Rabu, Ogos 11, 2010

1991, SEBUAH NOVEL DAN SAYA

SAYA  selalu memilih diam dan menjauh jika di kalangan kawan-kawan saling bercerita mengenai penulisan novel masing-masing.

Saya memilih demikian kerana berasa malu dan insaf diri betapa sebagai pengarang saya memang tidak banyak menulis novel, apa lagi yang sudah berjaya diterbitkan ketimbang mereka.

Saya mungkin bukan seorang yang benar-benar layak, jika dibandingkan dengan mereka yang sudah menulis dan menerbitkan puluhan novel, untuk bercakap mengenai bagaimana seharusnya untuk menulis sebuah novel dan paling penting, sehingga berjaya pula diterbitkan.

Kalau tidak salah ingatan, sehingga kini saya baru menulis tiga novel (untuk dewasa) dan tiga (untuk kanak-kanak). Tetapi yang membuat saya tetap berasa malu, dari jumlah itu, hanya dua yang sudah diterbitkan dan itu pun bukan novel untuk dewasa.

Saya tidak bermaksud menghina mereka yang hanya menulis novel untuk kanak-kanak dan remaja. Maksud saya, selepas menulis dan berjaya menerbitkan novel untuk kanak-kanak dan remaja, sewajarnya seorang pengarang menulis dan berusaha agar diterbitkan juga novel untuk dewasanya.

Memang saya bermula dengan menulis novel untuk dewasa. Permulaannya tahun 1982 lagi.  Tetapi tentu sahajalah menulis sebuah karya dalam usia penulisan yang  belum boleh dihitung sebagai sudah dewasa, menyulitkan novel itu untuk diterima serta diterbitkan.

Seingat saya, baru tahun 1991 saya baru benar-benar bersungguh menulis sebuah novel yang lain, sebuah novel yang saya tulis dengan kesedaran terhadap konsep, lambang dan permainan makna.

Sebagai seorang yang mengarang, saya dengan yakin berkata kepada diri, kenapa dan tidak semestinya sebuah novel diikat oleh plot yang ketat dan rigid dan  didokong oleh  watak yang nyata dan peristiwa yang masuk akal semata-mata.

Salahkah kalau sebuah  novel diikat hanya oleh suatu tema sebagai landasaannya, berlangsung di sebuah dunia jungkir-balik dan dengan watak yang kadang-kala kabur dan  bersifat tidak logik?.

Tentulah tiada siapa yang menjawab salah atau tidak. Dan saya meneruskan apa yang saya percaya dan yakini itu dengan sedar, mengetiknyaa dengan sebuh mesin taip jenama Olivetti  malam demi malam, helaian demi helaian,  hingga selesai dan berhenti di halaman 158.

Memang niatnya mahu melanjutkan lagi agar ianya menjadi sebuah manuskrip novel setebal 180 atau 200 halaman.  Namun rasa letih menghalang saya. Apa lagi bila saya renungkan, apalah maknanya sebuah manuskrip yang tebal kalau sekadar  mengulang-ulang apa yang sebenarnya tidak begitu perlu  dan sia-sia.

Itu tahun 1991.   Dan manuskip itu saya jaja ke mana-mana. Jawapan yang saya terima, novel ini tidak sesuai diterbitkan.

Saya tahu, saya memang dengan sengaja menentang arus. Sekitar tahun itu, novel-novel terbitan Creative Enterprise, Marwilis Publisher dan karya pengarang seperti Akhdiat Akashah, Siti Rohya Atan, Mishar dan beberpa yang lain merajai pasaran novel tanah air.

Sekitar tahun 1991, beberapa tahun sebelum dan selepasnya, juga bangsa Melyu sedang berdepan dengan krisis dan konflik identiti sesama sendiri: antara menjadi sepenuhnya Islam yang orthodok  atau menerima kemajuan di mana yang seuai dan perlu.

Sekitar tahun itu juga, bangsa Melayu, diperkudakan atas nama politik kepartian,  saling tuding dan menuding antara siapa yang kafir dan siapa yang tidak, atau siapa yang lebih Melayu atau sudah  dinodai oleh kesucian Melayunya oleh pengaruh luar.

Saya sepenuhnya sedar menulis sesuatu yang di luar dari jalur kebisaan. Sedar akan risiko, susah mendapat tempat penerbitan atau ruang penyiaran.

Tetapi, rasa saya bukan kerana ego atau rsa sombong seorang pemuda di waktu itu, saya yakin karya saya yang sedemikian akan tetap punya ruang dan tempatnya  sendiri.

Saya malah memang sudah nekad  dengan niat bahawa satu waktu naskhah itu andai tiada siapa yang sudi menerbitkannya,   akaan saya terbitkan dengan belanja sendiri.

Niat saya, bukan kerana mahu melagakkan bahawa  saya ini seorang penulis novel. Bukan.

Sebenarnya, saya hanya ingin membuktikan bahawa kemerdekaan dalam berkreatif, selagi tidak sampai menghina orang lain, agama, moral dan undang-undang, mestilah diraya serta digalakkan Khususnya oleh mana-mana institusi yang diprtanggungjawabkan mengenainya

Yang saya tentang adalah sikap menghalang yang tidak kena pada tempatnya. Apa lagi terhadap sastrawan dan seniman. 

Itulah keyakinan saya yang tetap saya pegang hingga kini.

Apalah lagi ertinya menjadi sasterawan dan seniman di sebuah negeri yang merdeka kalau kebebasan berkreatifnya dihalang-halang?

Itulah semangat, roh yang melatari jiwa dan perasaan saya ketika menyiapkan naskhah setebal 185 halaman itu. 

Kini saya masih diberi Allah anugerah untuk bernafas di tahun 2010.

Saya mengharapkan novel itu terbit dan katanya sedang dalam proses penerbitannya. Saya harap tiada lagi aral yang menghalang.

Setidaknya, penantian selama kurang lebih 19 tahun, buat seorang lelaki "pendurhaka"  ini, berbaloi juga.

Ogos 10, 2010 (Ramadhan pertama)

6 ulasan:

Jamal Ali berkata...

InsyaAllah,
ia pasti akan diterbitkan...

Akan sabar menanti buah karya tuan di pasaran...

Moga berusaha lagi tuan...

Hashim Zabidi berkata...

Saudara amat gigih dan amat dinamik dlm perjuangan. Saya tabik usaha dan citarasa sdra dalam berkarya.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Ibnu Jamaluddin. Saya berterima kasih kepada kalian dan kawan-kawan. Betapa, di samping yang mengeji dan mencaci, masih ada teman seperti kalian yang sangat berbaik hati serta mengerti. Alhamdulillah.

MARSLI N.O

Pak Hashim Ydh: Bagaimana dengan naskhah TITIK BUKAN NOKTAH yang pernah diceritakan kepada saya dulu? Tidak diusahakan sendiri penerbitannya?

MARSLI N.O

Naim berkata...

ok, semoga kan lahir novel dewasa itu.

@naimisa

Hashim Zabidi berkata...

Titik Bukan Noktah tidak diterbitkan, barangkali terlalu lemah dalam banyak perkara. Saya cuba menyusun semula naskah itu.
Saya telah menulis sebuah nobel semi sejarah bertajuk Hijrah Tok Mat Amin dan telah dihantar ke Pyan Habib untuk editing.

MARSLI N.O berkata...

Sdr Naimisa: Katanya sedang dalam proses. Moga-moga Allah membantu.

Pak Hashim: Moga naskhah yang baru itu menjadi kenyataan terbitannya.