Ahad, Disember 26, 2010

KETIKA BERTAMU

Sajak MARSLI N.O

Kurai kau sejujur hati
kerana begitu adab
atas nama Melayu
dan rasa manusia
yang mendidik sopanku

Walau kutahu kau selalu
datang dengan keduk
dan ramah yang palsu
namun tetap kau
kupanggil sahabat
walau kaumiliki hati bejat

Kerana aku tahu siapa diriku
tidak luntur kerana umpat 
atau  berkali kejimu
yang kau sunglap konon sebagai nasihat

Disember 26, 2010.

Jumaat, Disember 24, 2010

SILAKAN BERLALU

Sajak MARSLI N.O

Aku sudah memilih
wilayah dan negeriku
Walau asing dan berbeza
di jalan sendiri  pilihku

Silakan kau berlalu
sahabat dan pemuji yang palsu

Kerana aku tidak ingin
seiring denganmu
berkoar dengan 
berani yang palsu
dan dayusmu kausorokkan 
dengan hujah dan dalih
hanya untuk memilih
jika mendatangkan laba yang lebih

Silakan berlalu
para pemilik berani
dan pilihlah sejuta syahid
besar atau kecil
seperti  kauingini

Walau nanti andai matiku
kau anggap hanyalah
sebatang bangkai
aku tidak pernah ingin peduli

kerana kutahu
Hisab siapa jadi penentu
dan bukan di mulut si cabul
atau pengucap yang suka menipu
seperti dirimu

Silakan berlalu.

Disember 24, 2010

Rabu, Disember 08, 2010

SELEPAS KOREA

SAYA sedang dalam proses kembali menuetralkan  perjalanan darah di dalam badan.  Berdepan dengan kesejukan yang agak melampau di sana, bagi sebatang jasad kerdil yang sentiasa hidup di iklim panas, memang mendatangkan serba sedikit sampingan, seperti flu dan kurang sedap badan.  Tetapi ini pun memang dugaan yang sangat kecil dan saya mengucapkan syukur kepada Ilahi yang sentiasa melindungi diri saya ketika di sana.

Terutamanya, kerana saya berasa, sepanjang di sana, saya masih tetap hadir sebagai manusia dan bukan sebagai yang selainnya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih buat sahabat yang sudi mendoakan keselamatan saya sepanjang di sana dan juga bantuan mereka yang lain.

Saya akan menulis lebih lanjut. Flu ini agak sedikit mengganggu.

Disember 8, 2010

BECOMING
BECOMING merupakan  antologi puisi para penyair yang menyertai Korea-Asean Poets Literature Festival di Korea pada 2 hingga 6 Disember, 2010 yang lalu. Antologi ini memuatkan puisi hasil karya 13 penyair dari 8 negara di Asia dan  20 penyair dari Korea.

Setiap penyair menyumbang empat puisi, yang berupa dua sajak yang dimuatkan adalah karya lama para penyair dan dua lagi merupakan puisi yang baru.

Puisi-puisi yang dimuatkan di dalam antologi ini, selain terjemahan dalam Bahasa Inggeris, juga disertakan dengan terjemahan di dalam Bahasa Korea.

Sedikit berasa bangga, karya puisi dari penyair Malaysia yang turut  diundang menyertai acara ini, Rahimidin Zahari dan saya, didahulukan sebagai pembuka halaman.

Puisi saya yang dipilih  ialah "Membaca Sandiwara", "Sia-Sia", "Di Kamar Sendiri" dan "Sajak Politik Haloba" yang telah disiarkan  dengan terjemahan Inggerisnya sebagai "Reading A Play", "In Vain", "In a  Room of One's Own"  dan " Avaricious Politics Poem".

Rahimidin Zahari pula tampil dengan puisinya "Sufi", "Kebebasan", "Omadal" dan "Rahwana."

Disember 13, 2010