Isnin, September 06, 2010

DIARI BANGSA: CATATAN SEORANG SASTERAWAN DAN PENDIDIK


Dari Bangsa: Kumpulan sajak Shariff Putera

TUAN SHARIFF PUTERA atau lebih dikenali di kalangan teman sasterawan sebagai Shariff Putera merupakan sasterawan yang disegani di negeri kelahirannya.

Dilahirkan pada tahun 19 Januari 1943  di Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu. Menerima pendidikan sehingga lulus ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya dalam pengkhususan sastera tulen pada tahun 1978.

Mula menulis sejak tahun 1962 ketika berusia 19 tahun  dalam pelbagai genre, tetapi lebih menonjol sebagai cerpenis.

Selain nama Shariff Putera, beliau juga menulis dengan nama samaran atau pena seperti Tusra Putra, Sari Putra, S. Putra, Budiawan, Panji Alam  dan Duru bahasa (untuk Berita Harian dan Minda Pelajar).

Karyanya berupa cerpen dan rencana termuat dalam pelbagai penerbitan seperti Mastika,  Utusan Zaman, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia.  

Cerpen pertama beliau “Menanti Saat Genting” tersiar dalam Mingguan Filem Singapura menjadi pendorong untuk beliau terus berkarya. Selain cerpen dan rencana, beliau juga menulis drama radio.

Pernah bertugas sebagai wartawan sambilan Berita Harian dari tahun 1967 – 1974. Bekas guru ini  juga aktif dalam kegiatan budaya, pendidikan dan kemasyarakatan.

Tahun 1968 Shariff Putera meraih tempat kedua Peraduan Menulis Cerpen anjuran PENA. Selain itu beliau juga meraih anugerah-anugerah lain penulisan seperti hadiah saguhati Esso-GAPENA atau anjuran Jakim, Utusan-Public Bank dan anjuran DBP.

Shariff Putera mengaku beliau memasuki lapangan penulisan dengan cara belajar melalui pembacaan. Majalah “Utusan Kanak-Kanak” terbitan Utusan Melayu merupakan pendedahan awal beliau ke dunia bacaan ketika di tahun empat sekolah rendah pada tahun 1953.

Menulis sajak merupakan kegiatan penulisan beliau di peringkat awal tetapi kekuatannya lebih terserlah di genre cereka.

Karya sajak beliau dimuatkan dalam antologi bersama  ialah “Gema Membelah Gema” (2000) dan “Bulan Barakah” (2000).

Shariff Putera juga menjadi penyelenggara beberapa antologi sajak terbitan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) seperti “Sekayu” (1989), “Warna Kemesraan” (1986), “Kisaran Angin” (1996), “Cakerawala Diri” (1994) dan “Cinta Padamu Tasik Kenyir” (1994).

Melalui Persatuan Sasterawan Terengganu atau PELITA pada tahun 2008 beliau telah menerbitkan sebuah  kumpulan sajak yang diberinya judul “Diari Bangsa”.

Walaupun sejak awal menulis lagi beliau telah menulis dan menyiarkan beberapa sajak, tetapi kumpulan yang memuatkan 52 sajak ini diakui beliau  sebagai kumpulan sajak pertama beliau yang diterbitkan selepas kurang lebih 48 tahun menjadi sasterawan.

Sesuai dengan judulnya, hampir keseluruhan sajak yang dimuatkan di dalam kumpulan ini dapat dikategorikan sebagai diari atau catatan seorang penyair dari waktu ke waktu, yang merakamkan apa sahaja yang menyentuh hati nuraninya, khususnya segala kemelut yang tertimpa ke atas nasib anak bangsanya.

Keindahan pantai Batu Buruk dalam sajak dengan judul yang sama, yang dirakamkan beliau pada tahun 1967 sebagai “malam himpunan lalu/ malam kekayaan seluruh anak desa” bagi  pembaca yang lebih muda atau pelawatnya di masa kini, tetap dan masih juga akan menemui apa yang digambarkan Shariff Putera :”gadis diikat budi/ petani terkapar diri.”

