bersungguh-sungguh pada tahun 1975 dan beberapa tahun kemudian karya saya mula disiarkan,  apa yang saya fikirkan bukanlah soal ada atau tidaknya hadiah untuk karya sastera.

Sebaliknya, yang selalu menjadi igauan saya ketika itu adalah bagaimana mahu melahirkan sebuah karya sastera yang baik dan yang boleh memikat hati penjaga ruang sastera di akhbar dan majalah untuk disiarkan.

Saya tidak sepenuhnya sekadar ingin bernostalgia. 

Tahun 1975 bukanlah tahun 2010 yang mudah dan tersedia dengan segala ruang dan peluang: institusi dan ruang untuk belajar, kewangan dan kemudahan internet.

Sekitar tahun 1975, sebagai  pemula yang berminat dan berniat mahu menjadi penulis,  diri secara bersendirian mahu tidak mahu mesti bergulat dengan segala kekurangan dan memanfaatkan apa  yang ada. Segalanya ditempuh lewat latihan dan percubaan demi percubaan, belajar dari kesilapaan secara bersendirian, hanya dengan membaca dan membaca, tanpa sebarang guru selain diri sendiri.

Kerana itu jugalah, demi kerana niat dan hasrat itu,  keluhan digantikan dengan daya usaha yang tidak kenal hentinya.   Kesedihan dan rasa kesunyian diganti dengan usaha tidak kenal jemu untuk menanamkan rasa yakin dan percaya diri atau meraikan dari jauh kejayaan penulis atau pengarang lain yang karyanya berjaya mendapat tempat.

Memang agak lama rasanya menanti untuk melihat sebuah karya tulisan sendiri  kali pertama disiarkan.   Tahun 1979 adalah permulaannya. Sebuah sajak kecil saya disiarkan di majalah Dewan Sastera. Dan tahun yang sama juga, langkah kembara saya yang bercadang  memasuki Kuala Lumpur lewat KualaTerengganu dan berkereta api dari  Kelantan  ke sana, tersanggkut hanya di Kuala Terengganu.

Tetapi saya tidak begitu berasa kesal walau tidak ke Kuala Lumpur sekitar tahun itu kerana kini Kuala Lumpur adalah rumah  kedua saya.

Sejarah penerimaan hadiah sastera saya bermula pada tahun 1985,   berjarak kurang lebih enam tahun dengan tarikh tahun karya saya pertama kali disiarkan.  Tahun itu, sebuah   sajak kecil saya berjudul "Buku-Buku di Perpustakaan Ini" yang disiarkan di majalah Mastika di bawah kelolaan Wahba, antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank 1985.

Kerana menjadi salah seorang pemenang hadiah penghargaan di  tahun 1985 itulah maka saya mula mengenal Kuala Lumpur lebih dekat. 

Malah kalau tidak salah ingatan, tahun itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dan penyair Kemala, yang hanya saya kenali melalui surat,  berbaik hati menumpangkan saya bermalam di rumahnya dan menghantar saya ke tempat penyampaian anugerah di PWTC. 

Juga di majlis penyampaian hadiah itu jugalah saya kembali berjumpa dengan penyair Rudi Mahmood, yang sebelumnya saya temui di Hari Puisi 1981 di Kem Kijang, Pantai Cahaya Bulan. 

Itu kisah lama dan kalau mengenangnya, saya lebih ingin mengenang segala kebaikan orang-orang yang banyak menolong saya ketika pertama kali di Kuala Lumpur.

Kejadian-kejadian berikutnya juga adalah sejarah. Masih ada beberapa hadiah yang saya terima selepas tahun 1985. Sebahagiannya tidak saya hadiri dan hanya meminta bantuan  seorang yang lain yang juga sama meraih hadiah untuk menerima bagi pihak diri saya.

Terus terang saya sebenarnya tidak pernah bergiming mengenai ada atau tidaknya hadiah sastera. Kalau takdirnya ada dan saya dimurahkan rezeki menerima, akan saya terima. Tetapi andai tiada, saya fikir itu pun tidak begitu perlu untuk saya rusuhkan.

Sebagai seorang yang bermula sebagai penulis  dari sebuah dunia yang kosong dan hanya "berbakat alam", saya selalu cuba meletakkan diri sendiri di tempat yang sepatutnya.  Saya tidak ingin berlebih-lebihan dan hanya mahu menerima apa yang saya fikir memang  wajar dan patut saya terima. 

Kalau memang ada, nilailah karya saya sewajarnya dan berikanlah angerah kalau memang itu hak yang patut saya terima. Tetapi, jangan sekali-kali sampai menidakkan hak karya orang lain, yang kerana entah sebab seperti misalnya tidak kenal baik dengan panel penilainya, atau kerana pernah berdebat dengan seorang pegawai di sebuah institusi yang mengelolanya, maka dengan dalih licik haknya untuk menerima hadiah dinafikan.

Saya menyebutkan ini kerana sudah banyak dipercakapkan orang mengenai ini, malah pada satu waktu pernah berlaku kejadian bagaimana sebuah karya ditolak penilaiannya dengan alasan memuatkan karya yang tempohnya melebihi 10 tahun, walau hal yang sebenarnya tiada pun demikian.

Memang pun dengan anugerah boleh menjadi antara faktor pendorong semangat penulis.  Tetapi jangan sampai pula menjadi pertikaian yang tidak pernah usai bila masih ada karya yang lebih layak tidak diberikan hadiah ketimbang karya yang tidak.

Penulis  sekarang semakin bertambah cerdik dan peka. Mereka boleh mengesani dan tepat menduga sesuatu yang diada-adakan dengan sengaja.

Tetapi seperti yang saya katakan di awal tadi, ada atau tidak hadiah sastera, saya tetap begini juga. Kalau diberi saya terima dan kalau tidak, saya tetap akan menulis juga.

Kerana itu jugalah, saya langsung  tidak tergiur untuk mengisi borang dan mengirimkan salinan karya saya kepada sesiapa, semata-mata demi untuk memastikan karya saya akan dinilai dan kalau layak, akan menerima hadiah sastera.

Malah saya fikir itu semua hanyalah kerja sia-sia dan membuang waktu saya sebagai penulis. Saya katakan begitu kerana sepatutnya ada institusi yang melaksanakan tugas ini dan kalau itu tidak dilaksanakan, mereka sepatutnya berasa malu. Apa lagi kalau misalnya ada peristiwa karya yang tidak dikirim mendapat hadiah sedang yang dikirim langsung tidak disebut di dalam penilaian.

Apa erti semua ini?

Tetapi saya tidak peduli. Kalau mereka yang diberikan amanah mengenainya berasa diri mereka dewa atau nabi menentukan hidup dan mati hayat seorang penulis,   saya tidak pernah mahu ambil peduli.

Dan saya lebih tidak mahu ambil peduli andai mereka pun memang memilih  tidak pernah mempedulikan saya.

Ogos 18, 2010 (Ramadhan lapan)


6 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

bang marsli, saya datang membaca dan belajar singkap sejarah bang marsli di sini.

MARSLI N.O berkata...

Sdr WB Rendra: Selamat terus berkarya. Walau apa pun.

MARSLI N.O

Melihat Kesunyataan berkata...

Masli N.O,
Saya menghormati pegangan sdr. itu tentang anugerah. Seharusnya penulis tidak mengejar anugerah, tetapi kejarlah mutu dalam penulisan. Insyah-Allah karya yang malar itu tetap bersinar meski tanpa mendapat hadiah.

MARSLI N.O berkata...

Tuan Haji Shapiai: Menyatakan yang sekadarnya. Moga dijauhi pula sifat riak dan hipokrit. Moga. Selamat menikmati rahmat Ramadhan buat Tuan Haji seisi keluarga.

MARSLI N.O

edolah berkata...

..yg penting sdr tetap tegar dan kekal menulis !

MARSLI N.O berkata...

Sdr Edolah: Sdr juga. Selamat berkarya dan menikmati rahmat Ramadhan.