Bagi generasi muda hari ini Batas Baru yang terletak di tengah pusat bandar Kuala Terengganu  terkenal dengan jalan yang sebok dan medan letak kereta. Tetapi pada tahun 1975, Shariff Putera merakamkan Batas Baru dalam sajaknya dengan judul yang sama sebagai “jalannya seribu warna/ aku sendiri/ mendakap hati budinya”.

Di Batas Baru pada tahun 1975, yang dahulunya dikatakan tempat berhantu, suasana menjadi hidup dan riuh di kala malam. Di sinilah kasih berputik antara dara dan teruna. Atau bimbang lantaran: “sayangku diusung orang” atau “Adik berseluar panjang/ abangnya bertumpang bimbang.”

Tahun berikutnya, 1976, dalam sajak “Pulau Perhentian”  Shariff Putera berkisah mengenai “manja melambai tamu”, “kekasih dijilat peluru” atau salam lewat telegram yang mempertanyakan “apakah mati bisa direncanakan?”

Walau dalam pengantar kumpulan sajak ini Shariff Putera  mengaku telah pun menulis dan menyiarkan sejumlah sajak sejak awal tahun 1960-an, namun hanya satu sajaknya dari era tersebut yang dimuatkan di dalam kumpulan ini.

Sebelum beranjak ke tahun 1990, sajak “Suatu Permintaan” yang ditulisnya pada tahun 1977 terkesan bauran marah dan rajuk seorang lelaki: “Aku ini tiada tahu jalannya/ pergilah engkau/ layarilah kolek itu.”

Di tahun 1998,  sebagai seorang lelaki yang sudah begitu matang dan dewasa, Shariff Putera mengucapkan bimbang melihat perubahan yang melanda alam dan masyarakat bangsanya, yang terpaksa membayar mahal untuk sebuah pembangunan: “kota sesak dengan suara dagang/ desa kelam disergah jentera dan lori belang/ memasak bumi semahu ada.”

Malah lebih awal sebelumnya, di tahun 1990, di dalam sajaknya “Diari Bangsa” Shariff Putera secara sinis dilontarkan kritik secara kontradik betapa “zuriat wasiat” yang kehilangan “di awal zaman”,  teman yang kehilangan diri “di tengah kota kaca”, negara yang kehilangan ringgit, seorang anak “kehilangan arah di tengah rumah” atau perempuan “kehilangan anting di tepi tasik” .

Shariff Putera tidak lupa mencatatkan kesan kunjungan ke tempat bersejarah seperti di dalam sajaknya “Di Makam Baqe” (1990) dan “Langkawi: Sebuah Catatan” (2000)> Atau  peristiwa dan peristiwa dan bulan tertentu seperti “Muharram” (1993), “Rabiuawal” (1993),  “Israk” (1993), “Ramadan Datanglah” (2000) dan “Lailatul Qadar” (2006).

Pengalaman panjangnya sebagai seorang pendidik dituangkan Shariff Putera dalam sajaknya  “Salam Untuk Murid” (1997),  “Seorang Guru Seorang Ulamak” (2002) dan  “Seorang Pelajar yang Kukenal” (2004).

Selain sajak “Kuda Tua” (2003) yang boleh sahaja dianalogi dengan nasib di hari tua seorang tokoh masyarakat mahupun politik yang “kehilangan rakan gelak di padang” dan “mengenang nasibnya di kandang, diabai dibiar tidak berladang”, Shariff Putera juga menghadiahkan kita dengan dua sajak terakhir berjudul  “Ragu-Ragu” dan “Menyusur Hati” (2007).

Dua sajak berbentuk epigram ini, antaranya “Menyusur Hati”, menarik untuk sama kita renungi: Ketika aku menyusur rasa cemburunya/ tempias hasadnya jauh di depan/ aku mengambil keputusan/ berangkat sebelum dengkinya penat”.


[MARSLI N.O]

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 5 September 2010 (Dengan judul Catatan Seorang Sasterawan)

Tiada ulasan: